Thursday, April 25, 2013

PERSURATAN BARU MENYERLAHKAN KECEMERLANGAN PERSURATAN MELAYU.



Perbincangan tentang peranan pandirisme dalam sastera Melayu dianggap cuba merendah dan menghina para sasterawan negara khususnya dan para sasterawan umumnya, di samping memperlekeh para sarjana. Pandangan itu bagus kerana ia membenarkan tesis saya betapa meluasnya budaya pandirisme ini dalam sastera Melayu, baik yang bersifat kreatif mahu pun (malah terutama sekali) yang bersifat akademik dan kritikan. Pendapat demikian jelas berasaskan sikap mental yang mempertahankan pandirisme, bukan datang dari pemikiran yang rasional dengan hujah yang boleh dipegang buktinya. Hidup atau mati sasterawan negara dan lain-lain sasterawan bergantung sepenuhnya pada karya mereka, bukan pada pujian dan  kritikan dalam konteks pandirisme. Demikian juga maruah mereka sebagai sasterawan tidak kena mengenan dengan kritikan ke atas mereka. Sama ada saya memuji mereka atau mengkritik mereka, kedudukan mereka hanya dapat diukur daripada kualiti pemikiran dan keunggulan kreatif mereka, tidak ada sangkut paut dengan pujian atau kritikan Mohd. Affandi Hassan. Oleh itu, maka saya pernah berkata, pendapat yang menolak gagasan Persuratan Baru kononnya akan menghumban semua sasterawan negara ke dalam tong sampah adalah pendapat berasaskan pandirisme, tidak kena mengena dengan gagasan Persuratan Baru. Jika PB bersikap kritis terhadap karya para sasterawan negara ini, maka yang harus mempertahankan diri ialah karya itu, bukan pujian atau kritikan yang ditujukan terhadap karya itu.  Perkara ini sudah jelas dan tidak sepatutnya dijadikan isu, jika bukan kerana pengaruh pandirisme yang begitu kuat mencengkam para sasterawan dan sarjana sastera.

Apakah yang harus kita buat? Hanya tiga perkara mudah: (1) pertama memahami kedudukan pandirisme dalam sastera Melayu, sama ada boleh diterima atau sebaliknya; (2) menentukan ukuran yang standard dalam analisis dan penilaian supaya semua hujah dan pembuktiannya dapat dinilai dengan objektif, jitu dan tepat; (3) mendapatkan atau mencari alternatif supaya pandirisme tidak lagi menjadi budaya arus perdana dalam sastera Melayu. Bagi faktor pertama, dokumen yang ada sudah lebih dari mencukupi untuk dijadikan bukti dan bahan analisis. Isunya, adakah cengkaman pandirisme itu sesuatu yang real atau hanya andaian yang tidak mempunyai bukti?  Jika isunya demikian, maka pada bila-bila masa pun pandirisme boleh ditolak dengan mudah berasaskan analisis dan pembuktian tadi. Bagi faktor kedua, sudah terdapatkah ukuran yang standard itu untuk digunakan dengan selesa dalam analisis dan penilaian terhadap keupayaan kreatif seorang sasterawan dan ketrampilan akademik seorang sarjana? Kedua-duanya masih belum jelas, malah dalam kes Juara, sudah jelas ukuran yang standard itu tidak ada. Sekarang isunya ialah, perlukah kita kepada ukuran yang standard itu? Jika anda rasa tidak perlu, seperti pendapat dan penegasan Panel Anugerah Sastera Negara dalam semua laporan mereka yang hanya menggunakan common sense, dan diterima serta disokong oleh para sarjana dan pengkritik sastera, maka anda haruslah bersedia untuk dikritik kerana pendirian itu membuktikan wujudnya pandirisme dalam perkembangan sastera Melayu.  Bagi faktor ketiga, anda tidak perlu bersusah payah kerana jalan penyelesaiannya sudah diberikan oleh gagasan Persuratan Baru. Andainya anda beranggapan PB juga mendukung pandirisme, maka anda dipersilakan untuk memberikan alternatif yang lebih baik. Pendeknya, anda harus bersedia untuk berhujah secara akademik, tidak hanya menggunakan pandirisme sebagai hujah anda.  Hanya tiga perkara saja yang perlu dilakukan, cukup mudah dan boleh dilakukan bila-bila masa sekali pun. Tetapi sekiranya anda menolak sama sekali wujudnya pandirisme itu, maka anda harus bersedia untuk membuktikan secara akademik bahawa pandirisme tidak wujud, walaupun tindakan anda selama ini membuktikan pandirisme itu memang wujud dan mendapat dukungan kukuh anda sendiri. Contoh-contoh telah diberikan, oleh itu tidaklah sukar untuk anda menolaknya sebagai tidak tepat, hanya sejenis salah faham saja. Jika anda melihat pandirisme dalam konteks perbincangan ini, anda akan dapati pandirisme adalah suatu realiti yang benar-benar wujud dalam sastera Melayu. Sekarang bagaimana?  Sama ada anda seorang sasterawan, seorang sarjana, atau seorang pengkritik sastera, anda tidak boleh lari dari  menjawab pertanya mudah itu. Keseluruhan tindakan anda menjadi bukti bahawa itulah hasil cengkaman  budaya pandirisme yang menjadi panduan anda selama ini.

Sekarang kita pergi kepada persoalan sama ada retorik peragaan adalah sebahagian daripada bukti wujudnya pandirisme dalam sastera Melayu.  Saya memberi tumpuan kepada isu ini kerana semua seminar tentang pemikiran para sasterawan negara menayangkan dengan jelas betapa meluasnya penggunaan retorik peragaan ini dalam kertas kerja yang dibentangkan. Melalui retorik peragaan, penulis kertas kerja berpeluang menonjolkan beberapa aspek sesuatu teori atau pendekatan yang dipilih untuk dipadankan dengan karya sang sasterawan yang dikira menepati kehendak teori yang digunakan untuk membicarakan karya sang sasterawan, misalnya teori semiotik atau apa juga teori yang menarik minat penulis kertas kerja. Beberapa unsur karya akan disenaraikan dan diberi padanan dengan beberapa aspek teori pilihan, lalu dibuat kesimpulan bahawa karya itu menepati dengan prinsip-prinsip yang terdapat di dalam teori, lantas karya itu diisytiharkan sebuah karya yang berjaya mengikut prinsip-prinsip teori berkenaan.  Sering kali unsur karya yang diperagakan tidak semestinya berkait dengan ukuran yang boleh digunakan untuk menilai sesebuah karya dari segi pemikiran, pembinaan struktur karya atau  penampilan persoalan yang menarik, yang bukan klise. (Sila rujuk penjelasan saya tentang penilaian novel Juara.)  Sering kali keutamaan diberikan kepada pembaharuan dalam bentuk yang dinamakan eksperimen, simbolisme, dan macam-macam lagi istilah yang hebat-hebat digunakan untuk memperagakan bahawa karya itu memang bernilai tinggi dalam pandangan teori atau pendekatan yang dipilih. Perkara ini telah saya bincang banyak kali dalam tulisan di blog ini, oleh itu tidak perlu diulang, walaupun mungkin sukar juga bagi pembaca yang lemah untuk menemui tulisan berkenaan. Asas nilai yang dipakai ialah nilai-nilai Barat yang bersumber dari kehendak dan kemahuan hawa nafsu  rendah manusia sendiri, yakni “man as the measure of values”.  Para sasterawan dan sarjana bertegas berpegang kepada prinsip ini kerana menurut mereka belum ada lagi sasterawan Melayu yang murtad atau sesat kerana berpegang kepada prinsip nilai Barat itu. Perhatikan satu contoh terbaru: A. Samad Said telah menerbitkan Salina dalam dua edisi, satu edisi khas yang menggunakan kulitnya lukisan seorang wanita yang begitu “sexy”; manakala yang satu lagi kononnya menggunakan lambang wanita sundal dalam bentuk rama-rama, untuk edisi popular harga murah! Mengapa kulit buku ini dipilih demikian rupa? Tujuannya untuk memikat pembaca bahawa novel ini adalah istimewa dan sangat unggul, oleh itu perlu ditegaskan dalam penampilannya, walaupun hanya kulitnya!  Asas pilihan itu ialah prinsip nilai Barat tadi; jika dipilih nilai Islam, mungkin lebih cocok hanya nama atau judul buku itu saja tertulis di kulit, tanpa sebarang usaha untuk memikat hawa nafsu manusia yang akan membelinya. Walaupun A. Samad Said telah menulis sajak panjang berjudul al-Amin, kononnya tentang Nabi SAW, namun ajaran dan prinsip-prinsip nilai yang kononnya mendorong penulisan sajak itu, tidak dijadikan asas dalam membuat keputusan. Hawa nafsu manusia yang rendah juga yang menjadi pilihan. Inilah juga yang terjadi dalam Laporan 2012 tentang Kemala, ketika Panel Anugerah Sastera Negara memuji sasterawan negara pilihan mereka. Lihat kutipan ini:

“Sebagai penyair berjiwa besar, Kemala juga berani menggunakan alusi daripada budaya lain seperti rujukan kepada Mark Anthony dan Cleopatra. Perkara ini dilakukan bukan kerana tidak ada tokoh dalam kalangan penduduk tempatan, sebaliknya, penggunaan alusi asing ini memupuk renungan tentang hukum hidup yang universal dan lumrah. Malah dalam era globalisasi ini perlulah kita menyedari tentang persamaan dan perbezaan antara Timur dengan Barat. Manusia, tidak kira negara asalnya, pada dasarnya menghadapi pengalaman dukalara dan peristiwa yang amat menggembirakan dalam mengharungi lautan hidup. Justeru, alusi daripada berbilang budaya menjadikan karya penyair ini universal. Namun demikian, Kemala tetap bersandar kepada akar umbi Melayu dan ajaran Islam” (hal. 20).  Saya tidak perlu mengulas; anda sendirilah menilainya. Cukuplah bagi saya untuk membuat kesimpulan, inilah puncak pandirisme dalam sastera Melayu, baik dari segi penilai mahupun dari segi pensajak sendiri. Cuma sedikit ingatan: pensajak ini diberi keistimewaan sebagai pensajak “sufi”.  Sejak bila Mark Anthony dan Cleopatra menjadi lambang orang “sufi”?

“Apakah yang telah dihasilkan oleh para sasterawan selama 70-80 tahun ini? Biasanya jawapan yang diberikan terlalu lurus, dengan penegasan bersungguh-sungguh bahawa sastera Melayu telah melahirkan beribu pensajak, “novelis, dramatis, cer/penis,” kri/tikus, sasterawan, sarjanawan yang semuanya golongan cendekiawan budiman emas tempawan yang berkilauan. Mereka inilah yang menghasilkan pelbagai jenis sajak, drama, novel yang picisan dan erotik serta yang bukan, yang kesemuanya dipanggil karya sastera yang penuh dengan cerita sensasi yang menegangkan bulu roma dan seterusnya.  Dari kalangan mereka inilah lahir para sasterawan sufi yang menjadikan Mark Anthony dan Cleoptra sebagai model percintaan “kesufian” hawa nafsu manusia.” (Dikutip daripada naskhah tulisan tangan, 1990-an, tanpa nama pengarang.)  Penulis naskhah ini terlupa mencatat betapa banyaknya sastera protes yang ditulis bermodelkan faham realisme sosialis, ditulis oleh yang mendakwa diri mereka adalah para pejuang kemerdekaan yang menceburkan diri dalam bidang kewartawanan dan sekali gus menjadi para sasterawan terkenal yang telah mewariskan karya besar dalam sastera Melayu moden. Selepas merdeka, karya ini mula dipersoalkan mutunya dan motifnya: benarkah inilah karya bermutu yang melayakkan penulisnya diberi gelaran besar? Terdapat sedikit kekecohan apabila ada di antara para sarjana sastera, juga pengkritik, mula berasa sangsi mengenai cara penilaian itu dibuat: apakah asasnya? Mereka sampai kepada satu kesimpulan yang agak mengejutkan: nilai-nilai yang dijadikan ukuran tidak berjiwa Melayu, sebaliknya terlalu pekat dengan keju dan mentega Eropah, tiada langsung bau belacan Melayu. Itulah kesedaran paling bermakna bagi mereka, lantas mereka berebut-rebut “mencipta teori” sastera Melayu. Tetapi masalahnya mereka tidak sedar mereka masih menggunakan nilai-nilai Barat untuk menghuraikan teori sastera Melayu itu. Contohnya nama yang diberikan kepada sekumpulan petua yang diberi nama “teksdealisme”: kesempurnaan nilai Melayu yang diukur dari nilai-nilai Barat, sehingga akhirnya melahirkan seorang tokoh besar yang diberi gelaran “Raja Novelis Malaysia” atau “Raja Novelis Melayu”!?

Inilah permulaan lahirnya idea tentang pandirisme dalam sastera Melayu.

Sebelum Pak Pandir diangkat menjadi seorang ahli falsafah yang melahirkan pandirisme ini, Si Tanggang anak derhaka telah dilantik menjadi seorang intelektual agung bangsa Melayu yang membawa perubahan setelah pulang dari perjalanan di Eropah dan Amerika Syarikat, tempat sang intelektual ini belajar menjadi kurang ajar.  Pada waktu yang hampir sama, Pak Kaduk pula diisytiharkan sebagai seorang strategis Melayu yang ulung, yang menyelamatkan rakyat daripada penindasan kezaliman raja-raja Melayu yang telah merampas ayam Pak Kaduk. Semua ini terjadi setelah seorang sarjana dan ahli fikir Melayu yang ulung, seorang profesor yang cekap meninjau sajak-sajak Melayu, melontarkan  idea besarnya yang digelarnya anjakan makna.

Dalam kemelut itu, timbul pertanyaan yang menggegerkan dan menggegarkan para sasterawan dan sarjana, bagaimanakah bentuk karya kreatif kita nanti, dan bagaimana pula corak kritikan yang kita wariskan? Golongan sasterawan dan sarjana yang “cetek meraba-raba” tidak berminat kepada soalan itu, kerana bagi mereka apa yang ada sudah cukup, lagi pula sudah dipilih dari kalangan sesama sendiri para sasterawan negara yang sudah terbukti jasa dan sumbangan mereka untuk diri mereka dan seterusnya ...  Kata mereka, tidak perlu apa-apa pertanyaan yang menyusahkan, kita teruskan saja apa yang kita telah buat dan telah buktikan, tanpa memperkenalkan apa-apa perubahan, kecuali dalam cara bereksperimen dan “bersimbolan” dalam karya masing-masing supaya terdapat pelbagai makna yang akan menjadikan karya itu tidak boleh dikritik kerana ke mana pun arah yang dipilih akan tetap berdiri teguh sebagai karya berunsur estetika bahasa yang tinggi, pemikiran yang mendalam, dan penerokaan tema kemanusiaan yang luar biasa serta beraneka pula coraknya. Kata mereka, kita sudah pun mempunyai maha karya, masterpiece, yang tidak dapat diragukan lagi sifat internasionalnya, yang universal persoalannya, yang mencerminkan nilai-nilai kemanusiaan yang diterima di seluruh dunia. Kita telah ada karya demikian, kata mereka, seperti Salina, Juara, Salam Maria, Srengenge, Tunggul-tunggul Gerigis, Tikus Rahmat, dan lain-lain yang sudah disenaraikan dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai karya abad ke-20. Tetapi sarjana yang nakal, yang masih tidak puas hati, yang selalu menimbulkan masalah kepada para sasterawan dan sarjana sastera, masih juga melontarkan soalannya: Benarkah begitu? Betulkah? Maka bermulalah kemelut baru yang ditingkatkan persoalannya menjadi persoalan epistemologi dan adab dalam persuratan Melayu.

Para sasterawan dan sarjanawan yang “cetek meraba-raba” tiba-tiba mendapat cabaran baru yang belum pernah berlaku sebelumnya. Kini pengetahuan mereka tentang sastera yang ditiru dan diciplak dari Barat itu terhuyung-hayang ditiup taufan epistemologi yang mereka tidak pernah kenal dan baru hanya mendengar namanya, belum lagi tahu betul-betul. Dalam kekalutan itulah ditimbulkan tiga kategori karya yang tidak dapat dielak atau ditolak kerana memang telah wujud dalam dunia penulisan Melayu, hanya yang satu itu dibiarkan mati beragan kerana kemampuan ilmiah yang terbatas tidak dapat mendukung kategori yang satu itu, yang telah dimulai penulisannya dalam bentuk moden oleh Al-Adib Abdul Kadir Adabi melalui novel-novelnya.  Selepas ini kategori karya persuratan akan menjadi kategori utama, yang menjadi standard kepada karya kreatif di Malaysia. Dengan bertambahnya ilmu dan sikap terbuka para penulis muda, perubahan ini nampaknya tidak dapat dielakkan, kerana itulah  sebenarnya pilihan terbaik untuk diri penulis itu sendiri dan untuk masyarakat yang menjadi khalayaknya.

Karya kreatif ketika itu tidak lagi berlegar di sekitar cerita yang tidak matang, seperti yang dapat dilihat dalam novel Juara misalnya. Dengan memberi tumpuan kepada konsep ilmu yang benar, aspek pemikiran yang selama ini seolah-olah menjadi semacam obsesi ketika membicarakan para sasterawan negara, akan diberi bentuk yang jelas  apabila para pengarang kita dapat benar-benar menguasai ruang naratif untuk memberi keutamaan kepada wacana yang bersifat ilmu sambil bercerita dengan berhemah dan matang, tidak lagi seperti yang dihidangkan di dalam novel seperti Juara dan lain-lain karya sastera seumpamanya. Jika kesedaran begini sudah ada, dan mendapat perhatian serius para penulis, maka karya kreatif kita tidak lagi meleret dengan cerita sensasi yang hanya memberi tumpuan kepada kepuasan hawa nafsu rendah pembaca dan pengkaji, sebaliknya akan menyentuh kalbu para pembaca yang cerdik yang akan membawanya kenal diri dan tahu pula arah kehidupannya sebagai manusia yang dicipta oleh Allah SWT. Inilah kekuatan karya persuratan, yang seluruhnya diasaskan kepada konsep taklif. Melalui penguasaan konsep taklif dalam penulisan kreatif, pengarang akan dibimbing oleh tiga rahsia taklif seperti yang dihuraikan oleh Shah Wali Allah, iaitu ilmu, keadilan, dan usaha ikhtiar yang terbaik. Jadi sejak awal lagi penulisan kreatif dituntut untuk memenuhi tiga ukuran itu, yang menjadi standard dalam mencapai kesempurnaan seni mengarang.  Jika anda mahu menjadi seorang pengarang yang berjaya dunia akhirat, anda harus memahami dengan mendalam tiga rahsia taklif yang dihuraikan oleh Shah Wali Allah itu. Itulah prinsip yang paling sempurna untuk dikuasai oleh setiap pengarang yang mempunyai tidak saja bakat yang tinggi, tetapi juga kesempurnaan adab sebagai pengguna bahasa dan idea yang benar-benar bertanggungjawab ke atas dirinya dan pembaca karyanya. Dialah yang layak dipanggil al-adib dalam seni mengarang.

Karya kreatif abad 21 tidak lagi berlegar dalam istilah palsu seperti eksperimen, kelainan, pembaharuan dan lain-lain istilah atau konsep yang sering disebut-sebut oleh para sasterawan dan sarjana sastera, yang sekali imbas kelihatan hebat dan menarik, seperti Pak Pandir terpesona melihat timbunan padi hampa dan terus memikulnya, tanpa memberi perhatian kepada isinya.  Sudah lama para sasterawan memikul beban akademik yang palsu dan hampa ini, yang dijaja dengan riuh kepada masyarakat sebagai sesuatu yang berguna, padahal itik dan ayam pun tahu mutunya dan tidak mahu disudu atau dipatuk oleh mereka. Inilah kepalsuan yang menjadi obsesi Panel Anugerah Sastera Negara, yang sudah 40 tahun memberi gambaran palsu dalam ukuran mereka yang berasaskan common sense yang lebih cenderung kepada sensasi. Anda perlu membaca dengan kritis laporan mereka untuk memahami kesimpulan ini.

Dengan penjelasan yang dihuraikan di sini, ilmu persuratan Melayu, sama ada dalam bidang kreatif mahu  pun dalam bidang akademik dan ilmu-ilmu khusus, akan diperkembangkan melalui bahasa Melayu tinggi berasaskan konsep ilmu yang benar. Maka itulah saya pernah mencadangkan, dalam tahun 2006, ketika membentangkan kertas kerja saya di seminar DBP, supaya diwujudkan Hadiah Persuratan Petronas. (Sila rujuk kertas kerja, “Hadiah dan Anugerah Sastera di Malaysia: Satu Penilaian Kritis”, Seminar Impak Anugerah dan Hadiah Sastera ke Atas Perkembangan Sastera Kebangsaan, DBP 25 Mei 2006; dan pos bertarikh 15/12/2012 untuk penjelasan pendek.) Matlamat utama Hadiah Persuratan Petronas ini ialah untuk memberi pengiktirafan kepada para penulis dalam bidang-bidang ilmu tertentu yang dipilih yang menulis dan menerbitkan karya mereka dalam bahasa Melayu, di samping memberi penghargaan kepada para penulis kreatif. Karya persuratan adalah satu peningkatan dalam kerjaya kreatif seorang pegarang Melayu, tetapi pada waktu yang sama para sasterawan yang kemampuan kreatif tidak tinggi dan cetek pula ilmunya, akan terus menulis karya sastera dan karya picisan dan erotik. Itu pilihan mereka, yang tidak dapat dihalang. Malah terdapat di kalangan sasterawan negara sendiri, seperti Shahnon Ahmad, yang masih menulis karya picisan dan erotik ini. (Mengenai karya persuratan, karya sastera dan karya picisan lihat pos bertarikh 23/1/2012).

Abad 21 adalah abad penting dalam membina generasi persuratan dengan penekanan kepada keutamaan membina generasi ilmu berasaskan konsep ilmu yang benar, yang sentiasa sedar kepada peranan taklif dalam kehidupan manusia, terutama sekali dalam bidang penulisan yang bersifat kreatif dan akademik.  Satu corak penulisan baru dalam bidang kreatif akan menjadi satu gerakan penting dengan wujudnya gagasan Persuratan Baru.  Untuk mencapainya, kita tidak perlu kepada jumlah penyokong yang ramai, walaupun sokongan itu penting dalam apa juga usaha kebajikan yang kita lakukan. Ajaran Islam yang menekankan amar makruf nahi mungkar itu pada umumnya tidak dijadikan panduan oleh para sasterawan yang amat mengutamakan kebebasan, sehingga sanggup melanggar larangan agamanya sendiri. Walaupun tindakan demikian merupakan kerja sia-sia dan merugikan masyarakat, namun bagi para sasterawan kelangsungan kebebasan itu menjadi matlamat berkarya, maka sikap itulah yang melahirkan novel-novel seperti Juara, Salina, TIVI dan lain-lain yang ditulis oleh para sasterawan negara sendiri.  Dengan munculnya gagasan Persuratan Baru, karya-karya begini dapat dinilai dengan lebih objektif, tepat dan jitu berasaskan ukuran yang boleh diuji dengan mudah akan kesahihannya. Dari perspektif inilah karya para sasterawan negara perlu dinilai semula supaya perkara yang sia-sia dan merugikan masyarakat tidak diberi pujian dan sanjungan sehingga kualiti sebenar karya itu tenggelam dan ditenggelamkan dalam mitos palsu yang dibina oleh misalnya Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka. Generasi Persuratan akan lebih terbuka dan lebih bersedia untuk dinilai dengan kritis berasaskan ukuran yang standard berasaskan konsep ilmu yang benar. Keterbukaan demikian tidak ada dalam generasi sastera yang diwakili oleh para sasterawan negara dan Panel Anugerah Sastera Negara, seperti yang jelas ketara dalam laporan mereka.  Walaupun para sasterawan dan sarjana sastera tidak menerima dengan positif kesimpulan itu, mereka tidak pula dapat menolak hakikat bahawa generasi sastera lebih tertutup dari segi sikap positif kepada pembaharuan yang mereka anggap akan meruntuhkan status quo mereka. Oleh itu, tepatlah jika dikatakan bahawa mereka yang bergelar sasterawan dan sarjana sastera yang sering bercakap tentang pembaharuan, eksperimen, kelainan dan sebagainya itu, adalah penentang kepada pembaharuan sebenar yang dianjurkan oleh gagasan Persuratan Baru.


Mohd. Affandi Hassan,
25/4/2013.

No comments:

Post a Comment