Friday, March 1, 2013

RUMAH IMPIAN POLAN CUPAN


Catatan:  Inilah cerita pendek yang dijanjikan dalam pos bertarikh 26 Februari 2013.

Cerita pendek ini ditulis sekitar tahun 2000. Sudah diserahkan kepada DBP Wilayah Timur (atas permintaan mereka) untuk diterbitkan dalam antologi penulis Pantai Timur; hingga kini (lebih dari 10 tahun?) tiada apa-apa berita. Ditulis dengan menggunakan teknik stylization of ideas; disiarkan di sini sebagai pelengkap kepada pos bertarikh 26 Februari 2013 tentang celebrating pandirisme dalam kritikan sastera Malaysia, yang juga ditulis dalam teknik yang sama. Anda boleh membuat perbandingan bagaimana teknik ini dipakai dalam esei dan dalam karya kreatif.  Kedua-dua karya ini mencabar apa yang disebut unsur intelektual dalam kesusasteraan Melayu moden, yang pada umumnya berasaskan “falsafah” pandirisme ajaran Pak Pandir.  Bagaimana seharusnya konsep pandirisme itu dihujahkan dalam kritikan sastera diberikan dalam cadangan kepada para sarjana besar Malaysia, terutama yang mendakwa mereka pakar sajak,  untuk membicarakan aspek intelektual itu dalam sajak “Pulang Si Tenggang” dengan membandingkannya dengan sajak “Al-Andalus” yang terdapat dalam Pujangga Melayu.  Kini disiarkan cerita pendek “Rumah Impian Polan Cupan” supaya sisi lain daripada pandirisme itu boleh dikesan dengan membandingkannya dengan karya para sasterawan negara, misalnya dengan cerita pendek “Dunia Adalah Sebuah Apartmen” oleh Anwar Ridhwan, atau lain-lain karya besar daripada para sasterawan negara yang dikira mencerminkan aspek “pemikiran” dalam penulisan kreatif. Dengan membuat perbandingan ini, anda akan dapat membuktikan di mana sebenarnya kedudukan gagasan Persuratan Baru dalam kritikan sastera Malaysia, dan bagaimana Persuratan Baru memberikan satu standard yang boleh dijadikan ukuran dalam analisis dan penilaian karya kreatif dan karya ilmiah (termasuk kritikan dan penilaian sastera). Saya meletakkan karya kreatif dan karya akademik saya untuk dilapah oleh sesiapa saja yang mahu melapahnya supaya kita semua dapat melihat sejauh mana cerdiknya dan akademiknya para pelapah yang kini lebih tenteram dan selesa melapah PB dalam bentuk gosip dan tohmah, belum (tidak?) berani tampil ke dalam gelanggang kritikan sebagai seorang sarjana yang berwibawa dan jujur dalam mengemukakan hujah akademik masing-masing.  Tetapi perlukah kejujuran akademik itu? Apakah yang kita maksudkan dengan kejujuran akademik? Untuk pertanyaan pertama, saya tidak melihat kejujuran satu faktor penting, kerana pengalaman saya membaca laporan panel penilai dari yang paling tinggi kedudukannya (misalnya Panel Anugerah Sastera Negara) dan panel biasa (misalnya, yang menulis laporan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1992/1993 dan 2010/2011) tidak memperlihatkan adanya kejujuran akademik itu, dengan itu kejujuran akademik bukanlah satu faktor penting dalam analisis dan penilaian yang dibuat oleh para juri ini. Huraian paling mantap dan jelas mengenai perkara ini dapat dibaca dalam makalah Prof. Ungku Maimunah yang saya sebut dalam pos bertarikh 26 Februari 2013 mengenai sayembara penulisan novel untuk memperingati Jubli Emas DBP. Oleh itu soalan kedua tidak memerlukan jawapan, kerana jawapan itu berada dalam jawapan terhadap soalan pertama.  Jika itulah kedudukannya, maka apa yang dipanggil “kejujuran akademik” itu wujud dan dipraktikkan dalam makna negatifnya, bukan dalam makna positifnya sebagai ciri keterampilan seseorang ahli akademik yang mempunyai integriti intelektual yang tinggi.  Dengan kesedaran ini, bolehlah anda baca cerita pendek “Rumah Impian Polan Cupan” dalam konteks “celebrating pandirisme” yang dibincangkan dalam pos bertarikh 26 Februari 2013.  Kita sebenarnya sudah mempunyai cukup bahan (malah lebih dari mencukupi) untuk mengadakan seminar tentang pemikiran Pak Pandir dalam sastera Melayu. Mahukah Dewan Bahasa dan Pustaka menganjurkannya? Atau lebih baik jika seminar itu dianjurkan oleh persatuan penulis yang berminat tentang pemikiran dalam sastera?  Tentulah amat menarik jika beberapa karya oleh sasterawan negara dibicarakan dengan kritis daripada perspektif pandirisme.

Dimulai dengan sanjak tentang pandirisme dalam politik.

*****

POLITIK ORANG BERJASA

Wang dan kuasa saudara lama
Wajah cerianya memukau manusia;
Tanpa wang kuasa tidak bermaya
Tanpa kuasa wang sukar masuk kira-kira
Wang dan kuasa penentu jasa.
Bolehkah wang menolak kuasa?
Bolehkah kuasa kekal di tangan
Jika wang tidak ditagan?

Siapa yang menawar diri jadi ketua
Sudah bersedia menabur wang berjuta;
Berapa yang sanggup belanja
Sebesar itu jaminan berjaya.
Yang menawar tak perlu tepung tawar
Yang menerima tangannya lebar
Yang menawar bijak tawar-menawar
Yang menerima berkeliaran liar
Setiap disogok pasti disambar
Ketika kemenangan diisytihar
Sorakan melenyapkan segala mungkar.

Dalam pertandingan menderma jasa
Tiada dosa pahala
Yang ada hanya kepuasan
Yang nyata hanya kemenangan
Jasa dan dosa beriringan
Bukan satu pertimbangan
Yang dikejar kemewahan
Semua berlumba merebut  kedudukan
Semuanya layak diperdagangkan.

Siapa melantangkan suara
Menawarkan diri untuk berjasa
Benarkah tidak setia?
Tuduhan mencari huru hara
Hanya sandiwara.
Matlamatnya bukan perpaduan
Niat sebenar kekalkan kedudukan
Tanpa pertandingan dan pilihan teliti
Yang kini selesa terus puas hati
Berjasa untuk keluarga dan rakan-rakan
Perpaduan hanya untuk menguat kedudukan.

Mengumpan wang nyata korupnya
Mencengkam kuasa jelas jahatnya
Yang korup tetap jahat
Yang jahat tidak korup
Korup dan jahat meskipun setara
Darjat korup jauh lebih mulia
Kerana semuanya sudah diberi harga
Kerana semuanya membawa wang berjuta.
Dalam teka teki politik orang berjasa
Korup dan jahat  penentu kuasa.
Dengan kuasa dan wang
Politik tetap membuka peluang.




RUMAH IMPIAN POLAN CUPAN
1
    Sebaik saja persembahan itu selesai, orang ramai berkerumun di sekeliling Dr. Polan Cupan bertanyakan harga bahan-bahan binaan untuk sesebuah rumah sekian-sekian besarnya. Dr. Polan Cupan dengan sabar dan tenang menjawab semua pertanyaan yang dikemukakan, walaupun hampir semuanya sudah dijelaskannya dalam persembahannya tadi. Ternyata yang bertanya tidak memberi perhatian, atau dia sendiri telah gagal menyampaikan maklumat yang diperlukan dengan berkesan.
            Tiba-tiba datang seorang perempuan Melayu pertengahan umur bertanyakan satu soalan yang lain sama sekali.
            -Doktor berasal dari mana? Nampaknya bukan orang Melayu, nama pun agak aneh. Saya minta maaf. Saya Prof. Ayu Bestari, perempuan itu memperkenalkan diri.
            Dr. Polan Cupan tertawa kecil.
            -Prof. sendiri pun mempunyai nama yang jarang-jarang dipakai, tapi saya kira bunyi Melayunya jelas, kata Dr. Polan Cupan bergurau. Saya sendiri tidak pasti saya ini Melayu atau orang asli (dia tertawa). Tapi yang pasti saya cucu-cicit Pak Pandir, tokoh Melayu yang terkenal dalam cerita-cerita jenaka. Pelikkah jika keturunan Pak Pandir diberi nama seperti saya?
            Perempuan Melayu itu terkejut mendengar jawapan yang pelik itu.
            -Doktor suka bergurau. Mana boleh Pak Pandir mempunyai keturunan. Pak Pandir tidak wujud, walaupun ada ceritanya.
            -Setiap yang ada mestilah wujud, kata Dr. Polan Cupan. Cuma wujud itu wujud maknawi saja, bukan wujud hakiki. Tapi saya wujud duniawi (terus tertawa).
            Profesor yang kehairanan itu tidak mahu lagi berdialog, lalu terus meminta diri meneruskan perjalanannya. Dr. Polan Cupan tertawa kecil, sambil menggelengkan kepala. Profesor itu tidak sabar menunggu penjelasan yang akan diberikannya. Dia kesal kerana orang universiti itu pasti terus tertanya-tanya siapa dia sebenarnya. Bukan perempuan Melayu itu saja tidak dapat menerima hakikat bahawa dia keturunan Pak Pandir. Adakah kerana merasa terhina dikaitkan dengan Pak Pandir? Atau memang orang Melayu tidak kena-mengena dengan Pak Pandir? Dari cerita-cerita keluarganya yang didengarnya, dia sendiri diberitahu keturunan Pak Pandir itu dari India, dari jenis Dravidian, tetapi setelah berada lama di Tanah Melayu, bau minyak lenga Dravidian itu sudah hilang, sekarang sudah jadi Melayu asli, atau Melayu tulen yang berbau belacan atau budu. Dia sendiri pernah bertanya ibunya mengapa dia diberi nama Polan, padahal terdapat beribu-ribu nama Melayu yang sedap-sedap, terutama yang berasal daripada bahasa Arab.
            -Nama kamu itu pun dari bahasa Arab juga, kata ibunya tertawa. Orang Arab sebut fulan, kita melayukan jadi Polan. Adakah ini bererti kita keturunan Arab? Tidak. Kita Melayu asli. Melayu asal di Tanah Melayu ini. Kamu diberi nama Polan kerana ayah kamu tidak dapat pastikan susur-galur keturunan Pak Pandir, banyak sangat cawangannya. Kerana tidak pasti, tidak diketahui dengan sah asal-usul nenek-moyang kamu Pak Pandir itu, maka ayah kamu menamakan anak lelakinya Polan bin Anu. Ayah kamu diberi nama Anu kerana sebab yang serupa. Tapi kakak kamu dan adik-adik perempuan kamu diberi nama biasa, cuma dari jenis bunga. Kakak kamu diberi nama Melur, Tanjung, adik-adik kamu pula Kenanga, Cempaka dan lain-lain; adik-adik lelaki kamu pula diberi nama buah-buahan atau pokok kayu seperti Duku, Cengal dan Seraya, seperti yang kamu sudah tahu. Kita keluarga istimewa, jadi nama-nama kita pun istimewa juga. Ayah kamu berharap sangat kamu akan jadi orang paling istimewa bila dewasa nanti, bila tamat universiti. Itulah doa kami anak cucu Pak Pandir. Kamu digelar Cupan kerana kami bangga dengan kecerdikan kamu, cucu-cicit Pak Pandir … Cupan!
    Sejak mendapat penjelasan begitu lengkap daripada ibunya, Polan Cupan tidak bertanya lagi tentang namanya. Itulah yang diberitahunya kepada sesiapa yang bertanyakan asal-usulnya, yang akan diberitahunya kepada profesor tadi jika orang itu tidak terlalu gopoh. Kata Dr. Polan Cupan di dalam hatinya, tidak baik bagi seorang ahli akademik begitu cepat puas hati, sebelum mengetahui sepenuhnya jawapan kepada soalannya sendiri.
            Dr. Polan Cupan tidak tinggi, barangkali tidak sampai lima kaki lima. Kulitnya hitam, tetapi tidaklah sampai legam; jika dilihat sekali imbas, orang tidak sangka dia berbangsa Melayu. Dr. Polan Cupan sendiri sudah mengkaji asal-usul  warna kulitnya, dan puas hati apabila dia mendapati orang-orang Melayu purba memang berkulit hitam. Melayu yang berkulit cerah, kata buku yang dibacanya, bukanlah Melayu asli, tetapi Melayu jenis campuran. Berasaskan kajian itu, Dr. Polan Cupan membuat kesimpulannya sendiri Pak Pandir pun memang berkulit hitam, begitu juga Mak Andeh. Mereka adalah orang Melayu asli, yang tidak bercampur-aduk dengan apa-apa jenis bangsa lain. Dr. Polan Cupan juga mendapat maklumat yang muktamad bahawa orang-orang yang berkulit demikian mempunyai muka bulat, hidung yang agak penyet, kepala besar, dan mulut berbibir tebal serta luas. Dia sendiri mempunyai semua ciri itu, dengan keistimewaan tersendiri, iaitu telinganya dua kali ganda lebih besar daripada telinga Melayu biasa. Kata Pak Pandir, seperti yang diturunkan kisahnya kepada anak cucunya, telinga seperti itu menandakan kecerdikan dan panjang akal, selain sangat tajam pendengarannya. Memang semua sifat itu dipunyai oleh Dr. Polan Cupan. Cuma satu perkara lagi yang agak aneh tentang Polan Cupan ini, iaitu punggungnya agak tonggek, sifat yang jarang ada pada orang Melayu; tetapi tonggeknya itu tidaklah sampai terlajak menjadi punggung Hottentot di Afrika.
            Polan Cupan adalah anak kampung biasa, kampung yang jauh terpencil sesuai dengan namanya Kg. Antah Berantah. Nama itu kedengaran sayup jauh saujana samar tenggelam di kaki awan, tidak dapat digambarkan di mana tempatnya, tetapi ada di mana-mana yang tidak diketahui secara sah tempatnya. Kg. Antah Berantah adalah kampung di lembah gunung, jauh di tengah-tengah belantara banat yang Hang Tuah sendiri pun belum sampai kerana ketika itu raja-raja Melaka belum lagi tahu terdapat manusia yang dapat dijadikan hamba di kawasan itu. Tetapi orang Kg. Antah Berantah tahu Hang Tuah itu wujud dalam cerita, walaupun mereka tidak pernah lihat. Kata cerita orang tua-tua, Hang Tuah dan Pak Pandir sezaman. Yang aneh, kata cerita itu, Pak Pandir tahu Hang Tuah itu jadi hamba sultan Melaka, tetapi Hang Tuah sendiri tidak tahu Pak Pandir adalah seorang tokoh jenaka terbesar di Alam Melayu. Dari segi itu, kata cerita orang tua-tua, Pak Pandir telah membuktikan kecerdikannya, kerana pengetahuannya lebih luas. Itulah yang menjadi kebanggaan Polan Cupan. Apabila beliau ditanya mengapa Pak Pandir yang cerdik itu mendapat nama demikian, sehingga tidak dapat membezakan sekam dari padi, Dr. Polan Cupan sambil tertawa menjawab: Itulah bukti kecerdikannya, kerana jika dia menunjukkan kebolehannya membezakan sekam dan padi, ceritanya tidak menarik lagi, dan Pak Pandir tidak sesuai lagi digelar Pak Pandir. Kata Dr. Polan Cupan seterusnya, membela datuk neneknya, jika Pak Pandir digambarkan cerdik serta bijak, orang-orang Melayu yang kemudian hari akan jadi gila semuanya kerana mereka tidak dapat mempertahankan maruah mereka sebagai bangsa yang merdeka, membiarkan bahasa Melayu hanyut dibawa arus bahasa Inggeris, membiarkan kebudayaan Melayu menjadi layu, dan membiarkan tanah air mereka dikuasai oleh orang lain. Di mana cerdiknya orang-orang yang membenarkan semua perkara itu terjadi? Demikianlah hebatnya Pak Pandir, kerana dialah yang menjadi penyelamat bangsanya daripada mendapat malu besar. Kata Dr. Polan Cupan, hujahnya itu hingga kini belum disanggah oleh sebarang sarjana Melayu, membuktikan pendapat beliau adalah tepat dan benar dengan kenyataan yang ada, atau memang para sarjana itu sendiri tidaklah lebih hebat daya inteleknya daripada Pak Pandir sendiri. Kata Dr. Polan Cupan, beliau tidak bermaksud merendah-rendah sarjana Melayu, hanya menyatakan fakta yang dilihatnya berlaku pada waktu ini. Janganlah kerana sarjana tidak sebijak neneknya Pak Pandir, dia pula dimarahi. Sejauh mana rayuan Dr. Polan Cupan diterima tidak diketahui; yang pasti, sesuatu yang benar itu memang tidak disukai. Siapa boleh terima Pak Pandir yang tidak kenal sekam itu lebih cerdik daripada para sarjana? Tentulah sarjana yang marahkan teori Dr. Polan Cupan mendedahkan kredibilitinya sebagai ilmuwan jika mereka berkelahi dengan Pak Pandir.
            Sebenarnya Dr. Polan Cupan sendiri telah membuktikan kehebatan daya kreatif dan daya intelek keturunan Pak Pandir itu. Dirinyalah yang menjadi bukti itu. Waktu kecil lagi dia sudah menghafal Quran, berkat ajaran Maulana Shakir Mustafa, seorang pendakwah dari Hadramaut yang lari dari negerinya ketika negeri itu huru-hara. Kerana ajaran yang benar dan tepat itu, ketika dewasanya Dr. Polan Cupan dapat membezakan Iblis dengan ahli sufi, oleh itu beliau tidak terpesona sedikit pun dengan kehebatan Mephistopheles Sang Iblis dalam puisi Goethe yang terkenal yang membicarakan kehebatan tipu-daya Iblis itu. Dr. Polan Cupan memang belajar di Jerman berpuluh tahun, jadi dia yakin penilaiannya itu benar. Sebaliknya, ada sarjana Melayu yang baru melawat sejam rumah Goethe, terus membuat kesimpulan bahawa Mephistopheles Sang Iblis itu seorang tokoh besar yang patut dikagumi dan dicontohi oleh orang Melayu. Tidakkah itu gila? Kata Polan Cupan, sarjana itu  tidak tahu siapa Mephistopheles sebenarnya; atau jika dia tahu (yang sangat diragui), ternyata dia sudah masuk jerat Sang Iblis itu. Mana-mana pun yang benar, kedua-duanya memperlihatkan kecetekan si sarjana. Polan Cupan bertemu beliau di Jerman terkendap-kendap memerhatikan sesuatu, kemudian menulis sesuatu di buku catatannya, barangkali sajak-sajak perjalanannya. Polan Cupan menggeleng kepala melihat telatah itu; dan dia semakin hairan apabila orang yang aneh itu mendapat penghormatan tinggi di tanah air. Bagaimana pun, dia bersyukur kerana makhluk itu bukan keturunan Pak Pandir, jadi terselamatlah nama Pak Pandir daripada dikaitkan dengan kebodohannya.
            Sewaktu bersekolah di tanah ulu, Polan Cupan selalu menegur kesilapan gurunya dalam semua mata pelajaran, sehingga dia dirotan berkali-kali kerana kecerdikannya memalukan guru-gurunya. Oleh kerana guru-guru Melayu tidak pernah dengar perkataan genius, yang memang tidak ada dalam bahasa Melayu, maka Polan Cupan menjadi korban kebodohan guru-gurunya sendiri. Bayangkan pendapat gurunya yang berkata cacing di dalam tanah tidak boleh dimakan kerana kotor; lalu disanggah oleh Polan Cupan pendapat itu tidak logik dan salah. Jika pendapat itu betul, bagaimana pula ikan yang dipancing dengan menggunakan umpan cacing boleh dimakan, dan dimakan dengan berselera pula oleh para guru sendiri? Tercengang guru itu dibuatnya, lalu telinga besar Polan Cupan dipulas sekuat-kuatnya. Tetapi Polan Cupan tersenyum saja, geli hati melihat kebodohan gurunya itu. Lama kemudian, apabila beliau ditanya mengapa dia tersenyum padahal dia perlu menangis atau melolong kesakitan, Polan Cupan menjawab, dia geli hati melihat muka gurunya yang marah kerana baru semalam guru tersebut hentam dua tiga ekor ikan lampan dan ikan jelawat yang dia sendiri kail berumpan cacing dan dimasak emaknya dengan masak tempoyak. Dia tersenyum kerana dia teringat dia pernah mengail dengan mengepal tahi sembelitnya sendiri, dan dapat banyak ikan juara, yang memang digemari oleh guru-gurunya. Dia tersenyum kerana dalam hatinya dia berkata, guru ini bukan saja bodoh, tapi ganas dan bengis pula, dan tamak ketika makan ikan tangkapannya. Siapa yang dapat menewaskan Polan Cupan dalam berhujah?
            Kerana kerap sangat Polan Cupan menegur guru-gurunya, maka para guru itu tidak ada pilihan lain selain meminta ibu pejabat menukarkan saja budak Polan Cupan itu ke sekolah yang jauh di tengah-tengah bandar supaya budak itu jadi gila kerana rindukan kampungnya. Tetapi keadaan sebaliknya yang terjadi, kerana Polan Cupan yang terperanjat besar melihat banyaknya buku dalam perpustakaan sekolahnya, membaca hampir semua buku di situ, hatta buku-buku yang tidak pernah dibaca oleh guru-gurunya sendiri. Kerana guru-guru bandar terlalu sibuk dengan kerja mereka mengajar kelas tambahan dengan bayaran lumayan dan membuat lain-lain kegiatan ekonomi bandar untuk mencukupkan gaji mereka yang rendah, maka mereka jarang-jarang sekali memeriksa kerja-kerja sekolah murid-muridnya, dan tidak pula mempunyai masa untuk murid-murid bertanya kerana seluruh masa yang ada digunakan untuk menghabiskan silibus semua mata pelajaran, sehingga terdapat beberapa orang murid yang lembap jatuh pengsan atau jadi gila disumbat terlalu banyak maklumat yang tidak boleh dikunyah lagi, apatah lagi hendak ditelan. Keadaan sebaliknya berlaku di bandar, tidak seperti di Kg. Antah Berantah yang guru-gurunya malas bergerak menghabiskan silibus apa saja kerana murid-muridnya bodoh-bodoh belaka. Polan Cupan tidak perlu mengusik guru-gurunya lagi, kerana dia asyik menghabiskan masanya membaca di perpustakaan atau membeli buku-buku yang digemarinya. Dia gemar membaca buku-buku mengenai seni bina dan segala yang berkaitan dengan alam bina. Ketika itu dia sudah berangan-angan hendak membina rumah yang tidak pernah dibina oleh sesiapa pun dalam dunia, rumah yang cerdik dan tahu bahasa rumah. Hampir gila guru yang mendengar cita-citanya itu, kerana angan-angannya terlalu tinggi, tidak munasabah, mustahil. Tetapi Polan Cupan yang banyak membaca itu dengan tersenyum memberitahu gurunya kata-kata Walt Disney yang terkenal, “If you can dream it, you can do it. … All your dreams come true, if you have the courage to pursue them.” Si guru hanya tertawa, kerana dia sendiri yang kurang membaca tidak pernah bertemu dengan kata-kata itu, atau dia memang tidak percaya itulah punca semua jenis ciptaan baru dalam dunia ini. Bagi guru-guru yang tidak membaca itu, Polan Cupan hanyalah seorang budak ulu dari Kg. Antah Berantah yang tidak kenal kemajuan, yang tidak mencium bau bandar, yang hanya bergelumpur di dalam lumpur kampungnya, oleh itu hidupnya penuh dengan mimpi saja. Mana boleh maju dengan hanya bermimpi, guru-guru yang bijaksana dan serba tahu itu membuat kesimpulan. Seperti biasa, Polan Cupan hanya tersenyum, kerana dia yakin mimpinya akan menjadi kenyataan satu masa nanti jika dia diberi peluang menjelmakan mimpinya di alam nyata.
            Hidup Polan Cupan di sekolah bandar itu sukar juga untuk beberapa tahun, sehingga tiba seorang guru kecil pendek yang mengajar matematik dan ilmu pasti untuk murid-murid Tingkatan 5. Waktu melihat jawapan Polan Cupan, guru itu berdebar-debar hatinya, diulangnya berkali-kali meneliti jawapan Polan Cupan, akhirnya dia memanggil Polan Cupan menemuinya serta merta.
            -Kamu Polan Cupan?, tanya guru itu hairan.
            -Ya, cikgu.
            -Kamu buat sendiri kerja rumah kamu?
            -Ya, cikgu.
            -Semua salah. Salah semuanya. Kamu sengaja buat begini suruh saya marah?, kata guru itu dengan suara tinggi.
            Polan Cupan terpinga-pinga, hairan sungguh-sungguh. Tidak pernah seumur hidupnya seorang guru pun selama ini mempersalahkannya. Adakah guru ini seekor jin atau apa? Mana boleh aku buat salah, yang salah guru itu, tengkingnya di dalam hati.
            -Cikgu kena terangkan mengapa jawapan saya salah, kata Polan Cupan tersenyum.
            Guru itu mengeluh kecil, menepuk-nepuk mejanya perlahan-lahan, sambil tersengih menayangkan hampir semua giginya yang boleh nampak.
            -Kamu tidak patut berada di sekolah ini. Kamu sudah sepatutnya dihantar ke universiti. Saya akan suruh kamu mengajar matematik dan ilmu pasti kepada semua guru berkenaan di sini. Boleh kamu buat?
            Polan Cupan terpinga-pinga lagi, dan mula merasa takut mendengar cadangan guru itu. Dia memandang muka gurunya terlongo, seolah-olah sedang menunggu hukuman berat yang tidak boleh ditanggungnya.
            -Mengapa, kamu takut?, cabar guru itu lagi. Lihat, masa saya di universiti pun saya tidak pernah tengok kerja sebaik ini. Kamu terlalu cerdik untuk kami semua. Saya akan buat laporan khas kepada kementerian. Kamu akan diperiksa oleh pakar-pakar terkenal di Malaysia untuk menentukan IQ kamu. Lepas itu kamu boleh pilih ke mana kamu hendak pergi dalam dunia ini. Saya akan pastikan kementerian menghantar kamu ke tempat itu dan lulus cemerlang. Kamu sudah layak mencemerlangkan negara kamu di luar negeri. Kamu bersiap sedia dari sekarang. Bangun, perintah guru itu.
            Guru itu sendiri bangun, dan dengan mesra seorang guru sejati dia memeluk muridnya yang diyakininya seratus kali lebih cerdik daripadanya. Dia menitiskan setitis dua air mata. Polan Cupan kejang kaku saja dalam pelukan gurunya, terlalu terkejut, tidak tahu hendak berbuat apa-apa. Guru-guru lain yang sudah diberitahu oleh guru tadi kecerdikan Polan Cupan, semuanya bertepuk tangan.
            Polan Cupan diuji sekeras-kerasnya. Dan lulus semua ujian dengan cemerlang. Demikianlah dia mendapat tempatnya di Universiti Konigsberg.
            -Mengapa kamu pilih tempat itu, Polan?, tanya seorang pegawai kementerian.
            -Saya ingin berkenalan dengan Immanuel Kant lebih dekat di daerah kelahirannya, tegas dan tepat jawapan Polan Cupan.
            -Kami harap kamu berjaya. Kami percaya kamu sudah bersedia mempelajari bahasa Jerman. Atau kamu sudah pun belajar sendiri?
            Polan Cupan tersenyum, mengiakan.
            -Selamat belayar, Polan. Selamat belajar dan berjaya cemerlang, doa guru-guru dan para pegawai kementerian.
            Demikianlah Polan Cupan akhirnya berada di Jerman, belajar fizik tinggi yang dikhususkan untuk orang-orang yang bercita-cita memecahkan atom atau bermain dengan molekul dalam profesion pilihannya nanti, yang belum ditentukan oleh Polan Cupan. Dia tersenyum nakal mengingatkan jawapannya dalam temu duga itu, yang walaupun tidak tepat, menyatakan hasratnya juga. Jawapan itu adalah jawapan yang strategik, sedikit nakal untuk menimbulkan kekaguman orang-orang yang bertanya dan menunggu jawapannya. Di dalam hatinya dia memilih negara itu kerana tertarik dengan kejayaan Prof. Habibie dari Indonesia, yang dihormati di Jerman dengan kata-kata, Jika anda punya masalah, tanya Habibie. Satu hari nanti dia sendiri mahu pula dikenali seumpama itu, Jika anda ada masalah, tanya Polan Cupan. Jika dia memberitahu dia ingin mengikut jejak Habibie, tentulah standardnya tidak setinggi dengan menyebut Immamuel Kant. Polan Cupan terlalu cerdik untuk tidak tahu bahawa orang-orang di negaranya memandang remeh tokoh-tokoh sains seperti Habibie, kerana berasal dari rumpun Melayu, walaupun dia seorang gergasi dalam bidangnya.
            Di Jerman Polan Cupan bertemu Sheikh Hassan Fathy, bukan secara peribadi kerana ketika itu syeikh itu sudah meninggal dunia, tetapi secara ilmu. Dia mendengar syarahan seorang sarjana Turki yang membicarakan kerja-kerja seni bina Sheikh Hassan Fathy, terus tertarik, dan berazam akan ke Mesir sebaik-baik saja dia memperoleh Ph.D.nya dalam bidang fizik. Dia berkenalan dengan tokoh-tokoh ilmuwan keturunan Turki di Jerman, dan menjadi murid rasmi seorang syeikh yang pakar dalam pengajaran Badiuzzaman Said Nursi, pejuang dan ulama Turki keturunan Kurdish yang sangat terkenal itu. Dari ajaran Said Nursi itulah Polan Cupan mengenal alam semula jadi dari dekat, malah mengalami secara kerohanian erti keindahan di alam maya pada ini. Dua orang tokoh ini, Sheikh Hassan Fathy dan Badiuzzaman Said Nursi, mencorakkan peribadi keilmuan Polan Cupan dan memberinya kekuatan tekad untuk mencipta sesuatu bagi orang-orang miskin negaranya. Dia tidak bersetuju orang miskin dan kemiskinan dihapuskan, kerana selain tidak mungkin dilakukan, perbuatan itu sendiri sejenis kezaliman yang paling tinggi dalam masyarakat. Yang diperlukan oleh orang miskin, kata Polan Cupan kepada sesiapa juga yang ingin mendengar pendapatnya, ialah memberikan  keadilan dalam pembahagian harta dan peluang untuk hidup selesa dalam kemiskinan mereka. Dengan keyakinan itulah dia mencari rahsia alam untuk mendapatkan sejenis bahan binaan yang boleh berdialog sesama sendiri dalam sesebuah bangunan. Apakah bahan itu, dan bagaimana dialog itu boleh terjadi? Itulah dua cabaran yang dihadapi oleh Polan Cupan. Dia berjaya, kerana Allah Ta’ala telah menjanjikan kepada makhluk Nya kejayaan itu milik orang yang berusaha bersungguh-sungguh dengan ikhlas.

2
            Selama dua belas tahun Polan Cupan berada di Jerman, menamatkan pengajiannya sehingga ke peringkat Ph.D., di samping mempelajari bahasa Arab dan Turki sehingga dapat membaca dan menulis dalam bahasa itu selain bahasa Jerman dan Inggeris, kemudian bekerja di sebuah syarikat bangunan dan pada waktu yang sama menjadi pakar runding kepada sebuah firma pengeluar besi jenis keras dan tahan dalam serba keadaan. Dia membuat pengkhususan dalam bidang pencerakinan molekul, kerana cita-citanya yang utama ialah untuk merangkai semula molekul tertentu untuk menghasilkan sejenis bahan baru. Dia mendapat ilham daripada permainan Rubik’s squares yang digemarinya, yang boleh membentuk pelbagai bentuk rupa mengikut kemahiran seseorang. Yang dicarinya ialah teknologi untuk menghasilkan sejenis bahan binaan yang bersifat interaktif dengan alam sekitar, memahami keperluan manusia dari segi keselesaan berada di dalam bangunan atau rumah, sejenis bahan binaan  yang tahan lasak, yang tidak boleh didekati oleh sebarang serangga yang membahayakan manusia dan segala jenis binatang kecil yang boleh membawa penyakit. Sebuah rumah impian dibina daripada bahan binaan ciptaan baru menggunakan teknologi nano sepenuhnya. Dari manakah bahan itu akan diperolehinya? Apakah campuran yang perlu digunakan untuk mendapatkan bahan yang istimewa itu? Semuanya bermula dengan mimpi, kata Dr. Polan Cupan setiap kali dia menghadapi tekanan perasaan kerana masih belum nampak sedikit pun bayangan yang sama-samar sekali pun akan bentuk bahan binaan yang istimewa itu. Dia terus membuat percubaan. Selama berada di Jerman, dia berulang alik ke Mesir untuk memahami dan melihat sendiri ciptaan Sheikh Hassan Fathy dalam seni bina. Kini dia sudah betul-betul berpegang teguh kepada falsafah binaan Sheikh Hassan Fathy: “Seseorang jurubina yang membina sebuah rumah yang hawa di dalamnya lebih panas daripada di luar rumah, sudah cukup untuk membawanya ke neraka.” Dr. Polan Cupan sudah yakin bahawa itulah falsafah seni bina yang dilihatnya di Cordoba dan di Andalus umumnya. Seperti Iqbal yang tafakkur dan sembahyang di Masjid Cordoba, begitu jugalah Dr. Polan Cupan yang kerap berulang alik ke Cordoba, cuba memahami rahsia kemahiran jurubina Islam zaman dahulu. Dia berazam akan membawa rahsia itu ke negaranya, dan membentuk satu corak atau stail seni bina tersendiri yang khusus bersifat Nusantara yang berjiwa Islam. Dia sangat kecewa apabila profesor wanita Melayu itu lebih tertarik kepada namanya yang pelik, bukan kepada penemuannya yang ajaib itu.  
            Rumah impiannya yang pertama dibinanya di satu tempat terpencil jauh dari bandar raya Kaherah. Cerita bagaimana hal ini terjadi mungkin lebih ajaib daripada kisah-kisah ajaib yang terdapat dalam Hikayat Seribu Satu Malam sendiri. Dr. Polan Cupan yang baru sampai dari Jerman khusus untuk melihat pameran seni bina Sheikh Hassan Fathy di Kaherah, didatangi seorang Arab yang sudah tua ketika dia sedang merenung dan memikirkan dengan mendalam satu gambar dalam pameran itu, tentang projek Sheikh Hassan Fathy yang gagal, tetapi menarik minatnya kerana dia ingin tahu apakah sebabnya Sheikh Hassan Fathy gagal, maka pada ketika itulah dia ditegur.
            -Tuan sangat berminat, saya lihat, tegur orang tua itu setelah memberi salam.
            Dr. Polan Cupan terkejut.
            -Nama saya Ahmad Amin, sahabat baik almarhum Sheikh Hassan Fathy. Saya seorang saudagar kain dan barang-barang kapas, kata orang itu lagi.
            Dr. Polan Cupan memperkenalkan dirinya, dan tidak teragak-agak lagi memberitahu maksudnya datang ke Kaherah.
            -Masha Allah, saya sudah bertemu orang yang saya cari, tetapi tidak tahu siapa dia. Anda mesti ikut saya ke kediaman saya.
            Dr. Polan Cupan pada mulanya teragak-agak, tidak yakin dengan orang yang tidak pernah ditemuinya itu memang jujur dan boleh dipercayai. Saudagar itu tersenyum melihat Dr. Polan Cupan yang serba salah. Dia membaca sebahagian daripada ayat dalam Surah al-Talaq, yang dalam kehidupan orang Melayu lebih terkenal sebagai Ayat Seribu Dinar.
            -Saya telah ditemukan Allah Ta’ala dengan saudara, sebagai suatu rezeki yang saya tidak sangka-sangka. Jangan khuatir, andalah yang akan paling beruntung dalam pertemuan kita ini (hati Polan Cupan berdebar-debar kuat mendengar ucapan yang bersifat kesufian itu). Saya hanya menumpang kejayaan anda saja, moga-moga sahabat saya Sheikh Hassan Fathy pun akan gembira seperti saya sendiri.
            Demikianlah akhirnya mereka bersahabat, persahabatan yang telah ditentukan oleh Allah Ta’ala di alam alastu lagi; tetapi persahabatan itu tidak lama, kerana dalam masa beberapa bulan saja saudagar yang sudah tua itu meninggal dunia. Sheikh Ahmad Amin sejak hari pertama pertemuan itu lagi sudah berwasiat kepada kaum keluarganya supaya Dr. Polan Cupan terus dibantu dalam usahanya membina rumah impian itu. Tempat yang dipilih itu memang tempat yang sukar, tidak saja jauh dari pusat pembangunan, tetapi terlalu kering. Pada ketika itulah Dr. Polan Cupan mendapat ilham daripada ajaran Badiuzzaman Said Nursi yang dalam tulisannya menghuraikan keagungan Allah Ta’ala dengan mengambil pelajaran daripada kejadian alam semula jadi. Jemputlah awan hujan datang ke kawasan kering itu, tetapi sebelum itu sediakanlah tanaman yang sesuai dengan tempat itu untuk menjadi tuan rumah awan yang akan membawa hujan, angin yang akan membawa benih tumbuhan, dan burung-burung yang akan membawa baka tanaman lain dari tempat yang tidak disangka-sangka. Mereka bertungkus lumus menyediakan tempat itu. Cabaran itu tidak terkira beratnya ditanggung oleh Dr. Polan Cupan yang hanya bergantung kepada ihsan kaum keluarga saudagar itu sahaja membiayainya.
            -Saya fikir kita hentikan saja di sini, belanjanya terlalu besar, kata Dr. Polan Cupan suatu hari.
            Keluarga Sheikh Ahmad Amin terkejut.
            -Anda putus asa?, kata mereka agak marah. Anda telah diberi kekuatan ilmu oleh Allah Ta’ala, diberi sokongan kami semua untuk menjayakan cita-cita anda dan cita-cita umat Islam. Anda mengaku kalah sebelum diuji lebih berat? Jika perlu kami ikat anda, kami akan lakukan, namun berundur dari kerja sekecil ini tidak akan kami benarkan.
            Dr. Polan Cupan meminta maaf kerana membuat cadangan yang menimbulkan kemarahan mereka. Dengan sokongan yang begitu kuat, dia tidak mempedulikan apa-apa juga halangan, terus bekerja mencari bahan binaan istimewa itu. Demikianlah akhirnya Dr. Polan Cupan menemui bahan binaan yang pelik itu setelah berusaha dengan gigih selama hampir sepuluh tahun, dengan berulang alik dari Mesir ke Jerman dan ke Malaysia. Seperti Hamzah Fansuri yang bertemu dirinya di kampungnya sendiri, maka Dr. Polan Cupan mendapat rahsia bahan binaan ajaib itu di tanah airnya sendiri.

3
            Setelah bertungkus lumus sekian lama, Polan Cupan akhirnya menemui bahan ajaib yang dicarinya itu. Dia mencipta sejenis bahan binaan yang baru, yang mesra alam dan bersifat interaktif dengan suasana sekitar. Setelah menjalankan penyelidikan dengan menggunakan teknik dalam teknologi nano yang dipelajarinya, Polan Cupan terkejut besar apabila bahan itu terdapat dalam pati tahi lembu, tetapi tidak cukup kuat. Secara tidak disangka-sangka ketika dia melawat kilang kelapa sawit, dia mencium tahi kelapa sawit yang dibuang dari kilang, hampir menyerupai bau pati tahi lembu, lalu dicampurnya kedua-dua pati tahi itu. Dia mendapat bahan yang dicarinya, sejenis pemangkin kimia yang masih memerlukan bahan lain untuk mencipta bahan binaan yang ajaib itu. Dia mendapatnya di sekitar Kg. Antah Berantah sendiri, di kaki gunung berdekatan kampungnya. Dia menggali hati tanah dari lembah gunung itu, dan menemui sejenis tanah keras yang kaya galian, terutama galian besi dan bauxite. Setelah menjalankan percubaan dengan sabar dalam masa yang lama, akhirnya terciptalah bahan PC, mengambil sempena namanya untuk memperingati Pak Pandir yang memberinya ilham untuk mencipta bahan baru itu. Dia segera terbang ke Mesir, memberitahu keluarga arwah Sheikh Ahmad Amin, dan meminta mereka membiayai kilang membuat bahan binaan itu di tengah-tengah hutan belantara Kg. Antah Berantah. Hampir semua keluarga Sheikh Ahmad Amin memeluknya dengan gembira, dan tanpa sebarang pertanyaan, mereka bersetuju membiayai pembinaan kilang itu. Demikianlah terbinanya Kilang PC Sheikh Ahmad Amin di tengah-tengah belantara Tanah Melayu, di kampung asal  Pak Pandir, di Kg. Antah Berantah.
            Untuk mendapat bahan bagi membuat tiang yang kukuh, Polan Cupan menggunakan  pati nibung dan pati buluh betung bagi menggantikan besi yang tidak dapat tidak akan berkarat dan reput, selain degil kerana sering menjadi penghalang kepada tindakan kimia yang tidak serasi dengannya. Polan Cupan mendapat ilham itu ketika kapal terbangnya terkandas di Mumbai satu ketika dulu sewaktu dia dalam perjalanan ke Iran. Ketika itu lapangan terbang Mumbai sedang dibaiki. Dia melihat para pekerja India menggunakan buluh biasa untuk membuat sigai terikat bagi memanjat bangunan tinggi. Buluh yang kelihatan lemah dan rapuh ketika bersendirian, menjadi kuat dan meyakinkan apabila diikat dengan cara tertentu. Polan Cupan mendapat ilham bahawa yang kelihatan lemah dan rapuh itu sebenarnya kuat dan tahan jika diadun dengan bahan yang serasi dengannya. Dalam ujiannya, dia dapati pati buluh betung dan nibung serasi untuk diadun dalam campuran berasaskan formula tertentu. Dia juga mendapati pati buluh itu liat dan ternyata lebih kuat daripada besi yang rapuh. Tidak hairanlah orang Melayu memfatwakan bahawa jika ada orang yang kebal, jangan ditikam dengan senjata besi, cukup dengan buluh yang ditajamkan yang ditikam ke tanah terlebih dahulu kemudian ditikam ke tubuh orang kebal itu. Mustajab, kata ahli silat yang tahu akan hal itu. Ternyata buluh lebih hebat daripada besi, jika betullah petua orang Melayu tentang orang kebal itu.
            Melalui pengalamannya bekerja beberapa bulan di Massachusetts Institute of Technology di bawah seliaan Prof. Marvin Minsky, pengarang The Society of Mind, Polan Cupan berjaya menghasilkan sejenis cip komputer yang boleh bertindak balas apabila dicampur dengan bahan PC ciptaannya. Cip komputer itu bertindak sebagai agen pengawal keutuhan bahan PC dan bangunan itu sendiri, di samping mengawal hawa di dalam rumah. Dengan cip komputer yang ajaib itu, rumah yang dibina dengan menggunakan bahan PC tidak perlu kipas dan penyejuk udara. Penggunaan elektrik pun sangat terkawal, tidak ada pembaziran sedikit pun. Di sini Polan Cupan menghadapi masalah, kerana syarikat yang membekal elektrik tidak menerima bahan PC sebagai selamat untuk dialirkan kuasa elektrik melaluinya. Terpaksalah Polan Cupan membuktikan secara saintifik, tanpa sebarang syak lagi, bahawa bahan PC adalah yang paling selamat untuk kuasa elektrik, kerana sebarang gangguan akan dikesan dengan cepat oleh cip komputer yang dimasukkan ke dalam bahan itu. Syarikat elektrik terkejut besar, kerana sekiranya bahan PC digunakan dengan meluas, perniagaan elektriknya akan menurun dengan banyaknya. Ekonomi untuk pengguna, kerugian untuk syarikat. Belum tahu sama ada kerajaan akan menyebelahi syarikat atau rakyat, kerana kedua-duanya penting bagi parti yang memerintah: rakyat memberi undi, syarikat memberi wang untuk menang pilihan raya. Tetapi kebiasaannya syarikatlah yang disebelahi kerajaan, kerana sumber kewangan itu lebih penting daripada undi yang boleh dibeli dengan mudah jika kena harganya dan caranya.
            Pembinaan rumah impian Polan Cupan di Mesir benar-benar menggembirakannya, kerana itulah hajatnya yang sekali gus menjadi nazarnya, untuk mengenang jasa dua orang tokoh yang sangat dihormatinya: Sheikh Hassan Fathy yang memberinya ilham, dan Sheikh Ahmad Amin yang memberinya modal untuk membina bahan binaan baru itu. Rumah yang dibina di Mesir benar-benar menjadi rumah ajaib, kerana udara di dalam rumah serta merta menjadi nyaman sebaik saja hawa panas naik melebihi paras selesa manusia biasa. Cip komputer yang berada di dalam bahan binaan itu secara automatik bertindak sebagai penyejuk bahan binaan di tengah-tengah hawa panas; atau sebaliknya, bertindak memanaskan bahan binaan sewaktu musim sejuk. Semua idea ini disesuaikan oleh Polan Cupan daripada percubaan yang dibuat oleh pakar Artificial Intelligence (AI) yang sejak bertahun-tahun membuat percubaan untuk menghasilkan sejenis cip komputer yang boleh bertindak balas di dalam diri manusia untuk menghasilkan sejenis sel baru yang boleh bergerak di dalam tubuh manusia seperti sel asli. Cip komputer itu berupaya mengesan segala jenis penyakit, dan terus membaiki sel-sel yang rosak dengan serta-merta. Dengan itu tidak ada sel yang rosak dalam diri manusia, sentiasa diganti secara automatik oleh cip komputer istimewa yang masih dicari oleh pakar AI itu. Melalui proses itu, manusia akan dapat hidup sehingga 500-600 tahun atau lebih, dan di dalam dirinya terdapat mesin-mesin seni yang apabila dijumlah menjadi sama ada 40% atau hampir mencapai 60% daripada jumlah semua sel manusia. Ketika itu manusia bertukar menjadi separuh mesin komputer dan separuh manusia asli. Polan Cupan tidak berminat dalam penyelidikan yang dianggapnya gila itu, tetapi dia menggunakan prinsip itu untuk mencipta bahan binaan ajaib yang ditemuinya itu.
            Dia berasa telah mengembalikan keagungan seni bina Islam zaman Andalus yang membina Masjid Cordoba yang indah itu. Tiang-tiang kecil masjid itu menjadi penyambung suara, sehingga seorang khatib yang membaca khutbah di mimbar akan dapat didengar suaranya di seluruh masjid disambung oleh tiang-tiang kecil yang berukir indah dengan awan larat dan ayat-ayat Quran. Bukan itu sahaja yang menghairankan orang kemudian. Di depan masjid terdapat jam air melambangkan lima waktu sembahyang. Setiap waktu sembahyang tiba, salah satu kepala singa yang menghiasi jam itu akan mengeluarkan air dari mulutnya. Menurut riwayat, selagi gunung yang menjadi sumber air itu masih wujud dan tidak dipindahkan ke tempat lain, dan selagi cuaca di langit tidak diubah oleh Allah Ta’ala, maka selama itulah air itu akan terus mengalir ke dalam kolam, dan waktu solat tidak akan berubah. Menurut riwayat lagi, ahli seni bina dan pakar ilmu bintang telah mengira tekanan air di dalam bumi yang diserasikan dengan perubahan cuaca dan udara di angkasa: apabila bertemu keduanya, maka lahirlah waktu sembahyang yang dilambangkan oleh pancutan air dari lima kepala singa yang menghiasi jam air itu. Itulah tradisi yang diwarisi oleh Polan Cupan, yang kini menggunakan teknologi nano untuk mencipta bahan binaan yang boleh berdialog sesama sendiri di dalam bangunan, dengan itu sekali gus mengawal hawa di dalam bangunan. Polan Cupan bangga kerana tradisi agung dalam seni bina Andalus itu memberinya ilham untuk mencipta bahan binaan yang ajaib itu.
            Dalam tangannya, teknologi nano telah terbukti berguna besar untuk manusia, sebagai makhluk yang menjadi hamba Allah dan khalifah Nya di dunia. Polan Cupan tidak berminat mencipta manusia baru seperti yang cuba dibuat oleh para pakar AI dunia, cukuplah jika dapat diwujudkan Melayu Baru yang tidak menipu dan tidak tamak, yang benar-benar menjadi hamba Allah dan khalifah Nya, melaksanakan amanahnya dalam konteks taklif yang diterimanya di alam alastu.

4
            Kejayaan Polan Cupan membuat orang tidak berminat lagi kepada keturunannya yang asal, cucu-cicit Pak Pandir. Yang kelihatan kepada ahli-ahli politik dan sekutu mereka ahli koperat yang keparat ialah berkapal-kapal wang dan bertimbun-timbun kekayaan yang akan dimiliki mereka jika bahan PC ciptaannya itu dikuasai mereka. Perkara itu sudah sampai ke Dewan Rakyat. Polan Cupan telah dituduh mengkhianati rakyat Malaysia kerana memberikan hak mengeluarkan bahan binaan yang ajaib itu kepada sebuah syarikat dari Mesir yang tidak terkenal pun. Satu keputusan telah dibuat untuk memiliknegarakan bahan binaan itu, atau sekurang-kurangnya syarikatnya diperbadankan dengan semua kakitangannya terdiri daripada rakyat Malaysia. Polan Cupan sangat kecewa diseret ke dalam kontroversi itu, kerana usahanya selama ini hanya untuk membina rumah yang selesa dan murah untuk didiami rakyat biasa. Dia marah dan benar-benar meluat apabila para pemimpin dan sekutu mereka ahli koperat yang keparat itu hanya memikirkan keuntungan peribadi semata-mata, tidak langsung memberi keutamaan kepada rakyat yang memerlukan rumah.
            -Nampaknya aku terpaksa mengalih perhatianku kepada penciptaan cip komputer yang boleh mengawal nafsu tamak, hasad dengki manusia, dan kecenderungan mereka untuk menipu, kata Polan Cupan kepada isterinya. Islam hadhari yang mereka canangkan itu tidak dapat mengubah tabiat jahat mereka. Aku perlu masukkan cip komputer untuk mengawal otak dan kalbu mereka supaya tidak dikuasai perasaan tamak dan tabiat ingin menipu. Tabiat rakus mengambil kesempatan peribadi. Jahat dan terkutuk!
            -Abang nak ubah manusia yang sudah disempurnakan Allah Ta’ala kejadiannya itu?, bantah isterinya. Abang percaya Nabi telah gagal membentuk manusia berakhlak, sehingga kita perlukan ahli sains seperti abang? Abang mau jadi Nabi Sains pula?
            Polan Cupan merenung isterinya dengan penuh simpati.
            -Bukan begitu maksudku, katanya perlahan-lahan. Aku mau cipta sejenis cip akhlak, yang apabila ditanam ke dalam diri manusia, terutama para pemimpin dan ahli perniagaan, akan membuat mereka jadi manusia yang berakhlak mulia. Semua itu tidak akan berlaku jika mereka tidak percayakan Tuhan Maha Pencipta, kerana cip komputer itu bergantung sepenuhnya kepada iman dan janji taklif manusia. Bagaimana cip komputer itu boleh direka, aku tidak tahu. Aku hanya mempunyai ideanya saja. Masih kabur …
            -Tak usah, abang. Jangan sibukkan diri abang untuk membentuk akhlak manusia. Tugas itu telah disempurnakan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai Nabi Akhir Zaman. Bukan tugas kita lagi. Membina akhlak bukan dengan cip komputer, tetapi dengan amal salih. Semua petua telah ditetapkan, hanya manusia saja tidak mahu melaksanakannya.
            Polan Cupan tersenyum kecil memandang isterinya yang bersungguh-sungguh mengemukakan hujahnya itu.
            -Benar katamu. Tapi aku berpendapat, pada zaman ulama telah gagal mendidik masyarakat berakhlak mulia kerana mereka sendiri juga tamak dan penipu, biarlah aku sebagai ahli sains mengambil alih tugas itu dengan caraku sendiri. Aku masih bertindak dalam konteks taklif, walaupun yang akan aku ciptakan itu sejenis cip komputer. Aku harap akan tampil para ulama tulen memberikan fatwa mereka tentang perkara ini. Aku tidak sabar lagi hendak mengerjakan penyelidikan yang mencabar ini.
            Isterinya menggelengkan kepala, terharu dan hairan sekali gus melihat perubahan suaminya yang ternyata sangat kecewa kerana usahanya mencipta bahan binaan ajaib itu menjadi punca perkelahian orang-orang berkuasa dalam bidang politik dan ekonomi.
            -Sabarlah, abang. Biarlah kita tunggu fatwa itu dahulu sebelum abang mulai, kata isterinya memujuk.
            Polan Cupan merenung Ayat Seribu Dinar yang tergantung di ruang tamu rumahnya yang dihadiahkan oleh Sheikh Ahmad Amin kepadanya.
            -Baiklah. Kita tunggu fatwa itu, jika mereka berupaya memberikannya.

[Nota:  Karya ini ditulis berasaskan idea yang terdapat di dalam Rubik’s squares yang digemari itu. Ditujukan kepada anak-anak Melayu yang bercita-cita tinggi dalam semua bidang kehidupan yang mulia, bukan yang bersifat durjana.]

4 comments:

  1. Assalamualaikum Tuan Haji Mohd. Affandi Hassan yang dihormati.

    Terima kasih kerana menunaikan janji untuk menyiarkan karya ini, sekali gus memberi ruang kepada pembaca untuk membaca dan berfikir mengenainya.


    Saya sudah salin cerpen ini dan akan membacanya. Buat masa ini, saya membaca Jejak Warisan. Inilah kali pertama saya membaca tulisan kreatif Tuan. Saya ternyata mempunyai pengalaman pembacaan yang berbeza. Watak Tok Ayah, Ayah, Mat Lela, Awang, Aminah, Zubaidah dan sebagainya .. walaupun tidak diperincikan fizikalnya seperti novel-novel realisme lain, tidak langsung mencacatkan pengamatan saya terhadap perjalanan perbahasan ilmu di dalamnya. Melalui Jejak Warisan, saya baru berkenalan dengan 'makna ilmu' yang sebenar, yang dimaksudkan PB.

    Terima kasih.

    Salam Intifadah

    Sofia Humaira'

    ReplyDelete
  2. Superb. Cerita macam nilah yang mencerdikkan pembaca. Saya sudah bosan dengan cerita-cerita syok sendiri yang banyak sekarang ini. Terasa kita diperbodohkan bila baca cerita-cerita mereka yang penuh dgn pandangan mereka yang emosional, dangkal dan begitu peribadi. Terbaru saya baca cerpen seorang penulis wanita veteran bergelar doktor tentang pengalaman dia dalam perjalanan dari P. Pinang nak menghadiri hadiah sastera perdana. Penuh dengan emosi dan pandangan peribadi yang kekampungan. Sedih.

    Sofia Humaira'- makna ilmu yang anda baca itu bukan rekaan PB. Itulah makna ilmu dalam Islam.

    ReplyDelete
  3. Saudara Tanpa Nama,

    Saya juga membaca cerpen yang saudara maksudkan. Reaksi pertama saya KETIKA membaca karya itu ialah 'perlukah perkara itu ditulis dan diterbitkan di dalam akhbar perdana'?

    Pada saya, cerpen itu terbit bukan kerana isi cerpen itu [jika cerita itu mahu disebut sebagai isi dalam faham konvensional sastera Melayu], sebaliknya kerana nama dan kedudukan penulis tersebut dalam jalur kesusasteraan Melayu MODEN.

    Jika saudara berasa sedih membaca karya itu, saya pula berasa malu untuk menerima kehadiran cerpen itu sebagai sebuah karya.

    Berkenaan ilmu, membaca Jejak Warisan juga membuatkan saya semakin faham akan makna ilmu yang benar, bezanya dengan maklumat dan ilmu bantu.

    Wassalam

    Sofia Humaira'

    ReplyDelete
  4. tajuk apa, karya Fatimah Busu tu?

    ReplyDelete