Siapakah yang akan memakai nombor 13? Ada cadangan untuk diberikan kepada Mana
Sikana aka Abdul Rahman Hanafiah. Ini cerita lama. Siapakah orang ini? Tidak
diketahui umum sebagai penulis kreatif yang handalan. Sebagai pengkritik
sastera memang handal bukan kerana ideanya, tetapi kerana “keberaniannya” (lebih tepat
kerana sensasi) yang luar biasa.
Misalnya, beliau mengaku beliaulah pelopor teori kritikan sastera Melayu dengan
“teori” taabudiyyah yang mati beragan itu. (Lihat pos bertarikh 1/11/2012 dan
sebelumnya, 30/10/2012). Dialah yang
mengangkat Shahnon Ahmad menjadi Raja Novelis Malaysia. Pangkat ini lebih
tinggi daripada gelaran sasterawan negara, sehingga membuat Shahnon Ahmad amat
terhutang budi kepada Mana ini. Bunyinya agak aneh, tidak sesuai dengan konsep
sastera kerana Allah bikinan Shahnon Ahmad sendiri; tetapi gemerlap keindahan
dunia boleh dilihat dan menarik minat orang-orang seperti Shahnon Ahmad yang
bekerja kerana Allah tetapi terhutang budi kepada manusia.
Betulkah Shahnon Ahmad seorang raja dalam dunia
kreatif yang bercorak cerita? Kalau mengikut Prof. Wahab Ali yang menilai Tungul-tunggul Gerigis, novel itu
membuatnya muntah. Tak terdaya hendak baca!
Tetapi menurut DBP, itulah novel Melayu paling agung, sebuah masterpiece yang tiada tolok-bandingnya.
Sayang kita tidak dibenarkan mengadakan sejenis referandum sastera, untuk
menguji pembaca betulkah novel yang memuntahkan ini sebuah masterpiece. Tetapi pilihan
pembaca tidak semestinya betul, oleh itu menurut para sarjana dan pengkritik
sastera, yang berhak menentukan kedudukan sesebuah karya dan penulisnya hanya
mereka, bukan orang lain. Bolehkah kesimpulan ini dipakai? Tidak selalunya
betul, banyak bergantung pada apakah jenis cita rasa (taste) si penilai. Jika cita rasanya rendah dan kasar, maka pilihan
mereka tidak boleh dipakai. Sebagai
contoh: apakah jenis cita rasa para sarjana yang memuji Salina? Untuk memahaminya,
kita harus kembali kepada dasar atau asas pemilihan itu. Jika cita rasa itu
bersifat peribadi, maka asas nilai yang dipakai ialah kemahuan peribadi. Adakah
ini asas nilai yang betul? Dalam sistem
nilai Barat, inilah asas nilai mereka: man
as the measure of values. Inilah
juga asas nilai yang dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Inilah asas
nilai yang dipegang oleh sarjana yang mengatakan jika karya sasterawan negara
dinilai daripada perspektif Persuratan Baru, maka karya para sasterawan negara
akan masuk tong sampah. Inilah juga sistem nilai, pada dasarnya, yang menjadi
pegangan Fatimah Busu dalam bukunya yang mengkritik pandangan Prof. Ungku
Maimunah terhadap novelnya Salam Maria.
(Judul: Nyanyi Sunyi Salam Maria vs.
Sarjana Nasi Dingin). Buku ini
dikatakan mempertahankan kedudukan Salam
Maria sebagai sebuah novel Islam, tetapi menolak nilai-nilai Islam yang
dijadikan asas penilaian Prof. Ungku Maimunah. Demikian hebatnya hawa nafsu
manusia ketika “mempertahankan” pendapatnya dan dirinya. Yang disebut nilai-nilai Islam itu
diketepikan; yang ditonjolkan ialah kemahuan hawa nafsunya. Bagaimana pun, buku
Fatimah Busu ini sangat penting dari segi negatifnya, kerana di sini kita lihat
bagaimana kebencian dan dendam kesumat (entah mengapa kita tidak pasti)
dijadikan dasar untuk menilai Persuratan Baru dan makalah Prof. Ungku Maimunah
tentang Salam Maria. Keangkuhannya begitu ketara, dengan itu dia
menafikan sama sekali kepentingan PB sebagai penggerak perkembangan persuratan
Melayu. Pendapatnya tentang konsep khutbah diasaskan kepada kekeliruan yang
begitu ketara, suatu pengertian yang sama sekali tidak pernah menjadi dasar
konsep itu dalam PB. Dalam bahasa yang mudah dan agak kasar, kita dibenarkan
untuk membuat kesimpulan bahawa penulis buku ini tidak sedikit pun
memperlihatkan adanya sifat-sifat seorang sarjana berjiwa Islam, tetapi hanya
menonjolkan betapa rendahnya self esteem
beliau. Perhatikan juga bagaimana
perkara ini dijelmakan dalam cerita pendek Fatimah Busu yang terbaru, yang
tersiar dalam Berita Minggu baru-baru ini, menceritakan kisahnya (atau angan-angannya) datang dari Pulau
Pinang ke Kuala Lumpur menaiki kapal terbang untuk mengambil hadiah sastera!. (Lihat komen dalam pos bertarikh 1/3/2013).
Fatimah Busu disebut di sini kerana beliau adalah
pilihan popular di kalangan sasterawan wanita yang layak dinobatkan sebagai
sasterawan negara. Adakah beliau telah menghasilkan karya masterpiece yang melayakkannya untuk bergelar sasterawan negara?
Shahnon Ahmad pernah berpendapat Fatimah Busu tidak layak ketika ditanya siapa
di antara sasterawan wanita yang patut diangkat menjadi sasterawan negara,
kerana belum ada karya masterpiece
itu menjadi milik Fatimah Busu. Tetapi terdapat sarjana lain yang menegaskan
bahawa tiga suku dari jumlah karya Fatimah Busu adalah karya masterpiece, menjadikan beliau paling
banyak menulis karya masterpiece.
Mengapa Shahnon Ahmad tidak termasuk
dalam kumpulan sarjana yang dimaksudkan? Atau beliau sudah berubah? Pandangan Shahnon Ahmad penting, kerana
beliau adalah Raja Novelis Malaysia (walaupun yang berpandangan begini hanya
seorang Mana Sikana aka Abdul Rahman Hanafiah). Sebagai Raja Novelis Malaysia, beliau
pasti tahu apa yang beliau perkatakan.
Jika Shahnon Ahmad sudah berubah, cukupkah suara beliau seorang untuk
menaikkan Fatimah Busu ke pangkuan sasterawan negara? Pada zaman permulaan Anugerah Sastera Negara,
inilah yang terjadi. Sekarang saya tidak pasti sama ada masih diteruskan atau
tidak. Pada waktu itu, terdapat
kesepakatan antara para sasterawan dan sarjana untuk memilih sasterawan
tertentu menaiki takhta sasterawan negara. A. Samad Said pernah memberitahu
saya secara peribadi, (dalam tahun 1985) selepas beliau diberi kedudukan
sasterawan negara, bahawa beliau menerimanya kerana desakan kawan-kawan. Ketika Aziz Deraman menjadi Ketua Pengarah
DBP, S. Othman Kelantan mendapat faedah sewajarnya daripada beliau yang melihat
S. Othman Kelantan adalah yang terlayak diberi anugerah itu setelah lama
kosong. Berapa buah karya S. Othman Kelantan sampai ke taraf masterpiece tidak penting, kerana ini
boleh dilakukan selepas dinobatkan sebagai sasterawan negara. Perhatikan
keadaan ini: novel Juara telah
dianggap sebagai karya masterpiece
oleh DBP. Apakah yang menjadi latar karya itu? Perjudian dan perlagaan lembu.
Kedua-duanya belum lagi dihalalkan oleh ulama sebagai dibolehkan dalam Islam;
oleh itu dari segi apa karya ini sebuah masterpiece?
Nilai apa yang diperaga oleh novel ini? Sehingga kini perlagaan lembu masih
haram; begitu juga perjudian. Kedua-dua faktor ini wajar diberi perhatian
ketika karya ini diangkat menjadi masterpiece. Kalau pendirian kita jelas tentang Salina, bagaimana pula pendirian kita tentang Juara? Dalam novel Orang Kota Bharu, terang-terang
dikatakan di situ bahawa pendirian Habib, sang hero novel ini, berada di atas
pagar sebagai pilihan terbaik. Siapa menang itulah yang disokong dan Habib
melompat pagar masuk ke dalam kumpulan itu. Adakah ini pendirian Islam? Rasanya
perkara ini jelas dalam Islam, tidak perlu dipersoalkan lagi. Tetapi salah
seorang sarjana (Prof. Kamaruddin Said) berpendapat berdiri di atas pagar
adalah pilihan terbaik, sesuai dengan kedudukan postmodernisme! Bila semua perkara ini diperhalusi, kita akan dapat
melihat betapa pentingnya ciri-ciri karya masterpiece
itu diberi huraian yang jelas dan tidak berpihak kepada kehendak hawa nafsu
manusia sebagai asas nilai. Kalau kita tidak berhati-hati, kita akan melantik
sasterawan biasa-biasa saja sebagai sasterawan negara, seperti yang sudah
terjadi. Bolehkah diterima perbuatan seumpama ini di kalangan orang beradab?
Jadi sasterawan negara ke 13 nanti perlulah membantu
kita melihat persoalan ini dengan jelas. Atau kita minta saja sasterawan negara
ke 12 memberikan penjelasan itu. Beliau
adalah penulis esei dan kritikan sastera terbaik di Malaysia, tentu saja
kemampuan intelektualnya boleh dimanfaatkan, jika beliau mahu. Tetapi hingga kini tidak seorang pun di
antara sasterawan negara berminat tentang persoalan ini. Kini persoalan ini
berada dalam kekeliruan besar. Jika
kekeliruan ini mahu diteruskan, kita perlu diberitahu mengapa kekeliruan itu
diperlukan untuk memajukan kesusasteraan Melayu moden. Berapa orang di
antara sasterawan negara yang berada di dalam kekeliruan besar ini? Kalau anda tidak berminat tentang persoalan
ini, maka pilihlah sesiapa saja yang anda fikir anda suka orang itu dijadikan
sasterawan negara. Anda tidak perlu
gusar kerana Panel Anugerah Sastera Negara akan menambah berat lagi kekusutan
dan kekeliruan itu secara rasmi. Anda
hanya perlu kesabaran untuk menghadapi golongan yang keliru ini, dengan
memberitahu mereka bahawa kekeliruan tidak boleh dijadikan asas perkembangan
ilmu dan persuratan. Sekiranya mereka
tidak setuju, bolehlah kita bahaskan perkara ini dengan mendalam, dengan syarat
mereka mendekati persoalan ini sebagai golongan yang cintakan ilmu. Jika mereka
menolak syarat itu, maka hak mereka untuk berbicara tentang ilmu terlucut dari
mereka.
Mohd. Affandi Hassan
31/3/2013.
Salam Tuan Haji, sedikit pembetulan. Cerpen Fatimah Busu yang Tuan maksudkan itu sebenarnya tersiar dalam Berita Minggu, bukan Mingguan Malaysia. Cerpen (bolehkah disebut cerpen) mengenai perjalanan FB terima HSPM dan rasa terkilan FB dipanggil 'mak cik' oleh pramugari.
ReplyDeleteBerkenaan pemilihan S. Othman Kelantan dan Aziz Deraman, catatan Tuan mengingatkan saya perbincangan saya dengan seorang calon doktorat yang mengkaji faktor kemunduran DBP (1990-an hingga awal 2000). Menurut calon tersebut, antara sebabnya adalah kronisme orang-orang besar DBP yang memanipulasi kuasa mereka untuk kebaikan mereka)
wallahu'alam.
Salam Anonymous.
ReplyDeleteTerima kasih atas pembetulan itu.
Bagus tesis itu, jika boleh ditulis. Memang amat diperlukan. Cerita tentang para sasterawan ini sebenarnya lebih kurang sama saja dengan cerita ahli politik, maklumlah sasterawan itu propagandis zamannya.
Saya ingin baca tesis itu.......siapa pelajarnya?
ReplyDeleteTesis itu sedang diusahakan. Saya berkesempatan berbicara hampir satu jam dengan calon doktor itu di sebuah perpustakaan. Beliau calon doktor yang mengikuti pengajian tinggi di Universiti Malaya
ReplyDelete