Kemenangan tipis yang diperolehi oleh UMNO/BN sangat
menyakitkan hati para pemimpin UMNO. Mereka kecewa, tetapi tidaklah sampai
putus asa, walaupun hampir menjadi sasau kerana belum pulih dari demam 2/3 majoriti
yang menjadi obsesi UMNO. Para pemimpin UMNO menjadi amat marah apabila
kemenangan tipis mereka disambut dengan demonstrasi besar-besaran yang
dianjurkan oleh Pakatan Rakyat yang menolak kemenangan UMNO, dan menolak
seluruh pilihan raya 2013 sebagai satu pilihan raya yang korup dan penuh dengan
penipuan. Demonstrasi secara aman itu
mendapat sambutan rakyat yang luar biasa, dihadiri oleh ratusan ribu rakyat,
paling kurang 30-40 ribu di tempat-tempat tertentu. Dengan menggunakan mitos
keamanan dan ketenteraman awam, kerajaan yang diasaskan kepada “manipulated majority” dengan 47% undi
popular, gagal membangkitkan sentimen
perkauman di kalangan rakyat untuk mencetus ketakutan orang Melayu bahawa
mereka akan kehilangan kuasa di negara mereka.
Maka dengan tidak semena-semena, timbullah politik MAFIA yang angkuh,
ditunjukkan oleh Menteri Kepolisian baru (yang tidak layak dipanggil Menteri
Dalam Negeri, jawatan barunya selepas menjadi Menteri Angkatan Perang, yakni
Menteri Pertahanan). Melihat kebangkitan rakyat menentang penipuan dalam
pilihan raya, maka menteri ini yang bernama YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menengking
seluruh penentang UMNO/BN supaya berambus (dia memakai istilah Islam berhijrah, satu istilah yang tidak
sesuai untuk dipadankan dengan kemarahan dan kebenciannya) meninggalkan
Malaysia jika tidak menerima kemenangan UMNO/BN dalam PRU-13 dengan membuat
tuduhan pilihan raya itu penuh dengan penipuan. Tentu saja UMNO/BN menafikan
sekeras-kerasnya; tetapi UMNO terpaksa menerima bahawa pada hakikatnya, dari
segi demokrasi, mereka telah ditolak oleh rakyat apabila mereka hanya mendapat
47% undi popular. Mereka hanya menang
dari segi manipulated majority
berasaskan sistem demokrasi dan sistem pilihan raya yang memihak kepada
kerajaan yang memerintah, melalui manipulasi perundangan yang terang-terang
menguntungkan UMNO/BN. Hakikat ini perlu diisi dalam buku sejarah, supaya tidak
satu huruf pun tertinggal dalam naratif tentang penipuan dalam demokrasi yang
sampai ke kemuncaknya dalam PRU-13.
Isunya di sini ialah isu penipuan dalam pilihan raya.
Benarkah terdapat penipuan? Dalam bentuk yang bagaimana? Paling jelas penipuan itu terdapat dari segi
persepsi dan kenyataan yang terjadi. UMNO mengaku memang terdapat penipuan dari
segi undang-undang dan sistem pilihan raya. Dari segi sistem, undi yang dikira
boleh memenangkan kumpulan mana sekali pun ialah melalui jumlah kerusi. Jumlah
kerusi itulah yang menentukan kemenangan, bukan jumlah undi keseluruhan. Di
sinilah terjadi penipuan dari segi sistem dan undang-undang. Dari segi sistem
pilihan raya, pembentukan sempadan kawasan pilihan raya diasaskan seluruhnya
kepada matlamat UMNO untuk mencapai kemenangan dengan memanipulasi sistem itu
yang kemudiannya dibarengi dengan kuasa undang-undang. Dengan itu semuanya akan
kelihatan seolah-olah menepati dengan kehendak demokrasi, walaupun maksud dan
makna demokrasi itu telah diseleweng dan ditetapkan kewujudannya berasaskan
undang-unsang yang sangat jelas menyekat konsep demokrasi sebagai suara rakyat,
sebaliknya menjadi suara kerajaan yang memerintah yang boleh melakukan apa saja
untuk memastikan maksud dan makna yang diberikan oleh kerajaan itu tetap sah
kerana diasaskan kepada undang-undang. Inilah yang ditolak oleh para penentang
bentuk demokrasi yang diselewengkan itu. Adalah ironik bahawa demokrasi yang
pada mulannya, dan memang didakwahkan sebagai suara rakyat, akhirnya menjadi
satu sistem yang menyekat suara rakyat itu jika suara itu bertentangan dan tidak
disetujui oleh kerajaan yang memerintah.
Inilah punca konflik dalam masyarakat yang kononnya mengamalkan
“demokrasi”, padahal yang terjadi “demokrasi” itu dipergunakan sewenang-wenang
untuk menutup suara rakyat jika suara itu akhirnya akan menumbangkan kerajaan
yang dikenali korup, zalim, kejam dan sebagainya. Inilah yang terjadi di
Malaysia dan di mana-mana juga negara yang mengamalkan demokrasi, kecuali di
Amerika Syarikat dan Britain. Dalam kedua-dua buah negara itu, demokrasi telah
diberi standard yang diterima umum sebagai sistem yang menerima adanya
ketelusan pentadbiran dan sebagainya, walaupun korupsi serta penipuan masih
berleluasa. Dalam contoh-contoh yang diberikan dalam blog ini, kita lihat
ketelusan itu memang diperlihatkan dan diamalkan, seperti misalnya tentang
perisytiharan harta oleh PM Britain James Callaghan dan Presiden George Bush
Sr. Bilakah akan terjadi kepada PM Malaysia? Jika anda masih berdegil menolak
kenyataan ini, anda perlu meneliti siapa yang dilantik menjadi menteri dalam
Kabinet Bangsat PM 133 KOD 47%. Jika anda bukan orang yang terlalu buta
politik, anda akan bertemu di dalamnya paling kurang seorang yang telah
dijatuhkan hukuman oleh satu tribunal bahawa dia seorang penipu dan korup,
seorang penjenayah yang belum lagi dihukum walaupun sudah dibicarakan dalam
tribunal dan didapati bersalah. Carilah siapa orang itu. Yang penting,
berlandaskan demokrasi, jika anda berkuasa melalui penipuan menggunakan
demokrasi, maka anda boleh membersihkan seorang penjenayah sehingga layak
dilantik menjadi seorang menteri. Jika
anda tidak buta politik dan masih mempunyai sedikit harga diri dan nilai-nilai
moral (usah cakap fasal nilai-nilai agama), maka anda tidak boleh terima
situasi ini. Maka itulah kemarahan itu ditunjukkan dalam perhimpunan aman
besar-besaran membantah penipuan ini.
Sebagai bangsa bertamadun, dan mewarisi tamadun Islam
yang unggul, kita tidak boleh terima para pemimpin yang bangsat dari segi
moral, perilaku, pemikiran, dan sebagainya. Sekarang inilah jenis pemimpin yang
kita terima, yang menggubal undang-undang dan melaksanakannya untuk faedah
kumpulannya. Tidakkah ini suatu kecelakaan sejarah yang amat dahsyat? Tidakkah
di sini kita lihat gambaran regim Firaun yang sudah musnah itu? Tetapi
dihidupkan di negara kita dalam bentuk adaptasi yang amat lihai?
Apakah pilihan kita?
Sebenarnya pilihan kita mudah, semuanya telah dijelaskan di dalam
al-Quran. Pertama sekali, Al-Quran
menegaskan bahawa Nabi Muhammad SAW diutus untuk memberi/menjadi rahmat kepada
sekalian alam. Alam seluruhnya mendapat manfaat daripada kerasulan Nabi
Muhammad SAW dan ajaran baginda. Itulah prinsip politik Islam yang pertama:
menjadi rahmat kepada seluruh alam. Prinsip ini boleh disyarahkan dalam
berpuluh, malah beratus jilid buku. Biarlah orang yang alim tentangnya
membahaskannya, yang perlu bagi ahli politik Islam ialah dia sedar bahawa
inilah prinsip pertama dalam politik Islam, memberi manfaat kepada seluruh
alam. Tidak ada perkauman, kerana tersirat di dalam prinsip ini ialah keadilan.
Termasuk dalam konsep keadilan itu ialah sebarang kemajuan yang hendak dibuat,
tidak boleh merosakkan alam, maka dengan itu anda tidak boleh dengan
sewenang-wenang meratakan bukit dan sebaliknya kononnya untuk kemajuan.
Perbuatan itu jelas ditegaskan di dalam al-Quran sebagai perbuatan fasad, yakni
korupsi yang paling jahat. Kedua, al-Quran menegaskan bahawa umat Islam menjadi
ukuran kepada umat yang lain, kerana mengajak berbuat makruf dan menegah
berbuat mungkar. Makruf bermaksud mengetahui dan mengamalkan nilai-nilai murni
dalam Islam, bukan nilai-nilai di luar Islam. Mungkar bererti mengetahui dengan
mendalam segala kejahatan manusia dan menolaknya dalam kehidupan peribadi dan
kemasyarakatan. Inilah maksud umat contoh, yang menjauhkan kezaliman dan
memperkaya kehidupan manusia dengan keadilan. Jika kita terima demokrasi sebagai satu sistem
yang boleh disesuaikan dengan kehendak Islam, maka inilah prinsip demokrasi
dalam Islam. Dengan prinsip ini, anda tidak akan mengadakan pilihan raya untuk
menipu, menjadikannya sebagai cara untuk mendapat kuasa, padahal maksud
sebenarnya ialah untuk mengaut faedah peribadi dan kroni. Prinsip ketiga
berhubung dengan kepemimpinan dalam Islam. Ciri utama pemimpin Islam ialah
kesedarannya yang mendalam tentang dirinya sebagai hamba Allah dan khalifah Nya
di bumi. Dengan kesedaran itu, kepemimpinan adalah satu amanah besar untuk memenuhi dua tugas
manusia yang disebut di atas: sebagai hamba Allah dan khalifah Nya. Sekali
lagi, beratus dan beribu buah buku boleh ditulis tentang perkara ini; tetapi
kesimpulan utamanya tetap sama, bahawa kepemimpinan adalah amanah, dan mesti
dilaksanakan dengan adil dan ihsan. Tidak ada keadilan jika tiada keadilan
untuk diri sendiri; di sini maksud keadilan itu ialah kejujuran yang total
untuk menunaikan amanah. Dari situlah baru terdapat keadilan untuk orang lain;
tetapi ini pun tidak bererti apa-apa tanpa adanya sifat ihsan. Sifat ihsan
itulah yang memberi makna kepada keadilan, dan sebaliknya. Jika anda susah
hendak faham prinsip ini, bayangkan perkara yang anda buat hari-hari. Anda
tidak akan kenyang dengan sempurna jika anda hanya memakan makanan walau sebaik
mana pun; anda perlu minum, walau seteguk pun. Yang seteguk itulah ihsan; yang
banyak itu keadilan. Cara mudah ini boleh dibahaskan dengan mendalam oleh orang
yang tahu, dan anda akan mendapat faedahnya jika anda mendengar syarahan orang
yang tahu itu. Dekati mereka, supaya di dalam diri anda sentiasa mekar keadilan
dan harum dengan sifat ihsan. (Sorry,
guna bahasa persuratan, mungkin sukar hendak dilihat keindahannya. Belajarlah
sedikit membaca karya persuratan walaupun anda seorang ahli politik!).
Cukuplah dengan tiga prinsip utama itu, walaupun
banyak lagi yang boleh ditambah. Ini boleh dibuat perlahan-lahan, ibarat
belajar menjala: kalau jala sudah tertebar dengan sempurna, bolehlah anda
menggunakan perahu untuk menjala. Tetapi itu pun akhirnya akan dirasa tidak
sempurna, kerana anda akan mula menggunakan pukat. Dan seterusnya, anda boleh
bayangkan sendiri. Seorang pemimpin harus dapat berfikir dengan kreatif. Sedikit pelajaran mudah tentang sifat
kreatif: di atas disebut keadilan yang mekar, sifat ihsan yang harum. Kedua-duanya,
mekar dan harum, adalah sifat bunga; jika aspek ini anda fahami, maka anda akan
dapat lihat bagaimana kaitan antara keadilan dan sifat ihsan seorang pemimpin
Islam, seperti yang dibayangkan dalam ayat di atas: “Sifat ihsan itulah yang
memberi makna kepada keadilan, dan sebaliknya.” Bagaimana ini dapat disimpulkan
dalam satu konsep yang menyeluruh? Cuba anda fikirkan tentang makna taklif
dalam Islam. Bagaimana jika politik Islam itu didasarkan kepada konsep taklif?
Saya biarkan anda membicarakannya sendiri. Ini pun satu aspek daripada hakikat
kreativiti yang perlu ada pada seorang pemimpin, semua pemimpin. Sebagai seorang pemimpin Islam, anda wajib menghayati
hakikat taklif dalam kehidupan anda, kerana melalui kesedaran taklif yang
tinggi itulah anda akan dapat menyambung kehidupan dunia dengan kehidupan
akhirat dengan memahami tiga rahsia
taklif seperti yang dihuraikan oleh Shah Wali Allah dalam kitabnya yang
terkenal, HujjatuLlah al-Balighah.
Tiga rahsia taklif itu ialah ilmu pengetahuan, keadilan, dan usaha ikhtiar.
Manusia beriman yang mempunyai kesedaran taklif yang tinggi, yang menjadi
pemimpin, akan sedar betapa pentingnya konsep ilmu yang benar difahaminya,
supaya dia dapat meletakkan sesuatu pada tempatnya, dengan itu berlaku adil
dalam semua tindakannya; dan dari situlah dia membuat keputusan yang terbaik,
yakni usaha ikhtiarnya terarah untuk menyempurnakan hakikat taklif tadi. Tidak mengapa jika terasa agak sukar hendak
memahaminya, kerana anda akhirnya akan memahaminya melalui sedikit tarbiah
tentang makna dan matlamat taklif dalam kehidupan manusia, terutama manusia
beriman. Barulah anda boleh melaksanakan tiga prinsip utama kepemimpinan Islam
yang dihuraikan di atas. Dalam semua bidang, tidak hanya terbatas dalam bidang
politik. Jika ketiga-tiga prinsip itu dipakai, maka kecenderungan untuk menipu,
bertindak zalim, melakukan rasuah, berbohong dan sebagainya yang termasuk dalam
kategori perbuatan mungkar, tidak lagi dibudayakan seperti sekarang, dengan
diperkukuh pula dengan undang-undang untuk melindungi kejahatan dan mencegah
kebaikan jika kebaikan itu boleh mendedahkan kejahatan. Undang-undang tidak
lagi dijadikan panduan untuk mengerjakan kebaikan, tetapi dijadikan senjata
untuk melindungi kejahatan. Sebagai contoh, jika anda mempunyai RM500 juta di
dalam bank, hasil perbuatan rasuah anda
(kerana anda seorang ahli politik yang memegang jawatan penting yang
membolehkan anda merompak rakyat dan kekayaan negara), maka undang-undang
berada pada pihak anda kerana anda dilindungi oleh peraturan bank yang tidak
membenarkan sesiapa pun mempersoalkan bagaimana anda beroleh kekayaan sebanyak
itu, padahal anda hanya seorang ahli politik, walaupun jawatan anda mungkin
Menteri Besar atau seorang menteri. Sesiapa juga yang membuka rahsia itu boleh
dihukum berat, itulah peraturan yang ditetapkan di dalam undang-undang. Itulah
maksud undang-undang berfungsi untuk melindungi kejahatan dan penipuan. Banyak
contoh lain yang boleh dikemukakan, jika anda mahu. Cukup satu itu saja sebagai
contoh untuk menjelaskan maksud undang-undang melindungi kejahatan dan korupsi.
Adakah perkara-perkara yang dibincangkan di sini –
tentang korupsi, penipuan, kezaliman, penindasan dan sebagainya – hanya
khayalan yang muncul dalam masyarakat yang berasa tidak selamat dan dizalimi?
Mengapa tidak selamat? Siapa menzalimi siapa? Siapa yang menipu dan siapa yang
tertipu? Apakah ukuran yang kita pakai untuk membuktikan perkara-perkara ini
memang berada dalam masyarakat? Dalam
kumpulan mana isu-isu ini sering dibincangkan? Adakah terbatas di kalangan
orang Melayu? Beberapa analisis yang kita baca menunjukkan bahawa persoalan ini
dihadapi oleh semua kaum, tetapi berat ringannya jauh berbeza. Orang Melayu
masih santai, seperti biasa, dan berasa cukup asal saja mereka boleh makan dan
mempunyai rumah. Tetapi ahli politik melihat mereka dari sudut yang amat
berbeza. Orang Melayu yang hidup santai dan berasa puas dengan kehidupan mudah mereka,
bagi ahli politik adalah sumber kuasa mereka untuk mendapat kekayaan dan
kemewahan. Inilah pandangan para
pemimpin UMNO terhadap orang Melayu yang berada di luar bandar. Mereka ini
perlu dijaga dan diberi perhatian, tetapi tidak perlu dimajukan. Kemajuan akan
mendatangkan masalah, apabila mereka akan mula bertanya dan jika pertanyaan itu
tidak mendapat jawapan yang munasabah, mereka akan mula curiga tentang
kejujuran para pemimpin mereka. Inilah yang perlu dijaga, supaya kecurigaan itu
tidak ditumpukan kepada para pemimpin UMNO, sebaliknya ditujukan kepada puak
sebelah lagi. Dalam pertarungan inilah fitnah dan pembohongan dijadikan senjata
dengan mengemukakan naratif yang menarik, dengan tumpuan kepada soal seks. Jadi
persoalan seks ini bukan saja menjadi kegemaran para sasterawan, tetapi juga
dijadikan senjata yang berbisa oleh ahli politik. Perkembangan baru ini penting
dalam konteks pertumbuhan maksiat dalam masyarakat. Skandal seks yang pada
mulanya dijadikan senjata untuk membunuh hayat politik seseorang pemimpin,
menjadi daya tarikan kepada masyarakat, terutama golongan muda, yang tidak lagi
mempunyai perasaan malu. Dengan itu maksiat yang berkaitan dengan seks ini
tumbuh dengan subur tidak saja di bandar-bandar, malah telah merebak di
kampung-kampung. Pertumbuhan budaya hedonistik ini dibantu dengan gigih oleh
TV, surat khabar, filem dan video lucah. Malah video lucah ini nampaknya sudah
menjadi kegemaran ahli politik untuk disebarkan dalam pilihan raya baru lepas. Sudah
dijadikan budaya politik 1Malaysia!
Pelopor semua budaya mesum ini tidak lain daripada Tun Dr. Mahathir
Mohamed, yang mencipta sejarah di Malaysia bagaimana perbicaraan Anwar Ibrahim
begitu terperinci didedahkan di Mahkamah hingga tilam dan bulu serta airmani
yang melekat di tilam menjadi bukti pembohongan naratif yang mengalahkan kisah
sensasi yang pernah ditulis oleh mana-mana sasterawan negara sekali pun. Sejak
itu, perkataan yang dulunya tidak mahu orang sebut kerana masih ada perasaan
segan dan malu, seperti liwat, air mani, lubang dan sebaginya, menjadi
perkataan yang popular, bahasa basahan, di akhbar yang menjadi lidah rakyat.
Dengan itu kejahatan telah dibudayakan dengan megah hasil usaha seorang Perdana
Menteri sendiri. Hakikat ini perlu dicatat dalam sejarah, supaya kejahatan ini
diketahui puncanya oleh generasi akan datang. Terpulang kepada mereka sama ada
mahu mengutuk atau memuji tokoh yang lihai ini, yang digelar oleh Tunku Abdul
Rahman sebagai “Pembohong besar!”.
Dalam keadaan begini, adakah orang agama (i.e. ulama)
akan hanya jadi penonton? Saya fikir inilah masanya satu revolusi kepemimpinan
Islam perlu diwujudkan di Malaysia untuk menyelamatkan orang Melayu yang
semakin bercelaru dan mudah dipermainkan dalam percaturan politik yang
mensekularkan nilai-nilai agama mengikut cita rasa para pemimpin politik UMNO. Ketergantungan kepada Perlembagaan dan
Rukunegara telah membuat orang Melayu hanyut dalam khayalan seolah-olah mereka
tidak akan tercabar sebagai satu bangsa yang harus berdikari dalam semua
perkara. Selama 56 tahun sejak merdeka mereka dikurung sebagai ayam daging oleh
UMNO untuk memastikan mereka tidak berpaling menyokong para pemimpin selain
dari UMNO. Orang Melayu yang hanyut
dalam khayalan ini tidak mendesak pemimpin mereka dari UMNO itu membangun kehidupan
mereka seperti yang dijanjikan setiap kali diadakan pilihan raya. Maka dengan
itu selama 56 tahun, dan seterusnya entah berapa puluh tahun lagi, mereka akan
terbiar dan berasa sudah cukup apabila mendapat sedikit habuan daripada para pembela (baca pembela, pemelihara; bukan
pembela!) mereka setiap kali diadakan pilihan raya. Sebagai ayam daging, mereka
tidak tahu mencari makanan sendiri, menunggu untuk diberi makan oleh tuan
mereka. Tidak pernah ada perancangan untuk membangun mereka dan menyediakan
mereka untuk berdikari. Itulah orang Melayu yang dididik oleh para pemimpin
mereka yang jujur. Saya telah bincangkan persoalan ini dalam pos yang lepas. Orang Melayu tetap hina dan terbuang selagi
mereka menyokong UMNO. Mereka tidak akan merdeka dan mampu berdikari. Mereka
tidak mungkin dapat dan berani membuat pilihan yang baik untuk mereka. Mereka
akan terus menjadi ayam daging di bawah UMNO.
Melayu yang dipelihara oleh UMNO tidak bebas, tidak merdeka, oleh itu
mereka tidak tahu dan tidak berani membuat pilihan walaupun ada di antara mereka yang mula sedar bahawa
mereka tertipu sebagai ayam daging untuk disembelih dalam pilihan raya. Seterusnya ada dua perkara yang saya mahu
ulang di sini, khusus untuk perhatian para pemimpin Islam jika mereka betul
pemimpin Islam yang boleh dipercayai.
Saya mulai dengan perisytiharan harta terlebih
dahulu. Kalangan pemimpin UMNO, dengan
berat hati, lebih tidak mahu daripada mahu, berkata mereka setuju isytiharkan
harta mereka kepada SPRM, tetapi tidak kepada umum. Pendapat ini diasaskan
kepada pentingnya keselamatan seseorang untuk tidak diganggu atau diserang
apabila seseorang menaruh anggapan bahawa orang berharta itu jahat, padahal
merekalah yang terbaik kerana mereka membayar zakat, memberi sedekah dan
lain-lain untuk membantu orang yang tidak mampu dari segi harta. Sebaliknya, orang yang berpendapat perlunya
harta diisytiharkan kepda umum, berhujah bahawa tujuan perisytiharan harta
ialah untuk diketahui rakyat, supaya mereka tahu betapa jujur dan bersihnya
para pemimpin mereka. Sekiranya mereka benar-benar jujur, telus,
bertanggungjawab, dan segala macam pujian untuk diri mereka yang menjurus
kepada betapa jujurnya mereka, maka tidak ada alasan sama sekali untuk mereka
berasa takut, atau MALU, untuk isytiharkan harta mereka. Jika mereka menolak, maka mereka perlu gubal
dan luluskan satu undang-undang khusus yang menyatakan bahawa adalah ditegah
sama sekali untuk sesiapa pun daripada perdana menteri, para menteri, timbalan
menteri, setiusaha parlimen, ahli dewan rakyat dan dewan undangan negeri dan
yang sejenis dengan mereka, termasuk yang dilantik ke dewan negara, supaya
tidak mengisytiharkan harta mereka. Jika mereka melakukannya juga, maka mereka
melanggar undang-undang perlindungan maruah para pemimpin, oleh itu mereka
boleh didenda satu juta atau penjara 50 tahun atau kedua-duanya sekali. Tujuan
hukuman yang berat itu ialah untuk menegah sesiapa pun yang berkenaan daripada
mengisytiharkan harta mereka. Jika undang-undang ini diluluskan oleh Parlimen,
maka tidak timbul lagi soal perisytiharan harta ini, dan semua wakil rakyat,
dari perdana menteri hingga apa-apa juga yang berkaitan, boleh bekerja dengan
gigih, tidak berasa takut lagi dengan adanya undang-undang mencegah daripada
membuka rahsia korupsi mereka kepada rakyat. Jika rakyat sanggup menerima
beratus jenis korupsi yang dihulurkan oleh para pemimpin politik, maka rakyat
wajib pula membalas budi para pemimpin mereka untuk tidak mengetahui kegiatan
korupsi para pemimpin mereka yang kaya raya itu. Jika ini dipersetujui, maka
Malaysia akan muncul sebagai negara contoh yang dapat menyelesaikan masalah
rasuah ini dengan menutupnya melalui undang-undang sambil menggalakkannya di
kalangan ahli politik dan seluruh rakyat. Pada waktu ini Malaysia sudah pun
muncul sebagai sebuah negara yang terkenal korupsinya, tetapi belum lagi
dirasmikan oleh Parlimen. Undang-undang
yang dicadangkan di Malaysia agak ekstrem, sesuai dengan tahap korupsi yang
terdapat di Malaysia. Negara-negara lain yang telah mengadakan undang-undang
yang serupa, dengan nama yang berbeza, mungkin boleh dirujuk. Tidak pasti sama
ada SPRM mempunyai maklumat tentang aspek korupsi ini; tetapi mereka boleh memberi
nasihat profesional untuk membuat undang-undang ini lebih adil kepada para
pemimpin politik dan lain-lain.
Pandangan anda semua amat diperlukan untuk memastikan sekuat mana
sokongan anda terhadap undang-undang ini. Inilah satu-satunya undang-undang yang
akan memperkuatkan kedudukan parti-parti politik yang membela rakyat. Undang-undang yang dicadangkan ini sesuai
dengan kedudukan hak asasi manusia yang dipraktikkan di Malaysia. Jika anda
masih ingat, anda akan terkesan bahawa ada di antara ahli kabinet PRU-13 yang
telah disabitkan bersalah dalam sebuah tribunal, tetapi tidak dihukum.
Undang-undang ini digubal untuk membela orang-orang seperti ini, supaya
kedudukan mereka tidak dipersoalkan.
Perkara tentang kedudukan syariah dalam Perlembagaan
perlu disentuh dan diperingatkan sekali lagi. Tun Salleh Abas sewaktu menjadi
Ketua Hakim Negara telah memberi jalan keluar kepada kedudukan syariah dalam
Perlembagaan dengan memasukkan satu klausa ringkas yang menyatakan bahawa
sebarang undang-undang yang bertentangan dengan syariah adalah batal sepanjang
mengenai perkara tersebut. Dengan adanya klausa ini, kerajaan diberi peluang
untuk menyesuaikan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen supaya tidak
bercanggah dengan syariah. Nampaknya UMNO dan para pemimpin UMNO tidak suka
klausa ini dimasukkan, kerana mereka menganggap kebebasan mereka tersekat, oleh
itu mereka tidak bebas lagi membuat undang-undang baru yang memerlukannya
serasi dengan syariah. Sekaranglah masanya klausa ini dimasukkan, ketika ahli
Parlimen beragama Islam sudah mencukupi 2/3 jika dicampur yang ada dalam UMNO
dengan yang di sebelah Pembangkang. Adakah ahli Parlimen Islam ini akan
mengkhianati undang-undang Islam sekiranya pindaan Perlembagaan dikemukakan
oleh kerajaan? Lebih penting, kerajaan
UMNO/BN yang mendakwa mereka tidak pernah mengkhianati undang-undang syariah,
tidak akan mengemukakan pindaan Perlembagaan itu kerana takutkan orang bukan
Islam yang menjadi ahli Parlimen. Itulah hakikat yang cuba disembunyikan, yang
kini sudah jelas. Dengan adanya klausa ini, PAS berpeluang mengemukakan
undang-undang berteraskan Islam di dalam Parlimen untuk memberi peluang kepada
para pemimpin UMNO di dalam Parlimen menyokongnya. Sekiranya para ahli Parlimen
UMNO ini tidak menyokongnya, maka mereka perlu memberi penjelasan mengapa
mereka menolaknya. Dengan cara ini, para pemimpin UMNO yang beragama Islam
diberi tarbiah secara langsung tentang undang-undang Islam, dan mereka kini
diberi peluang untuk membohonginya atau menerima undang-undang berteraskan Islam.
Di samping itu, Yang di Pertua Dewan Rakyat sendiri diberi peluang untuk
membuat keputusan mengikut Perlembagaan yang telah dipinda itu. Jika dia
menolaknya untuk dibincangkan dan diundi, maka adakah perbuatannya itu
bertentangan dengan Perlembagaan sahaja atau bertentangan dengan undang-undang
Islam yang sekali gus bertentangan dengan Perlembagaan yang telah dipinda?
Demikianlah pemimpin Islam diuji di dunia lagi untuk mengambil keputusan yang
bertentangan dengan agamanya, dengan bermain politik yang akan merugikan
dirinya. Dia diberi peluang untuk mengkafirkan dirinya sendiri. Jadi tidak
perlulah PAS bersusah payah mengkafirkan
musuh politiknya kerana ini akan dilakukan sendiri oleh mereka. Tanggungan taklif para pemimpin UMNO akan
lebih berat jika mereka menolak kemasukan klausa itu hanya berasaskan hakikat
ini.
Mohd. Affandi Hassan,
25/5/2013.
Jadi, adakah berlaku Tsunami Cina pada Pru 13 lalu pada pandangan Tuan? Untuk makluman, terma Tsunami Cina ini mula dinyatakan oleh orang cina sendiri sebelum berlakunya pru 13 lalu.
ReplyDeleteAhli UMNO