Siapa sangka Baha Zain muncul sebagai penerima
anugerah sastera negara paling hebat? Nasib dia, tiada siapa pun boleh meramal. Ketika Anugerah Sastera Negara sudah
keletihan, lembek tak bermaya seperti pesakit taun yang kehabisan muntah, maka
tiba-tiba terjadi satu jeritan yang mengejutkan semua orang, apabila Si Raja
Novelis Malaysia, Sang Shahnon Ahmad, muncul sebagai pembantah paling keras,
tidak boleh dan tidak mahu terima Baha Zain sebagai sasterawan negara. Apa
sebab? Tanya Wak Long dari Kelantan. Jawab Samad, Ambo tak tahu. Orang kata
Dewa Shahnun dari Langkasuka (tersilap sebut Langkasuki!) sangat marah kerana
karya Baha Zain kontot-kontot, tiada fokus, tak ada mesej, tak ada apa-apa kecuali
sajak-sajak tak bermutu. Sasterawan
macam tu nak jadi sasterawan negara? Sedarlah diri sikit. Cerita Wak Yah
sahabat Samad rakan Wak Long disambut gelak ketawa oleh para penonton wayang
sastera. Betul-betul coraknya macam serangan lanun Sulu yang bergelar sultan ke
Lahad Datu, tak semena-mena terjadi dan tiba-tiba ada orang mati tak fasal-fasal. Berkat usaha Shahnon Ahmad menempelak Baha
Zain, tiba-tiba Anugerah Sastera Negara yang begitu lesu bangkit melompat
seperti orang sakit yang setuju dengan bangkit angin Tok Minduk melompat ke
balai terus bersilat dengan Tok Minduk. Thanks
to you, Shahnon. Anda telah memberi
nafas baru kepada Anugerah Sastera Negara dengan usaha anda yang begitu lantang
cuba menyekat kemunculan seorang sasterwan negara baru yang anda tidak sukai.
Tidakkah itu sangat bagus? Itulah makna kejujuran dan keberanian sebenar.
Selama ini para sasterawan negara yang penakut hanya merungut sesama kawan apabila
Kemala diberi kedudukan yang memang sudah lama didambakannya itu. Tiada suara
lantang membantah. Penakut. Sehingga bangkit Dogol dari Banggul Deredap
menjerit ke arah Gunung Srengenge menyatakan kemarahannya. Hasilnya, Baha Zain
akan menerima anugerah itu dengan penuh beragaya, with style, dari Agong yang sentiasa patuh kepada perintah itu.
Lepas ini, penerima anugerah sastera negara akan
dicabar lagi, dengan lebih hebat. Akhirnya, tiada seorang pun lagi yang layak
menerima anugerah itu selain dari 12 orang yang sudah dinobatkan. Ini suatu
kemajuan yang amat bermakna, kerana para sasterawan sendiri pun sudah bosan
dengan kemunculan para sasterawan negara yang pada hakikatnya tidak membawa
apa-apa idea baru, tiada pemikiran dan tiada kehebatan luar biasa berbanding
dengan sasterawan kampungan yang berselerak di pekan-pekan meneriakkan sajak-sajak
mereka tentang peristiwa dunia. Nasib
baiklah Dr. Faisal Tehrani yang membantu Shahnon Ahmad menimbulkan kekecohan
ini sudah menarik diri daripada dicalonkan. “Selamatlah jiwa yang sempurna!”
Hanya satu persoalan yang terbuku di kerongkong: Kalau
sudah begitu, masih perlukah kita kepada sasterawan negara? Dua belas orang ini sudah cukup menyibukkan
para sarjana mencari teori untuk membicarakan mereka, tetapi tidak juga
muncul-muncul kehebatan yang ditunggu-tunggu. Dalam Seminar 6 Orang Sasterawan
Negara baru-baru ini (nasib baik P. Ramlee sudah tiada, jadi dia tak pengsan
tertawa teringatkan filemnya yang terkenal itu!), kita lihat dua kelesuan yang
beriringan: sarjana yang sudah tumpul alat akademik untuk berbicara dengan
bermakna, tanpa mengulang klise lama yang sudah berkali-kali diluahkan;
sementara para sasterawan negara sendiri sudah jelas tidak berupaya memberikan
sesuatu yang benar-benar bermutu melalui karya mereka. Pak Dogol mengusik Wak
Long: Long, bolehkah karya sasterawan negara ini membawa kita ke nirwana? Aku
fikir cerita Wayang Kulit kita lebih baik dan lebih mendalam falsafahnya. Mu
fikir guano? Kata Wak Long yang
bijaksana itu: Semuanya bergantung pada Dalang. Dalang kata bagus, baguslah.
Dalang kata tak bagus, tak baguslah. Mu pernah dengarkah Dalang Shahnun ini
siapa? Nampak gayanya dia lebih hebat daripada Dalang Awang Lah, Dalang Mat
Menara, Dalang Pak Su Karim, Dalang Budak ...
Pak Dogol tertawa, Heh, heh, heh ... Cara biasa dia.
Tahniah kepada Baha Zain, penulis sajak kontot yang menang
Anugerah Sastera Negara!
Mohd. Affandi Hassan,
21/3/2013
Saya masih ingat polemik sastera antara Baha Zain dan Mohd. Affandi Hassan lewat tahun 70an yang meleret-leret sehingga ke dalam majalah kecil seperti WAHIDA.
ReplyDeleteTapi sayang ia hilang dalam koleksi simpanan.
Benar juga, setelah sedozen sasterawan negara ditimbulkan, kita kena fikir, nak ke mana sesudah ini. kesasteraan mereka nak dibawa ke mana? apakah hanya akan melahirkan kelompok elitis SN sahaja? hakikatnya yang kita lihat sekarang adalah ketumpulan ide. main bermain dengan titik bengik yang lama, era 2013 tidak memperlihatkan transformasi yang diharapkan. yang ada hanya kesibukan di lebuh raya sastera elitis.
ReplyDeleteSdr Taufik dan Misnona,
ReplyDeleteTerima kasih atas komen anda berdua. Yang betul-betul menghiburkan, tiba-tiba institusi sasterawan negara ini tak lebih dari bahan lelucon saja. Paling menarik, dipalu gendangnya oleh seorang sasterawan negara sendiri. Selama ini saya melihat mereka hanya para badut saja, seperti badut-badut dalam drama Shakespeare, dengan perbezaannya badut-badut Shakespeare lebih cerdik dan jauh lebih brilliant. Kalau sasterawan negara sendiri sudah jadikan anugerah sastera negara ini macam badut Wak Yah, Wak Long, Samad dll dalam "drama" Wayang Kulit, maka di mana bisanya seorang sasterawan negara. Saya ingat orang politik yang gila-gila mengata macam-macam sesama sendiri, sasterawan negara pun macam tu juga. Tepat sekali, kerana mereka pun dapat wang daripada ahli politik. Sikalang pala sastran nugala ini mana mahu letak muka? Rupanya mereka tak lebih dari penulis kontot yang dibesar-besarkan. Sekarang kita pun sudah nampak jelas, mengapa susah sangat nak nilai mereka sasterawan negara ini betul-betul, akhir-akhirnya cerita sebenar diceritakan oleh mereka sendiri. Ada teori baru?
Wow, terima kasih atas entri ini. Memang buka mata sastera saya! Harapharap sasterawan a.k.a sasterawang negara yang gila publisiti juga akan terbuka mata. mereke berkarya kerana apa? sastera? manusia? dunia? atau Tuhan.
ReplyDeleteTerima kasih