Balai Maqamat siap ditulis 2004. Dikemukakan ke DBP untuk diterbitkan. Naskhah
dapat ke tangan seorang editor bernama Norimah Bajuri (kalau saya tak silap;
kalau silap harap maaf). Saya terima surat mengatakan BALAI MAQAMAT tidak sesuai diterbitkan kerana
banyak mencarut, mengata orang, mengutuk, memfitnah, dan lain-lain. Saya tulis
surat kepada KP DBP ketika itu, Firdaus Abdullah. Tiada respon. Saya minta nak
rundingkan penerbitan buku itu. Buku itu dipulangkan. Habislah kerja editor. Sejak itu saya simpan,
hinggalah bila ITBM dan PENA dapat 5 juta daripada Kerajaan Malaysia, maka Dr.
Zariat ditemui oleh seorang bernama Lutfi Ishak bertanya ada tidak ms. yang hendak
diterbitkan. Dr. Zariat tanya saya, setuju tidak jika BALAI MAQAMAT dan sebuah
lagi, HIKAYAT BUYUNG LURUS dikemukakan kepada ITBM. Saya setuju dan tidak
berharap sangat akan diterbitkan.
Rupanya kedua-dua ms itu setuju diterbitkan. Banyak juga perubahan yang perlu
dilakukan terhadap BALAI MAQAMAT. Saya tidak keberatan walaupun terdapat yang
hendak dipinda itu tidak perlu dipinda, tapi editor/penyemak/penilai utama
berkeras mahu dibuang, ubah dsbnya. Ketika itu saya fikir, apa salahnya ikut
saja, bila terbit nanti tentu ada penyelidik akan membuat kajian dan membaca
yang original, membandingkanya dengan yang sudah “dibersihkan” oleh penilai
utama. Tentu penyelidik akan bertanya mengapa ada bahagian-bahagian
tertentu dibuang padahal tidak ada apa-apa hujah yang memerlukan dibuang.
Kerana penilai utama itu seorang sarjana dan ada jawatan pula, maka saya
beritahu akal saya supaya tidak membantah. Yang perlu dilakukan ialah menyelamatkan
naskhah itu dengan membuat beberapa pindaan supaya dapat diterbitkan. Secara
sukarela saya dahului membuat pindaan itu. Tetapi penilai utama, sang sarjana,
tidak puas hati. Mahu dibuang banyak lagi. Di mana boleh, saya edit lagi untuk
memuaskan hati penilai utama, asal naskhah itu tidak lari jauh sangat. Yang
penting bagi saya ketika itu ialah menerbitkannya. Maka terbitlah seperti yang
ada. Bahagian yang dihilangkan itu mungkin boleh dimasukkan semula dalam edisi
baru (tentu saja bukan oleh ITBM).
Mengapa penerbitan buku ini menjadi begitu bermasalah? Kata ahli nujum,
ada hantu yang dirasuk cemburu tak mahu lihat Persuratan Baru diberi laluan
mudah untuk bergaya di dunia buku.
Sebuah
lagi, HIKAYAT BUYUNG LURUS (tertulis 2004), persetujuan ditarik balik. Saya pun
diam sajalah. Tapi ada juga bertanya, tak boleh dirundingkan lagi? Muktamad.
Pelik juga, hikayat itu mengenai korupsi, mungkin berupa kritikan paling keras
dan pedas tentang korupsi di Malaysia. Saya kira sesuai kerana PM sendiri berlari
3 km. mempromosi korupsi ditransformasi supaya dapat ditangani. Hikayat itu sesuai dan wajar diterbitkan. Inilah catatan penilai sendiri yang saya
dapat dalam surat ITBM: “Kekuatan
manuskrip ini terdapat pada cara penyampaiannya yang membentuk watak utama, YB
Buyung bin Anu, seorang yang “lurus bendul” dalam menerajui kepimpinan dalam
masayrakt di Kampung Manifesto. Terdapatnya unsur lelucon pada watak yang
diolah meninggalkan kesan sindiran yang halus tentang integriti dalam
kepimpinan terhadap pembaca. Kelemahan manuskriip ini dikesan menerusi nama
sebenar realiti seperti SN Othman Kelantan, Anwar Ibrahim, Mahathir Mohamed,
Jalil Ibrahim dan lain-lain yang diterap dalam penyampaian. Hal ini dibimbangi
mengundang sensitif dalam kalangan masyarakat dan individu terbabit.” [surat
bertarikh 31 Oktober 2013). Sebenarnya
hikayat ini bahagian pertama dalam siri tiga hikayat: Hikayat Buyung Lurus;
Hikayat Polan Cupan; Hikayat Zaman Hanyut.
Hikayat Buyung Lurus mengenai korupsi; Hikayat Polan Cupan mengenai
pembangunan; Hikayat Zaman Hanyut mengenai perubahan nilai dalam masyarakat
Malaysia. Ditulis dalam bentuk hikayat berasaskan unsur humor yang menjadi
paksi naratif ketiga-tiga hikayat ini. Ketiga-tiganya ditulis untuk memberi
tafsiran kreatif kata-kata Muhammad Ali, menggunakan style berasaskan falsafah
tinju Muhammad Ali yang terkenal: Dance
(float) like a butterfly; sting like a bee!. Orang Malaysia yang tidak
kreatif dan agak bodoh, melepaskan peluang untuk melihat bagaimana falsafah
tinju Muhammad Ali itu dihidupkan dalam sebuah karya persuratan. Adakah ITBM
dua kali lima dengan DBP? Ada siapa-siapa berminat nak terbitkan Hikayat Buyung
Lurus?
Kembali
kepada BALAI MAQAMAT. Sudah sah bukan
sebuah novel; tidak juga cerita pendek dalam konteks biasa. Walaupun ceritanya
berbeza, tetapi ada kaitan. Ada pola tertentu yang membina karya dalam empat
buah balai. Adakah ini contoh espen
yang saya bincang dalam Pendidikan Estetika
daripada Pendekatan Tauhid? Saya
tidak mahu membuat pengesahan di sini.
Biarlah pembaca sendiri menentukannya. Saya fikir itu lebih baik untuk maksud
perbincangan. Adakah penentuan genre itu penting dalam satu perbincangan ilmiah
tentang sebuah karya kreatif? Paling
jelas BALAI MAQAMAT adalah sebuah karya persuratan. Dalam jenis atau janru
(genre) apa tidak begitu penting, walaupun nampaknya lebih dekat kepada espen. Biarlah saya tidak usah masuk
campur dalam membuat penentuan itu. Sama ada saya bersetuju atau tidak dengan
pilihan anda, bagi saya bukan soal besar. Sebagai penilai anda mempunyai
kebebasan untuk membuat penentuan.
Barangkali
lebih penting untuk dibincang ialah aspek wacana dan cerita dalam karya ini.
Antara keduanya, adakah wacana lebih diutamakan, atau cerita? Persoalan ini
berkait dengan penegasan saya bahawa BALAI MAQAMAT adalah sebuah karya
persuratan, yang tentu saja mengutamakan wacana, bukan cerita. Tetapi
kesimpulan ini tidak semestinya tidak boleh dicabar. Sekali lagi terpulang
kepada saudara untuk membuat pilihan. Jika anda berkata BALAI MAQAMAT
mengutamakan cerita, dan memberikan hujah anda berasaskan pembuktian yang
jelas, maka sudah pasti karya ini masih lagi ditulis dalam format lama, sebagai
sebuah cerita. Mengapa saya timbulkan persoalan ini? Menentukan apa sebenarnya
BALAI MAQAMAT adalah penting dalam menentukan kefahaman anda tentang Gagasan
Persuratan Baru. Dengan kefahaman yang jelas, jika anda sendiri seorang
penulis, anda mungkin akan mencuba menulis dalam kerangka Gagasan Persuratan
Baru. Jika anda seorang sarjana, kefahaman anda akan membuat anda berasa lebih
yakin tentang janru karya persuratan, sama ada penting atau tidak dibezakan
daripada karya sastera biasa. Ini semua bertujuan untuk melihat bagaimana anda
menggunakan keupayaan kognitif anda untuk melihat perbezaan, atau persamaan,
antara karya persuratan dan karya sastera. Ini akan menentukan sama ada anda
akan terus keliru, atau sudah betul-betul jelas apa sebenarnya yang dikatakan
Gagasan Persuratan Baru itu.
Mohd.
Affandi Hassan
13
Jun 2014
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteSalam Tn Blog.
ReplyDeleteTahniah utk Balai Maqamat
Saya tertarik utk kongsi pengalaman terbit buku dgn itbm. Saya pernah hantar kumpulan cerpen. Drp sejumlah yang dihantar, 3 ditolak. Pada borang penilaian, panel (saya tak tahu sapa) tulis sebaris ayat kira2 begini "Watak sangat baik". Itu sahaja. Jadi saya tersengih, jika begitu apa hujah yang sebabkan karya itu ditolak? Sengih saya kedua krn lucu mengenangkan betapa selekehnya penilaian itu. Saya tak kisah karya ditolak tetapi kemukakanlah hujah kenapa karya itu ditolak. Nampaknya sastera kita memang miskin hujah! Tapi mewah retorik teh tarik!
Faridh Zuhry
UMS