Tuesday, April 9, 2013

YANG TEMPATAN DAN YANG BARAT DALAM TEORI SASTERA: MENYUBUR ATAU MENGELAK PANDIRISME DALAM KRITIKAN SASTERA?


Sudah wujudkah teori sastera tempatan? Sudah tertolakkah teori sastera Barat dalam kritikan sastera tempatan? Dua soalan ini saya kira lebih mengelirukan persoalan daripada menjelaskannya. Adakah kita perlukan teori sastera tempatan? Adakah kita perlu tolak semua teori sastera Barat? Nampaknya terdapat orang yang berasa perlu kepada teori sastera tempatan, dengan alasan mudah seperti yang dinyatakan oleh Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh: kita sudah lama melakukan kesalahan dalam menilai karya kita yang ditulis dalam bahasa Melayu yang tidak sama dengan karya Barat dengan menggunakan teori sastera Barat untuk menilai sastera kita. Adakah pandangan profesor ini betul? Nampaknya beliau sendiri tidak pasti, kerana semua karya beliau masih dihuraikan dan dinilai daripada perspektif teori sastera Barat seluruhnya. Adakah itu satu kesalahan? Jika satu kesalahan, mengapa cara itu diterima Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dan dia gembira kerana dari penggunaan teori itu dia rasa karyanya selamat dan  menjadi agung?  Ambil satu contoh yang paling mudah: sajak beliau tentang Si Tenggang muncul sebagai sajak intelektual jika dinilai daripada perspektif teori sastera Barat. Bagaimana pula jadinya jika dinilai daripada perspektif gagasan Persuratan Baru yang menekankan konsep ilmu yang benar? Antara dua penilaian ini, mana satu yang betul; atau kedua-duanya tidak betul? Jika itulah masalahnya, maka ketika itu kita mungkin perlukan teori sastera tempatan. Tetapi apakah yang ingin dicapai oleh teori tempatan itu?  Nampaknya kita sekarang sedang berpusing-pusing cuba menyelesaikan satu jenis kekusutan yang hanya boleh diselesaikan melalui kefahaman yang mendalam tentang peranan konsep ilmu yang benar dalam kritikan sastera.  Tetapi ini pun sebenarnya menjadi satu masalah, apabila orang sastera tidak boleh menerima konsep ilmu yang benar, kerana bagi mereka tidak ada konsep ilmu itu dalam kesusasteraan yang mereka praktikkan. Jika itulah persoalannya, maka dengan sendirinya tertolaklah keperluan kepada teori tempatan itu, kerana wujudnya teori sastera tempatan akan mempersoalkan mengapa perlu wujud praktik sastera yang ada sekarang, yang pada umumnya hanyut dalam kekeliruan tentang makna dan matlamat sastera, seperti yang ditunjukkan dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara.  Jika anda membaca laporan panel itu, anda akan melihat bagaimana kukuhnya teori dan pendekatan Barat dikerabat oleh ahli panel yang pengetahuannya tentang selok belok teori sastera Barat sebenarnya tidak mendalam, hanya sekadar ikut-ikutan saja kerana kebetulan itulah saja yang mereka tahu. Inilah orangnya yang memilih sasterawan negara!

Nampaknya kita tidak boleh selesaikan masalah kita, kerana cara berfikir kita terlalu kusut. Mengapa cara berfikir itu menjadi terlalu kusut? Tidak lain sebabnya ialah kerana kita terlalu terpengaruh dengan teori sastera Barat dan cara penilaian yang dilakukan dalam tradisi kritikan Barat. Jika anda mahu bukti, anda boleh baca laporan Panel Anugerah Sastera Negara, dan anda akan dapat jawapannya di sana. Terang jelas, jika anda faham persoalan yang dibicarakan di sini.  Lihat bagaimana kelirunya penilaian yang dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam Laporan 2012.  Dalam laporan itu, dipakai pendekatan (belum sampai ke peringkat teori) yang dinamakan hermeneutik kerohanian, yang berasal daripada teori sastera Barat.  Pendekatan ini digunakan untuk menentukan betul tidaknya sajak-sajak sasterawan yang seorang ini berunsur sufi, atau terus saja dikatakan penulis sajak-sajak sufi. Tentulah amat aneh apabila pendekatan yang berasaskan nilai-nilai Barat itu digunakan untuk mengangkat sasterawan negara berkenaan sebagai penulis sajak sufi, walaupun lebih tepat jika ukuran yang berasaskan nilai-nilai Islam itulah yang dipakai jika mereka betul-betul mahu bermain dengan aspek “kesufian” dalam sajak-sajak Melayu. Kata laporan ini, oleh sebab sajak-sajak sasterawan ini “bersumberkan” al-Quran dan hadis, maka wajarlah digelar sajak-sajak sufi, walaupun pada waktu yang sama pensajak ini memggunakan alusi Mark Anthnoy dan Cleopatra untuk menyatakan amukan cintanya.  Tetapi yang penting, adakah sasterawan ini benar-bnar mempunyai peribadi seorang ahli sufi? Kalau belum pasti, maka bagaimana kita boleh dengan yakin beliau menulis sajak-sajak sufi? Inilah hasil pemikiran yang berkarat dengan nilai-nilai Barat dalam kritikan dan penulisan kreatif, yang menjadi dasar kesusasteraan Melayu moden. Dalam dunia sastera ini tidak mungkin lahir sajak-sajak sufi, kerana dunia itu bukan sebuah dunia yang sesuai untuk dihuni oleh seorang penulis yang berjiwa sufi.  Muhammad Iqbal menulis  syair-syair sufi kerana beliau berada dalam dunia pemikiran Islam tulen, oleh itu mesej dan matlamat syairnya ialah membina peribadi Muslim berasaskan cinta Ilahi, bukan dakapan Mark Anthony dan Cleopatra yang sedang mabuk cinta berahi seperti alusi yang dipakai oleh pensajak ini.

Kini terdapat sejenis perlumbaan jenis arnab dan kura-kura untuk mencapai kemenangan peribadi sang sarjana yang berasa dia perlukan satu teori sasteranya sendiri untuk menonjolkan dirinya, seperti arnab dan kura-kura. Masalahnya ialah gelanggangnya kecil, terlalu kecil untuk merangkum satu dunia teori berasaskan pemikiran yang benar-benar mantap. Akhirnya timbullah idea “teori tempatan” ini, tempat para sarjana bermain guli idea secara kecilan untuk menentukan manakah karya tempatan yang bagus dan mencerminkan budaya tempatan. Adakah ini kerja sarjana?  Tentu saja bukan kerja sarjana yang matang dan selesa bermain dengan idea yang bersifat sejagat. Nama teori tempatan itu saja telah menunjukkan betapa parochialnya, betapa kempungannya idea itu.  Tidak guna kita mengkritik teori sastera Barat jika teori yang ditelurkan itu tunduk menguku tidak berupaya mencabar teori Barat yang gagah perkasa itu.  Sebuah teori sastera Melayu haruslah berasaskan epistemologi tertentu, yang berupaya mencabar semua teori Barat yang dikatakan tidak sesuai dengan karya tempatan itu. Sebenarnya para sarjana sastera Malaysia amat selesa menggunakan teori Barat, kerana tidak ada tanggungjawab kemanusiaan mahupun tanggungjawab ilmu. Maksud tanggungjawab kemanusiaan itu ialah tanggungjawab keinsanan, yakni perihal kejadian insan dan ke mana arah tuju hidupnya di dunia dan selepasnya. Teori Barat tidak dapat memberikan kedua-dua arah tuju itu, kerana selain teori itu tidak berupaya melakukannya, setiap teori tidak peduli apakah matlamat hidup manusia di dunia dan langsung tidak percaya adanya kehidupan selepasnya. Oleh itu teori sastera Barat pada asasnya adalah sewenang-wenang, bertentangan dengan hakikat kejadian insan, hanya patuh kepada kemahuan hawa nafsu rendah manusia, yang memang menjadi asas kesusasteraan Barat. Jikalau anda mahu tahu persoalan ini lebih jauh dan lebih mendalam, bacalah kritikan Tolstoy ke atas Shakespeare, yang dianggapnya seorang mediocre saja. (Lihat antara lain, Morris Weitz, Hamlet and the Philosophy of Literary Criticism, Faber Editions, 1972; hal. 187 dst.) Dalam tahun 1991, sewaktu perasmian ISTAC di Kuala Lumpur, Annemarie Schimmel, sarjana German yang terkenal itu, bertukar mathnawi dengan seorang sarjana Iran; setelah kedua-duanya saling membacakan mathnawi Rumi, maka berkatalah Annemarie Schimmel: “Shakespeare dan Goethe, dibandingkan dengan Rumi, hanyalah budak-budak pemain guli, kerana gergasi sebenarnya  sadalah Rumi dan lain-lain penyair Islam.” (Kutipan dari ingatan, hanya maksudnya saja.)

Menjadikan kemahuan hawa nafsu rendah manusia sebagai tema agung sastera Barat itulah yang mereka namakan realiti kehidupan, yang secara total hanya menerima sifat-sifat rendah hawa nafsu kebinatangan dan kesyaitanan manusia. Sebenarnya Barat pun masih percaya adanya syaitan, yang mereka gelar rajanya Mephistopheles, yang dijadikan wira agung dalam Faust (sama ada versi Goethe atau lain-lain versi). Inilah asas kesusasteraan Barat, yang kemudiannya ditiru dengan jayanya oleh para sasterawan negara dan lain-lain sasterawan.  Tentu saja para sasterawan negara menolak kesimpulan ini, tetapi hakikat bahawa mereka menerima nilai-nilai Barat yang bersumber daripada manusia sendiri (man as the measure of values), maka para sasterawan ini terpengaruh juga dengan sifat-sifat keiblisan yang ditayangkan dalam watak-watak yang menjadi pilihan para sasterawan ini. Ini dibuktikan dengan jelas dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara.

Apa yang disebut sebagai “teori” oleh para sarjana ini bukanlah teori dalam makna dan maksud yang sebenarnya, yang dikonsepsikan oleh para ilmuan dunia. Yang mereka kemukakan tidak lebih dari sejenis panduan umum untuk melihat unsur-unsur Islam atau unsur-unsur Melayu  dalam sebuah karya kreatif, atau panduan untuk menilai kemampuan kreatif para sasterawan.  Semua ini kemudiannya melahirkan retorik peragaan di kalangan para sarjana ini, yang menderetkan apa saja unsur yang mereka anggap penting, tanpa sebarang ukuran yang boleh dijadikan standard untuk menjadikan unsur-unsur yang mereka lontarkan itu sebagai asas penting dalam penilaian karya dan juga dalam proses penulisan kreatif. Mereka hanya berminat memberi sedikit panduan kepada pembaca (termasuk sarjana sastera) supaya mereka boleh berkata, “Ini sastera Islam”, dan “Ini pula bukan sastera Islam” atau lain-lain kategori yang mereka sarankan (misalnya sama ada karya itu menggunakan unsur-unsur nilai Melayu atau tidak).  Tidak ada penjelasan sedikit pun dalam “teori” yang boleh dijadikan ukuran yang standard dalam penulisan kreatif dan juga dalam penilaiannya.  Sebagai contoh, ada di antara mereka yang berpendapat bahawa mimpi adalah salah satu unsur penting dalam karya berunsur nilai-nilai Melayu; tetapi tidak dijelaskan bagaimana kehadiran mimpi itu boleh dijadikan ukuran yang objektif dan jitu ketika menilai keunggulan sesuatu karya seperti novel. Bolehkah mimpi dijadikan unsur penting ketika menentukan sesebuah karya itu sudah sampai ke taraf masterpiece?  Contoh ini diambil untuk memberi sedikit bayangan kepada pembaca apakah corak “teori” yang digembar-gemburkan itu: betulkah sebuah “teori” atau hanya satu panduan umum untuk pembaca?  Jika anda seorang sarjana, anda boleh senaraikan ciri-ciri “teori” itu, dan uji keberkesanan ciri-ciri itu ketika menganalisis dan menilai sesebuah karya kreatif, yang diambil dari dalam karya itu, bukan hanya senarai ciri yang diberikan oleh “penteori” berkenaan.

Tiga perkara penting harus dikenal pasti   apabila bertemu dengan sesuatu “teori”: (1) apakah masalah atau persoalan penting yang ingin diselesaikan oleh “teori” itu; (2) apakah ciri utama “teori” itu dan sejauh mana persoalan atau masalah tadi diberi penekanan dalam “teori” itu: (3) adakah “teori” itu memberi kesan penting dalam analisis dan penilaian sesebuah karya kreatif yang dikaji dengan menggunakan “teori” itu.  Untuk yang (1), kita ingin tahu bagaimana “teori” itu menghuraikan masalah yang dikenal pasti sebagai masalah penting dalam kritikan sastera dan mengapa masalah itu dianggap penting dalam kritikan sastera. Untuk yang (2), ciri utama sesebuah “teori” merujuk kepada pembinaan sistem yang dibina oleh “teori” itu yang membezakannya daripada “teori” lain yang memberi penekanan tertentu dalam aspek kreatif dan kritikan sastera. Dari segi kritikan, adakah “teori” itu menyediakan cara membaca dan menilai sesebuah karya kreatif sehingga dari situ kita dapat melihat kekuatan atau kelemahan karya tersebut sebagai hasil seni dalam penulisan. Dari segi kritikan juga, adakah ciri-ciri yang diberikan itu boleh diukur dengan objektif, tepat dan jitu apabila menganalisis dan menilai sesebuah karya. Contoh: dalam “teori” lama, sesebuah karya kreatif seperti novel dinilai aspek ceritanya dari segi pembinaan dan perkembangan plot; manakala dalam Persuratan Baru, plot dilihat dalam konteks ruang naratif yang digunakan pengarang ketika membina karyanya dengan memberi tumpuan kepada wacana yang menyerlahkan pemikiran pengarang di samping pembinaan cerita yang ditentukan oleh pembinaan wacana tadi. Maksudnya, plot tidak lagi dijadikan aspek utama analisis dan penilaian, kerana dari segi pembinaan karya cerita, plot menekankan kepada pembinaan cerita; sedangkan penggunaan ruang naratif memberi perhatian kepada pemikiran dan bagaimana pemikiran tadi menentukan pembinaan cerita.  Dua perkara itu diberi penekanan, dengan keutamaan diberikan kepada pembentukan wacana; oleh itu cerita tidak lagi meleret penuh dengan padding seperti yang berlaku di kalangan para sasterawan dalam penulisan novel mereka. Dua contoh penting di sini ialah novel Imam dan Salam Maria, dua buah karya yang hanyut dalam gaya cerita yang tidak terkawal sehingga tidak terserlah ketajaman analisis pengarang dalam pembinaan struktur novelnya.  Walaupun dua buah novel ini dianggap sebagai “novel Islami” dari segi zahirnya; tetapi apabila dianalisis dan dinilai dari segi pemikiran ciri Islam yang mengutamakan ilmu,  pemikiran tadi tidak terserlah dalam bentuk wacana kerana diberi keutamaan kepada cerita yang meleret-leret panjang hanya sebagai padding yang tidak diperlukan dalam konteks pembinaan struktur karya tersebut.  Anda tidak dapat memahami aspek ini jika anda tidak memberi perhatian kepada (3) yang menentukan berkesan tidaknya “teori” yang anda guna dalam analisis dan penilaian anda. Persoalan ini dibincang dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah dalam beberapa makalah beliau, misalnya ketika menghuraikan bagaimana dalam sesuatu sayembara tertentu sebuah novel, Harga Sebuah Maruah, diberi penilaian yang tidak  tepat yang bertentangan dengan syarat peraduan itu sendiri. Contoh lain ialah analisis Prof. Ungku Maimunah terhadap novel Salam Maria.  Saya sendiri menekankan bagaimana penilaian Panel Anugerah Sastera Negara penuh dengan kontradiksi akibat penggunaan “teori” common sense yang tidak berasaskan apa-apa prinsip yang boleh diukur dengan objektif.  Kelemahan analisis dan penilaian dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara begitu menyerlah sehingga kini tidak disedari oleh para sarjana sastera yang tidak pun membaca laporan itu.  Adalah amat aneh dan cukup lekeh dari segi akademik apabila seseorang yang ghairah “membina” “teori” sastera atau “teori” kritikan tidak membaca dan membiarkan saja kekeliruan yang menghiasi laporan Panel Anugerah Sastera Negara tanpa memberikan pandangan kritis mereka sendiri, padahal Panel tidak meletakkan apa-apa standard yang boleh diikuti dan boleh dijadikan panduan dalam perkembangan kritikan Malaysia, oleh itu amat wajar kekeliruan begini dikritik supaya kekeliruan yang diwarisi daripada Panel Anugerah Sastera Negara itu tidak diteruskan. Seharusnya setiap “teori” yang ditelurkan menuju ke arah itu, bukan tunduk bersekongkol dengan segala kekeliruan yang menghiasi laporan Panel Anugerah Sastera Negara.

Pendirian kita tentang teori sastera Barat haruslah rasional dan bijak, bukan dengan sembrono menolak teori Barat seperti yang dilakukan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dan Prof. Zawiah Yahya (walaupun penolakan kedua-dua mereka hanya dalam kata-kata semangat-semangatan, tidak dalam praktiknya, yang masih teguh berpegang kepada teori Barat yang mereka tegaskan salah dan tidak sesuai itu), tanpa sebarang alasan akademik yang boleh dipercayai. Seharusnya teori Barat itu diketahui dengan mendalam; tetapi digunakan kesedaran yang mendalam tentang kekurangan dan kekeliruannya, berasaskan kefahaman yang mendalm pula tentang konsep ilmu yang difahami dalam Islam. Ketika itu, apabila seseorang sarjana atau pengkritik menggunakan apa juga teori Barat yang dia suka, dia akan memberi penjelasan mengapa dia memilih teori itu dan apakah yang ingin dicapainya, dengan memberikan penjelasan yang tegas bagaimana pandangan menurut teori Barat itu sesuai atau tidak sesuai dengan konsep ilmu yang diajarkan oleh Islam. Contoh: apabila anda berkata, menurut teori Barat sekian-sekian, sajak-sajak Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh memberi maksud sekian-sekian; tetapi sebaik saja dinilai daripada konsep ilmu yang benar, sajak-sajak tadi tidak lagi sehebat yang dinilai menurut teori Barat; atau mungkin juga menjadi lebih hebat setelah dinilai daripada perspektif gagasan Persuratan Baru misalnya. Ini telah dicontohkan dengan meyakinkan oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani ketika menganalisis dan menilai novel Abdul Kadir Adabi, Melati Kota Bharu.  (Lihat makalah beliau yang kini sudah mencapai taraf standard yang harus dicapai oleh pengkritik dan sarjana kita, tersiar dalam Kedudukan Ilmu dalam Kesusasteraan).

Dalam sebuah tulisan yang tersiar dalam Mastika, Oktober 1991, saya tegaskan begini: “Kita harus tahu seberapa banyak yang kita terdaya mengetahuinya; tetapi kita tidak harus sesat seberapa jauh yang kita mahu”.  Saya kira inilah pendirian yang paling siuman, paling rasional dan bijak.

Mohd. Affandi Hassan,
9/4/2013.

7 comments:

  1. Assalamualaikum Tuan Haji Mohd. Affandi Hassan.

    Pada hemat saya, tepat sekali kenyataan Tuan yang mengatakan para sarjana sastera tempatan yang menolak keutamaan ilmu yang benar dalam PB bertolak daripada keegoaan mereka yang enggan tunduk pada kebenaran ilmu. Selagi mereka yang mengajarkan calon-calon penggiat sastera kita, selagi itulah dunia penulisan terus dibumbui kekalutan terhadap faham ilmu yang benar dan taggungjawab manusia (termasuk penulis) dalam berkarya atas tanggungjawab sebagai hamba-Nya dan khalifah-Nya. Kritikan sastera oleh mereka adalah menganalisis karya berdasarkan teori atau lebih tepat lagi kritikan ala terapan tanpa sebarang permasalahan.

    Baru-baru ini, dalam satu kuliah yang dikendalikan seorang sarjana dan pengkritik sastera tempatan, sarjana anti'ilmu' ini telah mengeluarkan kenyataan "Semua pengkaji tidak salah dalam mengemukakan setiap kritikannya' dalam konteks perbicaraan mengenai kaedah kritikan berteraskan teori Barat yang begitu ditekankan. Bagi saya, kenyataan berkenaan terlalu berat kerana teori Barat yang tidak didasarkan pada falsafah taklif tentu sekali tidak membawa kebaikan dan kebenaran kepada pengkaji khususnya pengkaji Islam. Apabila hal ini tidak dipenuhi, bukankah pengkaji telah mengabaikan hak pelajar/pembaca/khalayak untuk mendapatkan kebenaran?

    Pelajar sarjana seperti ini tidak diajar untuk menghasilkan kritikan yang berkualiti, apatah lagi mengingatkan pelajar agar selalu mengingati diri sebagai hamba-Nya dan khalifah-Nya ketika memegang pena.

    Tindakan paling sadis oleh sarjana seperti ini adalah apabila mereka telah meletakkan sempadan kepada pelajar untuk memahami PB atas dasar sukar didapati bahan sumber walaupun hakikatnya mereka sendiri tahu korpus mengenai PB kini semakin menimbun. Teori-teori Barat diajar dengan megah, dengan menderetkan nama-nama pelopor teori kepada pelajar-pelajar yang tidak kenal nama-nama itu.

    Lebih menjengkelkan apabila kemunculan teori-teori 'tempatan' seperti Teori Warisan tidak langsung memberi sesuatu yang baharu, sistematik dan penting dalam makna sebenar 'kritikan' malah membuatkan peneliti teori berkata "Okey, semua boleh dirobohkan dalam karya. So what?"

    Inilah yang saya kira antara contoh ledakan pandarisme dan kemandulan penyaringan dalam jiwa, yang diaplikasi oleh sarjana-sarjana sastera yang arus perdana sifatnya.

    ReplyDelete
  2. Salam Anonymous.


    Terima kasih memberikan komentar yang bernas. Sukar juga nak percaya ada sarjana seperti yang disebut. Barangkal bilangannya terlalu kecil; walaupun begitu, rugi juga pelajar yang terjatuh ke dalam tangan sarjana begini. Yang perlu dibuat pelajar ialah mencari sendiri bahan baru dan berani bertanya sarjana seperti itu apa fikirannya sekirannya ada perkembangan baru. Sekurang-kurangnya dia tahu ada perkembangan baru, lebih-lebih lagi bila ditunjukkan dokumennya, jadi dia kena tengok juga. Kalau tak mahu juga, sajalah ...

    ReplyDelete
  3. Tuan Mohd Affandi cakap benda yang sama sahaja...pusing-pusing benda yang itu-itu juga. Saya cadangkan, atas tujuan mengangkat Persuratan Melayu supaya lebih dihormati dan mudah difahami, mungkin ada patutnya menulis review buku yang dikatakan mengikut panduan PB ini. Pembaca sastera perlu tahu buku mana yang selaras dengan idea dan kehendak PB...

    ReplyDelete
  4. Terima kasih. Cadangan yang baik. Akan saya pertimbangkan.

    ReplyDelete
  5. Salam Tuan Affandi.

    Perlukah Tuan layan semua permintaan? Tuan ada tugas besar untuk Persuratan Melayu abad 21. Saya harap Tuan fokus saja pada tugas besar itu, sebab sarjana lain tak mampu berbuat seperti Tuan. Semoga Allah Ta'ala sentiasa membimbing Tuan. Amin

    ReplyDelete
  6. Tuan Anonymous April 12,

    Soalan Tuan menampakkan jahilnyan pengetahuan Tuan tentang PB. Tuan boleh dapatkan tulisan Prof. Ungku Maimunah Tahir, Dr. Zariat Dr Zulkarnain, Dr. Shahrizal Nasir. Bukan setakat review, "kritikan maut" sudah mereka semua lakukan. Cuma Tuan kena rajinlah. Kalau semua nak disuap dalam blog, macamana nak pandai. Sudahnya bak kata Affandi Hassan, Tuan jadi "Pak Pandir" je.

    Bukan Mak Andir

    ReplyDelete
  7. Salam Tanpa Nama kedua,

    "Tuan Mohd Affandi cakap benda yang sama sahaja...pusing-pusing benda yang itu-itu juga. Saya cadangkan, atas tujuan mengangkat Persuratan Melayu supaya lebih dihormati dan mudah difahami ..."

    Merujuk kenyataan saudara, Tuan Affandi seorang pejuang dan setiap pejuang tidak akan lelah memperjuangkan segala yang diperjuangkan secara tekal. Tidakkah Tuan Tanpa Nama yang kedua dapat mengesan hal ini? Dan, saya hairan apabila saudara katakan ... supaya PB mudah difahami. Apakah PB yang sumber-sumber ilmunya berdasarkan bahasa Melayu dan falsafah serta hakikat-hakikatnya bersumberkan Quran itu lebih sukar untuk difahami berbanding lambakan teori Barat yang selalunya 'sesat Barat' itu. Apabila saudara anjurkan Tuan Affandi agar menulis review, jelas saudara tidak prihatin akan luasnya data-data mengenai PB pada masa kini, dan sarjana-sarjana yang sudahpun menggunakan PB sebagai teras analisis seperti yang dimaklumkan anonymous di atas. Saudara perlu bersungguh-sungguh dalam hal ini seperti bersungguh-sungguhnya memahami yang Barat beri. Saudara kena baca tanpa prejudis dan tahu tuju PB, dengan itu lebih mudah untuk kenal dan tahu tentang PB.

    salam intifadah

    ReplyDelete