Berapa orangkah di antara sasterawan negara yang boleh
dianggap mediocre? Adakah kesemuanya?
Walaupun soalan yang dikemukakan kepada saya ini agak nakal dan terlalu tajam
sindirannya, namun saya kira terselit satu hasrat murni untuk diberi keyakinan
bahawa para sasterawan negara kita memang benar-benar terpilih daripada para
sasterawan yang betul-betul layak diberi gelaran itu. Persoalan ini timbul
kerana sejak awal lagi sudah timbul sejenis kronisme sesama sasterawan dan
sarjana untuk memilih sesama mereka menduduki takhta sasterawan negara itu.
Saya sudah pun dimaklumkan oleh A. Samad Said sendiri, dalam tahun 1985, bahawa
dia menerima anugerah itu, walaupun pada mulanya (dia telah dicadangkan lebih
awal) dia menolak. Saya harap A. Samad Said sudi menafikan atau mengiakan
maklumat yang saya dengar sendiri dari mulut beliau itu. Tidak mengapa jika
beliau menafikannya, kerana saya sendiri tidak akan mereka-reka cerita jika
saya tidak diberitahu; lainlah halnya jika saya dengar. Saya tak mungkin
menuduhnya dengan apa-apa tuduhan palsu dan jahat, kerana saya sendiri sudah
dimaklumkan oleh beliau bahawa beliau tidak mahu masuk neraka hanya kerana
menggunakan teknik realisme magis dalam novelnya; jadi saya yakin akan
kejujurannya. Saya sebut lagi peristiwa ini kerana saya ingin menekankan betapa
pentingnya sokongan kawan-kawan dalam kehidupan manusia, walaupun ada orang
jahat mengatakan itulah bentuk kronisme yang terkutuk itu. A. Samad Ismail
menggelarkan fenomena ini sebagai MAFIA sastera, kerana menurut pemerhatiannya
memang terdapat golongan MAFIA sastera dalam sastera Melayu. (Lihat surat penuh
beliau mengenai perkara ini yang dikirim kepada Leo AWS dalam bukunya, Langit Dusunku, 2003, hal. 68-70; satu
rujukan yang penting mengenai perilaku para sasterawan sesama mereka.) Benarkah
kronisme perbuatan terkutuk? Jika maksud kronisme itu ialah memilih orang
terdekat untuk mendapat faedah daripada kedudukan seseorang yang mempunyai
kuasa dan pengaruh, maka jelaslah perbuatan itu sangat tidak patut, kalau tidak
pun terkutuk! Bagaimana sekiranya orang yang mendapat faedah dan diberi faedah
istimewa itu memang layak menerimanya? Dia masih juga istimewa, kerana
kaitannya dengan orang tertentu yang dapat memberinya faedah. Orang agama tentu
tahu maksudnya, kerana ada banyak hadis yang bercerita tentang perkara ini.
Biarlah mereka sendiri memberitahu anda.
Baru-baru ini timbul sedikit kekecohan apabila Shahnon
Ahmad dikatakan tidak bersetuju Baha Zain diangkat sebagai sasterawan negara,
kerana tidak layak, karyanya hanya sajak-sajak kontot yang tidak banyak
jumlahnya. Orang bertanya, siapakah yang layak? Ada orang beritahu saya, Faisal
Tehrani bertanya soalan itu terus kepada Shahnon Ahmad dan menurut Faisal,
Shahnon Ahmad menyebut nama Mana Sikana dan Fatimah Busu. Kata Faisal Tehrani,
namanya boleh disebut sebagai punca sumber berita benar itu. Adakah ini
menghairankan? Tidak, kerana itulah praktik sasterawan Malaysia pun (penggunaan
‘pun’ mengikut stail Shahnon), “kau garu aku; aku garu kau” adalah peribahasa
yang bunyinya lawak, tapi gunanya banyak. Sebelum Fatimah Busu diperaku, dalam
kolum Dewan Sastera September 2012
Shahnon Ahmad cukup tegas mengatakan tiada seorang pun sasterawan wanita yang
layak diberi gelaran sasterawan negara. (Rujuk pos bertarikh 29/9/2012).
Mana Sikana agak istimewa, kerana dialah yang bermurah
hati menggelar Shahnon Ahmad sebagai Raja Novelis Malaysia! Adakah ini contoh pandirisme dan kronisme
sekali gus? Pertanyaan itu tidak
penting, kerana itulah kebiasaannya yang sudah diterima umum, walaupun tidak
semua. Anda tidak boleh berkata permainan politik sastera ini jijik, kerana
para sasterawan sudah mengaku sunguh-sungguh dan penuh dengan kejujuran yang
mengalahkan integriti kaum munafik, bahawa mereka adalah golongan yang boleh
dipercayai kejujurannya kerana mereka adalah pencinta kemanusiaan sejati, bukan
kemanusiaan mainan seperti ahli politik atau kaum munafik. Ini mereka telah buktikan dalam karya mereka,
dan telah disahkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka.
Kemanusiaan sejati ini telah disepakati bersama oleh para sasterawan dan
sarjana sastera dengan mengisytiharkan sasterawan adalah propagandis zamannya,
golongan yang setia dengan komitmen tidak berbelah bahagi untuk memperjuangkan
dan mempertahankan kemurnian nilai-nilai sastera mengatasi semua nilai-nilai
lain yang bukan bercorak sastera. Dua nilai utama sastera yang menjadi pegangan
para sasterawan dan mendapat sokongan para sarjana ialah kebebasan berkarya
dengan menterjemahkannya dalam bentuk eksperimen yang menyerlahkan kelainan dan
kemajuan dari segi garapan tema yang selari dengan praktik universal dalam
sastera dunia. Itulah sebabnya sajak seperti “Baris-baris di Muzium Goethe”
menjadi karya masterpiece kerana
sajak ini menyerlahkan nilai universal mengatasi perbezaan bangsa dan
nilai-nilai agama yang menjadi anutan mereka. Inilah tema agung dunia, yang
menjadi ukuran dalam menentukan bermutu tidaknya sebuah karya sastera dan layak
tidaknya sang sasterawan untuk diangkat sebagai pemenang Hadiah Nobel, yang
menjadi idaman para sasterawan Melayu. Inilah juga tema agung para sasterawan
yang mereka perlihatkan dalam karya seperti Juara
dan Salam Maria atau Salina, walaupun Juara dan Salina tidak
mencerminkan adanya kesedaran terhadap nilai Islam. Novel Juara mengagungkan keganasan, perjudian dan pembunuhan; manakala Salina pula menjadikan perzinaan sebagai
hiasan wanita Melayu yang jelita dan amat tinggi sifat kemanusiaannya. Inilah
penilaian yang digunakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan
mereka. Sekadar memberi sedikit contoh,
kita lihat pandangan Panel tentang Juara.
“Novel Juara
berjaya meletakkan S. Othman sebagai seorang penulis yang berwibawa. ...
Perjuangan watak-watak dalam novel Juara dilambangkan
dengan perlagaan lembu. ... Novel Juara
ialah novel simbolik dan novel psikologi perjuangan yang dilambangkan dalam
suasana perlagaan lembu dalam sebuah gelanggang. ... Mamat ialah pejuang yang mempunyai
kesedaran dan minda terbuka. Walaupun kehidupannya dihimpit kemiskinan sehingga
memaksa dia mengikuti arus budaya masyarakat setempat, dengan bergiat dalam
judi laga lembu, Mamat yakin, hanya melalui pendidikan, seseorang itu dapat
melepaskan diri mereka daripada penjara kemiskinan. Justeru, dia memberi
perhatian yang serius terhadap pelajaran anaknya. ... Demikian kesan pemikiran
dalam novel Juara sebagai salah
sebuah novel penting dalam sejarah kesusasteraan Melayu abad ke-20.” (Laporan 2003, hal. 32-34). Jika kita
melihat dari sudut ilmu yang diwacanakan dalam sebuah novel, apakah jenis ilmu
yang dipaparkan? Yang ada hanya maklumat tentang perjudian perlagaan lembu,
peraturan dan pantang larangnya, cara melatih lembu laga, iaitu maklumat yang
tidak berfaedah kecuali untuk kegunaan para penjudi perlagaan lembu. Untuk mengaitkan novel ini sebagai novel
perjuangan sama sekali tidak masuk akal. Novel ini bercerita tentang para
samseng dan penjahat, penjudi dan pembunuh, yang sama sekali tidak bermoral,
yang hanya bertindak dari dorongan hawa nafsu dan sifat amarah. Semua ini jelas
diceritakan dalam novel ini. Dari mana datangnya idea perjuangan itu? Adakah
menjadi penjudi, samseng dan pembunuh satu perjuangan? Watak utamanya Mamat,
dikatakan oleh pengarang (tetapi tidak sedikit pun ditunjukkan di dalam novel)
seorang pejuang kemerdekaan yang dua kali kalah dalam pilihan raya. Kita tidak
dapat bayangkan watak penjahat sekejam itu berlagak sebagai pejuang
kemerdekaan, hanya kerana pengarangnya berkata demikian. Tidak ada alasan dan
tidak ada bukti sama sekali untuk meletakkan watak ini sebagai seorang pejuang
dalam konteks yang bagaimana sekali pun. Panel bercakap tentang “pemikiran” di
dalam novel ini: apakah pemikiran itu? Tidak langsung dijelaskan, tiba-tiba kita
diberitahu novel ini sebuah novel penting dalam sejarah kesusasteraan Melayu
abad ke-20. Adalah lebih wajar dan lebih
tepat untuk kita membuat kesimpulan bahawa novel ini hanyalah sebuah novel
picisan yang bersikap anti-moral, anti-Islam dan anti-kemanusiaan. Akan
menjadi lebih aneh lagi jika kita mengingat bahawa pengarang ini mendakwa
beliau seorang penulis sastera Islam. Di mana Islamnya di dalam novel Juara ini? Ini diakui sendiri oleh Panel
(lihat hal. 34 tentang Ruang Perjalanan
sebagai sastera Islam: “Melalui novel ini, sebagai
novel-novelnya yang terdahulu [tentu termasuk Juara!], S. Othman berdakwah.” (huruf condong ditambah). Mungkin
keterlaluan jika kita berkata pendapat begini hanya mengarut, tetapi itulah istilah yang paling lembut dalam konteks
ini.
Konsep pandirisme yang diperkenalkan dalam analisis
dan penilaian akademik adalah penting kerana konsep ini merujuk kepada sikap
mental para sarjana ketika menghadapi aneka ragam pendekatan dan teori Barat
dalam pelbagai bidang akademik. Jika anda masih ingat, Pak Pandir tertarik
kepada timbunan padi hampa, terus memasukkannya ke dalam guni dan memikulnya,
melalui anak sungai yang deras airnya dan dia yang menggunakan pemerhatiannya
dengan yakin menurut contoh semut yang menyeberang di atas dahan (ranting)
kayu, lalu terjatuh ke dalam anak sungai tetapi dapat diselamatkan oleh guni
padi hampanya. Persis inilah yang terjadi kepada para sarjana jika tidak
berhati-hati: kerana terpikat kepada pelbagai pendekatan dan teori Barat,
mereka terus saja “memikul tugas akademik” untuk menggunakannya dalam analisis
dan penilaian mereka, padahal yang dipikul itu bukanlah jenis beban yang
berguna dalam kehidupan akademik yang mengutamakan konsep ilmu yang benar. Ini
tidak bermakna mereka tidak boleh menggunakan apa juga yang mereka temui,
tetapi perlulah menggunakan rujukan yang berteraskan ilmu yang benar itu,
supaya beban yang dipikul tidak sia-sia dan tidak memberi isyarat yang salah
dalam perkembangan ilmu. Di sinilah gagalnya Panel Anugerah Sastera Negara dalam
memberi arah yang betul dan beradab dalam kritikan sastera Malaysia. Jika semua
pendekatan yang digunakan itu dikembalikan kepada konsep taklif, maka seluruh
analisis dan penilaian yang dibuat akan dilihat dalam konteks manusia sebagai
makhluk ciptaan Allah Ta’ala. Lihat huraian ringkas di bawah untuk memahami
aspek ini.
Semua ulasan yang saya lihat meyakinkan saya betapa
kuatnya pengaruh pandirisme dalam kritikan sastera Malaysia. Juara adalah lambang kegagalan
sasterawan Melayu memahami subjeknya, cetek dan terlalu kaya sensasi. Semua
ulasan tentang Juara hanya
memperlihatkan betapa benarnya
pandirisme itu menjadi anutan para penilai ini. Oleh itu apabila Juara dijadikan novel abad 20 oleh DBP, kita berasa
amat terhina kerana yang ditonjolkan ialah sebuah karya sensasi yang tidak langsung mempunyai kualiti ilmu
di dalamnya dan tidak pula keunggulsan struktur sebuah karya kreatif: yang
dihidangkan hanyalah bebelan pengarang, bukan suatu analisis tentang manusia
yang boleh dicontohi. Jika anda kaitkan ini dengan perilaku Pak Pandir yang
memilih padi hampa, maka itulah yang dibuat oleh sarjana ini dengan pelbagai
teori yang mereka gunakan untuk membela Juara. Pak Pandir selamat dari kelemasan dengan
mendakap guni padi hampanya; mereka ini pun “selamat” dari kelemasan
akademik kerana tidak bisu untuk
memperkatakan sesuatu dengan mendakap pendekatan dan teori Barat itu,
sekurang-kurangnya boleh memindahkan sedikit maklumat dan pengetahuan yang
tidaklah mendalam dalam teori/pendekatan tertentu untuk berbicara tentang novel
ini. Hasilnya tetap hampa, sebab hakikat sebenar novel ini yang tidak bermutu
terlepas dari pemerhatian mereka yang “cetek meraba-raba”.
Ada beberapa buah kertas kerja yang membicarakan Juara,
termuat dalam prosiding Seminar
Pemikiran Sasterawan Negara S. Othman Kelantan (DBP 2004), seminar “Wacana
Karya Abad 20” (anjuran DBP, Hotel City Bay View, Langkawi, 19-21 Disember
2005). Para penulis kertas kerja
bersetuju sepenuhnya dengan kesimpulan Laporan
2003, ditegaskan dalam kertas kerja mereka yang ditulis dari beberapa
perspektif pendekatan yang terdapat dalam teori sastera Barat. Semua kertas kerja itu berhasil mengemukakan
sedikit sebanyak maklumat tentang teori itu sendiri dan ulasan mereka yang
tidak mendalam tentang novel Juara. Kesemua kertas kerja itu gagal memberi
penilaian sewajarnya, berasaskan analisis yang cermat dengan hujah-hujah yang
diiringi pembuktian daripada teks sendiri. Paling jelas, tidak sebuah pun
kertas kerja itu menilai karya itu dari perspektif ilmu, walaupun ada di antara
mereka yang berkata novel itu sebuah novel ilmu. Kesimpulan yang mereka dapat lebih untuk
membenarkan pilihan mereka menggunakan pendekatan dan teori yang mereka
gunakan, bukan tentang kualiti karya dan penilaian yang membolehkan pembaca
memahami kedudukan sebenar karya itu
dalam seni mengarang. Saya menegaskan tadi karya ini, jika dilihat dari perspektif menggunakan kaedah gagasan
Persuratan Baru, adalah sebuah karya picisan kerana di dalamnya berserabut
dengan kekeliruan yang terlalu menonjol tentang nilai Islam, nilai moral, dan
nilai kesejahteraan masyarakat yang mencerminkan ketokohan sebenar watak-watak
yang dijadikan pelakon dalam novel itu berasaskan nilai-nilai tadi. Kertas
kerja yang membicarakan novel ini berasaskan teori Barat itu, nyatalah telah
berjaya membuktikan betapa terbatasnya keupayaan pendekatan dan teori Barat
dalam memperihalkan karya kreatif seorang pengarang Islam yang asasnya jauh
berbeza daripada pengarang bukan Islam.
Mengapa persoalan ini penting? Tiap-tiap hari, dalam lima waktu
solatnya, orang Islam diperingatkan supaya ditunjukkan jalan yang lurus, jalan yang
benar. Doa itu harus dibawa dalam semua kegiatan yang bersifat ilmu, supaya
jangan nanti kekeliruan dalam konsep ilmu membawa sarjana Islam hanyut ke jalan
yang dia tidak tahu ke mana arahnya. Jika ini tidak penting bagi anda sebagai
seorang sarjana Islam, maka anda bolehlah berbuat apa saja yang anda mahu.
Mohd. Affandi Hassan,
21/4/2013
No comments:
Post a Comment