Sunday, March 24, 2013

RETORIK PERAGAAN DALAM SEMINAR ENAM ORANG SASTERAWAN NEGARA



Pendahuluan: Sudah banyak yang dibincangkan tentang para sasterawan negara, tetapi belum lagi jelas berapa ratuskah daripada karya mereka yang boleh dianggap sebagai masterpiece.  Panel Anugerah Sastera Negara sendiri dalam laporan mereka tidak pernah memberi isyarat terdapatnya karya yang bertaraf masterpiece itu.  Sekiranya karya para sasterawan negara ini sama saja dengan karya yang dihasilkan oleh sasterawan yang bukan sasterawan negara, maka atas dasar apa mereka diberi keistimewaan dengan gelaran itu? Bolehkah kita terima bahawa seorang sasterawan negara yang tidak sebuah pun daipada karyanya sampai ke taraf masterpiece, layak diberi gelaran itu?  Supaya mereka ini tidak kelihatan sangat selekeh, maka para sarjana yang membicarakankan mereka menggunakan teknik retorik peragaan untuk menunjukkan kehebatan mereka, tetapi hasilnya amat mengecewakan. Mahu tidak mahu kita harus melihat persoalan ini secara lebih serius, dan perlu meneliti dari sejumlah karya seseorang sasterawan negara, berapa buahkah yang dapat diberi kedudukan sebagai masterpiece. Bagaimana jika tidak terdapat sebuah pun?  Masih layakkah mereka memakai gelaran itu?

Apakah yang dimaksudkan dengan retorik peragaan?  Kita tidak perlu memberi definisi yang panjang berbelit-belit, cukup dengan hanya memerhatikan kelakuan para sarjana sastera yang mengamalkan retorik peragaan ini. Pertama, kelakuan paling terkenal dan menonjol di kalangan sarjana jenis ini ialah menderetkan seberapa banyak nama pengarang dan buku-buku tulisan mereka, yang memang tidak dibaca. Tujuan retorik peragaan ini ialah untuk memperlihatkan betapa luasnya pembacaan mereka, tanpa mereka sedar bahawa tulisan mereka menayangkan sebaliknya, yakni mereka tidak membaca, hanya menayangkan nama-nama dan judul-judul buku sahaja. Apakah bukti yang boleh kita berikan? Tulisan mereka sendiri. Tulisan itulah yang menjerit dengan sayu dan penuh perasaan malu, sambil merintih, “Aku tahu aku tidak bagus; bukan salah aku; salah orang yang menulis aku. Standard mereka rendah, jadi aku tidak marah jika kamu merendahkan kualiti tulisan yang engkau baca.” Retorik peragaan ini memang menjadi pakaian para sarjana yang rendah kualiti kesarjanaannya. Terdapat korelasi antara kualiti kesarjanaan yang rendah ini dengan retorik peragaan. Anda boleh uji kebenaran kesimpulan ini dengan membaca dengan kritis tulisan yang penuh dengan retorik peragaan ini. Beberapa contoh akan dikemukakan nanti.

Kedua, retorik peragaan penting kerana dapat memberi kepuasan emosi kepada penulisnya, iaitu dalam konteks “syok sendiri”.  Dalam seminar tentang enam orang sasterawan negara ini kita akan bertemu beberapa contoh “syok sendiri” apabila penulis yang seronok dari segi emosi itu menurunkan banyak ayat Quran dan hadis Nabi SAW, walaupun tidak berkaitan dengan tajuk yang mereka mahu bincangkan. Contoh akan diberi nanti untuk menghiburkan anda semua menikmati lawak murahan yang memakai nama “tulisan akademik.”  Dalam bentuk buku, saya telah membahaskan buku-buku tentang feminisme yang ditulis oleh para sarjana yang “syok sendiri” ini.

Ketiga, retorik peragaan boleh dijadikan binatang bebanan (beast of burden) para sarjana, terutama pengkritik sastera, untuk menonjolkan “keistimewaan” mereka, misalnya sebagai pelopor sesuatu usaha mencipta teori (?) atau pendekatan baru dalam kritikan sastera. Walaupun beast of burden itu sudah mati sebelum lahir, sebelum sempat disambut bidan, penciptanya dengan megah membuat klaim seperti ini: “Kemudian kita menyaksikan beberapa teori sastera telah muncul. Teori sastera tersebut ialah Teori Taabudiyyah ... Teksdealisme ...
Teori Taabudiyyah, asasnya dihasilkan sekitar tahun 1984, yang kemudiannya diterbitkan pada tahun 1986, ... dan ia merupakan teori sastera Malaysia kali pertamanya dicipta di tanah air.” (Prosiding Seminar Teori dan Kritikan Sastera Malaysia, UPSI 2012, hal. 116.) Itulah suara Dr. Mana Sikana aka Abdul Rahman Napiah, pelopor teori mati Malaysia. “Teori” pertama itu mati beragan, suatu peristiwa yang amat aneh kerana menurutnya asasnya Islam. Bagaimana Islam boleh dimatikan begitu mudah dalam sastera Melayu? Jawapannya diberikan oleh Mana Sikna sendiri, iaitu apabila muncul pula Teksdealisme, yang tidak lagi berasaskan Islam, tetapi diambil dari Barat, terutama Perancis. Maka di atas bangkai Taabudiyyah, bermaharajalelalah Teksdealisme yang sebenarnya berasal daripada idea Harold Bloom! 

Keempat, retorik peragaan sering kali ditonjolkan melalui deretan pujian yang berlebihan, yang tidak dibuktikan atau diberi penjelasan berupa analisis yang dilakukan dengan cermat dan teratur. Contoh terbaik di sini ialah Laporan 2012, laporan Panel
Anugerah Sastera Negara.

Sekarang kita lihat bagaimana retorik peragaan ini dipakai dengan selesa oleh para penulis kertas kerja Seminar Enam Sasterawan Negara. Jenis apa yang mereka pakai boleh dicam sendiri oleh pembaca yang mempunyai sense of humour bercorak intelektual. Tidak perlu ditunjuk satu persatu. Kita lihat kes pertama, kertas kerja berjudul, “Muhammad Hj. Salleh: Ikon Penyair Pascakolonial”, oleh A. Rahim Abdullah (ASWARA).  Kertas ini menderetkan segugus pujian dan sanjungan tetapi kurang analisis terhadap aspek-aspek khusus pensajak ini yang mungkin boleh menarik minat pembaca. Yang disenaraikan dalam gugusan pujian itu sudah diketahui umum, sudah menjadi klise ketika orang berbicara tentang pensajak ini. Retorik peragaan yang mengulang pendapat yang sudah dianggap klise ini meninggalkan tiga persoalan besar tentang ciri intelektual pensajak ini. Pertama, sejauh mana beliau terpengaruh dengan tradisi Melayu apabila menjadikan Si Tenggang seorang wira? Yang jelas, beliau sebenarnya terpengaruh dengan sikap para pensajak Barat yang sukakan legenda dan mitos untuk dijadikan sajak. Kita sampai kepada persoalan kedua, yang disebut oleh Rahim Abdullah, iaitu perihal pensajak ini membawa idea Islam dalam sajak-sajaknya. Benarkah kesimpulan ini? Pensajak ini tidak berminat kepada apa juga yang bersifat Islam, kerana beliau sebenarnya tidak mempunyai pengetahuan tentang tamadun Islam sejagat. Oleh itu tidak pernah sekali pun timbul semacam kekaguman kepada tamadun Islam; malah dia lebih suka, terpengaruh, dan memuja tamadun Barat. Saya telah sebut perkara ini berkali-kali, ketika membicarakan sajak beliau tentang pemerhatiannya di Muzium Goethe. Dia kagum dengan kepintaran Raja Iblis yang bernama mephistopheles itu. Jika tafsiran saya tidak betul, berilah tafsiran yang betul. Kita mahu tahu bagaimana Raja Iblis ini menjadi pujaan pensajak ini. Adakah ini nilai Islam?  Ketiga, apakah kualiti sebenar sajak-sajak pensajak ini? Rahim Abdullah tidak menjelaskannya; begitu juga Arbak Othman yang melihat sajak-sajak pensajak ini dari pendekatan semiotik.  Sukar, malah tidak mungkin untuk meletakkan pensajak ini sebagai pensajak intelektual; adalah lebih mudah dan lebih tepat untuk melihatnya sebagai pelancong sastera yang merakamkan pemerhatian sepintas beliau dalam sajak-sajak imbasan (yakni sajak-sajak yang tidak mendalam kerana di situ tidak ada pemikiran, hanya pemerhatian sepintas lalu saja). Saya telah membuktikan perkara ini dalam tulisan-tulisan saya, yang hingga kini belum lagi disanggah oleh mana-mana sarjana sajak.  Saya malah bermurah hati menjemput para pakar sajak meletakkan sajak “Pulang Si Tenggang” dengan sanjak  “Al-Andalus” dalam satu barisan untuk dianalisis dari perspektif estetika dan pemikiran. Jika anda melakukan ini, anda akan bertemu dengan beberapa perkara yang mengejutkan anda.  Seorang sarjana tidak harus bangga menulis kembali segala klise yang telah tumpul, padahal dia telah dicabar untuk berbuat lebih baik dan lebih kritis.

Retorik peragaan telah dijadikan kaedah arus perdana dalam penilaian karya sastera oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka. Retorik peragaan itu telah sampai ke peringkat melampau dalam Laporan 2012  antara lain berbunyi: “Beliau menghadiahkan kepada perbendaharaan kesusasteraan Melayu puisi yag indah, mempnyai gaya khas yang tersendiri, dan sarat dengan renungan jiwa yang mendalam. ... Begitulah, pada hakikatnya Kemala ibarat sebatang pohon yang tinggi dengan bunga-bunga yang harum di taman kesusasteraan Melayu masa kini. Puisinya semerbak dengan wangian kerohanian yang dapat menyuburkan kehidupan insani” (hal. 20-21). Sebelum itu “keagungan” pensajak ini digambarkan begini: “Sebagai penyair yang berjiwa besar, Kemala juga berani menggunakan alusi daripada budaya lain seperti rujukan kepada Mark Anthony dan Cleopatra. ... Justeru, alusi daripada berbilang budaya menjadikan karya penyair ini universal” (hal. 20).  Alusi yang disebutkan itu bermaksud keintiman lelaki perempuan yang mabuk cinta, kerana ketika itu besar kemungkinan pensajak ini sedang berada dalam gelombang percintaan yang hebat! Tidak ada yang universal di situ, malah yang terjadi ialah betapa intimnya pensajak ini dengan budaya Barat dan karya Barat. Jika ini dikaitkan dengan “kerinduan mistikal” dan sifat sajak pensajak ini yang dikatakan bersifat sufistik, maka contoh yang diambil tidak sama sekali membayangkan kesimpulan demikian. Bagaimana agaknya sifat “puisi yang semerbak dengan wangian kerohanian yang dapat menyuburkan kehidupan insani”?  Mungkin pada waktu ini sajak-sajak seumpama itu belum lagi ditemui, tetapi sudah cukup baik jika kesimpulannya diberikan terlebih dahulu dalam Laporan 2012  supaya yang wangi-wangi itu boleh dihidu dengan agresif.

Mana dia Karya Agung (Masterpiece) Sasterawan Negara?

Seminar terbaru tentang 6 orang sasterawan negara pada 13 Mac 2013 di UPM tidak menyerlahkan sesuatu yag istimewa daripada karya mereka. Sepanjang pembicaraan yang kerap dilakukan untuk menampilkan kehebatan mereka, nampaknya telah gagal mencapai matlamat. Mereka terus muncul sebagai sasterawan biasa, tanpa sebarang keistimewaan yang boleh dibanggakan. Terutama sekali jika dinilai dari segi pemikiran mereka.  Oleh itu, di manakah kelebihan mereka sehingga membuat mereka digelar sasterawan negara?  Walau pun beratus pendekatan dan teori sastera digunakan untuk membicarakan mereka, hasilnya tetap biasa, tiada suatu pun yang luar biasa. Maksud luar biasa di sini ialah kita ingin membaca satu analisis yang benar-benar akademik tentang kehebatan pemikiran Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh atau Prof. Emeritus Shahnon Ahmad yang benar-benar menyerlahkan sesuatu yang mereka berikan dalam karya-karya masterpiece mereka.  Apakah karya-karya masterpiece itu? Kita belum lagi mempunyai senarai yang boleh diterima sebagai telah mencapai taraf sebuah masterpiece di antara sekumpulan karya mereka. Untuk itu, kita harus mula meletakkan sejenis standard yang tinggi yang perlu dikenakan ke atas karya para sasterawan negara ini supaya mereka tidak terus kelihatan lekeh sama saja dengan sasterawan biasa.  Ukuran itu harus tinggi dan benar-benar dapat menyerlahkan kehebatan mereka untuk meyakinkan kita bahawa mereka adalah sasterawan negara, bukan sasterawan biasa yang dinaikkan taraf.  Antara soalan yang menarik yang perlu kita ajukan ialah, bolehkah sajak-sajak kontot muncul sebagai masterpiece? Sajak-sajak kontot yang bagaimana?  Apakah standard yang boleh kita gunakan untuk meletakkan sesebuah novel itu sebuah karya masterpiece, yang boleh dijadikan ukuran seterusnya. Maksudnya, setelah kita menemui novel masterpiece itu di kalangan para sasterawan negara ini, bolehkah kita dengan yakin dan pasti mengatakan bahawa jika ciri-ciri yang ada di dalam novel itu kita temui pula dalam karya sasterawan biasa, maka bolehkah karya itu dianggap sebagai sebuah karya masterpiece?  Sekiranya terdapat korelasi yang tepat, maka adakah penulisnya sudah layak dinaik-taraf sebagai sasterawan negara?  Kita harus menentukan ukuran itu degan tepat, supaya karya yang dianggap masterpiece itu benar-benar sebuah karya mastepiece. DBP telah melaksanakan tugas permulaan ke arah ini dalam projek Karya Abad 20 mereka. Adakah semua karya yang termasuk dalam senarai mereka boleh dianggap sebagai karya masterpiece? Kalau tidak, mengapa karya itu berada di situ?  Pada anggapan saya, dari sejumlah novel yang dikategorikan sebagai novel ulung Adab 20 oleh DBP, hanya kira-kira satu-pertiga saja yang layak berada dalam senarai itu. DBP bersikap terlaku generous dengan memasukkan dua-pertiga yang tidak sepatutnya berada dalam senarai itu.  Dalam kumpulan cerita pendek pun begitu.  Dua-pertiga tidak wajar berada dalam senarai itu. Apakah ukuran penting yang mewajarkan sesebuah karya berada di dalam senarai itu? Karya itu mestilah sudah mencapai taraf yang boleh dianggap sebagai sebuah masterpiece, berasaskan ukuran tertentu yang ketat, dengan ukuran utama berasaskan pemikiran yang menjadi ciri utama di antara semua ciri yang kita persetujui nanti.  Sekarang saya ingin membuat ujian ke atas karya saya sendiri, Biarlah Orang Tahu (kumpulan cerita pendek). Berapa buahkah di antara cerita pendek yang termuat di dalam kumpulan itu yang layak diberi kedudukan sebuah masterpiece?  Jika tidak ada sebuah pun yang layak, maka Biarlah Orang Tahu tidak wajar disenaraikan dalam Kumpulan Cerita Pendek Abad 20.  Dalam menentukan standard ini, kita tidak boleh menipu dan berlebih kurang dalam menentukan ukuran, supaya setiap karya benar-benar bertaraf masterpiece.  Demikianlah karya sasterawan negara sendiri harus terbukti mencapai taraf masterpiece itu, paling kurang sebuah novel atau sebuah cerita pendek atau pun sebuah sajak sekali pun. Prof. Emeritus Shahnon Ahmad mempunyai poin yang penting apabila menolak sajak-sajak kontot Baha Zain. Kecuali jika kita dapat menentukan sajak-sajak kontot itu dari segi kualitinya sudah mencapai taraf sebuah karya masterpiece.  Jika sasterawan negara tidak mahu diuji hingga ke tahap itu, maka gelaran sasterawan negara itu akan terus dipersoalkan dan diremehkan. Semua persoalan ini sebenarnya boleh diselesaikan dengan mudah dan terbuka jika ukuran yang dicadangkan dalam Persuratan Baru dijadikan ukuran. Titik.


5 comments:

  1. Selepas pos ini terbit, terdapat bantahan daripada para penyokong sasterawan negara. Kata mereka, seorang sasterawan negara tidak ditentukan kedudukannya oleh terdapat tidaknya karya masterpiece ciptaannya. Syarat itu tidak termasuk dalam kriteria pilihan. Kata saya, adakah salah jika kita angkat tinggi sikit kedudukan sasterawan negara ini dengan "memilih" karya masterpiece mereka untuk ditayang kepada ramai? Mereka kata tidak perlu, kerana sejak awal perkara itu tidak pernah dijadikan syarat. Saya hairan, mengapa sasterawan negara tidak boleh mencipta karya yang sampai ke taraf masterpiece? Adakah mereka mahu terus diperlekehkan? Saya tetap berpendapat, seseorang yang sudah sampai ke taraf sasterawan negara, mesti mempunyai karya bertaraf masterpiece. Mengapa dipersoalkan? Pilih saja yang anda mahu, dan beri label: Ini karya masterpiece sasterawan negara sekian-sekian ... Adakah itu pun satu kerja susah?

    ReplyDelete
  2. Salam, Tuan. Sudah tentu susah bagi mereka yang angkuh untuk mengakuinya.

    ReplyDelete
  3. Yang paling layak untuk Sasterawan Negara sebenarnya adalah Mohd Affandi Hassan...kalau tuan Affandi menang, Shahnon Ahmad pun tak berani untuk membantah

    ReplyDelete
  4. Terima kasih sdr. anonymous. Saya tak ada karya kreatif yang bermutu, dan ini satu kebaikan kepada saya. Saya lebih kaya dengan idea; dan ini baik untuk perkembangan persuratan Abad 21 ini. Oleh itu saya tidak berasa dirugikan antara dua keadaan itu. Cuma ada sedikit masalah: cerita pendek dan novel saya panjang-panjang. Bukan senang membacanya. Bagusnya, tidak banyak jumlahnya; jadi bolehlah digagahkan membacanya walaupun amat membosankan. Seorang teman yang suka berlawak berkata menyindir: Semua karya sasterawan negara membosankan; malah itulah salah satu sifat karya masterpiece. Seperti biasa, orang awam tak tahu apa yang mereka cakap, jawab saya sambil tertawa.

    ReplyDelete
  5. ya benar. Kriteria Sasterawan Negara bukannya patut terletak kepada karya kratif yang dihasilkan sahaja...theorist dan idealist juga lebih penting dilihat/dinilai untuk perkembangan penulisan tempatan...Persuratan Baru diakui sebagai satu the leading of 'pandangan baru' dalam perkembangan sastera tempatan, walaupun ada yang bersetuju ataupun tidak. Sumbangan Persuratan Baru Itu bagi saya lebih baik dari menghasilkan/penghasilan karya masterpeace

    ReplyDelete