Wednesday, May 1, 2013

PANDIRISME, POLITIK, DAN NAGARAWAN UMNO ...



Kita lihat dahulu maksud “nagarawan”.  Mula-mula saya cuba cari maknanya dalam Kamus Dewan, edisi ketiga, di bawah “rawan”. Makna yang saya mahu tidak dimasukkan, padahal saya tahu memang ada makna itu. Saya perlukan rujukan untuk dijadikan hujah. Saya lihat pula Kamus Besar Bahasa Indonesia (cetakan ke-3, 1990). Ada. Yang saya cari itu ada di situ, makna ke-5: “dalam keadaan berbahaya, gawat, genting; dalam keadaan (kerugian, kekurangan dsb). Diberi contoh ini: “yang berwajib harus selalu siaga mengamankan daerah rawan”. Diberikan juga makna “kerawanan”: perihal rawan, dengan contoh yang menarik: “negara itu sekarang sedang menghadapi kerawanan politik”. Saya tidak saja dapat apa yang saya cari, tetapi juga contoh yang amat tepat dengan keperluan saya menulis pos ini. Tidak sabar lagi rasanya hendak memberikan contoh di Malaysia: “Putrajaya sekarang sedang menghadapi kerawanan politik.”

Sekarang kita bercerita tentang perkara ini. Semuanya bermula dengan ucapan Dr. Mahathir di Putrajaya dan di Pasir Mas, bekas Presiden UMNO yang masih memegang jawatan itu secara de facto dan de jure, kedua-duanya. Presiden yang kini jadi Perdana Menteri tidak ada kuasa kedua-duanya kerana tidak pernah dipilih dalam pertandingan memilih presiden UMNO, tidak juga dari segi kuasa politik kerana terlantiknya beliau sebagai PM adalah dengan desakan dan mainan politik  Dr. Mahathir, setelah PM sebelumnya dihalau dan diusir oleh Mahathir Mohamed sendiri dengan bantuan Timbalan PM sekarang. Demikianlah merawannya politik UMNO dalam percakaran merebut kuasa politik dan kuasa ekonomi yang akan membolehkan seseorang mendapat keuntungan kewangan yang besar sambil memajukan negara mengikut versi mereka. Prosesnya mudah: dirancang dan dilaksanakan apa yang dinamakan “kemajuan dan pembangunan” dengan modal besar untuk diberikan kepada suku-sakat sendiri, yang kemudiannya akan melambungkan kos projek itu melambung-lambung sesuai dengan harga material yang naik mendadak dan naiknya perasaan tamak haloba penerima projek dan suku-sakatnya. Kita lihat “pembangunan dan kemajuan” yang hebat, kita tidak nampak kemewahan melampau sekumpulan pemimpin dan teman-teman mereka yang berhasil mendapat projek untuk membela rakyat itu.

Apa kaitannya dengan pandirisme dan nagarawan? Saya telah sebut perkara ini tahun 2006 dalam satu seminar di DBP, tentang hadiah dan anugerah sastera. Dalam seminar itu saya kemukakan pandangan saya tentang “the bullshit theory of democracy” yang ada kaitannya dengan “the bullshit theory of literary criticism”.  Perhatikan contoh ini baik-baik dan lihat persamaannya.  Mahathir dalam kempennya di Puterajaya menyeranah calon PAS, Husam Musa sambil mencerca YAB TG Nik Aziz, MB Kelantan, kedua-duanya sebagai pembohong. Kata nista itu belum apa-apa lagi, baru pendahuluan yang lemah lembut di kalangan para penjahat politik. Yang betul-betul bersopan santun ialah kata-kata berikut (seperti yang dilaporkan dalam Utusan Malaysia, yang lebih mesra di kalangan pembaca dipanggil Utusan Meloya): “Saya diberitahu Husam datang ke sini untuk bertanding. Semalam Nik Aziz datang ke sini. Saya sedih mereka yang dianggap ulama kerap berbohong. ... Putrajaya bukan untuk Nik Aziz, Hadi dan sudah tentu bukan untuk Anwar. Anwar sudah tidak ada modal. [Mungkin maksud Mahathir moral!]  ... Tengok Kelantan Serambi Mekah. Malu kita, air dia tak boleh minum. Inikah Serambi Mekah. Janganlah menjatuhkan maruah Mekah. ... Orang Kelantan nak dapat pekerjaan sampai mati kebuluran. Sebab itu mereka berhijrah ke negeri lain yang diperintah BN. Kenapa tidak di Kelantan? Tak ada peluang kerja sebab kerajaan PAS tidak tahu mewujudkan peluang kerja. Pemerintahan di Kelantan yang mundur salah kumpulan kononnya tuan guru, tetapi banyak berbohong, fatwa bohong. Saya ingat dia dah nyanyuk. Saya ni umur 87. Dia 82 nak berdiri tak boleh, tapi nak bertanding sampai bila-bila. Suruh kita tukar, tukarlah diri kau dulu. ... Yang mula buat Pakatan ialah Anwar dia mahu jadi PM. Penipu besar. Hadi pun nak jadi PM. Anwar kaki tipu. Dia tipu saya.  ... Selain nak jadi PM, dia ada niat lain yang kita tak boleh benarkan. Orang macam ni tak boleh jadi PM. Bilik PM tu besar. Ada pegawai-pegawai masuk. Pegawai muda, saya takut apa akan jadi pada pegawai dia. Driver dia pun tak selamat. Ada pegawai-pegawai yang comel. Bukan sahaja wanita, lelaki pun ada. Kalau dia jadi PM habis rosak. Sebab tu saya tanya kawan dalam UMNO dan mereka kata buang sahaja Anwar.”

Sudah jelas dari laporan Utusan Meloya ini betapa hebatnya Dr. Mahathir Mohamed sebagai seorang pelakon. Tidak perlu dialog yang ditulis oleh sasterawan negara, seperti Datuk Nordin Hassan ahli drama itu. Dia sendiri boleh mereka ceritanya sendiri, cerita yang semuanya benar dan tidak ada yang tidak benar, semuanya tidak bohong kecuali sifat bohong itu sendiri yang memang tidak ada padanya. Saya pernah dengar arwah Pak Saudara saya, Tan Sri Ahmad Noordin yang juga dibenci oleh Dr. Mahathir kerana dalam laporan BMF yang beliau jadi pengerusi tidak ada cerita yang benar, semuanya bohong belaka, memberitahu saya, yang disampaikan oleh Tengku Razaleigh kepadanya, bahawa Tunku Abdul Rahman memberi amanat kepada orang Melayu supaya tidak mempercayai Dr. Mahathir, kerana dia “Pembohong Besar” kata Tunku Abdul Rahman. Sekarang ternyata Dr. Mahathir bukanlah pembohong, tetapi yang berbohong itu TG Nik Aziz, TG Haji Hadi, Anwar Ibrahim, dan semua rakyat Malaysia yang bukan jadi ahli UMNO. Hanya ahli UMNO sahaja yang tidak pernah berbohong dan selalu bercakap benar setiap masa setiap ketika dan sudah lebih dari setengah abad sejak memerintah Malaysia tidak sepatah pun mengeluarkan kata-kata yang boleh dianggap bohong. Itulah kehebatan UMNO dan para pemimpinnya. Maka itulah seterusnya kata Dr. Mahathir kepada Husam Musa yang ada hati hendak menjadi wakil rakyat Putrajaya:

“Saya datang sebab saya tak mahu Putrajaya jatuh kepada orang yang tak sepatutnya, tentukan Husam dikalahkan dengan teruk sekalil. Apakah sumbangan Husam, Nik Aziz, PAS kepada Putrajaya? Kita tak boleh percaya orang macam ini. Balik betulkan Kelantan. Kalau dah berjaya di Kelantan, minta izin dengan kita supaya boleh bekerja di Putrajaya. Kalau dia nak jual goreng pisang pun saya benar. Itu latihan terbaik untuk jadi PM. Bagi kuali, minyak kelapa dah pandai barulah jadi PM. Sebelum daripada itu duduk diam-diamlah di Kelantan, itu tempat kamu. Betulkan dulu tempat kamu. Tiru presint-presint di Putrajaya ini. Buat pejabt-pejabat dan rumah yang baik di Kelantan, selepas itu baru boleh minta kerja di Putrajaya. Sikit demi sikit boleh naik pangkat.  Saya tahu rata-rata penduduk Putrajaya mahu kekalkan tempat ini ditadbir oleh kerajaan yang bersih, cekap dan amanah.”

Inilah contoh terbaik “the bullshit democracy” yang saya sebut dalam seminar DBP itu. Kita mungkin amat hairan bagaimana orang seperti ini boleh jadi PM Malaysia selama lebih dari 22 tahun. Apa sudah jadi dengan rakyat Malaysia? Saya tidak fikir ucapan Dr. Mahathir Mohamed ini lawak politik yang mengalahkan Raja Lawak Malaysia. Beliau seorang negarawan? Penghormatan paling tinggi yang boleh diberikan kepada orang ini ialah gelaran terhormat yang menjadi tajuk pos ini: Nagarawan. Yakni, naga tua yang merawan. Semak kembali makna merawan supaya anda benar-benar pasti inilah contoh nagarawan Malaysia yang paling ... (apa saja yang anda ingin panggil beliau).

Sekarang kita lihat pula dalam bidang sastera. Terdapatkah “kerawanan sastera” pula? Contoh terbaik ialah dalam pemilihan sasterawan negara ke-12 baru-baru ini. Sasterawan negara Shahnon Ahmad telah membantah pemilihan Baha Zain sebagai sasterawan negara kerana sebab-sebab yang menjadi sebab beliau dan rakan-rakannya terpilih sebagai sasterawan negara. Ini telah dijelaskan dalam pos yang baru lepas dan lain-lain mengenai pandirisme. Tidak perlu diulang lagi. Apabila kita himpun semua hujah (?) yang diberikan dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara dan komplen Shahnon Ahmad, kita lihat wajah bersih jilah yang sangat friendly kesusasteraan Melayu dalam bidang kritikannya, yang amat cocok diberi nama “the bullshit theory of criticism”. Jika dalam “the bullshit theory of democracy” itu bising dengan raungan nagarawan seperti yang disalin di atas, maka dalam bidang sastera pula kita juga melihat ketekunan para sasterawan negara ini mempertahankan teman-teman dan kawan-kawan mereka sendiri untuk diberi gelaran sasterawan negara berasaskan ukuran yang direka khas untuk disesuaikan dengan kegiatan teman-teman tadi. Kita tidak saja menghadapi kerawanan politik, tetapi juga kerawanan kesusasteraan. Semuanya terjadi hasil daripada “the bullshit theory” masing-masing. Untuk mendapat gambaran jelas dan akademik tentang kerawanan sastera, anda perlu baca “wacana” ilmiah Shahnon Ahmad tentang konsep “kematangan” yang menjadi prinsip utama dalam pemilihan sasterawan negara, dalam kolum beliau dalam Dewan Sastera, September 2012. Masih panas lagi, seperti pisang goreng Dr. Mahathir Mohamed dalam kutipan di atas. Jika anda tidak tahu bagaimana membaca “pemikiran” Dr. Mahathir tentang demokrasi “bullshit”, dan tentang ukuran “bullshit” yang dicadangkan oleh sasterawan negara Shahnon Ahmad dalam kolumnya, anda mungkin tidak dapat memahami kaitan antara dua tokoh besar Malaysia (dalam bidang masing-masing) yang cukup berpengaruh dalam bidang masing-masing.  Kemuncak pandirisme yang mereka perjuangkan boleh dilihat dalam cara mereka memberi makna kepada pandirisme itu melalui cadangan yang bersifat “bullshit” yang mereka lontarkan kepada khalayak masing-masing.

Penghinaan Dr. Mahathir ke atas rakyat Kelantan adalah munasabah dan wajar, kerana itulah yang terbaik yang boleh diberikan oleh seorang nagarawan UMNO yang dalam usia 87 tahun  dan sudah lama meninggalkan politik aktif masih mahu membuang masa untuk memaki hamun lawan politiknya dalam kempen pilihan raya untuk menyokong seorang calon bebas di Pasir Mas. Walaupun tidak ada sebab bagi Dr. Mahathir untuk menghina dan memperlekeh gelaran Serambi Mekah yang diberikan oleh para ulama sejak sekian lama, dengan gelaran Kelantan Darul Naim yang juga diberikan oleh para ulama, namun naga tua yang merawan ini telah mendedahkan peribadi beliau yang sebenar untuk dinilai oleh seluruh rakyat Malaysia, supaya tempat beliau di dalam sejarah Malaysia boleh ditentukan dengan tepat dan cepat. Bagi orang Islam hal ini tidak susah dilakukan, kerana contoh-contoh di dalam al-Quran tentang Firaun, Haman dan Qarun, Abu Jahal dan Abu Lahab, serta lain-lain tokoh yang dikutuk oleh al-Quran, boleh dijadikan panduan supaya tokoh-tokoh yang dinilai di dalam zaman ini tidak diberi salah tempat.  Hanya di dalam negara yang mengamalkan demokrasi “bullshit” saja yang mempersoalkan penghijrahan orang Kelantan di mana-mana tempat yang mereka mahu pergi sama ada  untuk mencari rezeki atau bertugas di seluruh Malaysia, negara mereka yang sudah diwarisi oleh nenek moyang mereka sebelum keturuan Dr. Mahathir sampai ke sini dari Benua Keling (istilah dalam Wayang Kulit Kelantan). Apabila seorang bekas PM Malaysia  mempersoalkan hal ini, mengutuk dan menghina rakyat Malaysia dari Kelantan supaya tidak berhijrah ke mana-mana tempat di Malaysia mencari rezeki dan keuntungan dunia, padahal paria dari Kerala boleh datang ke Tanah Melayu untuk mencari rezeki dan akhirnya memperoleh keuntungan besar, maka tepatlah seranah yang pernah dilemparkan oleh Ibrahim Ali, yang kini dibantu oleh Dr. Mahathir Mohamed untuk menjadi wakil rakyat, “Hanya orang gila saja yang menyertai UMNO!” (disebut oleh Mohd Sayuti Omar dalam blognya, 28/4/2013). Walaupun begitu, logik kumpulan orang gila ini dianggap paling siuman dalam politik Malaysia, oleh itu Dr. Mahathir Mohamed masih sanggup pergi berkempen untuk Ibrahim Ali, calon bebas yang direstui UMNO, yang sudah dibuang dari UMNO seumur hidup. Apakah jenis logik yang dipakai oleh Dr. Mahathir Mohamed?  Kita perlukan seorang ahli psikologi yang paling pakar untuk menghuraikan perilaku yang amat aneh bagi yang memerhati, tetapi tidak aneh bagi yang melakukannya. Persis inilah yang dibuat oleh Pak Pandir ketika dia memikul padi hampa!

Di sinilah hebatnya Pak Pandir, kerana seluruh tafsiran perilakunya boleh dipakai untuk mentafsirkan perilaku ahli politik dan para sasterawan kita. Dan ini sebenarnya cukup berbahaya, kerana kita secara sedar menggalakkan budaya pandirisme dalam segenap bidang kehidupan kita, walaupun kita tahu Pak Pandir itu siapa. Adakah ini merupakan kutukan Pak Pandir ke atas masyarakat yang mencipta wataknya yang aneh itu?  Barangkali betul juga, kerana para sasterawan sendiri memilih pandirisme sebagai falsafah seni mereka, dengan sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri yang telah memilih karya picisan untuk dimasukkan ke dalam senarai karya abad ke-20.  Kesilapan besar ini tidak nampak sebagai kesilapan kerana semua teori Barat yang dipakai oleh para penilai tidak mementingkan nilai, hanya huraian cetek untuk memperkatakan tema buku, nama watak, plot dan tempat berlaku, kesudahan cerita yang membosankan dan meleret-leret.  Oleh itu karya picisan yang menggalakkan pembunuhan, perjudian, penipuan, perzinaan dan sebagainya diangkat menjadi karya masterpiece yang jadi kebanggaan (seperti Juara, TIVI, Salina dan lain-lain). Terlanjur semua ini telah terjadi, kita hanya mempunyai satu pilihan: menggunakan pendekatan yang benar-benar berupaya menilai dengan objektif, tepat dan jitu karya-karya picisan itu supaya pembaca dan masyarakat umum tidak terus tertipu. Kita tidak boleh biarkan para pelajar di sekolah dan universiti tertipu dengan pendekatan palsu yang menyanjung karya picisan.

Masalah yang lebih berat ialah mencari para pemimpin politik yang benar-benar berkualiti. Kita harus tolak para nagarawan daripada terus berada dalam gelanggang politik, menggunakan tektik jahat mereka untuk terus menipu rakyat. Ini suatu tugas yang sukar dan amat mencabar, tetapi mesti dilakukan setelah kita tertipu selama lebih setengah abad.  Bagi orang Melayu yang beragama Islam, persoalan ini sepatutnya tidak berbangkit, kerana Islam memang mengajar umatnya mengenal siapa pemimpin mereka. Tetapi dengan munculnya pendidikan yang seratus peratus berkiblatkan pendekatan pendidikan gaya Barat yang mengutamakan nilai-nilai Barat, maka ciri-ciri pemimpin berasaskan nilai-nilai Islam tidak lagi ditonjolkan, tidak disebut dan dibincang setiap hari dalam perbincangan di setiap jenis media. Dengan tenggelamnya kualiti kepemimpinan Islam dari menjadi tumpuan masyarakat, maka bermaharajalelalah para pemimpin palsu dan rakyat dengan mudah dan rela menerima mereka dengan hanya sedikit habuan, yang sebenarnya datang daripada wang mereka sendiri yang dikumpul oleh kerajaan melalui pelbagai cara mengutip cukai.  Demikianlah gerakan 1Malaysia yang mengutamakan pemberian wang kepada rakyat dijadikan umpan untuk menipu rakyat; dan ini diterima oleh rakyat kerana kedaifan mereka yang memang amat memerlukan wang ketika kos sara hidup melambung. Dalam keadaan beginilah korupsi diinstitusikan dan dijadikan budaya politik yang diterima semua rakyat sebagai bukti para pemimpin kerajaan yang berkuasa adalah prihatin terhadap masalah rakyat.  Inilah strategi UMNO yang merugikan orang Melayu. Dengan menjerat orang Melayu supaya terus bergantung pada UMNO, maka orang Melayu terus menjadi hamba golongan feudal-ekonomi yang menjadikan orang Melayu alat semata-mata untuk mereka mendapat kuasa.  Sebagai golongan hamba, mereka terus bergantung pada golongan feudal-ekonomi itu, dengan itu rakyat tidak diberi kebebasan untuk membuat pilihan. Strategi UMNO ini akhirnya menjadikan orang Melayu hanya percaya Melayu UMNO, walaupun mereka tahu golongan itulah yang telah menipu mereka selama lebih dari setengah abad. Tetapi mereka memberi kami wang dan kemudahan, kata mereka dengan bangga. Mereka rela menjadi hamba selama-lamanya. Inilah pengkhianatan terhadap bangsa Melayu yang dilakukan oleh para pemimpin Melayu sendiri.  Adakah ini pilihan terbaik untuk orang Melayu?

Dalam ucapannya itu, nagarawan Mahathir Mohamed dengan angkuh memberitahu bahawa Putrajaya adalah milik UMNO, dan mesti kekal menjadi milik UMNO. Berulang kali nagarawan ini mengulang cemuhannya supaya calon Husam Musa balik ke Kelantan, duduk diam-diam dan pastikan Kelantan jadi negeri maju, boleh tiru Putrajaya kalau mahu. Barulah boleh datang cari kerja; mula-mula belajar goreng pisang dulu; bila sudah jadi penjual pisang goreng 15 tahun, bolehlah ditimbangkan untuk naik pangkat.  Ketika itu bolehlah minta izin untuk minta kerja di Putrajaya. Perlukah kita ulas kata-kata angkuh naga tua yang merawan ini?  Dia mengaku umurnya 87 tahun; al-Quran memberitahu kita, bila orang sudah sampai peringkat tua, dia akan kembali jadi budak-budak sementara menunggu kuburnya siap digali. UMNO sendiri akan masuk kubur supaya orang Melayu selamat dari cengkaman buaya darat yang tamak. Berapakah jumlah kekayaan Dr. Mahathir anak-beranak? Najib Razak adik-beradik? Dan lain-lain pemimpin UMNO serta suku-sakatnya? Kekayaan adalah milik peribadi, yang orang lain tidak perlu tahu. Tetapi orang perlu tahu, maksudnya rakyat umum, perlu tahu, apabila kekayaan itu diperolehi secara rasuah. Mujurlah pemimpin UMNO dan suku-sakatnya tidak seorang pun yang rasuah; mereka hanya pakai wang untuk menang pilihan dalam pertandingan kepemimpinan parti mereka masing-masing. Itu saja jenis rasuah yang mereka selalu lakukan sesama sendiri. Dari mana mereka dapat wang untuk berbelanja besar merebut jawatan parti? Sebenarnya mereka adalah peniaga besar yang kaya raya. Itu tidak dapat dinafikan. Itulah sumber kekayaan mereka. Keris Mas menulis tentang kekayaan mereka dalam novelnya Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur.  Jika anda perhatikan, orang kaya memang angkuh bila berbicara. Itulah pemimpin UMNO, penyelamat bangsa Melayu.

Dalam pilihan raya 2008, RTM menyiarkan satu perbincangan tentang kemunduran Kelantan di bawah pentadbiran PAS. Antara ahli panel ialah Alharmum Prof. Ismail Salleh, dari Kelantan. Ketika dua orang lagi ahli panel memaki hamun rakyat Kelantan yang bangsat mencari rezeki di luar Kelantan kerana di Kelantan tidak ada pekerjaan, maka dengan bersahaja dan sabar Prof. Ismail Salleh memberitahu penonton, dan ahli panel yang lain, konsep kemajuan yang difahami di sebelah Barat Malaysia, tidak terpakai di Kelantan. Katanya, orang Kelantan mempunyai konsep tersendiri tentang pembangunan. Yang mereka mahu bukan bangunan tinggi, yang tidak pun diduduki mereka; atau kilang-kilang yang mengeluarkan racun dan sebagainya; atau apa-apa juga binaan yang memperagakan keangkuhan manusia. Tetapi mereka perlukan jalan raya yang baik, jambatan dan sebagainya, yang semuanya tanggungjawab Federal; tetapi itulah yang mereka tidak dapat, kerana itu mereka dikutuk memilih satu parti yang tidak tahu mentadbir dan ketua-ketuanya lebih banyak bercakap daripada bekerja, tak habis-habis berdakwah berdakwah berdakwah dan seterusnya hanya berdakwah! Tentulah aneh bagi para pemimpin Islam dalam UMNO yang anti dakwah, menghina para pendakwah, dan memperlekeh tuan-tuan guru dan ulama; padahal golongan inilah yang dihormati oleh rakyat dan yang mereka tidak ragu-ragu untuk mendengar kata-katanya.  Menurut Prof. Ismail Salleh, orang Kelantan amat menghargai ketenteraman hidup, pergaulan mesra sesama mereka dan keluarga, makanan yang murah tetapi bersih dan berzat, iaitu pada keseluruhannya mereka tidak atau belum lagi terpedaya dengan kemewahan kebendaan yang akan mengkhayalkan mereka untuk malas pergi ke masjid dan bosan mendengar ceramah agama. Mereka tidak mahu itu. Tetapi mereka mempunyai rumah-rumah besar dan selesa, anak-anak yang berpendidikan tinggi, dan kedudukan terhormat dalam masyarakat sebagai ketua pada peringkat masing-masing. Dua orang ahli panel yang menjadi jurucakap kerajaan tersenyum sinis, hairan mendengar penjelasan seorang ahli ekonomi yang seolah-olah anti-kemajuan. Apabila dibuka kepada orang ramai untuk memberi pendapat, maka tampillah seorang guru bersara dari Seremban. Dia memberitahu, dia mengajar selama 15 tahun dan pencen di Kelantan. Selama itu hidupnya amat bahagia, dan mewah, erat silaturahimnya, pendeknya dia mengaku itulah masa paling menggembirakannya. Sebaik pulang ke Seremban, dia berasa sangat-sangat akan kehilangan perkara yang dinikmatinya di Kelantan, oleh itu dia bersetuju sangat dengan pendapat Prof Ismail Salleh, dan ketika itulah percakapannya dipotong ... Inilah akibat “the bullshit theory of democracy”, kebebasan hanya diberikan untuk memuji kerajaan walaupun penuh pembohongan. Para pemimpin UMNO mengaku dan bersumpah mereka tidak pernah berbohong, tetapi mereka bangga jika para pengikut mereka berbohong untuk mereka. Itulah budaya politik yang dijadikan gaya dan cara hidup masyarakat Malaysia di bawah tadbiran UMNO selama lebih dari 50 tahun ini. Dan inilah cara hidup yang mahu dikekalkan selama-lamanya di Malaysia.

Dalam tahun 1987, ketika UMNO berpecah, saya pernah beritahu Dr. Sanusi Othman ketika berurusan di UKM supaya pemimpin pembangkang cetuskan idea diwujudkan sistem dua parti, untuk memberi pilihan kepada bangsa Melayu terutamanya, dan untuk rakyat Malaysia secara umum. Ketika itu idea itu terlalu radikal. Dr. Sanusi sendiri memberitahu usaha itu sangat sukar. Ketika UMNO dikejutkan dengan kekalahan yang agak berat tahun 2008, saya cadangkan supaya UMNO berehat satu dua penggal, melakukan muhasabah politik untuk kebaikan bangsa Melayu. Ini dikatakan mereka cadangan gila, kerana para pemimpin UMNO, dan cerdik pandai (mungkin juga cerdik pandir?) Melayu sendiri begitu yakin jika UMNO kalah, habislah Melayu. Tidak ada lagi pembela bangsa Melayu.  Saya agak terkejut, kerana idea itu belum lagi dibahaskan, sudah dibuat keputusan untuk menolaknya. Saya masih ingat sahabat saya Almarhum Drs. Abdul Rahman al-Ahmadi pernah memberitahu, sekitar tahun 1920-an syarikat bas di Kelantan ingin menggunakan tiket bas untuk memudahkan mereka. Perkara itu baru, jadi orang Kelantan bincang dulu. Ada sedikit perbincangan di dalam akhbar dan majalah yang diterbitkan di Kelantan. Ketika diberitahu itu saya tersenyum sinis, sampai ke tahap itu “nakalnya” orang Kelantan, kata saya dalam hati. Tetapi bila saya teringat maklumat yang juga diberikan oleh Drs. Abdul Rahman al-Ahmadi tentang perbincangan sengit dalam tahun 1927 mengenai penubuhan unversiti swasta di Kelantan, saya berasa bangga berada dalam budaya yang suka berbahas itu.  Tabiat itulah yang membuat mereka memulakan sistem dua parti di Kelantan. Tidakkah itu sangat cerdik? Tetapi para pemimpin UMNO Kelantan, ada di antaranya kenalan saya, tidak boleh terima idea itu, walaupun mereka sedang mengalaminya di Kelantan. Adakah mereka bodoh? Mereka tidak bodoh, hanya pandir. Mereka adalah pengikut falsafah pandirisme dalam politik. Dan ini amat merugikan umat Melayu, kerana mereka, umat Melayu ini, akan terus menerus menerima para pemimpin golongan Pak Pandir yang terpesona melihat padi berat, terus dengan rakusnya mengaut padi berat untuk mereka sendiri!

Segala ucapan hendak membela Melayu yang dihamburkan oleh pemimpin UMNO hanya kentut berebus (ini simpulan bahasa Minang), tidak boleh dipercayai. Bayangkan, berapa lama Melayu tertipu dan ditipu oleh UMNO. Mengapakah UMNO sekarang mempunyai imej yang amat buruk? Tiga faktor besar yang selalu disebut: (1) rasuah yang berleluasa yang sudah dijadikan budaya politik; (2) merosotnya kualiti kepemimpinan UMNO; (3) berleluasanya maksiat dan perbuatan fasad, fitnah, pembohongan, dan lemahnya institusi kehakiman.  Dengan terus menjerut dan menjerat orang Melayu untuk menerima UMNO,  orang Melayu tidak diberi pilihan, tetapi diasak dengan amaran supaya terus menyokong UMNO.  Jika semua faktor ini dianalisis dengan objektif, kita akan dapati UMNO sebenarnya anti-Melayu. Sekali imbas kedengarannya tidak logik dan seolah-olah bertentangan dengan fakta; tetapi kesan tindakan UMNO adalah merugikan orang Melayu, walaupun menguntungkan para pemimpin UMNO dan sekutunya. Jika anda kembali kepada ucapan Dr. Mahathir Mohamed, anda  akan faham mengapa kesimpulan ini tepat dan objektif: UMNO menganggap Malaysia kepunyaannya, oleh itu mereka boleh buat apa saja mengikut selera mereka. Itulah kenyataan yang cuba disembunyikan daripada orang Melayu, sehingga mereka tidak sedar mereka telah dikhianati oleh UMNO dan para pemimpinnya.

Kita lihat kualiti kepemimpinan Dr. Mahathir Mohamed dari segi moral.  Berkali-kali dia mengutuk YAB TG Nik Aziz sebagai pembohong; terhadap Anwar Ibrahim pun begitu; juga terhadap TG Haji Hadi. Paling menarik ialah dia mengatakan Anwar Ibrahim mendoakan supaya beliau lekas mati; tetapi keseluruhan pemimpin pembangkang berdoa supaya nagarawan ini panjang umur, supaya beliau berpeluang melihat kehancuran UMNO di tangannya ketika dia masih hidup. Dia melihat kejahatannya sendiri yang dilemparkannya kepada orang lain; sedangkan dia sendiri tidak ada bukti dan tidak ada hujah untuk menonjolkan ketinggian pekerti dan keunggulan akhlaknya, apatah lagi keunggulan ilmunya. Kita lihat satu contoh yang mudah. Baru-baru ini seorang penulis muda menghadiahkan saya sebuah buku tebal berasal daripada kuliah YAB TG Nik Aziz, berjudul Mauizhah  (nasihat) (Kota Bharu, 2012; tebal 498 halaman). Buku ini mengandungi nasihat dan renungan YAB TG Nik Aziz tentang cara beramal yang paling sempurna dan berkesan. Ketika buku ini saya terima, halaman pertama yang terbuka ialah hal. 279. Di situ terdapat satu kutipan daripada tulisan Imam Ghazali: “Sesungguhnya solat itu ialah pekerjaan akhirat, oleh itu apabila masuk ke dalam solat bererti aku keluar meninggalkan dunia ke alam akhirat”. Kata-kata itu dipetik oleh Imam Ghazali daripada seorang tokoh sufi yang tidak disebut namanya. Kutipan ini mengingatkan saya kepada pesan Almarhum Imam Masjid Ottawa, yang setiap bermulanya solat Jumaat, akan berpesan, “Anggaplah ini solat anda yang terakhir, maka lakukanlah yang terbaik.”  Bagus sekali jika buku ini dibaca dan diamalkan ajarannya oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed,  bekas Perdana Menteri Malaysia selama lebih 22 tahun, yang sekali gus menjadi bacaan dan renungan para pemimpin UMNO segenap peringkat, dari yang teratas hingga yang paling bawah. Anda tidak akan rugi, seperti yang disebut oleh YAB TG Nik Aziz yang mengutip perkataan Imam Shafie: “Jika kamu inginkan dunia, hendaklah dengan ilmu. Jika kamu inginkan akhirat, hendaklah dengan ilmu. Dan jika kamu inginkan kedua-duanya juga dengan ilmu” (hal. 495).  Ini pula peringatan untuk naga tua yang merawan, nagarawan khususnya Tun Dr. Mahathir Mohamed; dan kawan-kawan sekandang dengannya: “Kalaulah tidak kerana jasa ulama, nescaya tiada bezanya antara manusia dengan haiwan ternakan” (hal. 55). Itu kata-kata Hasan al-Basri yang dikutip oleh YAB TG Nik Aziz, ulama dan Menteri Besar Kelantan, Darul Naim, yang dituduh pembohong oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed, PM Malaysia 22 tahun. Beruntunglah rakyat Malaysia beroleh seorang pemimpin besar dalam diri seorang ulama seperti YAB TG Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan, Darul Naim. Semoga Allah permudahkan usaha YAB TG Nik Aziz mendidik umat Islam dan rakyat Malaysia seluruhnya, termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamed dan teman-teman sekandangnya dalam UMNO. Semoga Allah Ta’ala rida dengan semua jenis amalnya! 

Mohd. Affandi Hassan,
1 Mei 2013.

2 comments:

  1. salam encik affandi, boleh saya dapatkan no telefon encik berkenaan manuskrip encik yang encik hantar di itbm

    ReplyDelete
  2. Mantop! Saya bukan orang Kelantan tapi saya hormat pada prinsip dan kepimpinan TGNA. Orang yang sekurang-kurangnya tahu sedikit tentang agama pun tak akan berani nak memperlekehkan TGNA. Baru-baru ini, ada foto yang dibuat penyokong BN, menyamakan foto TGNA makan dengan foto khinzir makan. Sangat biadap!

    Yang dituntut penyokong PAS ialah kebenaran dalam konteks ISLAM, bukan kebenaran dalam makna kehidupan di dunia sahaja, seperti 'gula-gula' yang diberi BN kepada rakyat. Sekarang pun, tidak sedikit rakyat yang bijak, tahu beza dan khasiat antara gula-gula dengan vitamin.

    BN hanya boleh bodohkan orang pedalaman, yang tiada akses lain kecuali yang disuap oleh BN dalam Buletin Meloya, Berita Hairan, Utusan Meroyan dan sebagainya sahaja.

    Tk atas entri ini.

    ReplyDelete