Baha Zain dimunculkan di YouTube untuk memberi sedikit
komen terhadap komen Sasterawan Negara Shahnon Ahmad terhadapnya. Katanya, kawan-kawannya
nasihatkan supaya tidak menjawabnya kerana Shahnon Ahmad sendiri tidak muncul
secara peribadi mengucapkannya, melainkan melalui seorang jurucakap yang
bernama Dr. Faisal Tehrani (bukan orang Parsi). Jadi tidak pasti, betulkah dia
yang bercakap atau tafsiran Dr. Tehrani saja. Menurut Dr. Tehrani, dia bertanya
Shahnon Ahmad, siapakah yang layak jika bukan Baha Zain. Dr. Tehrani
memberitahu, Shahnon Ahmad menyebut nama Mana Sikana dan Fatimah Busu. Agaknya
kerana dia kecewa dua orang calonnya tidak terpilih, maka Baha Zain menerima
padahnya. Pendirian Baha Zain tidak mahu menjawab komen itu munasabah dan
tepat. Tetapi apabila beliau berkata (ini tentulah reaksinya, walaupun beliau
mengaku dia tidak bermaksud membalas komen Shahnon Ahmad) komen itu menimbulkan
reaksi negatif di kalangan penulis dan lain-lain, maka dia telah memberi nilai
negatif kepada komen Shahnon Ahmad tanpa menjelaskan apakah yang negatif itu.
Saya lihat begini (negatif atau positif anda boleh
timbang sendiri): Kini telah timbul kesangsian di kalangan para sasterawan,
yang diwakili oleh SN Shahnon Ahmad, bahawa kemunculan sasterawan negara
akhir-akhir ini (maksudnya dalam masa 25 tahun) boleh dipersoalkan. Sama ada
betul atau tidak Shahnon Ahmad mewakili sasterawan lain tidak penting, kerana
yang penting rasa musykil itu kini telah disuarakan dengan lantang. Selama ini
secara senyap-senyap, dalam bentuk gosip atau cakap-cakap mengumpat. Ini sudah
lama didengar di kalangan penulis. Jadi kemusykilan itu sudah lama ditimbulkan,
tetapi tidak ada sasterawan seberani sasterawan Shahnon Ahmad untuk menyuarakannya.
Jika dilihat secara positif, tindakan Shahnon Ahmad adalah amat positif, kerana
beliau menyuarakan sesuatu yang sudah lama didengar. Lebih positif lagi apabila
komen Shahnon Ahmad itu dibincangkan sesama sasterawan, sehingga dengan itu
mereka diberi pilihan untuk bersetuju atau tidak. Mana satu di antara dua puak
ini yang dominan tidak berkesan ke atas kesahihan pemilihan Baha Zain, kerana
ada ukuran lain yang menentukan boleh tidaknya Baha Zain memegang bendera
bernama Sasterawan Negara itu. Menteri Pelajaran yang menjadi pengerusi Panel
Anugerah Sastera Negara berkata boleh, maka dengan kuasa yang ada padanya
sahlah Baha Zain seorang sasterawan negara. Adakah anda faham apa maksudnya? Anda
tidak memerlukan kuasa kreatif anda untuk mempertahankan kedudukan anda; anda
hanya perlukan kuasa politik yang menatang anda.
Ada pun kemusykilan Shahnon Ahmad bahawasanya Baha
Zain menulis sajak-sajak kontot yang berselerak, tidak fokus, maka itu
pandangan peribadi beliau, bukan pandangan rasmi. Di Malaysia pandangan
peribadi tidak berharga, walaupun
datangnya dari seorang Raja Novelis Malaysia. Tetapi pandangan Shahnon Ahmad
amat bermakna, kerana beliau telah
menimbulkan satu persoalan besar dalam pemilihan sasterawan negara. Beliau
memberi satu ukuran baru yang selama ini tidak pernah ditimbulkan dalam
mana-mana laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Beliau mengatakan Baha Zain
tiada fokus, yang bererti tidak mempunyai sekepal pemikiran konkrit yang boleh
dijadikan hujah untuk membolehkan beliau diberi title sasterawan negara. Pandangan Shahnon Ahmad ini amat penting,
jika anda membaca kertas kerja yang ditulis oleh para sarjana yang membicarakan
pemikiran para sasterawan negara. Kita
akan dapati semua sasterawan negara ini, termasuk Shahnon Ahmad sendiri, tidak
mempunyai fokus itu, seperti yang dimaksudkan oleh Shahnon Ahmad. Malah
bagi Panel Anugerah Sastera Negara, yang Shahnon Ahmad pernah beberapa kali
duduk sebagai ahli, tidak pernah menyebut masalah fokus ini, kerana semua
sasterawan negara memang tidak mempunyai fokus itu. Mereka terpilih kerana
sebab-sebab lain, bukan kerana pemikiran mereka yang difokuskan kepada sesuatu
tema agung seperti yang boleh kita lihat dalam karya Iqbal misalnya. Jadi bukan
soal fokus atau soal pemikiran yang menjadi ukuran utama Panel. Semua penulis
kertas kerja berhempas pulas mencari fokus pemikiran itu, tidak bertemu. Saya
pernah bertanya Prof. Rahman Shaari dalam seminar tentang pemikiran A. Samad
Said, apakah pemikiran Samad Said. Prof. Rahman Shaari ketika itu menjawab
secara negatif; mungkin sekarang sudah berubah, sesuai dengan “teori” anjakan
makna ciptaan (?) beliau. Jika kita membaca kertas kerja tentang pemikiran
sasterawan negara ini, kita pun berasa hairan mengapa para sasterawan negara
ini tidak muncul, melalui kertas kerja itu, sebagai pemikir yang handalan,
tetapi terserlah sebagai pencatat peristiwa dalam masyarakat yang kebetulan
menjadi minatnya untuk dijadikan tema karya kreatif. Oleh itu dalam seminar
itu, kita akan membaca kertas kerja yang membicarakan Usman Awang sebagai itu
dan ini, beraneka dan berserabut dalam karyanya; tetapi semua penulis bersetuju
satu perkara, Usman Awang itu berjiwa romantis. Apa maksudnya kita tidak diberi
penjelasan, kerana sudah understood,
tak perlu penjelasan lagi. Prof. Rahman Shaari dalam syarahan perdananya memuji
Baha Zain sebagai pelopor sajak-sajak konfesi yang berciri erotik dan berbicara
tentang perkelaminan manusia, biasanya antara pelacur dengan pelanggannya.
Nampaknya tema pelacuran ini amat erat dengan kehidupan seni para sasterawan
kita, kerana di situ terdapat kemanusiaan dan kejujuran manusia, oleh itu
pembicara tentang pelacuran mempunyai suatu kelebihan yang membuat mereka layak
diberi gelar sasterawan negara. Saya kira itulah fokus Baha Zain, oleh itu
beliaulah satu-satunya sasterawan yang mempunyai fokus menurut Prof. Rahman
Shaari dalam syarahannya, dengan mengemukakan tiga buah sajak konfesi yang
erotis yang sama temanya sebagai sajak-sajak yang mantap. Jadi jelaslah Prof. Emeritus Shahnon Ahmad,
Sasterawan Negara, telah memberi penilaian yang tidak tepat, mungkin juga
salah, terhadap Baha Zain. Mungkin ini kelemahan Baha Zain sendiri yang
“menangguhkan kebenaran”, seperti yang termuat dalam sajaknya yang paling
terkenal, “Menangguhkan Kebenaran”. Mengapa “kebenaran” itu ditangguh kita
tidak pasti; boleh jadi yang ditangguh itu “kebenaran untuk berbuat sesuatu
berupa pengakuan sifat hipokrasi diri”, bukan kebenaran dengan makna “the
truth”. Kalau maksudnya “the truth” tentulah amat aneh mengapa kebenaran dengan makna itu mesti
ditangguhkan. Kata Prof. Rahman Shaari memberi komen, sejenis jawapan: “Pengakuan
yang dikemukakan oleh Baha Zain melalui sajak ‘Menangguhkan Kebenaran’
merupakan puncak kepada gaya ini [i.e. gaya konfesi erotik]. Dalam sajak
tersebut protagonis dikatakan berbohong kepada kekasihnya. Pembohongan
protagonis adalah biasa saja, tetapi pengakuannya menarik. [Aku berbaring tanpa pakaian di ranjang/
mengiring mengadap wajah kaca yang sepi/ betapa derita tubuhku dan pucatnya
kulit/ bagai seksa seabad berhimpun sesaat/ mengundang kemusnahan tetapi
menangguhkannya/ untuk suatu waktu yang tak pasti]. ... Sebenarnya, dalam menanggapi kebagusan sajak ini [penegasan ditambah], pengaruh erotisisme
tidak mungkin dapat diketepikan. Erotisisme dalam puisi bertolak daripada
hakikat kejadian. Khusus untuk Baha Zain, kehebatan
[huruf condong ditambah] menyuarakan
soal yang berkaitan dengan seks adalah campuran hakikat kejadian dan
pengetahuan psikoanalisis Sigmund Freud yang dikuasainya. Sajak ‘Menangguhkan
Kebenaran’ akan kelihatan lebih mantap jika dikupas dengan menggunakan
pendekatan Freudian.” (hal. 39-40, Kemantapan
Puisi Melayu Moden: Satu Tinjauan).
Anda fikir sajak-sajak erotik intelektual (?; atau intelektual erotik?)
berdiri cukup kuat untuk mengangkat panji-panji sasterawan negara?
Saya beruntung kerana tidak pernah menulis tentang
“hakikat kejadian” versi Baha Zain, walaupun Prof. Rahman Shaari mengaitkan
sebuah cerita pendek saya, “Le Masque”, dengan “kebenaran” versi Baha Zain ini.
Menurut Prof. Rahman Shaari, “... sajak Baha Zain memuatkan keluasan makna [italics ditambah]. Baha Zain bersajak bagi memaparkan permasalahan
sosial dan kejiwaan manusia moden. Keberkesanan sajak Baha Zain dapat disamakan
dengan keberhasilan Mohd. Affandi Hassan menyampaikan tema hipokrasi melalui
cerpennya ‘Le Masque’. ... Akhiran karya
ini benar-benar berupa konfesi [diikuti kutipan pendek.] ... Daya tarikan cerpen ‘Le Masque’ karya
Mohd. Affandi Hassan adalah sekuat daya tarikan sajak ‘Dalam Lingkaran’ dan
‘Menangguhkan Kebenaran’ karya Baha Zain”. (hal. 45-460.)
Nampaknya Prof. Rahman Shaari terlalu seronok dengan
persoalan konfesi ini, sehingga sebuah cerita pendek tentang kepalsuan para
sasterawan disamakannya dengan “konfesi” Baha Zain. Itulah yang paling ironik,
apabila beliau menyamakan padi hampa dengan padi berat, persis yang dibuat oleh
Pak Pandir sewaktu membeli padi. Seluruh makna “Le Masque” dan ketajaman
sindirannya menjadi hambar apabila disamakan dengan “konfesi” Baha Zain yang
bermain dengan erotisisme itu! Kita
berasa sangat aneh apabila Prof. Rahman Shaari membuat kesimpulan, sajak Baha
Zain akan kelihatan lebih mantap jika dikupas menggunakan pendekatan
Freudian. Bagaimana pula jika dikupas
menggunakan pendekatan Persuratan Baru? Sungguh cantik sekiranya Baha Zain
memohon Panel Anugerah Sastera Negara menjawab kritikan Shahnon Ahmad
terhadapnya (seperti yang ditegaskannya dalam perbualan dengan Malaysiakini
yang tersiar dalam YouTube), supaya kekeliruan Prof. Rahman Shaari dan keangkuhan
Sasterawan Negara Prof. Emeritus Shahnon Ahmad dapat diperbetulkan melalui
pendekatan gagasan Persuratan Baru. Atau pendekatan yang lebih baik ialah
dengan memberi peluang kepada dua orang tokoh ini menulis dalam kolum
masing-masing di Dewan Sastera untuk
mengajar pembaca dan para sasterawan bagaimana beradab sopan dalam polemik
intelektual bertaraf tinggi, sesuai dengan kedudukan mereka, supaya
kesusasteraan Melayu dan kritikan sastera tidak lagi dipengaruhi dan didukung
oleh pandirisme. Dirgahayu Pak Pandir yang memilih padi hampa!
Mohd. Affandi Hassan,
26/4/2013.
Salam,
ReplyDeleteSaya telah menulis di FB saya cerita sebenarnya. Dan saya telah berkesempatan menjelaskan kepada Dato Anwar Ridhwan.
Wassalam.
Terima kasih banyak. Moga-moga tidak ada kekeliruan.
ReplyDelete