Sejak akhir-akhir ini, ada pendapat mengatakan
kedudukan sasterawan negara semakin sukar dipertahankan. Mereka berpedapat,
selepas Arena Wati, pemilihan sasterawan negara ada masalah kerana calon yang
walaupun popular sebagai sasterawan, oleh sebab-sebab tertentu, seolah-olah
layak dilantik ke jawatan itu, padahal pada hakikatnya tidak sesuai, malah ada
yang berkata pemilihannya lebih menjurus kepada kronisme sastera. Masalah ini
sampai ke kemuncaknya dalam pemilihan Baha Zain sebagai sasterawan negara
ke-12. Seperti yang saya bayangkan dalam pos yang lepas, pemilihan Baha Zain
tidak saja dikritik oleh Shahnon Ahmad, tetapi dibuktikan dengan jelas oleh
Baha Zain sendiri, terutama seperti yang ditunjukkannya dalam ucapan
penerimaannya. Beberapa orang sarjana dan sasterawan berpendapat, ucapan
penerimaan Baha Zain amat mengecewakan. Panel Anugerah Sastera Negara telah
bermurah hati memuji tinggi kemampuan intelektual Baha Zain sebagai “pemikir”
sastera dan pengkritik sastera yang berwibawa, dengan huraian yang begitu
teliti peragaan retorik peragaannya,
namun Baha Zain dalam ucapan penerimaannya hanya berjaya mengucapkan kembali
segala isu-isu klise yang mirip dengan berita TV3, TV Malaysia, akhbar Melayu popular,
dan gosip biasa yang sering diulang-ulang. Ke mana perginya taring intelektual
Baha Zain? Atau dia memang tidak bertaring?
Sesuai dengan reputasinya sebagai seorang “pemikir” sastera yang teliti,
juga sebagai seorang pengkritik sastera yang tajam pemerhatiannya dan
analisisnya, tiba-tiba terkulai dalam ucapan penerimaannya yang tidak bermaya,
dan memang tidak kelihatan sedikit pun imbasan intelektualnya, apatah lagi
analisis dan penilaian yang mantap sebagai seorang yang sudah mendewasakan
dirinya selama 50 tahun berada dalam dunia kreatif dan kritikan. Ada yang
berkata, Baha Zain sebenarnya bukan tidak ada kemampuan intelektual hebat yang
dicirikan oleh teman-temannya, dan oleh Panel Anugerah Sastera Negara sendiri
dalam laporan mereka, tetapi dia sebenarnya sedang berusaha meletakkan standard
baru dalam ucapan penerimaan seorang sasterawan negara, yang seharusnya
bersifat santai, gossipy, dan
dibumbui sedikit dengan sikap mengada-ada dengan menimbulkan kambali cerita
lama (seperti tentang Kongres Kebudayaan Kebangsaan, atau tentang polisi bahasa
kebangsaan yang dia sendiri pernah terlibat melaksanakannya) dalam suatu
nostalgia pura-pura kerana zaman sudah jauh berubah dan orang tidak mahu lagi
mengimbas kambali sesuatu yang terlalu sempit daerah wacananya seperti mengenai
polisi kebudayaan dan kedudukan bahasa kebangsaan. Ahli politik sendiri sedar
kesilapan mereka melontarkan polisi yang tidak mengikat, oleh itu tidak harus
dipersalahkan sesiapa jika pelaksanaannya tidak saja rumit, tetapi juga sudah
bertentangan dengan realiti baru di bawah pengaruh 1Malaysia (angkat telunjuk
dengan bersemangat!). Di bawah realiti baru 1Malaysia, semuanya berbentuk
plural, majmuk, walaupun kadang-kadang bertentangan dengan Perlembagaan
(seperti polisi PPSMI dan Akta Pelajaran yang mengiktiraf sekolah bukan kebangsaan,
oleh itu dinamakan jenis kebangsaan yang tidak ada dalam Perlembagaan!). Jika
projek sasterawan negara ini diteruskan juga, maka tidak mustahil jika para penulis
yang menggunakan bahasa Tamil atau bahasa China dan bahasa Inggeris, akan layak diberi kedudukan yang setaraf
dengan sasterawan negara berbahasa Melayu. Bagaimana jika karya dalam bahasa
yang tidak Melayu itu didapati lebih bermutu daripada yang ditulis oleh sasterawan
negara Melayu yang sudah layu daya kreatifnya dan daya intelektualya? Tentu
saja sesuatu yang bermutu tidak boleh ditolak begitu saja walaupun ditulis
dalam bahasa Eskimo; paling bodoh sekali pun karya demikian perlu diterjemahkan
ke bahasa Melayu dan diiktiraf sebagai karya asli, bukan karya terjemahan,
kerana memang ditulis dalam bahasa asli yang diakui kedudukannya dalam 1Malaysia
(maksudnya: bahasa Tamil dan China adalah bahasa ibunda penulisnya, oleh itu
bahasa asli; apatah lagi bahasa Inggeris, yang pernah dimajukan oleh Prof. Dr.
Muhammad Hj. Salleh ketika menjadi pelajar di Universiti Singapura, yang ketika
itu banyak menulis sajak-sajak dalam bahasa Inggeris; pengaruh bahasa Inggeris
itu tetap ketara dalam sajak-sajak Melayunya yang saya kira difikirkan dalam
bahasa Inggeris terlebih dahulu, seperti sajak “Pulang Si Tenggang”, yang versi
Inggerisnya jauh lebih baik daripada versi Melayunya, kerana di dalamnya tidak
ada ucapan kurang ajar yang mengajar orang Melayu supaya kurang ajar).
Kalau itulah keadaannya, maka jalan keluar yang
terbaik ialah memulai Hadiah Persuratan Petronas, seperti yang sudah
dikemukakan dalam seminar DBP Mei 2006.
Kerana masih baru, tentu DBP masih simpan segala kertas kerja yang
dikemukakan. Sekarang di mana-mana saja orang bercakap tentang perlunya trasformasi
untuk mencapai taraf negara maju. Tidakkah dalam polisi bahasa pun kita
perlukan sejenis transformasi seperti yang dibincangkan dalam seminar DBP 2006
itu. Kegagalan projek sasterawan negara perlu, dan boleh diatasi, dengan
memulakan Hadiah Persuratan Petronas. Mengapa projek sasterawan negara itu
gagal telah dibincangkan dalam tiga aspek: dari aspek ilmu yang benar; dari
aspek nilai; dan dari aspek pembinaan budaya kreatif yang menjurus kepada
pencapaian digniti manusia berasaskan konsep taklif. Tiga aspek ini tidak ada,
dan tidak kelihatan, dalam projek sasterawan negara ini. Kita telah membazir
wang yang banyak begitu lama, dan membazir kata-kata begitu banyak dalam
laporan dan sebagainya, namun dari segi makna yang dikehendaki dalam pembinaan
tamadun, kita telah gagal sepenuhnya. Maka itulah diperlukan transformasi
intelektual dan akademik berasaskan konsep ilmu yang benar, diungkapkan dalam
bahasa Melayu tinggi yang indah dan saintifik. Kita perlu memulakannya sekarang.
Mohd. Affandi Hassan,
2/6/2013.
No comments:
Post a Comment