(Bahagian
I)
Soal perkauman dan perpecahan dalam masyarakat
Melaysia ditimbulkan oleh UMNO/BN untuk menutup perbuatan mereka memisahkan
masyarakat bandar dan luar bandar begitu ketara dalam PRU-13. Barisan Nasional
adalah parti perkauman yang memisahkan semua kaum dalam kelompok tersendiri dan
pura-pura bersatu, padahal semuanya hanya bertujuan untuk mendapatkan kuasa
politik semata-mata. Kerana MCA dan Gerakan, dua parti Cina, kalah teruk dalam
pilihan raya itu, maka bertanyalah Utusan
Malaysia, “Apa lagi Cina mahu?”. Pengundi Cina menolak kedua-dua parti itu,
yang lebih tepat mereka sebenarnya menolak BN. Para penganalisis memberitahu,
pengundi Cina yang menyokong DAP mengundi calon PAS dan calon Melayu dari PKR,
dengan itu menolak andaian perkauman yang ditohmah UMNO. Bagaimana pun, UMNO
sedar kesilapan mereka, lalu mencadangkan diwujudkan semacam “gerakan
perdamaian nasional” (national reconciliation,
perdamaian kebangsaan atau nasional; tetapi lebih tepat dipakai saja istilah
“persefahaman negara” kalau matlamatnya untuk perpaduan negara yang pada
dasarnya masih utuh) antara parti untuk mengurangkan faham perkauman. Di
sinilah berlaku kontradiksi yang paling tidak siuman. Jika anda masih ingat
ketika Dato’ Onn Jaafar mencadangkan supaya UMNO menerima anggota pelbagai kaum
dan ditolak bulat-bulat oleh UMNO, sehingga memaksa Dato’ Onn meninggalkan
UMNO, maka anda mungkin boleh bayangkan kemungkinan PKR itu seakan-akan
memenuhi hasrat Dato’ Onn. UMNO tidak
menerima PKR sebagai sebuah parti pelbagai bangsa atau etnik, malah selalu
dikatakan parti baru itu mengkhianati orang Melayu kerana terlalu memberi
perhatian kepada anggotanya yang bukan Melayu. Kalau begitulah pendirian UMNO
dari dulu hingga sekarang dan begitulah seterusnya, maka untuk apa “persefahaman
negara” diungkit pada waktu ini? Jika perpaduan atau perdamaian nasional itu
bertujuan untuk melindungi UMNO dari pupus, maka ia mesti ditolak kerana sudah
jelas matlamatnya bukan untuk perpaduan kebangsaan, tetapi untuk menyelamatkan
UMNO semata-mata. Semua rakyat sudah faham pada waktu ini, bahawa UMNO/BN
menjadi punca masalah yang dihadapi Malaysia sekarang, maka tidak ada sebab
jika kumpulan yang menjadi punca masalah itu dibantu untuk menjadi kuat dan
meneruskan segala kezaliman, korupsi, penyelewengan dan seterusnya yang telah
mereka wujudkan dan jadikan budaya politik Malaysia selama mereka berkuasa
lebih dari setengah abad.
Strategi UMNO untuk terus memperbodohkan pengundi
Melayu luar bandar dengan menjadikan mereka penyokong kuat politik korupsi
melalui transformasi (yang entah apa-apa) yang dijeritkan setiap masa oleh
Perdana Menteri, ternyata suatu strategi yang amat berkesan. Kini korupsi
politik yang membolehkan para pengundi ini mendapat wang yang dilaburkan oleh
kerajaan, tidak lagi dianggap sesuatu yang salah dan haram, malah yang sentiasa
ditunggu-tunggu oleh pengundi luar bandar. Kesannya ialah kedua-dua pihak,
pemimpin dan penyokongnya, tidak lagi dapat membezakan antara kejahatan yang
disengajakan dalam bentuk korupsi, dengan kebaikan yang dipaksa atas nama
pembelaan untuk rakyat dalam bentuk pemberian wang dan segala bantuan yang
bertujuan untuk membeli undi. Apa bila yang jahat dan yang baik itu disamakan,
maka perbuatan jahat dalam bentuk korupsi disamakan dengan pemberian wang untuk
orang miskin dan memerlukan bantuan. Tetapi Menteri Besar UMNO yang baru
dilantik lagi di Terengganu, dengan tegas mengatakan setiap kawasan yang tidak
memilih UMNO, tidak akan mendapat apa-apa bantuan atau kemudahan yang akan
diberikan kepada para penyokong UMNO.
Inilah maksud janji ditepati yang dijadikan slogan oleh Perdana Menteri.
Oleh sebab korupsi politik telah dibudayakan dan diterima oleh rakyat, maka
tidak lagi timbul soalan tentang keadilan untuk semua rakyat, yang dislogankan
sebagai “rakyat didahulukan”, yang dikhaskan untuk rakyat yang mengundi UMNO/BN
sahaja. Bukan hanya di Terengganu perkara ini berlaku; tetapi Menteri Besar
Terengganu cukup “jujur” dalam membuat tafsiran untuk slogan “rakyat
didahulukan” itu dituju khusus untuk para penyokong UMNO/BN sahaja, yakni yang
dibuktikan oleh pengundi dengan memberi kemenangan kepada calon UMNO/BN. Pembohongan
UMNO ini patut diketahui oleh orang Melayu seluruhnya. Mereka juga harus sedar
bahawa slogan “janji ditepati” itu hanyalah sejenis slogan, yang tidak
dipraktikkan. Jadi ini pun satu pembohongan yang amat nyata. UMNO/BN telah
melanggar perjanjian yang dibuat dengan semua negeri bahawa setiap negeri yang
mengeluarkan petrol dan gas harus diberi royalti. Ini tidak ditepati ketika PAS
berkuasa di Terengganu; malah hingga sekarang pun masalah royalti ini belum
lagi selesai di Kelantan. Adalah amat memalukan apabila UMNO Kelantan menafikan
terdapat petrol di Kelantan, oleh itu kerajaan Kelantan di bawah PAS tidak
berhak mendapat royalti. Yang paling celaka bagi rakyat Kelantan ialah apabila
pendaratan petrol yang digali dalam perairan Kelantan dibawa masuk menerusi
Thailand untuk ditapis di Melaka. Tidakkah ini satu pengkhianatan yang besar
terhadap rakyat Melayu di Kelantan? Sebenarnya cukup banyak pembohongan yang
dilakukan UMNO/BN. Yang terbaru disebut oleh seorang bekas hakim mengenai
pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) yang tidak ada dalam perlembagaan.
Mengapa UMNO melanggar peraturan dan peruntukan ini? Inilah rahsia besar yang
tidak dibuka selama ini. Dalam pentadbiran Perdana Menteri mana penyelewengan
Perlembagaan ini berlaku? Kita perlu tahu ini, dan terus hukum UMNO yang telah
menipu orang Melayu dan bukan Melayu. Terhadap bukan Melayu, mereka telah
diberi harapan palsu untuk mempercayai SJK adalah memenuhi peruntukan
Perlembagaan; bagi orang Melkayu pula, mereka telah ditipu hidup-hidup untuk
menerima kehadiran SJK padahal diharamkan oleh Perlembagaan. Bagaiman ini dapat
diselesaikan? Pada waktu ini kerajaan UMNO/BN sangat lemah, dengan pemimpin
yang lemah pula. Jika hendak dipakai slogan 1Malaysia, Perlembagaan perlu
dipinda; dan ini hanya dapat dilakukan dengan 2/3 undi. Jangan bimbang, sesuai
dengan keinginan untuk berdamai dalam “national reconciliation” (perdamaian
nasional, atau perdamaian kebangsaan), maka satu kompromi boleh diusulkan. Kita
wujudkan klausa seperti yang dicadangkan oleh Tun Salleh Abas ketika beliau
manjadi Ketua Hakim Negara. Klausa itu berbunyi: Mana-mana undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen ini yang bercanggah
dengan undang-undang Islam, maka undang-undang itu tidak terpakai setakat yang
bercanggah itu. Untuk meluluskan
pindaan ini, diperlukan undian 2/3, yang boleh dicapai sekiranya semua wakil
UMNO, PAS, dan ahli Parlimen Islam yang lain menyokong klausa ini. Jika betul
DAP menyokong PAS, seperti yang mereka dakwa, maka sudah seharusnya semua (atau
sebahagian besar) Ahli Parlimen DAP mengundi untuk membuat pindaan itu. Pada
waktu yang sama, bolehlah mereka juga sokong pindaan yang membenarkan wujudnya
SJK itu. Satu kompromi yang siuman, terutama bila mengingat kesilapan yang
disengajakan ini telah berlaku begitu lama. Moga-moga tidak ada mana-mana puak
yang menyaman Kerajaan UMNO tentang perkara ini untuk membatalkan SJK ini. Oleh
itu, pindaan Perlembagaan ini perlu diadakan seberapa cepat yang mungkin.
Selamatkan negara ini dan rakyatnya yang telah ditipu begitu lama oleh UMNO dan
sekutunya.
(Bahagian II)
Perdamaian nasional/kebangsaan yang ditagih oleh UMNO
bukanlah perdamaian kebangsaan, sebaliknya ialah perdamaian mengikut syarat
UMNO untuk menyambung hayat politiknya. Waktu ini UMNO tidak peduli rakyat
berpecah atau tidak; yang penting kewujudan UMNO mesti dipertahankan, “sampai
ke titisan darah yang terakhir” kata PM 133 UMNO, ketika orang ini mengobarkan
semangat pengikutnya untuk “mempertahankan” Putrajaya dalam dan dengan cara
yang bagaimana sekali pun. Janji mesti berjaya. Mereka berjaya dalam satu
pilihan raya yang dipersoalkan rakyat ketelusannya; rupanya rakyat tidak
dibenarkan menyoal perihal ketelusan itu, kerana harga pilihan raya yang begitu
mahal tidak wajar dipersoalkan hanya kerana satu puak kalah dalam manipulated votes walaupun menang dalam popular votes. Di situlah, kata UMNO,
terdapat pengkhianatan pihak yang kalah, terdiri daripada golongan munafik
dalam politik Malaysia, dengan ketuanya Anwar Ibrahim, seorang negarawan
Malaysia yang dikenali dunia. Mahathir
Mohamed, nagarawan, sebagai seorang
naga tua yang merawan, mengingatkan bahawa PM 133 UMNO itu boleh dipersoalkan
oleh anggota UMNO mengapa dia gagal mendapat 2/3 seperti yang dijanjikannya,
dan gagal juga merampas Selangor walaupun dia Ketua UMNO Selangor yang berbisa.
Inilah masalah yang dihadapi oleh manusia ini, maka tanpa ragu-ragu dia
menyalahkan lawan politiknya sebagai biadab, pemecah-belah masyarakat, dan
kumpulan munafik. Mari kita uji kebenaran kata-kata keramat manusia yang gila
kuasa ini dengan menggunakan beberapa ukuran mudah yang boleh dilaksanakan
olehnya, jika beliau itu seorang yang boleh dipercayai dan mempunyai integriti
sebagai pemimpin yang tidak munafik.
Sebagai seorang yang bukan munafik dan tidak pernah berbohong serta
tidak pernah mungkir janji, kita harap beliau, PM 133 1Malaysia, benar-benar
melaksanakan trasformasi dengan mengambil tindakan positif untuk melaksanakan
beberapa cadangan yang dikemukakan. Inilah dia satu persatu dikemukakan:
(1) Di negara
demokrasi yang maju dan matang, misalnya di Kanada, Ketua Pembangkang diberi
kedudukan setaraf dengan PM, akan menghadiri majlis rasmi negara bersama Agong,
duduk sebelah-menyebelah PM. Ketua Pembangkang juga diberi kediaman negara sama
seperti yang diberikan kepada PM; diberi kereta setaraf dengan PM (mungkin
jenisnya berbeza, mengikut pilihan beliau), dan diberi tempat dalam semua media
kerajaan sama seperti yang diberikan kepada PM. Maklumat tentang perkara ini
boleh didapati di Suruhanjaya Kanada di Kuala Lumpur. Dalam tahun 1998, Kanada
mendapat seorang Ketua Pembangkang baru; dia tidak mahu duduk di rumah yang
disediakan kerana keadaannya terlalu buruk; dia mengarahkan kerajaan supaya renovate rumah kediamannya; dia juga
memprotes kereta yang diberikan untuk kegunaannya tidak menepati standard dan
tidak sesuai dengan kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang. Semua maklumat ini
(termasuk nama PM Kanada ketika itu dan nama Ketua Pembangkang yang
dimaksudkan) boleh didapati di Suruhanjaya Kanada. Jika betul diperlukan national reconciliation, maka inilah tindakan wajar yang perlu diambil oleh
kerajaan Malaysia. Sekarang juga.
(2) Dalam
demokrasi yang maju dan matang, para pemimpinnya sangat telus dan tidak cuba
menyembunyikan kekayaanya. Dalam tahun 1976, James Callaghan dari Parti Buruh
menang dan jadi Perdana Menteri. Dua minggu kemudian dia sendiri, semua menteri
dan timbalan menteri, setiausaha Parlimen, pegawai tinggi kerajaan,
mengisytiharkan harta mereka dalam The
London Times. Diterbitkan suppllement khas untuk maksud ini. Anda boleh
pastikan perkara ini dengan merujuk ke Suruhanjaya Britain di Kuala Lumpur.
Maklumat ini penting untuk diketahui oleh rakyat, terutama yang menyokong UMNO.
Rakyat harus mendesak ketua-ketua mereka mengisytiharkan harta benda mereka, adik-beradik
mereka, pegawai tinggi kerajaan. Kerajaan Selangor dalam tahun 2008 telah
melakukan perkara ini, tetapi diboikot oleh semua akhbar dan media massa.
Akhbar diarah tidak menyiarkan berita ini, takut rakyat akan mendesak
ketua-ketua UMNO mengisytiharkan harta
mereka. Sudah adakah perubahan pada waktu ini? Perdana Menteri 133 yang
menuduh Anwar Ibrahim munafik besar, seharusnya bermurah hati memulai
transformasi ketelusan kepemimpinan ini. Ketua Pembangkang bagaimana? Saya
pernah ditanya mengenai perkara ini. Saya jawab mudah: Yang akan buat dengan senang
hati hanya seorang, TG Nik Aziz. Mungkin saya salah; tetapi saya tidak fikir
Dr. Mahathir Mohamed akan bermurah hati mendedahkan harta bendanya. Saya
diberitahu oleh seorang teman, perbuatan isytiharkan harta itu tidak dibenar
oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia kerana ini akan membawa fitnah besar
yang akan menghuru-harakan negara. Ketua Pengarah badan ini pun kena
isytiharkan hartanya, seperti ketua-ketua kerajaan yang lain. Kalau semua mesti
isytiharkan harta, siapa lagi yang tinggal. Seorang teman dengan serius berkata,
yang wajar isytiharkan harta ialah para pengemis (kerana mereka sebenarnya
kaya), pemandu teksi atau pemandu lori (mereka pun kaya kata sumber itu),
budak-budak pejabat di kementerian (mereka yang dapat rasuah terlebih dulu,
kata ketua-ketua mereka memberitahu), ahli sukan (mereka dapat hadiah
besar-besar secara rasmi dan tidak rasmi), pemain bola (sekarang ada pemain
bola yang jadi jutawan). Bagaimana dengan sasterawan? Mereka miskin papa
kedana. Tetapi para penulis novel picisan dan novel cinta, terutama yang
dikatakan bercorak Islam, dapat banyak wang kerana digemari anak-anak muda.
Perlukah mereka isytiharkan harta mereka? Nampaknya kita sudah meleret-leret
tak tentu arah, padahal yang kita maksudkan hanya para pemimpin politik.
Mengapa mereka perlu ditegah daripada mengisytiharkan harta mereka? Dalam
perkara ini pemimpin kafir lebih jujur, telus, dan berani, seperti dalam kes
Britain tadi. Presiden Amerika, George Bush Sn (ayah Bush satu lagi) pernah
dituduh tidak bayar cukai pendapatan. Serta-merta dia siarkan dalam akhbar kira-kira
pendapatannya yang lengkap, dan dia dikenakan membayar lebih dari USD300,000 (?
tak banyak sangat kah?) duit Amerika. Nampaknya para pemimpin kafir ini lebih
baik, jauh lebih baik daripada pemimpin Islam di Malaysia. Mereka telus, jujur,
dan berani. Mereka tidak boleh diikuti oleh para pemimppin Melayu, takut dapat
fitnah. Apa kata para ulama dalam masalah ini? Saya pernah dengar ada ulama
berkata, ini bukan masalah. Korupsi tetap haram. Tapi isytihar harta? Belum ada
fatwa. Kalau begitu, bila lagi hendak dikeluarkan fatwa itu?
(3) Kita
perlukan dasar komunikasi yang siuman. Sekarang dasar komunikasi kita boleh dipersoalkan
sifat siumannya. Hanya pemimpin kerajaan saja boleh mencela dan menuduh pemimpin
pembangkang melalui TV dan lain-lain media kerajaan. Dasar ini dirangka oleh
pembuat dasar yang tidak peka kepada kehendak awam supaya komunikasi bersifat
lebih terbuka. Bila diadakan forum dan perbincangan di TV, jemput juga orang
yang dicela dan dimaki dalam ketiadaan beliau. Beri dia peluang bercakap. Yang menjadi moderator juga perlulah seorang
yang betul-betul berwibawa dari segi ilmu pengetahuan dan maklumat terkini
mengenai sesuatu isu, dan tidak mempunyai tabiat suka memotong sesuka hati
hujah yang tidak mahu didengar. Pendek kata, dasar komunikasi mestilah untuk
berkomunikasi, bukan untuk mencela dan memfitnah seperti yang terjadi pada
waktu ini. Kembalikan integriti dialog
dalam apa juga forum yang diadakan, supaya para pendengar diberi peluang untuk
mendengar perbincangan yang kritis, tetapi bermaklumat, bukan sekadar melontar
pandangan umum yang tidak dihujahkan.
(4) Korupsi
perlu diberi takrif yang lebih tepat. Bagaimanakah kedudukan penggunaan harta
benda kerajaan oleh parti yang memerintah, dalam bentuk apa pun? Adakah ini
sejenis atau satu bentuk korupsi, oleh itu mesti ditegah, tidak boleh
dilakukan. Pada waktu ini kedudukannya tidak jelas, oleh itu parti yang
memerintah menggunakan kemudahan kerajaan sewenang-wenangnya, tanpa sebarang
sekatan. Perbuatan ini tidak wajar diteruskan, kecuali pihak sebelah lagi
diberi kemudahan yang sama.
(5) PRU-13
memperlihatkan bagaimana SPR mempunyai masalah kredibiliti yang cukup hebat.
Perbuatan SPR membuat tuduhan jahat dan melulu terhadap kritikan daripada pihak
pembangkang adalah perbuatan biadab yang tidak sepatutnya dilakukan oleh satu
organisasi yang tugasnya menjalankan pilihan raya dengan cekap, tanpa sebarang
syak wasangka yang tidak perlu. Betul-betul bebas, tidak sedikit pun
menimbulkan kecurigaan sesiapa sekali pun tentang sifat bebas SPR dari sebarang
tuduhan berlakunya penyelewengan. Sudah
jelas SPR adalah satu organisasi yang bermasalah, oleh itu tempat sesuai untuk
organisasi ini perlu dicari dan diputuskan dengan segera. Berhubungan dengan perkara ini, sudah lama
disuarakan supaya organisasi ini diletak di Dewan Rakyat dan secara langsung
bertanggungjawab kepada Dewan Rakyat. Apabila timbul masalah kredibiliti SPR
seperti sekarang, badan ini harus menjelaskanya kepada Parlimen, bukan kepada
UMNO seperti yang dibuat baru-baru ini di Ibu Pejabat UMNO, yang diakui dengan
bangga oleh Ketua Penerangannya. Sudah jelas UMNO menganggap SPR bekerja untuk
mereka, oleh itu perlu membuat laporan kepada mereka. Tidakkah ini membuktikan
betapa tepatnya tuduhan pembangkang selama ini, tentang eratnya SPR dengan
UMNO? Pindahkan segera SPR di bawah Dewan Rakyat, supaya integriti badan ini
benar-benar terjaga, tidak boleh diragui kredibilitinya.
(6) Pindaan
Perlembagaan. Dalam Bahagian I pos ini telah diberikan cadangan supaya
kedudukan undang-undang Islam dalam Perlembagaan diperjelaskan; oleh itu
cadangan Tun Salleh Abas sewaktu beliau menjadi Ketua Hakim Negara perlu diberi
perhatian dan dijadikan cadangan rasmi pindaan Perlembagaan ini. Bagaimana ini
boleh dilakukan telah diberi sedikit penjelasan dalam Bahagian I pos ini.
Itulah 6 perkara yang memerlukan pertimbangan Kerajaan
dan Pembangkang, sebelum PM 133 boleh mengemukakan projek “national reconciliation” yang dicadangkan beliau. Enam perkara ini
perlu diputuskan dan dilaksanakan, terutama sekali perkara no. I kerana ini
berkaitan rapat dengan aspek “reconciliation”
yang dimaksudkan.
Mohd. Affandi Hassan,
13/5/2013 (memperingati peristiwa 13 Mei 69 secara
positif).
6 resolusi yang baik utk pemimpin yg jujur dan baik renungkan dan bertindak.
ReplyDeleteSaya tertarik nak respon yang no 4. Kira-kira dua minggu sebelum PRU 13 (yg pasti, selepas Parlimen dibubarkan), sorang presiden persatuan penulis di Malaysia menghantar pesanan sebelum khabar itu diuar-uarkan di media. TPM nak jumpa semua penulis di sebuah hotel bertaraf lima bintang. Presiden pun kata, yg jauh boleh claim kapal terbang, pakai dulu duit satu badan beratoriti dalam sstera, nti dbyr semula. bila sampai hari itu, TPM isytihar nak bg sjumlah wang besar sbg dana utk penulis. penulis pun bsorak bagai. gembira, prihatin tpm pada penulis. OMG, boleh pulak TPM bg dana lps parlimen dh bubar ...
tentang nk rampas selangor, jangan mimpilah. rkyat slangor dah bijak2. satu fakta menarik, 3 PM (nagarawan Mahathir, Pak Lah, Najib) belum mampu utk rampas Kelantan drip TG Nik Aziz!
-Anak Selangor-
Salam Sdr. Anak Selangor.
ReplyDeleteTerima kasih atas komen anda. Saya seronok menulis pos ini kerana ditempelak agak teruk. Awak kata UMNO bodoh, yang bodoh awak. Siapa peduli 6 cadangan awak? Kalau nak pandai-pandai pun biarlah ada kuasa, bukan menyalak saja. Sudahlah, tak payah pandai-pandai nak ubah. Peringatan yang bagus, membuktikan apa yang saya tulis itu diberi perhatian, walaupun untuk dikutuk. Bilakah akan sampai ke telinga yang mahu mendengarnya? Itu bukan masalah saya. Yang penting sekarang, mesti ada puak yang menyeru kepada kebaikan. Ini sudah jadi kewajiban intelektual yang tak boleh dielak. Kerana itu saya akan meneruskannya, walaupun kerana itu ada orang yang mati kerana marah.
Sdr. Affandi, terus saja tulis selagi sdr yakin benarnya. at least pos-pos sdr di sini lebih bijaksana drp blogger2 lain yg asyik mghentam mana2 pihak tapi tak beri apa2 cadangan yg boleh pakai.
ReplyDeletego go
saya baca sepenuhnya...dan dibanyak tempat..sebagai org Melayu Islam yang menyanjung prinsip akal budi,saya amat terganggu dengan bahasa untuk mencerca suasana yang and hendak kritik...dan memang itu ciri khusus human right dan demokrasi ala US dan Britain..senario kehendak dan kemampuan akal fikir rakyat dan pemimpin negra sedang membangun sukar difahami dan diterjemah melalui dan dengan kuasa politik.anda memberi saran..kemampuan menterjemah dlm tgn praktis yg sgt tiada diseluruh peringkat dan jenis aktiviti.MENULISLAH DENGAN emosi yg manis dan membangun praktik yang wajar seperti saran mengubah oerlembagaan itu.Mungkin pramodya mengajar bnyk perkara melalui Amilahnya,tetapi yg memahaminya sbg praktis terlalu sedikut.
ReplyDelete