“The
reign of terror” dalam sastera Melayu mula kelihatan jelas dalam wacana sastera
di kalangan para sarjana dan para sasterawan yang mendapat perlindungan dan
sokongan daripada Panel Anugerah Sastera Negara. Apakah yang dimaksudkan dengan
terorisme dalam sastera? Bagaimana
terorisme muncul dalam sastera Melayu? Mengapa muncul ketika ini? Bagi saya terorisme dalam sastera Melayu
bukan masalah kritikan, tetapi masalah wacana. Terdapat kumpulan yang tidak
mahu dikritik dalam wacana yang mereka anggap “sacred” (kudus) setelah diberi
status “sacred” itu oleh pemerintah melalui penglibatan golongan istana dan
kerajaan sendiri. Sesuai dengan
kedudukan yang diberikan, menurut kefahaman mereka yang dipaksakan kepada orang
lain untuk diterima dengan memberi alasan rasmi tadi, maka pengkudusan
sasterawan negara wajib diterima oleh semua pihak, kerana menolaknya bererti
menderhaka kepada raja dan istana, walaupun pengkudusan itu melanggar kesopanan kebudayaan Melayu yang
memang terbuka dan sedia menerima sebarang cabaran yang datang dari mana sekalipun.
Dalam konteks inilah istilah terorisme budaya dan terorisme sastera itu digunakan
untuk menyerlahkan sikap tidak toleran kepada kritikan, walaupun karya sastera
dan penulisnya secara hakiki memang terdedah kepada kritikan. Mereka berkata,
boleh kritik, tetapi hendaklah berhemah, dengan lebih banyak memberi pujian
daripada kritikan. Di sinilah timbul masalah yang sebenarnya mahu ditutup oleh
pihak yang satu lagi. Mereka ingin menutup kelemahan penilaian mereka dan
kelemahan karya yang mereka nilai. Penilai dan sasterawan bersekongkol untuk mempertahankan
pandirisme yang menjiwai kegiatan mereka dengan meletakkan sekatan yang
berbunyi, “boleh kritik tapi mesti puji”. Semua ini sebenarnya tidak lebih
daripada permainan retorik saja, oleh itu dalam tulisan golongan ini, kegemaran
mereka kepada retorik peragaan sangat besar, yang timbul daripada kecetekan
ilmu mereka dan kekerdilan daya kreatif mereka. Mesti berhemah, kata mereka;
tetapi mereka sendiri bersikap kurang ajar dan biadab dengan tidak mahu
meneliti dengan kritis dan saksama pandangan yang mereka tidak suka. Mereka
berjiwa teroris. Dan golongan inilah, secara ironik, yang berusaha mengkuduskan
sasterawan negara dan diri mereka sendiri supaya tidak boleh dikritik melainkan
dalam konteks yang mereka izinkan.
Adakah
ini pendirian feudal atau pendirian ilmiah, pendirian akademik? Sudah jelas ini
bukan pendirian akademik, yang sentiasa terbuka untuk dikritik dan dibuat
koreksi sepanjang masa, tanpa batasan masa dan sempadan budaya. Perlindungan
yang melampau dan berlebihan terhadap para sasterawan negara yang cuba dibuat
di Malaysia akan hanya merendahkan darjat sasterawan negara dengan meletakkan
mereka dalam gelanggang yang mereka tidak mempunyai keupayaan untuk
mempertahankan diri mereka. Adakah ini pendirian manusia baradab? Dalam Islam
(semua sasterawan negara beragama Islam; sebahagian besar penilai Panel
Anugerah Sastera Negara juga Muslim), terdapat konsep ijtihad yang sentiasa
terbuka untuk dikritik, sehingga tercapai ijmak (persetujuan ramai, consensus),
atau ijtihad itu ditinggalkan terus atau diberi gantian baru. Yang ditinggalkan
itu pun masih berguna kerana pada suatu waktu nanti, besar kemungkinan hujah
yang dikemukakan di situ masih boleh digunakan untuk mendapat hujah yang lebih
mantap. Jadi tidak ada yang sia-sia dalam pemikiran Islam. Timbul pertanyaan:
Jika para sasterawan dan penilai mereka, anggota Panel Anugerah Sastera Negara
itu mempunyai sedikit jiwa Islam di dalam diri mereka, maka apakah yang menyebabkan
mereka tidak boleh menerima kritikan dalam bentuk yang paling kritis, atau paling
ganas sekalipun? Jika kritikan itu dilancarkan dengan teratur, dengan pembuktian
dan penghujahan yang mantap? Dengan menunjukkan sikap negatif mereka kepada kritikan
seperti yang mereka pertahankan sekarang, mereka telah merendahkan darjat para sasterawan negara dan diri para penilai sendiri
yang begitu lembek ubun-ubunnya. Oleh itu mereka tidak layak berada di dalam gelanggang
ilmu atau gelanggang akademik yang setiap masa akan terdedah kepada ribut taufan
perbahasan sengit, yang tidak dapat dielakkan, kerana itulah ciri asas bidang akademik
itu sendiri.
Tunggulah
ribut taufan itu apabila persoalan ini akan dibincang dalam tiga siri rencana, berjudul:
kemunculan
sasterawan negara adalah satu penyelewengan budaya yang amat besar dan yang
paling bodoh yang kita lakukan ketika kita seharusnya sudah cerdik.
Mohd.
Affandi Hassan,
16 Jun
2012
No comments:
Post a Comment