Akhirnya Baha Zain diberi penghormatan untuk digelar
sasterawan negara (ke-12), selepas teman-temannya di DBP dan di luar DBP
seorang lepas seorang diberi anugerah itu. Dari 12 orang sasterawan negara, 6
orang bekas pekerja DBP. Lain-lain adalah suku-sakat mereka, yakni semua
sasterawan negara ini dari satu rumpun, kait-mengait satu sama lain. Dengan
terpilihnya Baha Zain, maka sudah terang lagi bersuluh tokoh-tokoh sasterawan
yang layak diberi keudukan itu semakin mengecil, dan begitu insignificant, sehingga seorang pensajak
yang diakui oleh Laporan 2013 tidak
prolifik diangkat untuk diberi penghormatan negara itu. Panel menggunakan
istilah “penyair”, yang saya kira tidak tepat; maka itulah saya pakai istilah “pensajak”
(yakni, penulis sajak). Istilah itu tidak tepat, menurut Za’ba dalam Ilmu Mengarang Melayu, kerana seseorang yang digelar “penyair” itu menulis syair
yang indah-indah fikirannya, tinggi nilai ilmunya. Ini tidak terdapat dalam
sajak-sajak moden, hatta yang ditulis oleh sasterawan negara sekali pun.
Hakikat ini disedari oleh pensajak Nawawee Mohammad dalam kumpulan sajaknya, Dalam Sajak (2003). Saya salin pendapat
beliau: “Sengaja saya gunakan perkataan ‘penulis sajak’ di sini, tidak ‘penyair’.
... Bagi saya, status seseorang penyair sangat tinggi dan agung kedudukannya
dalam masyarakat. Harus dikagumi kerana ketinggian nilai tulisan dan buah
fikiran.” (hal. xiii).
Benarlah pandangan kritis Shahnon Ahmad yang awal-awal
lagi membantah pemilihan Baha Zain, dengan alasan yang cukup tepat dan paling
lantang disuarakan, iaitu Baha Zain adalah penulis sajak-sajak kontot yang
tidak terfokus. Benarnya dan tepatnya pandangan Shahnon Ahmad ini diakui oleh Laporan 2013 yang berterus terang
mengaku Baha Zain memang bukan seorang pensajak yang kaya karya dan kaya
pemikiran. Kekerdilan Baha Zain dalam dua perkara ini secara tidak langsung
(kerana tentulah tidak sopan untuk menyatakannya secara langsung dan berterus
terang) diungkapkan dalam Laporan 2013.
Laporan ini telah cuba berlaku adil terhadap Baha Zain, tetapi kerana langkanya
karya Baha Zain yang betul-betul bermutu, maka laporan tiada pilihan selain
mengemukakan contoh-contoh sajak yang begitu biasa, simplistic dan tiada langsung menayangkan buah fikiran yang boleh
dipegang. Saya tidak perlu menurunkan contoh-contoh pilihan Laporan 2013, yang boleh disimpulkan
sebagai sajak-sajak remaja yang marah-marah. Ini amat aneh, kerana Baha Zain
sendiri mengaku sejak akhir-akhir ini dia banyak melihat ke dalam diri, dan
hasilnya ialah tertelurnya sajak-sajak kerohanian. Mana dia sajak-sajak kerohanian
itu? Sudah pasti Panel tidak berminat, jika memang ada sajak-sajak kerohanian
itu. Tetapi jika betullah sajak-sajak kerohanian itu benar-benar menyentuh
sanubari, mengapa tidak dikemukakan untuk dinilai oleh pembaca laporan ini? Keselekehan
Panel penilai dalam menyediakan laporan mereka boleh dilihat dalam hampir semua
halaman laporan, yang memang kaya dengan retorik
peragaan berupa pujian yang tidak bertempat kerana tidak ada contohnya yang
boleh dijadikan pegangan bahawa contoh-contoh itu memang melambangkan kekuatan
pemikiran dan kehandalan kreatif sang pensajak. Contoh-contoh yang diberikan
adalah sebaliknya, tidak langsung melambangkan kekuatan pemikiran pensajak dan
kehandalan kreatifnya dalam mengemukakan pemikirannya. Kegemaran memuji
setinggi langit ini telah ditegur oleh Rasulullah SAW dalam beberapa hadis,
yang antara lain dipetik oleh ulama dan
pujangga Aceh, Abdul Rauf Singkel, dalam kitabnya Tanbih al-Masya, disalin oleh Oman Fathurahman dengan diberi judul,
Menyoal Wahdul Wujud (Mizan 1999).
Hadis Muslim itu berbunyi (terjemahan Abdul Rauf/Oman), “Bila engkau melihat
orang yang selalu memuji-muji, taburkanlah tanah di mukanya”; kerana pujian itu
ibarat memenggal kepala orang yang dipuji. (hal. 139). Saya dapat satu kutipan
daripada Imam Shafie yang dimuat oleh seorang bernama Akma Danira dalam
facebooknya: “Sesuatu yang benar
tetapi bahaya iaitu pujian manusia. Ramai yang rosak akibat terlalu hanyut
dengan pujian.” Memuji adalah sifat
Panel Anugerah Sastera Negara, yang terpaksa dilakukannya untuk membina mitos
di sekitar sasterawan negara yang dilaporkannya. Tanpa pujian, sasterawan negara tidak wujud.
Panel memuji Baha Zain sebagai penulis esei yang
cekap, lalu bahagian ini pun penuh dengan retorik
peragaan yang lebih banyak bercerita tentang kelemahan Panel daripada
kekuatan esei Baha Zain. Mari kita sebariskan (tidak bererti setanding) H.B. Jassin
dengan Baha Zain dan lihat bagaimana dua orang tokoh ini memperlihatkan
kekuatan masing-masing. Kita lihat H.B.Jassin membicarakan hampir semua penulis
Indonesia, walaupun tidak mendalam, tetapi jelas beliau membaca karya mereka
dan memberi mereka galakan yang wajar. Bagaimana dengan Baha Zain? Dia hanya
menulis tentang teman-teman rapat yang pernah memuji beliau, yang kini sampai
pula gilirannya untuk memuji mereka. Ke mana perginya penulis lain yang beratus
orang jumlahnya? Dia tidak membacanya, dan berasa tidak perlu membicarakan
mereka seperti yang dibuat oleh H.B.Jassin. Oleh itu, di mana hebatnya Baha
Zain dalam penulisan esei? Katalah dia memberikan pemikiran yang brilliant yang mengarah kepada
perkembangan masa depan sastera dan apakah cabaran itu. Panel tidak berkata
apa-apa, kecuali bergelumang dalam retorik
peragaan yang tidak bermakna apa-apa.
Yang saya maksudkan mudah saja: jika benarlah Baha Zain
seorang pemikir sastera, sudah pasti dia akan membuat sesuatu rumusan penting
tentang kemajuan terdahulu dan bagaimana pencapaian masa depan. Tidak adakah
masalah serius yang sedang dihadapi oleh para sasterawan dan dunia sastera
mereka? Saya sering mengatakan, para sasterawan hanya berjaya mengelirukan
masyarakat dengan mengemukakan nilai-nilai palsu, yang disokong oleh Panel dalam
laporan mereka. Kalau anda membaca tulisan saya, anda akan terkesan bahawa
nilai-nilai palsu itu tergambar dalam konsep ilmu yang keliru, tentang betapa
ceteknya para sasterawan ini memahami dunia kreatif dan sastera dunia, sehingga
mendorong Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas mencirikan mereka sebagai
kumpulan yang “cetek meraba-raba”. Cabaran ilmu yang diajukan oleh Prof. Syed
Muhammad Naquib al-Attas adalah cabaran besar, yang wajar mendapat reaksi para
sasterawan. Tetapi mereka mendiamkan
diri, membuktikan bahawa memang benar mereka “cetek meraba-raba.” Sebenarnya inilah sifat karya para sasterawan
negara sendiri, yang kacau dan keliru dari segi memahami masalah ilmu dan
peranan kreativiti dalam kehidupan manusia yang berakal. Ini terjadi kerana pembacaan
mereka amat terbatas, sebelah pihak, yakni terlalu membataskan diri mereka
kepada karya Barat, tetapi itu pun cetek, oleh itu mereka tidak dapat
membicarakan dengan mendalam masalah ilmu yang mengelirukan para sarjana Barat.
Kalau mereka tidak cetek, mereka akan membicarakan dengan agak mendalam mengapa
begitu banyak timbul segala macam teori sastera Barat, dan apakah natijahnya
dalam epistemologi. Mengapa persoalan epistemologi ini penting dalam kritikan
sastera dan dalam penulisan kreatif? Mana ada di antara sasterawan dan sarjana
sastera yang membicarakan persoalan ini. Betapa miskinnya mereka, dapat anda
lihat apakah pandangan mereka tentang konsep tragedi. Yang menulis tentang
tajuk ini bukan pengkritik dan penulis esei seperti Baha Zain atau sasterawan dan sarjana
seperti Muhammad Hj. Salleh atau Rahman Shaari, tetapi ditulis oleh seorang
sarjana bukan sastera, Che Razi Jusoh, melalui makalahnya, “Tragedi Sebagai
Salah Satu Watak Kebudayaan Barat” (dimuat dalam Adab dan Peradaban: Karya Pengi’tirafan untuk Syed Muhammad Naquib
al-Attas, 2012.) Kalau anda tidak
berupaya membicarakan konsep realisme yang menjadi pegangan anda sebagai
seorang sasterawan atau seorang sarjana sastera, maka anda tidak boleh dianggap
sebagai pemikir, melainkan hanya seorang peniru dan sebagai peniru pun bukanlah
peniru yang mendalam ilmunya. Kalau anda
tidak sampai ke tahap itu membicarakan sastera, maka anda bukanlah seorang
pemikir yang benar-benar sedar akan masalah yang anda hadapi dan yang dihadapi
oleh para sasterawan serta sarjana sastera. Anda tidak boleh dikatakan seorang
sasterawan yang jujur dan seorang sarjana yang objektif jika anda tidak tahu
menahu tentang gagasan Persuratan Baru, yang tidak saja mencabar keupayaan anda
berfikir, tetapi juga mencabar teori satera Barat yang menjadi pegangan anda.
Membaca ucapan penerimaan Baha Zain membuat kita
teringat berita biasa di TV3, TV Malaysia, di Utusan Malaysia dan Berita
Harian dan lain-lain akhbar. Baha Zain mengulang apa yang sudah sering
disebut dalam berita-berita itu. Pada kesempatan itu kita ingin mendengar satu
ucapan yang benar-benar lahir dari pemikiran kritis beliau, sesuai dengan
pujian Panel yang mengatakan beliau seorang pemikir sastera yang handal.
Kehandalan berfikri itu tidak kelihatan dalam ucapan penerimaan beliau, yang
melompat-lompat dari satu tajuk ke satu tajuk yang biasa kita dengar di TV dan
baca dalam akhbar. Apakah visi dan impian beliau tentang sastera Melayu Abad 21
ini? Masihkah hanya sejenis appendix kepada sastera Barat? Masih bergelumang
dengan emosi? Seorang pemikir harus berupaya memberi sedikit gambaran kepada
apa yang akan berlaku masa depan, bukan dalam bentuk ramalan, tetapi dalam
bentuk analisis berasaskan kefahaman yang mendalam tentang situasi yang ada,
yang dari situ ke arah mana yang akan kita tuju. Jadi pujian Panel dinafikan
oleh Baha Zain sendiri, sesuatu yang amat aneh dan tidak wajar dilakukan oleh
seorang sasterawan negara. Kalau pun
beliau berasa terlalu sukar untuk berbicara tentang masa depan, maka sudah dianggap
baik jika beliau meneliti perkembangan yang dilaluinya dalam masa 50 tahun
pengalamannya. Apa yang dilihatnya? Apakah yang menarik perhatiannya? Apakah
kemugkinan yang boleh disimpul dari perkembangan itu? Sesuai dengan
kepakarannya dalam bidang esei dan kritikan sastera, tentulah amat menarik jika
beliau dapat melakarkan sekadarnya perkembangan dalam bidang ini, dan apakah
perkembangan baru yang boleh menjadi landasan kepada terciptanya karya kreatif
yang agak berbeza daripada yang ada sekarang. Itulah pemikiran, bukan hanya
laporan pemberita yang tidak pula kritis.
Bila ditimbang semua ini, sudah jelas bahawa anugerah
sastera negara menghadapi krisis identiti dan krisis kognitif. Dari segi identiti, kesemua 12 orang
sasterawan negara pada umumnya tidak berbeza satu sama lain, sehingga tidak
nampak wajarnya diwujudkan anugerah sastera dengan segala adat istiadatnya yang
feudalistik, yang memisahkan sekumpulan sasterawan dari kumpulan besar, walaupun
kedudukan mereka setaraf. Jika anda membaca karya Nawawee Mohammad yang saya
sebut di atas, anda akan dapat melihat betapa Nawawee Mohammed sudah jauh lebih
maju daripada pensajak yang diberi gelaran sasterawan negara itu. Buku beliau, Kumpulan Puisi Sajak-sajak Dalam (ITBM 2013) adalah sebuah perbendaharaan kecil, tetapi berkesan, yang memuat sajak-sajak kerohanian yang
walaupun sederhana, tetap memikat pembaca yang berakal sihat kerana yang diserlahkan
dalam sajak-sajak itu ialah masalah manusia sejagat yang tetap diuji dalam pelbagai bentuk,
tetapi bagi orang beriman, semuanya tetap tersedia jalan keluar yang menunggu
untuk dipilih. Bagi Nawawee, antara jalan keluar itu ialah doa (lihat sajaknya “Hanya
Dalam Doa”, hal. 138), yang mengingatkan kita kepada Chairil Anwar yang
akhirnya kembali kepada doa kerana itulah saja cara paling berkesan untuk orang
beriman mendapat dirinya kembali setelah dilontar oleh hawa nafsunya yang
dipengaruhi Shaitan. Jika anda membaca
sajak-sajak dalam kumpulan ini dengan kritis, dan dengan prasangka baik, anda
akan menemui diri anda sendiri. Itulah salah satu ciri karya yang baik, yang
tetap menemukan manusia kepada makna dirinya. Dan ini, sayang sekali, tidak
terdapat dalam mana-mana karya yang ditulis oleh sasterawan negara, hatta dalam
sajak-sajak Kemala yang saya baca (mungkin ada antologi baru yang belum sampai
kepada saya!!). Tetapi di Malaysia, karya bermutu tidak diberi perhatian sekiranya
anda tidak mempunyai cable
sastera. Jika anda faham maksud saya,
anda akan mengerti bahawa sastera yang sepatutnya memancarkan kejujuran dan
keikhlasan sanubari manusia yang tahu harga dirinya sebagai hamba Allah dan
Khalifah Nya, tidak terdapat dalam karya para sasterawan negara ini. Jadi
apakah yang dihidangkan mereka, sebenarnya?
Inilah yang saya maksudkan degan krisis itu.
Seperti yang saya sering sebut dalam kebanyakan
kritikan saya tentang laporan Panel Anugerah Sastera Negara, masalah yang kita
hadapi ini sangat serius, kerana ia mencalar dengan dalam sekali sistem nilai
kita yang selama ini sudah kita mantapkan dalam kebudayaan dan persuratan kita,
tetapi menjadi hancur lebur di dalam tangan para sasterawan negara. Sekali
lagi, anda perlu baca dengan kritis semua laporan tentang para sasterawan
negara ini, yang disediakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Jika anda mahu,
kita perlu bincang dan bahaskan krisis nilai ini dengan sehabis terbuka tanpa
sebarang prasangka. Tetapi masalahnya ialah para sasterawan negara sendiri
tidak terdiri daripada manusia yang terbuka sikapnya terhadap kebenaran dan ilmu;
begitu juga para sarjana yang menyokong mereka. Cukup sukar untuk berdialog
dengan kumpulan yang “cetek meraba-raba” ini!
Mohd. Affandi Hassan,
31/5/2013.
Salam tuan rumah.
ReplyDeleteSy ada baca ucapan BZ yg diberi rakan sy. Ketika bc ucapan itu, tdetik dalam hati sy, "setakat menempelkan / mnyebut isu2 semasa macam ni, cucu aku paling bongsu pun boleh buat!"
paya kian surut
ReplyDeletemasih ada seluang
menelan umpan.
Salam sdr. Anonymous June 1. Memang mengecewakan, macam tak ada tokoh lagi yang hendak ditokohkan. Kasi malu kompeni saja!!
ReplyDeleteSdr. Dariana June 9.
Sajak 3 baris dr. hebat. Itulah gambaran sebenar sasterawan negara sekarang. Kutip melukut sana sini, dah habis beras. Sekarang masanya mereka ini dinilai semula dengan kritis. Kita mahu tahu sejauh mana mereka ini istimewa sampai layak diberi gelaran sasterawan negara.