Saturday, May 18, 2013

SISTEM DEMOKRASI YANG TIDAK MENCERMINKAN PILIHAN RAKYAT



PRU-13 membuat sejarahnya sendiri, membenarkan kesimpulan saya selama ini bahawa demokrasi yang kita praktikkan ini adalah “the bullshit system of democracy”.  UMNO/BN menang lagi dalam sistem “bullshit democracy” dengan memperoleh hanya 47% undi popular. Selebihnya adalah kepunyaan Pakatan Rakyat, yang dari segi sokongan membuktikan rakyat telah menolak UMNO/BN. Tetapi bagaimana SPR mengisytiharkan UMNO/BN menang walaupun parti itu ditolak oleh rakyat? Menurut SPR, sistem “bullshit democracy” yang dipraktikkan di Malaysia menolak undi popular sebagai faktor kemenangan. Dalam sistem yang terpakai di Malaysia, sesebuah parti menang dalam pilihan raya sekiranya mereka beroleh bilangan kursi yang banyak, walaupun dari segi undi popular mereka kalah. Yang terpakai ialah “manipulated votes” berasaskan majoriti yang diperolehi oleh seseorang calon dalam sesuatu kawasan yang mereka tandingi. Kawasan ini ditentukan oleh SPR dengan nasihat parti pemerintah. Dalam persempadanan semula, undi rakyat dipecahkan untuk memastikan “manipulated majority” diperolehi oleh calon kerajaan. Sistem ini dilaksanakan dengan jayanya selama Malaysia dimerdekakan oleh British. Sistem ini dijadikan Akta Pilihan Raya dan tidak boleh dicabar, kecuali prosesnya yang mungkin terdapat kelemahan atau kesalahan di sana sini, tetapi tidak fatal dari segi bilangan undi yang diterima. Demikianlah UMNO/BN mencapai “kejayaan” dalam PRU-13.  Melalui sistem yang melahirkan “manipulated majority” ini, sebuah kerajaan adalah sah, walaupun telah ditolakk oleh rakyat, dan mendapat hanya 47% peratus undi popular. Dengan 47% itu UMNO/BN mendapat 133 kerusi, iaitu kerusi majoriti. Di sini kita tidak boleh pakai logik, kerana dari segi logik yang tidak berasaskan sistem yang telah diaktakan, maka logik itu menjadi tidak logik. Oleh itu, rakyat tidak boleh klaim mereka telah menolak UMNO/BN dengan 50% lebih undi popular, sekiranya mereka kalah dalam “manipulated majority” dengan Pakatan Rakyat memperoleh hanya 89 kerusi sahaja.

Apakah yang boleh kita baca dalam keputusan ini? Kita dapati sistem demokrasi yang kita pakai tidak mencerminkan kehendak rakyat; sebaliknya sistem demokrasi itu hanya mengesahkan kemahuan kerajaan untuk terus menang dan terus memerintah, walaupun sudah ditolak oleh rakyat.  Kedua, demokrasi yang kita amalkan itu tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah kerana semuanya dilaksanakan melalui proses undang-undang yang telah diaktakan oleh Parlimen. Adakah ini satu penipuan, dan bolehkah kita namakan demokrasi? Takrif demokrasi ditentukan oleh Akta Pilihan Raya yang diluluskan oleh Parlimen, oleh itu tidak ada sebarang tindakan yang boleh mengubah keputusan yang telah diwartakan oleh SPR kerana semua keputusan diperolehi dengan tepat mengikut proses seperti yang dikehendaki oleh Akta. SPR memberitahu rakyat atau pengundi bahawa “manipulated majority” mengikut kawasan dan bilangan kemenangan kerusi sesebuah parti menentukan kemenangan sesebuah parti untuk membentuk kerajaan; bukan ditentukan oleh “popular majority” kerana taburan jumlah pengundi tidak sama. Kawasan A, di dalam bandar misalnya dan selalunya, jauh lebih besar jumlah pengundinya daripada dari luar bandar. Oleh itu (pastikan anda faham kira-kira mudah cara menipu dalam pilihan raya) jika sekiranya terdapat 10 kawasan yang jumlah undinya lebih kecil daripada kawasan A yang ramai itu, maka kemenangan calon di kawasan A bukanlah kemenangan mutlak, kerana kemenagan mutlak itu ialah dalam 10 kawasan yang kurang jumlah pengundi tetapi mewakili 10 kawasan Parlimen. Jika anda masih belum yakin, maksudnya ialah: golongan minoriti berhak menjadi pemerintah golongan majoriti kerana yang minoriti tadi mempunyai banyak kawasan manakala yang ramai pengundi itu mempunyai hanya satu kawasan.

Dengan kira-kira yang mudah anda boleh buat sempadan kawasan mengikut kemungkinan anda mendapat kemenangan, yang akan membolehkan anda mempunyai banyak kerusi walaupun pengundinya kecil saja jumlahnya. Itulah logik “the bullshit theory of democracy” yang diamalkan di Malaysia melalui Akta Pilihan Raya yang seluruh operasinya dikendalikan oleh SPR. Adakah ini bermaksud SPR turut sama menjalankan penipuan berasaskan undang-undang yang memihak kepada kerajaan? Perkara ini sangat menarik: apakah yang akan dibuat oleh kerajaan jika mereka kalah walaupun mereka sudah fasih melakukan penipuan berasaskan undang-undang yang mereka buat? Mereka akan membantah bahawa kemenangan pihak pembangkang tidak menyeluruh, kerana dengan jumlah undi yang kecil sesuatu parti boleh membentuk kerajaan jika jumlah kerusi yang dimenangi mereka lebih banyak daripada pihak lain yang mempunyai majoriti popular (yakni: undi popular).  Oleh itu, (anda perlu perhatikan betul-betul hujah ini), strategi yang baik yang boleh membawa kemenangan ialah dengan menguasai kawasan yang undinya kecil, tetapi jumlah kerusinya banyak. Itulah kawasan luar bandar yang pada keseluruhannya didiami oleh orang Melayu yang rata-ratanya miskin dan menjadi hamba UMNO sejak merdeka. Jika anda mahu menang, dapatkan kawasan hamba ini dengan memberi mereka seberapa banyak rasuah dalam segala bentuk yang boleh difikirkan, seperti yang dibuat oleh UMNO dan sekutunya selama 67 tahun ini, lebih dari setengah abad. Jika anda menang di bandar, anda pasti akan kalah, walaupun anda mendapat undi yang banyak. Jumlah undi tidak menentukan kemenangan. Yang menentukan kemenangan ialah jumlah kerusi. Dilihat dari perspektif ini, strategi UMNO menguasai pengundi Melayu yang miskin dan susah hidupnya adalah satu strategi yang cukup lihai (malah boleh juga dikatakan bijak), yang hanya boleh difikirkan oleh ahli politik yang nampak kekayaan dan wang ringgit yang melimpah-limpah dalam kemiskinan rakyat. Mereka miskin dari segi material, tetapi mereka mempunyai kuasa yang luar biasa untuk mengangkat ahli politik yang pandai menggunakan kemiskina rakyat itu untuk mendapat kuasa. Itulah yang dilakukan oleh UMNO selama lebih dari 50 tahun dan akan terus melakukannya sehingga kejahatan mereka didedah dan mereka dikalahkan dalam pertarungan menipu ini. Sekarang anda faham, mengapa kemiskinan masih berterusan di kawasan Melayu, dan orang Melayu yang selalu diberi umpan dan kata-kata semangat itu sangat bersyukur kepada para pemimpin UMNO kerana membiarkan mereka terus miskin, sebab dengan kemiskinan itu mereka didekati oleh para pemimpin UMNO dan ini, bagi orang Melayu, adalah satu kejayaan besar. Orang Melayu yang berjiwa feudal, yang ditanam dengan baja korupsi yang subur, akan sentiasa berasa terhutang budi kepada para pemimpin yang selalu melawat mereka dan memberi sedikit wang dan kata-kata yang memberangsang untuk mempertahankan kedudukan mereka sebagai bangsa yang bermaruah tinggi dengan terus menyokong para pemimpin mereka yang jujur dan ikhlas dan pemurah, yang terus menerus memberi mereka cebisan wang dan kemudahan lain yang amat diperlukan oleh mereka. Kemiskinan adalah sumber kuasa dalam politik Malaysia yang dikuasai UMNO.  Anda tentu faham apa maksudnya!

Sekarang kita lihat bagaimana penipuan melalui undang-undang ini ditafsirkan oleh para ulama, termasuk mufti kerajaan. Orang-orang agama ini selalu menekankan peri pentingnya konsep takdir dalam kehidupan manusia. Kata mereka, sesiapa juga di kalangan orang Islam yang tidak percayakan takdir, adalah murtad, oleh itu tidak layak menjadi pemimpin orang Islam. Pandangan mereka betul, tetapi salah dari segi tafsiran. Penipuan adalah satu jenis kezaliman yang amat jahat, walaupun dilakukan berasaskan undang-undang yang dibikin sendiri. Kita boleh bertanya: adakah pengundi miskin yang mempunyai kuasa politik yang besar itu faham dengan mendalam akan kekuasaan politik kemiskinan dan kejahilan yang ditimpakan ke atas mereka oleh para pemimpin UMNO? Mereka telah diperalatkan, dipergunakan dengan sangat kejam dan zalim oleh para pemimpin yang tidak pernah menjelaskan kepada mereka bahawa kedudukan politik mereka sangat penting untuk mempertahankan keutuhan UMNO sebagai pembela mereka hingga kiamat. Jika anda bukan terlalu bodoh untuk memahami aspek penipuan mudah ini, anda akan berasa sangat murka melihat orang-orang miskin ini dipergunakan oleh ahli politik yang rakus kuasa dan rakus kekayaan. Adakah ini pun satu takdir, yakni takdir untuk menipu rakyat yang bodoh. Sekarang anda boleh melihat bagaimana orang agama sendiri menggunakan agama untuk menutup kezaliman yang ditimpakan ke atas rakyat yang miskin dan terbiar itu. Penggunaan istilah takdir dalam konteks ini adalah satu pembohongan. Bagaimana ulama yang disanjung orang ramai dan umat itu boleh berbohong? Jelaskan kepada yang tidak tahu apa maknanya penipuan ini dalam kehidupan mereka. Ia satu kezaliman yang mesti ditentang habis-habisan. Kezaliman mesti dihapuskan. Bagaimana caranya? Caranya cukup mudah: jangan biarkan diri anda ditipu dan tertipu. Tetapi itulah yang paling sukar dilakukan, apabila anda sudah yakin orang yang dituduh menipu anda itu adalah penjaga kepentingan anda dan pembela anda yang telah terbukti dari segala jenis pemberian yang anda terima dari mereka. Di sinilah kita lihat betapa relevannya agama (Islam) dalam politik. Hanya para ulama yang jujur saja yang boleh membetulkan keadaan ini, dan ini hanya boleh dilakukan melalui tindakan politik selain program dakwah yang berterusan. Yang jadi masalah, para ulama ini tidak dibenarkan mendekati orang-orang yang tertipu ini. Kedudukan mereka dalam kawasan mereka dijaga dengan seluruh kekuatan yang dipunyai oleh golongan berkuasa; maka itulah para pelawat yang tidak diingini akan diajar secara kasar, dan jika perlu mesti dipukul dan dicederakan. Bagaimana ini ditunjukkan dalam kehidupan biasa? Ketika kempen pilihan raya diadakan baru-baru ini, satu kumpulan memasuki kawasan yang dijaga rapi itu. Mereka ditahan, oleh seorang penghulu, yang berkata dengan angkuh: “Ini kawasan saya. Saya Penghulu di sini. Tidak boleh masuk kawasan ini jika maksudnya hendak merosakkan masyarakat di sini yang aman damai.” Oleh sebab yang mengalami peristiwa ini seorang pemimpin PAS, Salahuddin Ayub, anda dapatkan ceritanya daripada beliau. Lihat bagaimana kumpulan ini tahu bagaimana pentingnya maklumat; oleh itu pemberian maklumat yang benar perlu disekat supaya rakyat yang dikasihi itu tidak diberitahu perkara yang memang disembunyikan daripada pengetahuan mereka. Kita lihat bagaimana maklumat memainkan peranan yang amat penting dalam mempengaruhi manusia; oleh itu maklumat perlu ditapis, dan ini dicapai melalui pembohongan, fitnah, sekatan fizikal dan segala alat yang boleh digunakan, seperti kedudukan sebagai penjawat awam, kemudahan media (TV dan akhbar) dan seterusnya.

Sedikit tentang protes yang dianjurkan untuk menentang penipuan dalam pilihan raya. Ada dua perkara yang perlu dipertimbangkan. Pertama, protes itu penting untuk menimbulkan kesedaran di kalangan rakyat bahawa mereka mungkin telah ditipu oleh kumpulan tertentu dalam pilihan raya baru lepas. Protes begini tidak dapat dielakkan, oleh itu tidak bijak jika disekat dengan kekerasan. Polis boleh menjalankan tugas mereka dengan objektif untuk memastikan tidak ada kekacauan berlaku; dengan itu polis tidak seharusnya membantu puak yang membuat kacau untuk bertindak ke atas kumpulan yang melakukan protes yang aman. Kedua, protes itu penting untuk menimbulkan kesedaran di kalangan pihak bertanggungjawab bahawa tindakan mereka mendapat perhatian rakyat, oleh itu mereka, jika mereka benar-benar jujur (sesuatu yang amat diragukan sebenarnya, tapi bolehlah kita berharap mereka jujur) dalam menjalankan amanah mereka. Menjalankan amanah, bukan hanya melaksanakan tugas. Amanah dan tugas tidak sama. Perompak menjalankan tugas yang diberikan oleh bos mereka; tetapi amanah dilaksanakan dengan kesedaran yang tinggi dari segi kerohanian, ini penting bagi orang Islam. Bagi yang bukan Islam, kesedaran kerohanian itu dilihat dari segi kesedaran moral yang tinggi. Sekarang hal-hal begini tidak diberi perhatian sama sekali; oleh itu kita lihat SPR hanya menjalankan tugas, tetapi tidak melaksanakan amanah. Jika amanah itu yang diutamakan, tentulah semua pihak akan lebih bertanggungjawab. Tetapi dalam politik, amanah tidak pernah dilihat dalam konteks tindakan sendiri, dalam erti orang yang bertindak tidak perlu amanah. Yang perlu memperlihatkan sikap amanah ialah lawan mereka, bukan mereka. Pandangan songsang ini disokong oleh para intelektual kita yang mendapat faedah daripada kumpulan yang berpolitik dengan konsep amanah, tetapi pada hakikatnya tidak amanah. Kalau mereka amanah, mereka tidak takut menghadapi kritikan, dan bersedia untuk menangkis secara gentlemen. Jika anda lihat dari perspektif ini, anda akan terkesan betapa pentingnya memprotes, kerana itulah juga termasuk dalam ajaran Islam. Tentu anda ingat hadis yang menegaskan, jika seseorang melihat kezaliman atau penipuan, dia mesti membetulkannya dengan tangannya (kuasa yang ada padanya), dengan lidah (kata-kata berupa nasihat atau cercaan yang bermoral), atau dengan membencinya di dalam hati (itulah selemah-lemah iman). Yang dicari ialah keadilan, kerana keadilan itu lebih dekat kepada taqwa. Itulah ajaran al-Quran. Pihak polis perlu sedar akan perkara ini, supaya mereka pun menjalankan amanah, bukan hanya menjalankan tugas, yang akan membuat mereka bertindak ganas. Kita bertanggungjawab mencerdikkan polis kita, supaya semua orang mendapat manfaat daripada kekuatan kuasa kepolisan mereka. Sebenarnya polis patut menyokong protes yang aman, kerana ini akan menyedarkan masyarakat yang membenci penyelewengan dan penipuan, yang kedua-duanya sebenarnya merupakan tindakan jenayah. Dengan kesedaran ini, dan masyarakat membenci perbuatan jenayah dalam bentuk apa pun juga, maka polis telah menjalankan amanahnya dengan baik. Kalau kita mempunyai  anggota polis yang amanah dan adil dalam tindakan mereka, keamanan akan benar-benar terjamin dalam masyarakat. Kita akan melihat nanti betapa anggota masyarakat akan menyebelahi polis, seperti yang berlaku di Kanada. Walaupun itu sangat ideal, tetapi boleh dicapai, seperti yang dibuktikan di Kanada, sekiranya polis mengambil inisiatif untuk mencapainya. Tidak ada sebab untuk anggota masyarakat membenci dan mencemuh anggota polis yang amanah.

Pola yang kita lihat dalam pembentukan Kabinet Bangsat PM 133 Kod 47 sebenarnya ulangan sebuah naratif lama. Dalam naratif lama itu, yang paling menyerlah ialah ciri mediocre anggota kabinet yang tidak menonjol ketokohannya sebagai pemimpin yang karismatik, atau sebagai manusia istimewa yang diketahui umum pernah melontarkan idea bernas tentang isu-isu tertentu yang kita ingin lihat ditangani dengan tuntas. Ada disebut tentang korupsi, atau rasuah, tetapi konsep rasuah itu sendiri masih tetap kabur dan dari segi operasinya malah mencerna korupsi baru. Contoh paling mudah ialah idea tentang keadilan dan konsep pembangunan ekonomi berimbang (? atau seimbang?) tidak saja antara daerah, tetapi juga antara komuniti. Contoh paling menonjol di sini ialah pelantikan MB Terengganu, yang awal-awal lagi telah memberi amaran bahawa hanya kawasan yang memilih UMNO/BN saja yang akan diberi perhatian.Tetapi belum tentu “dibangunkan”.  Terengganu memerlukan seorang pemimpin yang benar-benar berwibawa dari segi ketokohannya, ketangkasan berfikir, dan impiannya yang murni hendak melihat kesejahteraan rakyat, seperti misalnya impian seorang Hassan Fathy Sang Arkitek yang mengimpikan pembinaan rumah-rumah rakyat yang murah tetapi selesa untuk didiami. Terengganu perlukan manusia seperti itu, kerana selepas dijumpai simpanan petrol yang banyak di negeri itu, dari segi kemakmuran untuk rakyat tidak ada, sebaliknya rakyat Terengganu masih terus miskin dan susah mencari makan. Terengganu adalah negeri nelayan, mengapa tidak pernah terfikir oleh mana-mana ahli politik dari Terengganu untuk membina industri perikanan yang boleh memakmurkan para nelayan yang masih papa kedana itu?  Inilah pengkhianatan UMNO yang masih diteruskan dengan gigihnya dalam kabinet Bangsat PM 133 Kod 47 yang masih meneruskan klise naratif lama dalam pembangunan negara untuk kemakmuran rakyat yang faedah besarnya akan jatuh ke dalam genggaman para kroni. 

Mengapa wang minyak tidak dibelanjakan untuk membina persekitaran pembangunan tamadun moden yang faedahnya melimpah ke Kelantan dan Pahang dan seterusnya ke wilayah utara? Inilah kawasan Melayu yang dari segi sejarah purba sudah wujud tamadun lama yang berasaskan agama (Hindu-Buddha).  UMNO yang mendakwa mahu membela Melayu meninggalkan kawasan ini terus terbiar dan rakyatnya terus miskin hanya kerana ingin menentukan tidak muncul tamadun moden berasaskan Islam, semata-mata kerana takutkan PAS dan takut tidak dapat menjadi pemerintah di negeri-negeri Melayu. UMNO sanggup melihat para pemimpin mediocre mengepalai kerajaan negeri-negeri Melayu ini, kecuali Kelantan. UMNO tidak mahu negeri-negeri Melayu ini memilih model politik seperti yang dicorakkan oleh para pemimpin agama di Kelantan. Tidakkah ini satu pengkhianatan terhadap bangsa Melayu dan agama Islam?  Dengan membiarkan kawasan Melayu ini terbiar, UMNO memastikan orang Melayu terus bergantung pada UMNO dan Islam tidak menjadi faktor utama dalam politik dan pembinaan tamadun Melayu moden.

Jika trasformasi yang dijeritkan oleh kerajaan sekarang mempunyai makna, maka perkara-perkara yang disentuh dalam tulisan ini perlu diterjemahkan dalam konteks trasformasi yang digembar-gemburkan itu. Kita ingin melihat perubahan yang benar-benar menguntungkan rakyat dan masyarakat, bukan trasformasi  dengan maksud mengaut keuntungan untuk kroni, dengan mewujudkan projek besar-besar dan mahal-mahal pula, sedangkan untuk rakyat hanya bunyi tukul dan pahat yang sayup-sayup, bukan sesuatu yang tersergam di depan mata mereka yang boleh dimanfaatkan mereka.  Transformasi yang paling ditunggu-tunggu oleh rakyat ialah wujudnya klausa dalam Perlembagaan yang mengatakan, sebarang undang-undang yang digubal di Parlimen, yang bertentangan dengan undang-undang Islam, adalah terbatal setakat yang bertentangan itu, ertinya tidak mutlak secara keseluruhan. Itulah semangat yang dikehendaki oleh peruntukan yang mengatakan agama negara Malaysia ialah agama Islam. Tanpa klausa itu, para hakim telah mentafsirkan peruntukan itu dalam konteks adat istiadat sahaja, tidak kena-mengena dengan perundangan, dengan itu menjadikan peruntukan itu sebagai penghinaan tersembunyi kepada Islam dan undang-undang Islam. Ini yang perlu dibetulkan dalam trasformasi yang dilaungkan oleh kerajaan. Mengapa tidak mahu dilakukan ketika kerajaan UMNO/BN kehilangan majoriti 2/3, padahal mereka boleh dibantu oleh anggota Parlimen lain yang beragama Islam atau yang faham Islam untuk menggenapkan keperluan syarat 2/3 itu.  Kita mahu lihat benarkah anggota Parlimen ini kumpulan manusia yang jujur dan boleh dipercayai oleh rakyat.

Dalam konteks ini, saya ingin membawa satu perkara yang tidak mahu didengar oleh ahli politik, tetapi yang dilakukan mereka setiap saat (ditekankan: setiap saat), iaitu berbohong. Ini berkaitan dengan pandangan jujur seorang bekas Hakim Mahkamah Rayuan Persekutuan, Datuk Mohd. Nor Abdullah, yang diulangkannya dalam forum TV Bernama pada 16/5/2013. Bekas hakim ini memulakan kerjayanya sebagai pengulas politik pada suatu forum yang membicarakan kedudukan orang Melayu selepas PRU-13: masih selamat atau tergugat dari segi kuasa politik, setelah kehilangan buat selama-lamanya kekuasaan ekonomi. UMNO sebenarnya cukup faham, bahawa mereka bergantung pada usahawan dan saudagar China untuk mendapat kekayaan, kerana kumpulan ini telah mendapat peluang ekonomi yang tidak diberikan kepada orang Melayu zaman penjajahan dulu. Polisi Inggeris ialah membiarkan orang Melayu berada di kampung, menjadi penanam padi sambil mengusahakan pertukangan tradisi mereka. Pada umumnya inilah juga polisi UMNO, membiarkan orang Melayu terus terbiar dan merempat di kampung tradisi mereka. UMNO mencerca dan menghina anak-anak Kelantan yang keluar dari kampung tradisi mereka di Kelantan untuk mencari pekerjaan dan peluang perniagaan yang lebih baik di kawasan bandar seluruh Malaysia. UMNO mengeji sikap anak-anak Kelantan yang sanggup meninggalkan negeri mereka untuk membaiki kehidupan mereka di luar Kelantan, ke kawasan yang menjadi pusat pembangunan sejak zaman kolonial, dan diteruskan dengan megahnya oleh UMNO selepas merdeka. Bolehkah kita berkata sikap negatif dan jahat UMNO ini satu pengkhianatan terhadap orang Melayu?  Memang itulah hakikatnya, kerana dengan membiarkan orang Melayu terus bergantung pada belas ihsan UMNO, mereka dapat menggunakan orang-orang miskin ini untuk memberi mereka undi ketika diadakan pilihan raya. Memang ini masih berlaku, dan dari segi pengkhianatan ini, UMNO boleh terus menerus menyelamatkan kedudukannya. Tanpa undi Melayu di pusat-pusat kemiskinan yang dipelihara oleh UMNO, sudah lama parti anti-Melayu ini hancur. Jika anda melihat bagaimana gelagat para pemimpin Melayu UMNO ini bertindak, anda akan membuat hanya satu kesimpulan, iaitu mereka adalah pengkhianat orang Melayu dengan sikap anti-Melayu itu. Itulah hakikatnya. Mereka biarkan orang Melayu terus tinggal bodoh, tidak bebas membuat keputusan, malah orang Melayu disekat dengan pelbagai rasuah supaya tidak bebas membuat pilihan, melainkan menerima apa saja suapan daripada pemimpin UMNO yang mereka lakukan untuk menjamin orang Melayu memberi mereka undi. Paling ironik, kejahatan ini dilemparkan kepada bangsa asing yang kini sudah menjadi warga negara. Istilah “bangsa asing” ini masih dipakai dengan sah dalam sosiologi dan pembicaraan bersifat politik di Malaysia, kerana istilah ini dibentuk dan dibina dari pengalaman sejarah yang sukar hendak diketepikan begitu saja, satu istilah yang selalu mengingatkan orang Melayu bahawa mereka telah dikhianati oleh penjajah, dengan kerjasama dan bantuan serta persetujuan kaum bangsawan Melayu, untuk membawa masuk sebanyak-banyaknya orang asing ini untuk menjadi kuli penjajah, tetapi mereka terbuka kepada pembangunan ekonomi penjajah kerana mereka berada di dalam bandar atau di sekitar bandar, kecuali orang India yang diletak di dalam kebun-kebun getah, berhampiran dengan orang Melayu di kampung-kampung; jadi orang China itu diberi keistimewaan oleh penjajah sehingga menjadi satu faktor penting dalam menentukan kemerdekaan melalui perundingan: beri kerakyatan kepada orang asing ini dan Melayu mesti bersetuju berkongsi kuasa dengan orang asing itu yang kini, selepas merdeka, sudah menjadi warga negara tanpa syarat!  Cuba anda fikir secara bodoh, bagaimana faktor China ini menjadi faktor penting yang perlu dihadapi oleh pemimpin Melayu apabila Inggeris menjadikan mereka sebagai syarat untuk mendapat persetujuan penjajah mencapai kemerdekaan. Sekarang konteksnya berlainan, tetapi China masih lagi memainkan peranan yang menentukan arah politik Malaysia. Mana-mana kumpulan yang mendapat sokongan orang China, akan mendapat kemenangan dalam pilihan raya. Inilah yang kemudiannya menakutkan para pemimpin UMNO, tanpa mereka sedar dan ingat bahawa masalah ini merekalah yang membawanya, setelah dipaksa oleh  British.  Kaum China dipecah-pecah oleh para pemimpin UMNO dalam persempadanan baru, untuk memastikan mereka terus mendapat sokongan kaum China. Tetapi apabila pengundi China beralih kepada pembangkang, maka para pemimpin UMNO yang membawa masalah ini dalam sejarah politik Malaysia, mengkritik pengundi China sebagai tidak  mengenang budi, dan cuba memecahbelahkan orang Melayu untuk merebut kuasa politik pula. Mengapakah tuduhan biadab dan tidak berasas ini dilemparkan apabila saja UMNO lemah dan kalah dalam pilihan raya? Tujuannya ialah untuk menakutkan Melayu kampung supaya terus memilih UMNO dan kekal dalam feudalisme UMNO, terus menerus menjadi hamba UMNO untuk kononnya memberi kekuasaan politik, padahal dengan kuasa politik itulah para pemimpin UMNO memperoleh kekayaan yang luar biasa dan hidup mewah yang melampau-lampau. Cuba namakan di mana terdapat para pemimpin UMNO yang miskin dan tidak mewah? Semua mereka mewah. Dan kemewahan itu mereka kongsi dengan para kroni, yang termasuk di dalamnya saudagar dan peniaga China dan India. Lihat bagaimana penipuan ini berterusan. Ada di antara ketua UMNO yang dilantik menjadi menteri mempunyai kekayaan yang luar biasa, dengan simpanan RM500,000,000 (baca lima ratus juta) di sebuah bank yang paling maju kini. Jika mereka isytiharkan harta sebelum disahkan pelantikannya, tentulah kita boleh tahu siapakah yang terkaya di antara pejuang bangsa ini.`

Dalam Kabinet Bangsat PM 133 Kod 47 (gelaran ini diberikan oleh rakyat sendiri dalam perbualan kedai kopi mereka), terdapat menteri dan timbalan manteri yang diragui kedudukannya sebagai pemimpin yang boleh dipercayai. Misalnya, kita lihat dalam Laporan Suruhanjaya Diraja Lingam Tapes (judul yang tepat saya tidak pasti), terdapat tujuh orang penipu, salah seorang daripadanya kini dilantik menjadi menteri. Orang ini belum lagi dihukum, jadi masih hijau warna korupsi yang dipakainya. Walaupun Suruhanjaya Diraja itu memperakukan ketujuh-tujuh yang dituduh itu bersalah, kerajaan UMNO/BN di bawah Najib Razak tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap mereka. Dalam kes kedua, seorang dilantik menjadi timbalan menteri, mewakili pertubuhan haram kaum tertentu. Inilah kabinet yang bersumpah setia akan menghapuskan rasuah, dengan tokoh rasuah tercokol senang hati di antara anggota kabinet itu. Sandiwara ini kini dilakonkan dalam dua dimensi, satu dimensi di antara pengundi Melayu di luar bandar; satu lagi di kalangan pengundi bandar yang masih terus memilih calon yang korup kerana beliau itu calon boleh menang dalam perhitungan UMNO, dan di sini UMNO memang betul, apabila calon itu tidak saja menang, tetapi dilantik menjadi menteri.  Betapa palsu dan bohongnya usaha membanteras rasuah itu menjongol seperti kepala buaya menunggu mangsa, tetapi tidak secara spontan mengisytiharkan harta benda mereka, padahal itulah tindakan paling telus yang perlu dilakukan oleh sesiapa saja yang bercakap tentang pembasmian korupsi ini. Sepatutnya Perdana Menteri sendiri yang memulainya, seperti yang dilakukan oleh James Callaghan, PM Parti Buruh yang baru menang pilihan raya 1976.  Isytiharkan harta anda dan harta kaum keluarga anda, jika anda benar seorang yang telus dan jujur dan benar-benar mahu hapuskan rasuah seperti yang anda janjikan. Janji ditepati.  Tetapi anda tidak memilih ketelusan dan kejujuran dalam konteks amanah, oleh itu janji yang anda tunaikan itu tetaplah janji pembohongan anda dalam meneruskan tugas anda membohongi rakyat.



Mohd Affandi Hassan,
18/5/2013




                                           

3 comments:

  1. dato harun taib pun menerima keputusan rakyat dengan hati terbuka.soal undi elektoral atau undi popular itu hanyalah sistem.undi popular sesuai untuk sistem pemilihan individu seperti memilih presiden sesebuah negara.undi elektoral sesuai dengan politik malaysia yang mengutamakan kelompok kawasan.kalau sistem undi popular di gunapakai untuk kelompok kawasan akan berlaku ketidak adilan. contohnya kerajaan yang dipilih hanya menumpukan kepada kawasan yang ramai orang.kawasan yang tidak ramai penduduk akan di abaikan kerana undi mereka tidak menjejaskan kerajaan.

    sudah tentu kawasan seperti kawasan teresa kok akan diberi tumpuan kerana di situlah lubuk undi.kawasan seperti ulu tembeling yang tak ramai penduduk boleh diabaikan kerana undi mereka tidak boleh menggugat kerajaan.

    jadi pembangkang janganlah menyalahkan sistem.yang penting berusaha memenangi hati pengundi di kawasan luar bandar dengan strategi yang betul di samping pembangkang perlu di pimpin oleh pemimpin yang tak banyak masalah seperti sekarang.

    ReplyDelete
  2. Salam Sdr. Kutukan Dewata.

    Satu soalan bodoh: Mengapa Kutukan Dewata, nama Hindu? Adakah sdr. keturunan Hindu Bali?

    Komentar sdr. boleh diterima UMNO kerana menguntungkan mereka; tetapi sukar diterima sistemnya yang tidak mencerminkan keadilan untuk rakyat/pemilih. Selama 56 tahun sistem itu gagal memberi kebaikan kepada Melayu. Saya dari Kelantan, tidak boleh terima Melayu Kelantan dihina dan dikutuk UMNO sudah lebih setengah abad. Apakah yang membuat UMNO bersikap anti-Melayu? Seorang sahabat saya, dalam tahun 1977, dalam tesis Ph.D. beliau tentang hubungan Kelantan dan Federal, membuktikan betapa Kelantan disisih dari pembangunan hanya kerana politik. Mengapa pemimpin UMNO begitu kurang ajar terhadap rakyat Kelantan? Saya ramai kawan di antara pemimpin UMNO, dan pernah cadangkan supaya buat saja kemajuan yang anda/UMNO mahu, tak usah ungkit-ungkit, biar rakyat sendiri yang berkata: Ini kemajuan/pembangunan yang diusahakan oleh para pemimpin UMNO. Saya ditempelak kerana mengajukan kebaikan untuk Melayu. Mengapa UMNO takut sangat hendak mengajar Melayu berdikari? Biar mereka kritis dan terbuka, itu akan membantu para pemimpin mengenal masalah dan denyut nadi rakyat. Dalam keadaan sekarang, Melayu luar bandar tak ubah ayam daging, menunggu makanan dari tuannya. Ini yang membiakkan rasuah, hingga sekarang rakyat tidak tahu lagi mana yang rasuah mana yang hak mereka. Rasuah sudah dibudayakan. Tidakkah ini akibat sistem pilihan raya yang menggalakkan rasuah dan penipuan? Pak Sako pernah memberitahu saya, sekitar 1968 di Terengganu, orang Temerloh terjumpa bungkusan undi untuk Pak Sako di dasar sungai Temerloh. Sdr. dari Jerantut boleh sahkan atau deny dakwaan ini. Sahabat saya Almarhum Bung Karim pernah merintih katanya dia sudah cuba mendapat persetujuan kerajaan supaya dinamakan sebuah sekolah menengah dengan nama Pak Sako (Ishak Hj. Muhmmad). Saya diberitahu sudah pun ada sekolah yang bernama itu. Betulkah? Bung Karim beritahu, orang UMNO bilang Pak Sako itu komunis!! (Sungguh baik budi pekerti UMNO dan para pemimpinnya.)

    ReplyDelete
  3. PRU 13 membuktikan rakyat sudah bijak menilai. UMNO wajib berubah. Hentikan korupsi! Harta tak membantu di dalam kubur jika datangnya daripada yag haram (penipuan, penyelewengan, korupsi)

    Sedarlah UMNO, jangan jadi Melayu yang kurang ajar.

    -Anak Selangor-

    ReplyDelete