Seseorang yang saya kenal baik cuba berjenaka dengan
saya, “Sekarang PB sudah masuk arus perdana, walaupun belum lagi jadi aliran arus perdana.” Dia merenung saya
sambil berkata seterusnya, “Saya secara kebetulan terdengar perbualan di
kalangan kumpulan yang tidak sukakan PB. Kata mereka, PB sudah mencengkam kita
semua, tak boleh dihapuskan. Mahu tidak mahu kita perlu mengetahuinya, kalau
pun bukan mempelajarinya. Kita nanti akan dipandang bodoh dan degil ...”
Bagi saya itu bukan berita yang baik, tidak juga satu
maklumat yang berguna. Sokongan itu bagus, tetapi tidak semestinya menjadi
syarat untuk mencapai kejayaan, kecuali dalam pilihan raya, tetapi ini pun
bergantung pada sistem yang dipaksakan ke atas pengundi. Penentangan pun baik,
kerana kita dapat mengukur kemampuan intelek para penentang dan jelas pula arah
mana mereka tuju. Juga apa-apa yang
terpendam di dalam hati mereka. Kita juga dapat melihat kejujuran akademik
mereka. Bagi saya yang menjadi masalah ialah saya selalu diberitahu PB itu sukar
difahami. Ini satu perkara yang sangat pelik, kerana penjelasan dan penerangan
tentang PB sudah bertimbun, ditulis pula secara akademik, malah sudah dijadikan
tajuk satu syarahan perdana. Apa lagi yang menjadi masalah? Ini semua soal
sikap, suatu perkara yang memeranjatkan saya, datang daripada para sarjana
Islam sendiri.
Soal sikap ini sebenarnya berubah-ubah dengan cepat,
mengikut hasrat dan kemahuan orang yang
terlibat. Dalam sastera Melayu moden, satu ketika dulu para sasterawan dan
pengkritik sastera riuh rendah mengkritik pengaruh pendekatan dan teori sastera
Barat dalam sastera Melayu, yang menurut mereka perlu diberi perhatian penting.
Tokoh utama gerakan “sangsi-Barat”, yang boleh bertukar menjadi anti-Barat ini
ialah Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh yang diucapkannya dalam satu seminar
penting anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. (Rujuk buku terbitan DBP 2005, Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, hal. 14-15). Tetapi
kini sudah jadi terbalik, apabila sebahagian besar daripada yang menentang itu
kini menyokong dengan sungguh-sungguh pengaruh Barat dan pentingnya pemikiran
Barat dalam sastera Melayu moden diteruskan dan dikekalkan, untuk memastikan
tidak seorang pun daripada sasterawan negara dinilai dengan pendekatan atau
teori yang berasaskan epistemologi Islam, yang menjadikan nilai-nilai Islam
sebagai ukuran. Mengapa ini terjadi? Ini adalah reaksi kepada kemunculan
gagasan Persuratan Baru, yang mencabar keseluruhan teori dan pendekatan Barat
sampai ke akar umbi, sambil menyediakan alternatif yang jauh lebih baik dan
lebih selamat bagi penulis Islam yang dulunya menjerit-jerit meminta supaya
muncul teori sastera bercorak Islam yang boleh dipakai dengan meyakinkan.
Pokoknya ialah tentang konsep ilmu. Para sasterawan
dan pengkritik sastera, terutama sekali para sarjana, tidak dapat menerima
konsep ilmu yang benar. Jika ini diterima, maka sudah jelas mereka sedang
mengamalkan konsep ilmu yang palsu. Bayangkan masalah psikologi dan masalah
akademik yang mereka hadapi, jika konsep ilmu yang benar ini mereka terima.
Mereka harus mencampak keseluruhan “ilmu sastera” moden yang mereka terima dari
Barat. Tidakkah ini satu mala petaka? Tetapi ini adalah ketakutan yang tidak
masuk akal, yang timbul dari kejahilan dalam tradisi ilmu-ilmu Islam dan kecetekan
penguasaan terhadap ilmu sastera Barat. Bagi golongan ini, mereka berfikir
dalam bentuk dualisme, oleh itu mereka tidak dapat terima cabaran yang
diberikan oleh gagasan Persuratan Baru yang mereka anggap akan melenyapkan
prestij mereka dalam bidang akademik. Itulah punca sebenar penentangan terhadap
konsep ilmu yang benar ini. Persuratan Baru dijadikan alasan untuk menolak
konsep ilmu yang benar ini.
Dengan menolak epistemologi Islam dan konsep ilmu yang
benar, mereka mahu kedudukan kukuh pendekatan dan teori Barat yang menjadi
pegangan mereka tidak dicabar, kerana sebaik saja dicabar, akan timbul konflik
yang serius dalam pengajaran sastera. Seluruh sistem pengajaran sastera yang
ada sekarang, yang dipraktikkan di universiti, akan terbatal sekiranya
metodologi yang dipakai dan ukuran yang digunakan didapati palsu. Sekarang kita
menghadapi kumpulan sarjana burung unta yang bengis, yang menyembunyikan kepala
mereka di dalam timbunan teori Barat seperti burung unta menyembunyikan kepala
mereka di dalam pasir sambil mencari makanan. Sarjana burung unta pula
menyembunyikan diri mereka dalam longgokan teori sastera Barat apabila mereka
menghadapi cabaran sebesar ini. Adalah menarik apabila peribahasa Barat ini
dijadikan hujah untuk menggambarkan kedudukan mereka ketika menghadapi cabaran
keilmuan ini. Jadi mereka tidak saja bergantung pada Barat untuk mendapat
legitimasi ilmiah; mereka juga bergantung pada Barat untuk menutup kelemahan
mereka.
Inilah kedudukan sebenar dalam ilmu sastera dalam
dunia akademik kita. Dan inilah kontradiksi yang paling memalukan, yang sekali
gus melucukan, yang dihadapi oleh para sarjana burung unta ini. Mereka tidak
mahu menerima kenyataan bahawa kelangsungan konsep sastera yang mereka pegang
tidak dapat dipertahankan dengan meyakinkan apabila dicabar daripada perspektif
ilmu yang menjadi asas kegemilangan kreativiti dalam tamadun Islam. Mereka sebenarnya sedang bergayut di dahan
rapuh yang disediakan oleh teori sastera Barat, oleh itu tidak berdaya menahan rempuhan taufan ilmu yang benar yang merempuh
seluruh pohon kreativiti tempat mereka berteduh. Pelampung yang mereka gunakan
untuk menyelamatkan diri mereka dalam gelora rempuhan ilmu ini tidak lagi
berupaya menyelamatkan mereka, kerana sudah usang dan sudah reput, menunggu untuk
tenggelam dalam lautan kepalsuan dunia kreatif yang mereka pertahankan selama
ini. Mahu tidak mahu mereka harus menerima kedatangan perubahan besar, satu
intifadah seni yang tidak lagi boleh berkompromi dengan hakikat kepalsuan
konsep kreativiti yang menjadi pegangan mereka, yang telah melahirkan sastera
yang bersifat hedonistik dan para sasterawan yang hanyut dalam dunia kreatif
yang seluruhnya berasaskan kejahatan manusia. Apakah jenis kebaikan yang cuba
ditonjolkan oleh para sasterawan negara dalam karya mereka? Yang jelas
tertonjol ialah perihal kejahatan manusia yang tidak berpegang kepada konsep
ilmu yang benar, yang menafikan hakikat taklif dalam kehidupan mereka.
Kemusnahan para sasterawan dan sastera yang mereka bangunkan berlaku dari
dalam, dilakukan oleh mereka sendiri yang menerima kepalsuan sebagai asas
kreativiti. Kita tidak mahu arus perdana seperti ini, yang tidak dapat
dipertahankan kewujudannya, sehingga menimbulkan konflik yang berterusan dalam
penilaian karya kreatif. Ini telah dibuktikan dengan konkrit dalam penilaian
yang dibuat oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang hanya boleh dipertahankan
dengan mengharamkan penilaian semula para sasterawan negara berasaskan konsep
ilmu yang benar. Inilah konflik akademik yang tidak patut berlaku dalam bidang
ilmu. Konflik ini bertambah buruk
apabila kebebasan untuk menilai semula ditutup kerana disedari para sasterawan
negara ini hanya dapat dipertahankan dengan menggunakan pendekatan dan teori
sastera Barat. Bagaimana perkara ini boleh kita benarkan dalam dunia akademik
kita?
Jadi apa yang disebut aliran arus perdana dalam kritikan
sastera Melayu bukanlah arus perdana dalam erti sebenarnya; tetapi tidak lain
dari kekangan perdana untuk melindungi para sasterawan negara dari dinilai berasaskan
kecanggihan berfikir dan keupayaan kreatif yang tinggi. Kesimpulan ini boleh dibuktikan dengan mudah
jika gagasan Persuratan Baru digunakan untuk menilai para sasterawan negara
ini. Itulah sebenarnya arus perdana, kerana pendekatan Persuratan Baru memberi
keutamaan kepada aspek kecanggihan berfikir dan keupayaan kreatif yang tinggi.
Apa salahnya dengan pendekatan begini?
Mohd.
Affandi Hassan,
1
Julai 2013.
Pendekatan PB tidak salah. Yang salah ialah ketundukan manusia pada ego sendiri memperakui sesuatu yang ketara benar dengan landas Quran dan Sunnah. Semoga Allah buka hati kita untuk kenal tahu sesuatu yang membuatkan kita lebih kenal siapa kita.
ReplyDeleteLama sangat blog Sdr ini 'diam'. Terima kasih atas entri ini.