Thursday, May 9, 2013

MANIPULATED MAJORITY VS POPULAR MAJORITY: THE BULLSHIT DEMOCRACY OF MALAYSIA (Melayu sebagai hamba raja, hamba tuan, hamba umno ...?)




Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13) adalah penting, dan amat bersejarah, bagi saya secara peribadi.  Wajah sebenar demokrasi dapat kita lihat, tanpa ragu-ragu, hasil keputusan PRU-13: UMNO dan sekutunya dalam Barisan Nasional mendapat undi popular sekitar 5.2 juta;  manakala Pakatan Rakyat dan sekutunya mendapat undi popular sekitar 5.5 juta. Tetapi dari segi bilangan calon yang menang, UMNO dan sekutunya, dengan undi popular yang lebih kecil, mendapat 133 ahli Parlimen; manakala Pakatan Rakyat yang mendapat undi popular yang lebih besar, mendapat hanya 89 anggota Parlimen. Mengapa hal ini terjadi? Dalam demokrasi Malaysia, terdapa dua jenis majority: manipulative majority dan popular majority. Undang-undang telah direka begitu rupa untuk memihak kepada parti yang berkuasa, dengan sokongan dan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya, melalui manipulative majority. Jadi dari segi undang-undang dan pelaksanaan undang-undang, suara rakyat yang telah menolak UMNO dan sekutunya tidak bermakna apa-apa jika mereka hilang suara dari segi penguasaan bilangan undi dalam kawasan tertentu. Untuk memastikan UMNO dan sekutunya menang di kawasan-kawasan yang mereka pilih dan sempadankan, mereka bermain dengan jumlah pengundi yang dikira boleh memenangkan mereka. Oleh itu, sebuah kawasan yang luas dan besar, mempunyai sedikit sahaja pengundi; manakala di kawasan yang sempit dan padat penduduknya, bilangan pengundi dibesarkan kerana di situlah akan berlaku pertandingan sebenarnya. Inilah wajah sebenar “the bullshit theory of democracy”. 

Dalam konteks yang disebutkan itu, maka penipuan boleh saja dilakukan dengan mudah berasaskan kehendak undang-undang. Cara yang selalu dilakukan ialah dengan memindah pengundi melalui persempadanan semula kawasan. Ini memang dibuat setiap 10 tahun sekali, kononnya itulah kehendak Perlembagaan. Maksudnya, setiap 10 tahun mesti dipinda sempadan untuk memenuhi keperluan pengundi yang semakin ramai yang perlu dipecah-pecahkan supaya kumpulan yang ramai itu diberi keadilan dalam pemilihan wakil-wakil mereka.  Di sinilah dilakukan manipulasi yang amat lihai untuk memastikan kerajaan yang berkuasa akan tetap terus berkuasa dengan meletakkan para penyokong mereka di dalam kelompok tertentu.  Di lihat dari aspek ini, persempadanan semula itu tidak sekali-kali untuk memberi keadilan kepada pengundi, tetapi dijadikan strategi untuk memastikan kerajaan yang memerintah mendapat kemenangan. Cara ini memang dilakukan untuk memenuhi kehendak undang-undang yang dibuat untuk maksud tadi. Oleh itu, Perak yang sepatutnya jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dengan undi majoriti 54% hanya memperoleh 28 wakil,  kalah dalam undi manipulasi UMNO/BN yang mendapat 44% yang beroleh 31 wakil.  Adakah ini penipuan? SPR berkata, pilihan raya Malaysia adalah yang paling bersih jika dibandingkan di tempat lain yang penuh dengan penipuan. Untuk mebuktikan dakwaan itu, SPR menegaskan pengembaraan kertas undi dalam  peti undi Nusa Jaya berada dalam peti undi Dewan Undangan Negeri Mahkota. Undi itu dikira undi rosak. Soalan: Bagaimana pengundi itu memiliki kertas undi Nusa Jaya ketika mengundi di Mahkota? Dia sudah curi kertas undi atau ...? Cerita ini lebih menyeramkan daripada cerita hantu “Orang Minyak” arahan P. Ramlee. Sudah jelas di dalam tong undi itu memang ada undi hantu, atau ada hantu yang membawa tong undi yang berbeza. Jadi wujudnya pengundi hantu bukanlah cerita rekaan, tetapi cerita betul!  Agaknya inilah stylization of ideas (lebih tepat: stylization of actions) yang dipraktikkan oleh SPR yang telus dan bersih itu!

Sebenarnya banyak cara yang boleh dilakukan untuk menipu di dalam pilihan raya, selain daripada dua contoh yang disebut di atas. Sebuah buku panduan bagaimana hendak menipu dalam pilihan raya sudah patut diterbitkan oleh SPR untuk menjadi panduan dan ingatan para pengundi, supaya mereka tidak tertipu. Sekiranya memang tidak ada apa-apa penipuan, pengundi wajar diberitahu kemungkinan penipuan itu dilakukan oleh para pegawai SPR yang cekap, bersih dan amanah semuanya, tetapi masih ada juga yang memilih untuk menipu kerana sebab-sebab tertentu, misalnya kerana hendak menjaga kedudukan ketua-ketua UMNO, atau menjaga wakil Melayu yang mesti lebih banyak daripada wakil bukan Melayu.

Mengapa undi Melayu penting dipertahankan, walaupun dengan menipu? Mudah saja sebabnya: UMNO telah memberitahu orang Melayu, hanya UMNO saja yang dapat membela nasib mereka, menjaga raja-raja mereka, memastikan ekonomi mereka terus maju (atau terus ketinggalan tetapi sentiasa mendapat perhatian UMNO masa mengundi dengan pemberian wang dan lain-lain), memastikan kuasa politik terus berada dalam tangan orang Melayu, dan lain-lain sebab yang semuanya diwujudkan untuk kepentingan Melayu. Apakah kepentingan Melayu? Antaranya ialah menjaga kesucian Islam dan kedudukan undang-undang Islam di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Mengenai perkara ini, sekitar tahun 1980-an, Tun Salleh Abbas yang ketika itu masih lagi Ketua Hakim Negara, memberi ceramah tentang kedudukan Islam dalam Perlembagaan Malaysia. Saya ada bersama mendengarnya.  Ketika soal-jawab, beliau diminta menjelaskan mengapa undang-undang Islam tidak boleh dilaksanakan di Malaysia?  Jawapan biasa: Kita ada Perlembagaan Negara Malaysia yang dipersetujui oleh semua rakyat Malaysia ketika kemerdekaan Tanah Merlayu sedang dirunding dengan Britain. Dalam Perlembagaan itu,  undang-undang tertinggi ialah Perlembagaan itu sendiri, yang tidak boleh diubah selain dari dalam Parlimen, dengan 2/3 majoriti. Kalau mahu hukum Islam dijadikan undang-undang utama, kata Tun Salleh Abas, caranya mudah saja, iaitu masukkan saja satu klausa kecil yang berbunyi (misalnya): “Apa-apa undang-undang yang bertentangan dengan undang-undang Islam yang diluluskan dalam Parlimen, adalah terbatal dengan sendirinya”.   Pendek dan ringkas. Tetapi mesti ada sokongan 2/3. Kalau UMNO betul-betul mahu membela undang-undang Islam, inilah masanya, ketika suaranya (suara Islam) yang amat kecil dalam Parlimen, boleh dijadikan 2/3 untuk mengubah atau memasukkan klausa yang dicadangkan oleh Tun Salleh Abas itu, dengan undi besar yang diperolehi oleh anggota Parlimen dari PAS dan PKR. Boleh dilakukan secara rahsia, jadi kita tidak tahu siapa di antara pengundi itu datang dari mana-mana parti politik mana. Jika ada bantahan daripada bukan Islam, maka bantahan itu melanggar Perlembagaan, oleh itu boleh dihukum kerana menghina Yang di Pertuan Agong dan negara. Ketika UMNO sedang menghadapi kemusnahan total, maka jasa UMNO terbaik dapat dilakukan pada waktu ini untuk mencadangkan klausa tadi dimasukkan dalam persidangan dan dibawa untuk undian.  Tetapi saya yakin cadangan ini akan mendapat bantahan paling gigih daripada ahli Parlimen UMNO. Sebab-sebabnya biarlah mereka sendiri menyatakannya.  Sebagai imbasan, anda perlu ingat Islam adalah penting sebagai sejenis komoditi politik UMNO, yang digunakan untuk menakutkan pengundi Melayu dalam rangkaian penipuan mereka, bahawa UMNOlah satu-satunya parti Melayu yang dapat mempertahankan kesucian Islam, walaupun pemimpin mereka korup, menghina hukum Islam, dan membina rangkaian kroni yang besar untuk menjarah harta negara. Semua kejahatan ini dilakukan atas nama Islam dan pembelaan terhadap orang Melayu; yang tidak boleh lagi dilakukan jika undang-undang Islam dilaksanakan mengikut kehendak Perlembagaan yang dipinda.  Antara para penentang kuat pindaan ini ialah para cendekiawan Melayu, ahli akademik Melayu, termasuk juga para “ulama” UMNO yang mendapat faedah daripada status quo sekarang.

Jika kita meneliti semua isu ini, kita akan dapati betapa berjayanya UMNO memperbodohkan umat Melayu selama setengah abad, dan akan melakukannya lagi untuk 50 tahun kedua nanti. UMNO hanya boleh hidup dengan persetujuan orang Melayu yang diperbodohkan itu, termasuk juga para cendekiawan dan sebagainya yag disebut di atas. Inilah hakikat feudalisme UMNO yang diwujudkan melalui mitos Malayan Union. Anda hanya boleh membuat perubahan sekiranya Mitos Malayan Union itu dihancurkan bersama feudalisme UMNO. Tetapi inilah yang ditentang oleh orang Melayu semua peringkat; demikianlah bijaknya para pemimpin UMNO memperbodohkan Melayu melalui sistem feudalisme UMNO yang anti-intelektual dan anti-Islam.

Berasaskan kejayaan UMNO yang begitu cemerlang dalam masa 65 tahun, bagaimanakah pengalaman itu diterjemahkan dalam kesusasteraan Melayu, terutama sekali dalam pemilihan para sasterawan negara?

Mohd. Affandi Hassan,
9/5/2013.

                                           

1 comment:

  1. Mantop! Pandangn bernas. semoga Melayu tidak terus mabuk dalam kebodohan yang diperaga sebagai kebijaksanaan.

    ReplyDelete