Tuesday, June 24, 2014

CATATAN untuk Bahagian I.



Kalau tidak ada sasterawan yang layak digelar sasterawan negara, siapakah yang layak? Soalan ini penting, walaupun cara soalan itu dikemukakan penuh dengan ejekan. Yang kita perlu soal ialah: Perlukah kita pada sasterawan negara? Mengapa kita perlukan sasterawan negara? Jawapan: kita tidak perlukan sasterawan negara, kecuali jika kita benar-benar perlukan raja lawak, atau super raja lawak. Untuk mendapat gelaran raja lawak, seseorang perlu bertanding dan perlu buktikan dia benar-benar layak menjadi raja lawak. Sengit juga pertandingan itu, penganjur dapat banyak wang kerana pononton sukakan program itu. Kalau kita bandingkan Raja Lawak dengan sasterawan negara, siapa yang perlu buktikan betul-betul kebolehan masing-masing? Tentu saja Raja Lawak, kerana memang ada pertandingan.  Lain halnya dengan sasterawan negara, yang diperlukan hanya seorang atau dua orang promoter/pencadang yang mengemukakan hujah-hujah tertentu supaya seseorang dipilih jadi sasterawan negara. Ini sangat bergantung pada kedudukan seseorang sasterawan di kalangan kumpulan yang menjadi ahli panel pemilih. Mahu tidak mahu, terdapat unsur kroni dan pilih kawan. A. Samad Said sangat jujur memberitahu saya dalam satu pertemuan dalam tahun 1985, selepas beliau dipilih, bahawa dia terima kali ini, kerana kawan-kawan. Nampaknya dia sudah dicadangkan sebelumnya, dia menolak. Kali ini dia terima, kerana kawan-kawan. Saya pasti A. Samad Said tidak akan menafikan cerita ini, kerana jika dia berbuat begitu, dia akan berbohong. Saya tidak boleh berbohong kerana akan dikutuk oleh ramai manusia yang tahu saya berbohong. Sungguh baik jika fakta ini dinafikan, supaya kita boleh mengemukakan bukti-buktinya (tentu ramai yang akan tampil mengemukakan bukti itu!). Tetapi ini hanya masalah proses mencari calon.

Soalan kita: perlukah kita pada sasterawan negara? Tidak perlu. Kita tahu sasterawan negara hanyalah gelaran, bukan bukti sesiapa yang diberi gelaran itu dia pastilah cerdik, karyanya bermutu tinggi, pemikirannya matang dan bijaksana, ilmunya juga mendalam dan luas pula cakupannya. Dan peribadinya mempunyai sifat karamah, dalam bahasa Inggeris disebut karisma (ejaan Melayu). Bila dia bercakap, berduyun-duyun orang datang hendak mendengarnya, kerana setiap yang dituturkannya mengandungi kebijaksanaan, kerana ilmunya dan pengalaman intelektualnya yang luas. Ada tidak sasterawan negara yang sudah dilantik itu seperti itu peribadinya? Saya belum pernah berjumpa dengan seorang sasterawan negara seperti itu. Mengapa tidak ada? Jawapannya diberikan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya, 1972: Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, syarahan pengukuhan pertama dari UKM. Dalam syarahan itu, Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas membuat kesimpulan, bahawa yang dipanggil sasterawan itu kumpulan pinggiran, tidak mendalam pengetahuannya tentang tradisi bangsa sendiri; tidak juga dalam tradisi Barat. Mereka adalah kumpulan pinggiran yang “cetek meraba-raba” ilmunya.  Belum ada lagi mana-mana sarjana menolak dan membuktikan kesimpulan itu tidak benar. Hingga ke hari ini sanggahan itu tidak dikemukakan. Adakah ini membuktikan para sasterawan ini begitu tumpul ilmunya? Nampaknya begitulah. Berilah secebis pandangan mereka yang boleh dijadikan bukti untuk mewajarkan mereka layak diberi gelaran sasterawan negara.  Sebaliknya, sekarang kita mempunyai ukuran yang boleh digunakan untuk membuktikan sejauh mana tahap pemikiran mereka, berasaskan karya kreatif mereka dan tulisan mereka yang lain-lain. Mengapa para sasterawan negara ini tidak boleh dianalisis dan dinilai berasaskan konsep ilmu yang mereka pegang, dan hasil karya mereka dinilai berasaskan kewibawaan ilmu mereka? Sangat aneh jika mereka takutkan ilmu mereka diserlah, bukan kebodohan mereka, kerana dengan penyerlahan itu kita akan jadi kagum dan berasa bangga mempunyai sasterawan negara yang begitu ramai!  Kita boleh berkata dengan meyakinkan, para sasterawan negara kita sama baiknya dengan Raja Lawak yang terpilih, malah lebih baik daripada Raja Lawak kerana mereka orang-orang berilmu. Dalam kehidupan yang penuh dengan pertandingan dan perbandingan, kita tak boleh lari dari hakikat ini.

Mohd. Affandi Hassan,
24/6/2014

1 comment:

  1. Salam Tn Haji.
    Saya kira perbandingan Tn berkenaan sasterawan negara dgn raja lawak ini tepat. Saya pun pernah tonton Raja Lawak di astro. Memang betul kata Tn, utk menang mereka kena lalui banyak ujian dan kritikan. Tak bergantung saja pada undi penonton. Kadangnya ada peserta yg dpt undi penonton yg tinggi, tapi persembahannya ke laut. Pengkritik pun hentam habis (saya suka chef wan jadi juri, kritiknya tepat walaupun tajam dan orang x suka cef wan pasai tu. Bukan bagi komen yg nak sukakan hati penyokong tapi jujur). Ini berbeza dgn anugerah2 yg ada dalam sayembara sastera. Apa yg mereka strugglekan?lagi satu, macam mana pula penilaian juri. Ada macam cef wan? Secara fakta, perbandingan Tn ni boleh terima akal saya. Terus tulislah Tn. Harap2 adalah yg boleh tampil utk bhujah di sini. Kalu tak setuju, kena bagitahu dgn jelas sebabnya. Bukan main diam2. Itu budak2 saja yang suka. Dituduh salah diam. Mengaku tak, menidak pun tak. Org kata, uk tidak, huk pun tak.
    Wassalam

    ReplyDelete