Jika anda mendengar perbualan masyarakat tentang
PRU-13, anda akan mendengar dua istilah yang agak mengejutkan, disebut dengan
ejekan dan kebencian yang disertai rasa meluat yang tak dapat dibayangkan. Nampaknya rakyat marah dan kecewa hasrat
mereka tidak tercapai untuk mencampak UMNO/BN ke Laut China Selatan atau Selat
Melaka, yang mereka tuduh akibat penyelewengan dan penipuan dalam pilihan raya.
Apa bila mereka diberitahu bahawa tidak ada penyelewengan dan penipuan sedikit
pun, mereka memaki hamun dengan amat marah. Mereka tidak mahu dengar penjelasan
daripada sesiapa pun, kerana mereka memang tahu UMNO/BN hanya mendapat 47% undi
popular, manakala Pakatan Rakyat
mendapat 53%. Apabila mereka diberitahu, perkiraan dalam pilihan raya tidak
dibuat begitu, tetapi berasaskan bilangan kerusi yang dimenangi, mereka menolak
bulat-bulat sebagai sejenis penipuan yang dilakukan berasaskan undang-undang SPR dan Perlembagaan
Negara. Jadi itulah mereka namakan kerajaan yang dibentuk selepas PRU-13 adalah
Kerajaan Bangsat atau paling lunak Kerajaan Bangkrap.
Sebenarnya kemarahan rakyat tidak berasas jika dilihat
dari segi undang-undang; tetapi rakyat di pihak yang benar apabila mereka
mengatakan undang-undang sengaja direka untuk menipu dalam pilihan raya. Tentu
saja tuduhan itu sangat berat, barangkali juga agak melampau. Tetapi adakah
tuduhan itu tidak berasas sama sekali? Dari segi kira-kira mudah, memang ada
asasnya; tetapi dalam percaturan politik yang dilonjakkan dalam pertarungan
merebut kuasa melalui pilihan raya, kira-kira mudah tidak boleh dipakai. Sistem
yang dibina oleh SPR adalah yang paling mudah diuruskan kerana semuanya
ditunjang dengan peruntukan undang-undang. Jika pun terdapat penyelewengan,
maka hal itu terjadi secara tidak sengaja, seperti pengembaraan kertas undi
dari DUN Mahkota ke Nusa Jaya di Johor (seperti yang dilaporkan). Peristiwa itu, meskipun amat kecil, menjadi
satu peristiwa yang penting kerana yang menerima kesannya ialah seorang calon
PAS. Masyarakat nampak dengan jelas memang terdapat usaha untuk menafikan
kemenangan kepada calon lawan, walaupun usaha itu terlalu bodoh dan tidak masuk
akal, sama sekali tidak memberi kesan dalam pengiraan undi. Tetapi, kata
mereka, penyelewengan itu sudah terbukti berlaku, walaupun tidak masuk
akal. Yang penting bagi mereka ialah
sesuatu yang tidak disangka-sangka memang dilakukan untuk memastikan calon
kerajaan mendapat kemenangan dengan cara apa sekali pun. Memang sebelum pilihan
raya Perdana Menteri mengingatkan ahli partinya bahawa dengan apa cara sekali
pun Putrajaya mesti dipertahankan, “hingga ke titisan darah terakhir!” Sangat bersemangat, bukan?
Kerajaan Bangsat atau tidak, dari segi undang-undang
UMNO/BN mempunyai hak untuk menubuhkan kerajaan kerana mereka mendapat 133
kerusi berbanding dengan Pakatan Rakyat hanya mendapat 89 kerusi, walaupun dari
segi undi popular mereka mendapat undi tertinggi. Memang benar jika undi
popular diambil kira, UMNO/BN tidak layak menubuhkan kerajaan kerana mereka
telah ditolak oleh rakyat dengan undi popular yang begitu besar. Apakah gunanya
undi popular? Sebenarnya berguna besar andainya yang menang pilihan raya itu
tidak saja mendapat kerusi lebih, tetapi juga undi popular yang besar
jumlahnya. Jika itulah yang terjadi, tidak ada sesiapa pun yang berhak
mengungkit apa-apa pun terhadap parti yang menang.
Dalam sistem demokrasi yang kita pakai, terdapat dua
jenis majoriti. Pertama manipulated majority; yakni majoriti yang didapat
melalui sistem pilihan raya yang ditetapkan dalam Akta Pilihan Raya. Tiap-tiap
calon dikira menang walapun dia menang dengan satu undi. Dalam PRU-13, YB
Mustapha Muhammad, ketua UMNO Kelantan, menang kerusi DUN dengan hanya 47 undi.
Itu pun satu kemenangan yang dibanggakan kerana bukan senang bagi calon UMNO
untuk menang di Kelantan yang dikuasai PAS. Majoriti jenis kedua ialah popular majority, iaitu jumlah undi yang
diperolehi secara keseluruhan. Majoriti jenis kedua inilah yang menjadi
indikator kekuatan sesebuah parti dan pengaruhnya dalam masyarakat. Dalam
PRU-13, jika kita mengambil-kira popular
majority, maka sudah sah UMNO/BN telah ditolak oleh sebahagian besar
rakyat. Hakikat ini penting untuk
dijadikan perhitungan: jelaslah segala usaha kerajaan menabur wang di sana sini
tidak berkesan dari segi menambah pengaruh, tetapi cukup berguna untuk mengabui
mata sebahagian rakyat untuk memilih calon UMNO/BN di kawasan luar bandar. Jika
anda mahu melihatnya dari perspektif lain, anda akan dapati penggunaan wang dan
kemudahan jentera kerajaan telah berjaya mempengaruhi rakyat luar bandar yang
tidak mendapat maklumat yang benar daripada kerajaan. Jika kita lihat daripada
perspektif ini, kita akan dapati betapa meluasnya korupsi yang dijadikan
strategi untuk memikat minat rakyat untuk menyokong calon kerajaan. Korupsi
telah dijadikan budaya politik dan diterima dengan baik oleh rakyat. Dilihat
dari sudut lain, kita dapati UMNO/BN telah berjaya “menipu rakyat” melalui
pemberian wang dan sebagainya, dalam konteks korupsi budaya politik. Hakikat
ini penting kerana ia menunjukkan betapa tidak bermoralnya ahli politik yang
menggunakan strategi korupsi untuk mempengaruhi rakyat; demikian pula rakyat
sendiri menerima korupsi sebagai hak mereka untuk mendapat habuan daripada
kerajaan dan calon kerajaan. Kumpulan
korup ini saling bergantung satu sama lain; maka itulah amat tepat jika
kerajaan yang dibentuk oleh kumpulan ini tepat sekali digelar Kerajaan Bangsat.
Gelaran Kerajaan Bangsat itu lebih ditujukan kepada
kualiti kepemimpinan dalam UMNO/BN yang dilihat rakyat/masyarakat terlalu boros
berbelanja bukan untuk pembangunan, tetapi untuk membeli undi dengan
menggunakan peruntukan kerajaan dan kemudahan peralatan kerajaan, termasuk
bangunan dan dewan, serta siaran TV. Ini dilakukan tanpa batas, tiada perasaan
segan silu lagi, seolah-olah semua itu harta persendirian. Rakyat dan
masyarakat sedar perbuatan itu tidak bermoral dan sangat jahat, tetapi orang Melayu
di luar bandar menyokongnya kerana mereka mendapat sedikit bantuan kewangan dan
lain-lain kemudahan yang secara khusus diberikan untuk membeli undi secara
langsung. Semua kejahatan ini diberi nama yang memikat imaginasi manusia yang
naif, terutama sekali para pengulas politik yang ramai muncul untuk memberi
sokongan mereka terhadap projek transformasi kerajaan UMNO/BN. Para pengulas yang dangkal ini tidak pernah
menganalisis apa yang disebut transformasi itu secara telus dari segi
penggunaan wang rakyat (dipanggil wang kerajaan), peralatan kerajaan, dan
perilaku para pemimpin UMNO/BN yang bertentangan dengan moral dan etika manusia
beradab. Para pengulas ini, yang terdiri
daripada profesor, profesor madya, pensyarah, penyelidik dan lain-lain, memperlihatkan
sifat tamak mereka untuk memuji supaya dilihat oleh para pemimpin UMNO/BN
bahawa mereka adalah penyokong kerajaan yang setia. Seperti para pemimpin yang
tidak bermoral itu, mereka ini pula tidak mempunyai integriti akademik atau
integriti intelektual yang sepatutnya ada pada mereka. Mereka hanya ingin
memperagakan sokongan mereka dengan harapan akan mendapat faedah dari segi
perlantikan dalam kerjaya mereka atau faedah lain-lain yang menjadi minat
mereka (apakah bendanya sila tanya mereka sendiri, anda akan terkejut nanti!). Dari percakapan mereka, jelaslah mereka hanya
berminat memuji kerajaan dan para pemimpin UMNO/BN, bukan bertujuan untuk
memberi maklumat sebenar dalam analisis yang kritis dan objektif.
Tetapi PRU-13 mempunyai jenakanya yang tersendiri,
yang paling sofistikated dari segi
operasinya. Pada mulanya semua pihak menafikan adanya “pengundi” dari Sabah dan
Sarawak didatangkan ke Kuala Lumpur menggunakan penerbangan khas yang
disediakan oleh MAS. Tetapi akhirnya dipersetujui oleh pihak pengurusan MAS
untuk mengaku saja memang dibuat penerbangan itu, setelah Setiausaha Agung UMNO
sendiri mengaku sebelumnya memang ada dibawa masuk pengundi dari Sabah dan Sarawak
yang diusahakan dengan ihsan orang tertentu, tanpa menggunakan satu sen wang
kerajaan. Siapakah orang yang baik hati itu tidak diberitahu, padahal dalam
peristiwa biasa kita disogok dengan berita besar-besaran tentang sifat murah
hati orang kaya yang menderma kepada budak-budak yatim, orang tua dan
sebagainya; malah inilah gambaran yang kita lihat disiarkan dalam akhbar dan
TV. Tiba-tiba bila sampai kepada derma yang begitu besar belanjanya, orang yang
budiman dan dermawan itu tidak mahu dikenali. Malu? Atau tidak mahu dituduh ...
? Tuduh apa? Maka itulah dibuat orang jenaka: Aik, pakai kapalterbang bawa
pengundi? Dari Sabah dan Sarawak pula? Mengapa tak pakai bas naik kapal? Banyak
sikit boleh muat, kita di sini pun boleh lihat bas Sabah dan Sarawak itu
berbeza atau tidak dengan bas sebelah sini. Biasanya mereka pakai bas saja, bawa pelancong
dari kampung-kampung untuk melihat orang bandar mengundi. Wah, hebat betul
PRU-13 ini? Yang hairannya, tidak ada orang ketawa; sebaliknya diikuti maki
hamun yang amat menggerunkan yang tak pernah didengar seumpamanya selama ini.
Itulah keistimewaan PRU-13 yang melahirkan Kerajaan Bangsat itu!
Mohd. Affandi Hassan,
11/5/2013.
No comments:
Post a Comment