Thursday, June 5, 2014

PANDIRISME PROGRESIF DAN PANEL ANUGERAH SASTERA NEGARA: Peranan Parasite Dalam Kritikan Sastera Malaysia



Gerakan Pandirisme Progresif bukan baru di Malaysia, sudah wujud sejak sastera Melayu moden bermula, tetapi baru diberi bentuk kira-kira 40 tahun dahulu apabila institusi Anugerah Sastera Negara diwujudkan.  Ciri utama gerakan Pandirisme Progresif ini ialah kekeliruan dan kekacauan dalam konsep ilmu, akibat ketergantungan yang melampau terhadap teori sastera Barat, umpama parasite (dedalu) di pokok.  Kesemua ahli Panel Anugerah Sastera Negara tidak mempunyai pengalaman ilmiah yang luas dan mendalam dalam bidang kesusasteraan. Mereka boleh dikatakan “mempunyai” pengetahuan “nol” (rujuk Kamus Besar Bahasa Indonesia, hal 616) dalam epistemologi Islam; malah kita boleh meragui pengetahuan mereka hatta dalam epistemologi Barat sekali pun. Tanpa pengetahuan dalam bidang epistemologi, mereka tidak mungkin dapat memahami perilaku intelektual yang bersifat pemikiran, dan aspek ini sangat jelas menyerlah dalam cara mereka menilai karya sastera yang begitu dangkal dan terlalu megah menyerlahkan keadaan mereka yang tidak kompeten dan terlalu cepat terpedaya dengan simbol-simbol palsu yang dibuat-buat (misalnya, dengan mengatakan kononnya diambil daripada al-Quran). Kita baca komen mereka tentang pensajak yang menerima gelaran sasterawan negara ke 11 (2012):

“Dalam menghasilkan puisi Kemala sering mendapat inspirasi atau mencungkil unsur-unsur daripada al-Quran. Antara unsur daripada al-Quran yang diambil dan dikembangkan menjadi judul dan pokok persoalan karya ialah ialah Mim dan ‘Ain, kedua-duanya huruf-huruf dalam bahasa Arab. Mim, umpamanya, merupakan bilangan yang ke-24 daripada susunan sejumlah huruf. Namun, Mim yang dimaksudkan dalam karya Kemala bukan sekadar huruf dalam al-Quran malah, kata-kata yang dihubungkan dengan”manusia”, “makna”, “maksud”, atau “mafa’al”, iaitu tempat segala rujukan kejadian. Hal ini memperlihatkan kebijaksanaan Kemala menghadirkan huruf Mim yang diambil daripada al-Quran itu dengan diberikan tafsiran yang cukup luas dan dalam.
Tidak dapat dinafikan puisi Kemala mempunyai banyak unsur kelainan dan inovasi. Satu kelainan yang cukup menarik yang dilakukan Kemala adalah dalam kumpulan MIM yang telah disentuh. Melalui karya ini beliau menghasilkan sebuah puisi panjang yang dipecahkan kepada 80 buah sajak dengan tajuk-tajuk sajaknya dari “MIM SATU” hingga “MIM LAPAN PULUH”. Sungguhpun bentuknya tidak pelbagai, namun, sajak-sajak dalam kumpulan MIM mengandungi pelbagai tema yang menyangkut tentang persoalan diri, kekeluargaan, alamiah, sejarah, politik, falsafah, epistemologi dan sebagainya.” (hal. 18)

Penilaian yang dibuat Panel Anugerah Sastera Negara ini memang disengajakan bersifat umum, iaitu bercorak retorik peragaan yang menyebut kekuatan karya pensajak tanpa memberikan sebarang contoh untuk dijadikan bukti. Walaupun sajak dalam kumpulan MIM itu beraneka tema, tidak satu pun disebut contohnya. Misal yang sepatutnya untuk kumpulan sajak Ayam Panggang Istimewa: Sajak Ayam Togel (epistemologi, hal. 11); Sajak Ayam Kenek-kenek (kekeluargaan, hal. 101); Sajak Ayam Piru (persoalan diri, hal. 310) dan seterusnya. Dengan memberikan contoh-contoh yang konkrit, kita boleh semak sama ada tepat atau tidak sajak-sajak ayam itu memang istimewa seperti yang didakwa. Retorik peragaan hanya membuktikan tahap pandirisme penulis, bukan kualiti karya yang dilapor. Dalam laporan ini, kita menemui kontradiksi yang jelek, bukan kekuatan sajak yang diberi pujian. Kata laporan, memuji pensajak: “Sebagai penyair yang berjiwa besar, Kemala juga berani menggunakan alusi daripada budaya lain seperti rujukan kepada Antony (ejaan dalam laporan Anthony) dan Cleopatra” (hal. 20). Apakah signifikannya contoh ini disebut dalam konteks pensajak ini yang diangkat sebagai seorang pensajak sufi? Sekiranya penulis laporan ini bermaksud hendak mengejek pensajak, maka perbuatan itu tidak dapat diterima kerana pensajak ini telah diberi keistimewaan sebagai satu-satunya pensajak sufi di Malaysia. Pensajak menyebut alusi ini dengan tujuan hendak mengangakat cintanya terhadap seorang wanita setaraf dengan percintaan antara Mark Antony dan Cleopatra. Tidak ada sangkut paut dengan tingkat sufi sang pensajak yang ketika itu sedang nanar dengan seorang wanita istimewa (kemudiannya mereka berpisah!). Dalam sastera Barat, kisah Antony dan Cleopatra memang istimewa, kerana telah didramakan oleh Shakespeare (rujuk Allen Bloom, Love and Friendship (1993), bab 8). Pandirisme mutlak/totok yang ditunjukkan oleh Panel dalam retorik peragaan itu berubah menjadi retorik teh tarik dengan memberikan contoh ini. Dari segi lain, sajak-sajak yang disalin (tak sampai 10 buah!) tidak menunjukkan pensajak ini seorang tokoh yang layak diberi gelaran sasterawan negara kerana sajak-sajak yang terbaik itu terlalu biasa, tidak ada sesuatu yang membolehkan kita meletakkan pensajak ini sebagi seorang “pemikir” yang serius. Sajak-sajak beliau nampak sangat dibuat-buat, bukan lahir dari pemikiran seperti sajak-sajak Wan Mohd. Nor Wan Daud dalam dua buah antologi beliau. Anda boleh buktikan kesilapan saya dengan membuat perbandingan karya dua orang penulis ini.

Gerakan Pandirisme Progresif menjadi penghalang kepada perubahan sebenar dalam perkembangan persuratan Melayu.  Di bawah naungan Panel Anugerah Sastera Negara, Pandirisme Progresif menghantar  perutusan palsu kepada para pengarang, memberi amaran kepada mereka bahawa jika mereka ingin terpilih menjadi sasterawan negara, maka mereka perlu menunjukkan adanya pembaharuan, kelainan, eksperimen, jalur baru dalam gaya penulisan, keaslian berfikir yang memukau pembaca, dan seterusnya yang akan ditambah dari semasa ke semasa. Dalam Laporan 1985, ditegaskan “pembaharuan” itu bermaksud peniruan dari segi teknik yang dilakukan oleh A. Samad Said dalam novel Salina (hal. 13); “kelainan” bermaksud keberanian mengemukakan tema mengenai kejahatan seperti dalam karya A. Samad Said mengenai pelacuran dan sebagainya; “eksperimen” pula merujuk kepada kegigihan meniru dari pengalaman sastera Barat, seperti yang ditegaskan oleh Laporan 1985: “... membawa aliran-aliran Barat seperti realisme atau naturalisme (dan realisme baru ...) [untuk] mengisahkan segala peristiwa sebagai pemerhati yang terperinci, daripada sebagai moralist yang memberikan penilaian peribadinya terhadap watak-watak dan kisah-kisah mereka”. [huruf condong asal].  Eksperimen juga berarti “beralih angin kepada bentuk eksperimen dengan menggunakan pendekatan simbolik, yang berteraskan lambang seperti dalam cerpen “Dunia Adalah Sebuah Apartmen” ... mengemukakan apartmen sebagai satu simbol kehidupan manusia” (Laporan 2009, hal. 10).  Semua aspek pembaharuan yang disebutkan itu tidak dilihat daripada perspektif nilai dan moral, oleh itu karya-karya yang dengan berani menonjolkan gaya hidup bebas yang penuh perzinaan dan aktiviti maksiat dianggap baru, sesuatu yang membawa pembaharuan yang amat disanjung dalam karya kreatif. Dengan sikap ini, Panel Anugerah Sastera Negara melancarkan gerakan hedonisme sepenuhnya dalam sastera Melayu moden. Kita dapat mengesan dua jenis hedonisme yang diperakukan sebagai pembaharuan dan kemajuan dalam sastera Melayu moden. Pertama, hedonisme intelektual yang ditunjukkan oleh Muhammad Haji Saleh yang memperkenalkan Si Tanggang sebagai wira baru yang mencintai ilmu, kekayaan, jati diri, perilaku kurang ajar, dan kejayaan hidup hasil dari kegigihan usaha. (Lihat Laporan 1991).  Kedua, hedonisme moral  dengan berselindung di sebalik konsep simbolisme seperti yang diperlihatkan dalam Laporan 2009 tadi. Inilah arah yang cuba dibawa oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang ditekankan dengan keyakinan kepercayaan yang tegas bahawa hanya dengan menjadi peniru dan pengikut Barat saja sastera Melayu moden akan menjadi maju dan dapat diketengahkan ke dunia global.  Dalam semangat inilah mereka menilai pensajak yang diangkat menjadi sasterawan negara ke-11, yang melihat aspek kerohanian daripada perspektif hedonisme moral apabila mereka menerima dengan baik alusi Antony dan Cleopatra sebagai usaha pensajak membawa karyanya ke dunia global.  Aspek moral dalam kisah percintaan ini tidak diberi perhatian sama sekali, kerana yang disanjung ialah keberanian menggunakan alusi itu.

Dengan menjadikan hedonisme sebagai asas kemajuan sastera di Malaysia, maka Panel Anugerah Sastera Negara bergantung sepenuhnya kepada tradisi moden Barat, yang menjadi kiblat mereka dalam menilai karya sastera Melayu moden. Dengan sikap ini, Panel Anugerah Sastera Negara menolak sebarang perubahan yang menentang pengaruh Barat, dengan itu Panel menolak sebarang usaha untuk membawa kembali sastera Melayu moden kepada kekayaan persuratan Melayu berasaskan konsep ilmu yang benar. Panel secara tegas menyatakan sikap anti-ilmu mereka dengan menolak secara total penilaian karya berasaskan konsep ilmu yang benar. Kata mereka, hal ini tidak boleh dilakukan kerana sumber kemajuan sastera Melayu moden bukan nilai-nilai Islam, tetapi nilai-nilai Barat yang didukung oleh faham realisme Barat. Penjelasan tentang kepalsuan faham ini telah diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir secara terperinci dalam kuliah MASTERA 2009. Saya sendiri telah membincangkannya dalam sebuah makalah yang diterbitkan dalam buku Kedudukan Ilmu dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis (2010). Terlebih dahulu dari itu, Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas telah mengkritik golongan sasterawan ini sebagai “cetek meraba-raba,” terpisah dari tradisi Islam dan tidak mendalam pula pengetahuannya tentang tradisi Barat yang hendak ditiru itu. Hingga kini belum lagi muncul sanggahan terhadap kesimpulan yang diberikan oleh Prof. Syed Muammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhan beliau 1972, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu.  Sebaliknya, dalam buku sejarah kritikan sastera Melayu yang diselenggara dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, yang diusahakan oleh Prof. Hashim Awang, Kemala (Dr. Ahmad Kamal Abdullah) dan seorang lagi, berjudul Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden: Esei Kritikan (DBP, 2003), kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas itu tidak disebut, oleh itu tidak ditolak. Ini bererti mereka telah menerima kesimpulan itu sebagai tepat. Nampaknya mereka tidak ada pilihan, kerana tidak mempunyai hujah, oleh itu lebh baik didiamkan saja. Sikap ini sesuai dengan pendirian Pandirisme Progresif yang bertenggek di pokok teori sastera Barat sebagai dedalu, parasite. Nilai-nilai parasite yang menjadi pegangan Pandirisme Progresif tidak berjejak di bumi, tergantung di ranting-ranting teori sastera Barat. Amatlah lucu bila Panel Anugerh Sastera Negara dan para pengikut mereka, seperti para penulis kertas kerja Sminar 6 Sasterawan Negara baru-baru ini di UPM, bercakap tentang segala macam perubahan, eksperimen, kelainan, simbolisme dan sebagainya, padahal mereka tidak mempunyai akar budaya yang kuat. Hanya sebagai penumpang budaya Barat, berada di pinggiran, sebagai golongan yang “cetek meraba-raba”.  Wallahu a’lam.

Mohd. Affandi Hssan,
 Petaling Jaya, 5/6/2014                                                               

No comments:

Post a Comment