Tuesday, June 24, 2014

KEMUNCULAN SASTERAWAN NEGARA ADALAH SATU PENYELEWENGAN BUDAYA YANG AMAT BESAR DAN YANG PALING BODOH YANG KITA LAKUKAN KETIKA KITA SEHARUSNYA SUDAH CERDIK



Tajuk saya kali ini diambil daripada entri bertarikh 11 Jun 2014, berjudul “BALAI MAQAMAT: Sinar Baru Persuratan Melayu”. Untuk mendapat konteksnya, sila baca entri itu. Inilah hujah saya untuk sampai kepada kesimpulan ini.  Kewujudan “sasterawan negara” bukan sekali-kali untuk kemajuan kesusasteraan Melayu, tetapi untuk memenuhi kemahuan sekumpulan sasterawan yang ketika itu diberi perhatian oleh Tun Razak Hussein. Maka wujudlah Panel Anugerah Sastera Negara untuk melantik kumpulan ini menjadi “sasterawan negara” untuk “mengiktiraf” kedudukan mereka sebagai sasterawan yang istimewa. Hingga sekarang, yang terpilih untuk dijadikan sasterawan negara terdiri daripada para sasterawan yang bernaung atau yang menyokong kumpulan ini. Fakta ini penting untuk memahami mengapa terjadi penyelewengan budaya yang dimaksudkan dalam makalah ini.  Saya bersetuju dengan pandangan Prof. Emeritus Dr. Abdul Rahman Embong dalam makalahnya, “Kecenderungan yang Berat Sebelah: Kita Terlalu Banyak Bersastera” (Sastera, Politik dan Masyarakat.  DBP, 2014; bab 4).  Menurut beliau, polemik tentang sastera selalunya riuh rendah, berterusan, diberi tempat dalam akhbar dan majalah, sehingga menimbulkan keadaan berat sebelah dalam perbincangan tentang soal-soal masyarakat yang lain yang seolah-olah dipandang rengan. Beliau membuat andaian: “Katalah jika kecenderungan ke arah ini dapat diukur, mungkin kecenderungan ke arah bersastera itu 60 peratus, dan untuk lain 40 peratus” (hal. 54).  Saya melihat ini sebagai satu penyelewengan dari segi perkembangan ilmu yang sepatutnya diberi kedudukan yang lebih penting, terutama dilihat dalam usaha mendaulatkan bahasa Melayu dalam penulisan ilmiah dalam pelbagai bidang ilmu. Menyedari hakikat ini, dan betapa kita telah hanyut begitu jauh dalam khayalan bersastera, maka dalam sebuah kertas kerja yang saya bentangkan dalam satu seminar tentang peranan hadiah dan anugerah sastera, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006, saya cadangkan supaya kita mengalih arah dengan memberi lebih perhatian kepada perkembangan ilmu dalam bahasa Melayu melalui Hadiah Persuratan Petronas, dan sastera sebahagian daripadanya, bukan diberi tumpuan berat sebelah seperti sekarang. (Bahagian II tulisan ini nanti akan membicarakan perkara ini; manakala bahagian III pula akan membincangkan perkembangan ilmu dalam persuratan).

Sudahkah kita dapat apa yang kita cari dalam kritikan sastera Melayu? Apakah yang kita cari sebenarnya?  Dua soalan yang mudah, tetapi kerana terlalu mudah, tiada seorang pun cuba menjawabnya.  Ada dua jalur perkembangan yang menarik yang berlaku dalam masa kira-kira 50 tahun ini. Pertama, adanya kesedaran untuk memberi peranan utama kepada niliai-nilai Islam. Ini menimbulkan sedikit kekecohan di kalangan sasterawan, tetapi tidak di kalangan sarjana. Terdapat sasterawan yang berasa Islam itu tidak begitu diberi perhatian dalam kesusasteraan Melayu; tetapi para sarjana yang pada masa yang sama sedang menggilai teori sastera Barat, tidak melihat apa-apa yang menarik dalam kekecohan ini. Mereka tinggalkan, dengan keghairahan baru untuk membawa perubahan paradigma dalam sastera Melayu. Istilah ini amat digemari satu ketika dahulu, tetapi tidak ada apa-apa yang terjadi kerana apa yang dipanggil paradigma itu tidak jelas. Apakah paradigma baru itu? Tidak ada siapa pun yang tahu; tetapi terdapat andaian bahawa yang dikatakan paradigma baru itu ialah merangkul keseluruhahan apa yang dipanggil ciri-ciri postmodernism. Tidak semua mahukan postmodernism kerana sastera Melayu akhirnya akan meninggalkan terus nilai-nilai Islam. Hanya beberapa kerat sarjana Melayu yang tergila-gilakan postmodernism kerana kejahilan mereka dan kecetekan mereka dalam memahami gerakan mulhid budaya ini, gerakan anti-tuhan dan anti-moral. Oleh itu sastera Melayu terus hanyut dalam pengaruh Barat yang semakin kuat, dengan adanya semakin banyak teori Barat yang ditemui dan diperkenalkan. Anda boleh lihat kegilaan kepada teori sastera Barat ini sekiranya anda membaca kertas kerja yang membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara. “Pemikiran” itu hilang dalam longgokan teori yang diperagakan seperti Pak Kaduk memperagakan baju kertasnya dan ayamnya di gelanggang laga ayam.   Seperti Pak Kadok, yang terjerit-jerit gembira melihat ayamnya menang, tidak sedar baju kertasnya koyak rabak dan ayam itu bukan miliknya lagi, maka seperti itulah para sarjana ini terjerit-jerit memperagakan teori sastera Barat yang bukan miliknya. Di tengah-tengah mabuk teori Barat ini, timbul sejenis kesedaran bahawa kita perlukan teori kita sendiri, lalu muncullah segala macam percubaan untuk kononnya membina “teori” sastera Melayu. Ini pun menemui jalan buntu, kerana yang dicuba itu tidak begitu meyakinkan. Tiba-tiba timbul “kesedaran” bahawa kita telah melakukan kesalahan kerana menggunakan teori sastera Barat untuk menilai karya sastera Melayu. Yang berkata begitu bukan sebarang orang, tetapi semua itu mati di situ saja.  Setelah berada dalam kekeliruan dan kecelaruan sekian lama, maka tanpa kita rancang (benarkah?) lahirlah Mutual Admiration Club, yang secara rasmi diperanakkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara.

Kita sering mendengar/membaca bagaimana kumpulan Mutual Admiration Club dalam sastera menuduh orang yang mengkritik mereka sebagai tidak berhemah, tidak beradab, oleh itu mereka yang mengkritik itu sangat biadab, kurang ajar, kasar dan sembrono. Adakah mereka  sendiri berhemah, beradab, objektif, tidak emosional dan sebagainya dalam tulisan mereka? Contoh-contoh yang akan anda lihat nanti menunjukkan sebaliknya. Kumpulan Mutual Admiration Club ini begitu pemurah memuji kumpulan mereka sendiri, sering kali dengan menggunakan retorik peragaan tanpa memberikan sebarang bukti konkrit yang boleh menyokong pujian mereka.  Sebaliknya, apabila mereka menjawab kritikan terhadap mereka, maka mereka dengan begitu pemurah pula melemparkan segala tuduhan yang buruk sambil memberi pendapat mereka yang tidak saja cetek, tetapi tidak langsung cuba menjawab kritikan itu, hanya sekadar melemparkan tuduhan dan tohmahan semata-mata. Itulah maksud berhemah dalam pengertian mereka, tanpa mereka sedar bahawa perbuatan mereka sendirilah yang bersikap biadab, tidak berhemah dan kadangkala membabi buta. Mereka tidak langsung membahaskan pandangan kritis yang mereka tidak suka itu, membuktikan mereka sebenarnya tidak mempunyai hujah untuk menjawab hujah lawan mereka. Dalam konteks inilah mereka muncul sebagai teroris sastera dengan menolak semua sekali pandangan yang berbeza dengan mereka tanpa sikap murah hati orang berhemah untuk menelitinya terlebih dahulu dengan objektif. Sikap saya sendiri amat mudah. Saya akan keluarkan pendapat dan rumusan mereka untuk dibahaskan, dan di mana perlu akan menumpaskan mereka di gelanggang mereka sendiri.

Hampir seluruh laporan Panel Anugerah Sastera Negara yang sampai kepada kita menyerlahkan satu hakikat yang tidak pernah dibincang dengan serius, iaitu tentang kekeliruan dalam konsep ilmu yang membawa kepada pembelaan terhadap nilai-nilai palsu yang ditonjolkan dalam karya sastera para sasterawan negara. Penonjolan nilai-nilai palsu ini terlalu digembar-gemburkan dalam laporan dan diberi status sebagai penentu ukuran dalam kualiti sesebuah karya, dan ini dikaitkan dengan kedudukan seseorang sasterawan negara sebagai tokoh yang istimewa yang membolehkannya dilantik dan digelar sasterawan negara. Saya kini berbicara dalam konteks Gagasan Persuratan Baru.  Anda diberi peluang yang luas terbuka untuk menolak hujah saya, dan sekali gus membuktikan Gagasan Persuratan Baru tidak boleh dipakai untuk menganalisis dan menilai karya sastera. Anda bebas untuk mengemukakan hujah anda ketika membuat penolakan itu.  Di tangan anda sekarang terdapat sebuah karya baru saya, Balai Maqamat, yang anda boleh gunakan sebagai bukti untuk menolak hujah-hujah saya.  Atau yang  lebih baik lagi, anda boleh saja berkata saya tidak menulis karya “sastera” atau karya “persuratan”, tetapi karya apa saja yang anda fikir sesuai. Yang perlu hanya sedikit penjelasan. Dalam tahun 2003, di Universiti Malaya, ketika saya membicarakan novel Azizi Haji Abdullah yang menang Hadiah Sako, beliau menegaskan bahawa saya tidak berbicara tentang sastera, tetapi perkara lain. Sastera adalah seperti yang beliau tulis, bukan seperti yang saya bincang. Anwar Ridhwan ada bersama ketika itu, beliaulah yang membawa Azizi ke seminar itu. Sesiapa yang berminat bolehlah bertanya beliau, apa sebenarnya yang diperkatakan oleh Azizi Hj. Abdullah. Kesan saya, Azizi berpendapat, Gagasan Persuratan Baru tidak boleh dipakai untuk menilai “karya sastera” seperti karya beliau. Pendapat ini sebenarnya disuarakan juga oleh Prof. Zawiah Yahya dalam buku kecilnya, Reading Approaches in Malay Literature: Critical Theory in the Making  (Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2010). Fatimah Busu juga tegas dalam perkara ini, dengan menolak sama sekali pendekatan Gagasan Persuratan Baru yang tidak boleh dipakai untuk menganalisis dan menilai novel-novel beliau, terutama sekali novel Salam Maria. (Rujuk buku beliau, Nyanyi Sunyi Salam Maria vs Sarjana Nasi Dingin, Univision Press Sdn. Bhd, Kuala Lumpur 2007). Semua hujah ini telah ditolak, dan dibatalkan oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani dalam makalah beliau ketika membicarakan novel Abdul Kadir Adabi, Melati Kota Bharu (terbit 1938), salah sebuah novel Abad 20 pilihan Dewan Bahasa dan Pustaka. Tulisan Dr. Mohd. Zariat dapat dibaca dalam Kedudukan Ilmu dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis, diselenggarakan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir (Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2010. Tajuk makalah Dr. Zariat, “Ilmu dan Penjanaan Ilmu dalam Novel Melati Kota Bharu Karya A. Kadir Adabi: Satu Bacaan Intelektual.”)  Kesimpulan Dr. Zariat sangat menarik: pembicaraan tentang novel ini selama ini berdasarkan teori sastera Barat tidak memuaskan, malah tidak dapat membaca dengan tepat makna novel itu kerana dibaca dalam mod bacaan cerita; tetapi dengan mengggunakan pendekatan Gagasan Persuratan Baru, mod bacaan intelektual yang dipakai beliau menyerlahkan kehebatan novel itu. Bacaan saya sendiri ke atas novel Azizi Haji Abdullah juga menggunakan mod bacaan intelektual, bukan mod bacaan cerita seperti yang dikehendaki oleh penulisnya. Mod bacaan intelektual ini masih baru dalam kritikan sastera Malaysia; oleh itu seorang sarjana boleh diarah-arah oleh seorang sarjana yang “senior” supaya berkata yang baik-baiak saja tentang beliau. Sayangnya terdapat sarjana yang begitu naif menjadi pak turut untuk menyenangkan hati sarjana “senior” tadi. Seorang sarjana tidak perlu ikut perintah penulis untuk membuat analisis beliau. Tetapi ini tidak selalunya benar. Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man, ketika berbicara tentang Muhammad Haji Salleh, “terpaksa” menurut perintah Muhammad Haji Salleh untuk “menulis yang baik-baik saja” tentng beliau (Rujuk kertas kerja Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man, “Inspirasi Alam: ... dst. (judul panjang sangat), “Seminar Pemikiran SN Muhammad Haji Salleh, 9-10 November 2010,” Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Kutipan sebenar wajar diturunkan di sini: “...  saya perlu menulis sesuatu yang indah yang menyamankan hati dan perasaan seorang tokoh yang cukup baik dengan saya”). Apa jenis teori yang dipakai oleh sarjana ini?  Inilah budaya pandirisme yang menjadi anutan anggota Mutual Admiration Club, yang semenjak 1973 dikutuk oleh Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, tetapi kini menjadi pegangan beliau dan rakan-rakannya. Inilah aspek khusus dalam konteks “berat sebelah” yang disentuh oleh Prof. Emeritus Abdul Rahman Embong itu.

Dari perspektif apakah dan teori siapakah para sasterawan negara ini dinilai? Inilah beberapa contoh yang diambil daripada laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Dalam Laporan 1985  tentang A. Samad Said, pendirian Panel adalah jelas dan tegas. Inilah antara lain keputusan yang mereka lemparkan untuk diterima dan ditelan bulat-bulat oleh masyarakat. Menurut Panel, ketika memuji novel Salina, A. Samad Said layak diberi status dan gelaran sasterawan negara kerana beliau telah membuat perubahan besar dalam kesusasteraan Melayu moden. Perubahan itu terserlah dalam tema, gaya, perwatakan, dan matlamat penulisannya. Inilah kesimpulan Panel yang menjadi pegangan sebahagian besar sarjana  sastera Melayu:

Salina membawa perubahan kerana tidak lagi membawa tema tertentu, apa lagi perutusan yang jitu. ... A. Samad Said ingin mengatakan kepada pembaca betapa tidak berperikemanusiaaanya peperangan. Jadi ada falsafah atau perutusan, hanya A. Samad Said sebagai novelis tidak ingin terlalu menonjolkan tema dan perutusannya. Daripada segi inilah beliau membawa pembaharuan, kerana beliau lebih suka membawa aliran-aliran Barat seperti realisme atau naturalisme (dan realisme baru kemudiannya seperti dalam Langit Petang atau Daerah Zani), dan mengisahkan segala peristiwa sebagai pemerhati yang terperinci, daripada sebagai moralist yang memberikan penilaian peribadinya terhadap watak-watak dan kisah-kisah mereka.” (hal. 13)

Kutipan ini menyerlahkan pendirian akademik yang keliru tentang ukuran yang wajar digunakan untuk menilai sebuah karya kreatif. Dari segi common sense pun apa yang disebutkan oleh Panel ini bukanlah hujah yang boleh dipakai untuk menilai sebuah karya sastera. Peniruan dari segi idea, teknik, gaya dan sebagainya  tidak boleh dijadikan bukti bahawa sesebuah karya kreatif itu bermutu hanya kerana berasaskan peniruan tadi.  Salah satu ciri penting sesebuah karya yang bermutu ialah adanya keaslian dari segi idea, tema, pengolahan dan sebagainya, yang  lahir daripada daya kreatif pengarang, bukan tiruan. Sekiranya A. Samad Said dianggap seorang penulis yang original dari segi idea, sejarah seni tanah air dan lain-lain, maka beliau tidak wajar dipuji sebagai seorang penulis peniru. Soalnya ialah, memang beliau suka meniru pengarang dan karya Eropah, umumnya pengarang-pengarang Barat.  Pada waktu itu, itulah pilihan terbaik bagi orang yang boleh membaca buku-buku Inggeris. Katalah peniruan tadi menghasilkan sebuah novel seperti Salina.  Dua perkara yang perlu kita jelaskan: sejauh mana hasil tiruan itu memberi makna baru kepada perkembangan kesusasteraan Melayu?  Kedua, adakah peniruan satu ukuran yang terbaik untuk menentukan keupayaan intelektual dan kebolehan kreatif seorang sasterawan, yang boleh ditiru atau dicontohi oleh penulis lain kemudiannya?  Untuk soalan pertama, kita dapati hasil peniruan yang dibuat oleh A. Samad Said itu telah mengubah cara kita membaca dan menilai karya sastera; dan perubahan itu tidak lagi mencerminkan nilai-nilai tamadun yang kita warisi. Dalam tamadun kita yang bersumberkan ajaran Islam, kedudukan seorang pelacur tidak dapat diterima, tidak semulia yang digambarkan oleh A. Samad Said dalam novelnya. Jelaslah di sini telah terjadi pemesongan nilai, sehingga yang negatif dan buruk boleh diterima sebagai baik dan berperikemanusiaan  berasaskan nilai baru yang ditiru dari Barat itu. Adakah ini yang kita mahu? Perkembangan kemudiannya memberi kepastian bahawa kita tidak mahu perubahan dalam bentuk ini, sehingga mengelirukan masyarakat tentang kebaikan dan keburukan yang tidak lagi didasarkan kepada ajaran Islam, tetapi kepada humanisme bercampur hedonisme seperti yang diperlihatkan dalam novel Salina itu.  Untuk soalan kedua, jawapan yang diberikan oleh Panel Anugerah Sastera Negara ialah perihal ketelitian A. Samad Said menggambarkan kehidupan watak-wataknya yang miskin dan terpinggir, digambarkan secara terperinci tanpa diiringi apa-apa komen atau pandangan kritis mengenai keadaan yang digambarkan.  Panel mahu menekankan bahawa cara A. Samad Said adalah objektif, tidak memerlukan beliau menjadi seorang  moralist (istilah yang dipakai oleh Panel) untuk memberi kesan positif pembaca terhadap novelnya.  Sebenarnya A. Samad Said tahu bahawa beliau tidak perlu menampilkan apa-apa komen untuk mengelak daripada dituduh berkhutbah, dalam bentuk propaganda yang memihak kepada suatu pendirian tertentu.  Sebenarnya inilah kelemahan intelektual yang amat jelas, ditutup dengan momokan “berkhutbah” dan cuba menunjuk ajar. Apa yang dimonokkan sebagai khutbah itu hanya mengganggu sekiranya penulis menjadikan “khutbah” tadi terpisah atau terkeluar daripada ruang naratif (menggunakan istilah Persuratan Baru) karya berkenaan. Jika yang dikatakan “khutbah” itu memang diperlukan untuk memenuhi ruang naratif, maka yang dianggap “khutbah” itu boleh kita kiaskan sebagai perhiasan yang mencantikkan lagi ruang naratif tadi. Untuk ini, diperlukan kemampuan intelektual yang tinggi dan keupayaan kreatif yang juga tinggi. Dalam istilah yang dipakai dalam Persuratan Baru, soal khutbah tidak timbul, kerana semuanya dijalin dengan halus dan teliti melalui stylization of ideas. Penjelasan tentang konsep ini telah pun diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam kuliah MASTERA beliau, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP 2009), ketika beliau membicarakan perihal memberi nama rumah (hal. 122-123) dalam novel Pujangga Melayu.

Sejauh mana Panel Anugerah Sastera Negara keliru dalam penilaian mereka? Kita lihat bagaimana mereka menilai Muhammad Haji Salleh. Laporan 1991 terlalu tepu dengan pujian yang tidak dikonkritkan dengan contoh, tanpa sebarang hujah, tanpa analisis. Yang dipaparkan ialah kenyataan telanjang yang tidak diberi baju analisis yang kemas dan teratur. Perhatikan beberapa contoh deretan pujian itu (saya namakan retorik peragaan, sebagai satu istilah untuk menggambarkan gaya penulisan yang menderetkan pujian tanpa sebarang hujah) yang diambil daripada laporan mereka. Antara lain kata Panel: “Kepadanya pokok persoalan atau tema sesebuah puisi adalah ilmu.”  (Penekanan dalam huruf condong dalam teks asal). Ini suatu kesimpulan yang amat penting, yang boleh menonjolkan kehebatan Muhammad Haji Salleh sebagai pensajak yang benar-benar layak digelar sasterawan negara. Tetapi Panel memilih untuk tidak mengkonritkan kesimpulan itu dengan memberikan contoh-contoh yang diberi ulasan atau penjelasan yang membenarkan kesimpulan itu. Sebaliknya kesimpulan tadi diberi penjelasan yang terlalu umum seperti ini:

“Ini mencakupi ilmu tentang manusia dan persekitarannya, kerana menurut Muhammad, tanpa kepekaan akan dunia sekeliling, seorang penyair tidak dapat bergelut terus dengan alamnya. Muhammad juga menyedari akan ilmu yang berlainan dengan pengetahuan dan sains kerana dalam puisi tidak ada undang-undang logik yang saintifik, ilmu yang diproses secara kreatif untuk memahami perasaan dan peribadi manusia, untuk memahami adat, kecenderungan dan kebiasaan kehidupan, untuk turut mengalami detik-detik emosi yang berubah dan genting, serta ilmu untuk turut menilai kemanausiaan pada tahap-tahap tertentu. Bezanya ilmu yang diproses secara kreatif menerusi puisi datangnya melalui emosi, pengalaman, renungan, kepekaan, intuisi dan bisikan kalbu, bukan melalui penyelidikan atau kajian kesarjanaan. Dengan sendirinya ilmu kepenyairan itu menambahkan ilmu saintifik, menambahkan pengalaman kehidupan dan berhasil mempertajamkan lagi sensitiviti (kepekaan) kerana puisi lebih halus dan indah melihat ke dalam jalinan rasa dan lebih dalam melihat sesuatu menerusi daya persepsi pancaindera. Dalam erti kata yang lain, meskipun puisi melihat sesuatu secara kilatan fikiran dan perasaan, namun ia memiliki wawasan bagi meneroka rahsia-rahsia alam dan kemanusiaan ini. Pada Muhammad, meskipun puisi bertolak daripada hiburan melalui bahasa dan bentuk, namun hiburan itu terjalin secara kental dalam persoalan yang menuju ke arah makna-makna yang memperlihatkan kebijaksanaan. Lantas puisi itu akan membantu membijaksanakan sikap, membantu mematangkan kehidupan dengan keluasannya, serta membantu merenungi sudut-sudut kehidupan yang kaya dengan rahsia ini. Dalam erti kata yang lain, pada Muhammad, seorang penyair adalah sebenarnya seorang pemikir yang selalu memikirkan tentang kemanusiaan, yang selalu memberi penilaian tentang kehidupan, yang selalu merenungi ke dalam kehidupan, yang selalu mencari jawapan kepada rahsia-rahsia alam dan yang selalu membincangkan situasi-situasi dalam kemanusiaan.” (hal. 12).

Letih juga menyalin kutipan panjang ini, lebih meletihkan lagi apabila kutipan sepanjang ini bercerita tentang suatu tajuk saja, iaitu tentang simpang siur “pemikiran” yang tidak terurus. Apakah yang ingin ditonjolkan oleh Panel dalam kutipan yang panjang ini? Hanya sederetan retorik peragaan tentang kehebatan “pemikiran” Muhammad Haji Salleh yang tidak sepatah pun dibuktikan melalui contoh yang boleh dijadikan alasan untuk membenarkan omongan yang panjang ini. Inilah contoh “ocehan” (idle talk) yang dikritik keras oleh Martin Heidegger. Laporan Panel Anugerah Sastera Negara memang kaya dengan ocehan atau idle talk begini.  Semua ini terjadi kerana keliru dan bercelaru tentang konsep ilmu.

Kata Panel: “Pokok persoalan atau tema sesebuah puisi adalah ilmu”. Sekali imbas cantik juga kesimpulan ini, tetapi sebaik saja dihuraikan dalam kutipan panjang itu, jelaslah Panel dan Muhammad Haji Salleh tidak mempunyai konsep ilmu yang jelas. Pertama sekali, konsep ilmu itu tidak disandarkan kepada pemikiran filsafat tentang konsep ilmu, terutama yang difahami dalam tamadun Islam. Mereka tidak tahu, bahawa ketika Imam Ghazali menulis kitab terbesar beliau, Ihya’ Ulumiddin, yang pertama dibicarakannya ialah konsep ilmu, ditulis dalam sebuah kitab yang panjang dengan huraian yang terperinci tentang apa sebenarnya ilmu seperti yang difahamkan dalam Islam. Mereka merayau-rayau  dalam dunia khayal mereka, cuba memahami konsep ilmu melalui common sense yang berakhir dengan nonsense. Ini jelas dalam kesimpulan kedua, “Puisi bertolak daripada hiburan melalui bahasa dan bentuk, namun itu terjalin secara kental dalam persoalan yang menuju ke arah makna-makna yang memperlihat kebijaksanaan”. Adakah ilmu dan hiburan itu sama, berdiri pada kedudukan yang sama? Ilmu itu hiburan; hiburan itu ilmu? Itulah nampaknya kefahaman mereka. Kita cuba fahami maksud mereka dengan bertanya: Apakah matlamat ilmu? Apa pula matlamat hiburan?  Adakah kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama? Bila soalan-soalan ini ditanyakan, nampaklah betapa karutnya konsep ilmu Panel dan Muhammad Haji Salleh sendiri. Dalam fahaman kita yang kita terima daripada para ulama dan ahli fikir Islam, ilmu bersumber daripada Allah ta’ala sendiri, dihantar kepada akal untuk disusun dalam bidang-bidang tertentu dengan istilah-istilah tertentu; hiburan pula berpunca daripada hawa nafsu, menjadi keinginan hawa nafsu untuk bersenang-senang sambil berseronok. Sekarang semakin jelas kekarutan pandangan Panel dan Muhammad Haji Salleh tentang konsep ilmu dan konsep hiburan ini.  Anda tentu masih ingat (saya sebut dalam post yang lepas) bagaimana Muhammad Haji Salleh yang melawat Kota Kaherah menyebut “azan pagi/ yang merayau di antara/ gendung kelabu kaherah/ lebih meriah/ dari firaun atau pantai iskandariah”. Bagaimana boleh jadi begitu?  Azan adalah seruan jihad dalam Islam, mengajak umat Islam menyembah Allah untuk mencapai kemenangan dunia dan akhirat (al-falah). Panel dengan megah mengisytiharkan Muhammad Haji Salleh seorang pemikir [seorang penyair adalah sebenarya seorang pemikir yang selalu memikirkan tentang kemanusiaan] menerusi sajak-sajaknya; tentulah sangat aneh jika seorang pemikir menjadikan azan seperti kucing atau anjing liar merayau-rayau di Kota Kaherah. [Lihat sajak “pelancong enggan” dalam Aksara Usia, hal. 13.  Bandingkan dengan Kaabah yang telah disekularkan, hal. 20; juga tentang azan, hal. 25, yang juga telah disekularkan begitu rupa hingga tidak lagi menjadi azan: tidak keras, tidak lembut/ tidak memaksa, tidak menyuruh/ tetapi memanggil-menyata. Adakah pensajak ini berbicara tentang azan atau tentang apa?  Ini bukan hasil seorang pemikir!].

Semua bukti yang ada di tangan kita, berupa kumpulan sajak Muhammad Haji Salleh, tidak sedikit pun mencerminkan beliau seorang pemikir. Beliau adalah pencatat yang tidak cermat, seperti dapat  dilihat dalam contoh-contoh yang telah diberikan. Malah begitu tidak cermat, juga mungkin terlalu ghairah hendak menunjuk-nunjuk, maka lahirlah ucapan yang paling aneh dan mengejutkan daripada pensajak Islam ini, ketika dia melawat muzium Goethe. Inilah antara catatan beliau:  sepertimu aku terlantar/ pada sungai takdir/ sekali murung sebagai sarjana/ tetapi sering bercermin kaca rusuh/ dan memihak pada pintar mephistopheles. (Lihat Sebuah Unggun di Tepi Danau, hal. 5). Apakah maksud beliau dalam ungkapan, “memihak pada pintar mephistopheles”?  Mephistopheles adalah Raja Iblis dalam karya Goethe, Faust.

Untuk menguji kepintaran Muhammad Haji Salleh dalam pemikirannya, dan sebagai seorang intelektual yang dikagumi, maka anda perlu membaca dengan kritis sajak paling terkenal karya beliau, “pulang si tengggang”  (Sebuah Unggun di Tepi Danau, hal. 221-223). Inilah sajak yang membuat ramai sarjana sastera dan para sasterawan menjadi sasau, hampir nanar hilang kewarasan akademik apabila mereka memuji sajak ini, sama seperti yang dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara.  Sajak ini menjadi lambang kekalutan konsep ilmu di kalangan sasterawan dan sarjana sastera, apabila mereka mempertahankan sajak ini walaupun dari segi nilai intelektualnya terlalu rendah, penuh kontradiksi jika kita teliti laporan Panel Anugerah Sastera Negara yang menyanjung tinggi sajak ini. Karya ini adalah hasil seorang yang menghadapi masalah kekacauan budaya, biasanya berlaku kepada seseorang yang rendah self-esteem atau maruahnya. Muhammad Haji Sendiri mengaku beliau menghadapi penyakit (?) “a linguistic and cultural schizophrenic.” (Critical Perspectives on Muhammad Haji Salleh, hal. 20). Adakah sasau budaya sejenis penyakit?  Sama ada sejenis penyakit atau tidak mungkin lebih tepat jika difahami dalam konteks kecelaruan nilai, yakni satu keadaan yang dihadapi seseorang yang tidak dapat memilih secara meyakinkan mana satu nilai yang akan menjadi pegangannya. Inilah masalah yang dihadapi oleh Muhammad Haji Salleh ketika beliau menulis sajak “Pulang Si Tenggang”. Panel dalam laporannya menegaskan adanya “pertempuran nilai membadai dalam dirinya” antara nilai-nilai tradisi Melayu dengan nilai-nilai baru dari Barat yang diperolehinya ketika belajar di Barat. (hal. 24). Semua ini terjelma dengan jelas dalam “Pulang Si Tenggang”. Akhirnya dia memberi makna baru kepada cerita Tenggang, dengan menjadikan dirinya Tenggang II yang sudah berubah tetapi masih “Melayu”. Pemilihan ini sangat menarik, kerana dia kehilangan kedua-duanya. Dia tidak memihak kepada nilai-nilai tradisi Melayu, seperti yang ditunjukkannya dalam syarahan perdananya, yang menerima animisme dan budaya pinggiran dengan meletakkan seorang Awang Batil dari Perlis sebagai tokoh yang memayungi kegiatan akademiknya. Dia duduk bersimpuh di depan Pak Mud Awang Batil, ketika berbicara tentang budaya Melayu dalam syarahan perdananya. Dia tidak dapat memahami dengan jelas mana satu budaya tinggi yang menjadi asas tamadun bangsanya, mana satu “budaya” pinggiran, dengan meletakkan Pak Mud Awang Batil setaraf dengan Pendeta Za’ba. Inilah contoh sasterawan dan sarjana yang “cetek meraba-raba” yang disebut oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya (1972).  Jadi apa yang berlaku terhadap Tenggang dalam “Pulang Si Tenggang” adalah hasil daripada pengalaman intelektual yang berada di pinggiran, yang tidak dapat membezakan antara budaya tinggi dan budaya pinggiran. Oleh itu, kesimpulan Panel dalam laporannya bahawa Muhammad Haji Salleh sebagai seorang yang berpegang kepada tradisi bangsanya (hal. 24-25) tidak tepat dan tidak benar, seperti yang dibuktikan melalui sajak “Pulang Si Tenggang”.  Para karyawan/seniman Indonesia, ketika membuat filem versi moden cerita Malin Kundang, masih berpegang kepada makna tradisi di dalam dongeng  itu, dengan mematikan Malin Kundang moden dalam timbunan simen basah. Ini sangat signifikan kerana ia menunjukkan kesilapan besar Muhammad Haji Salleh membuat tafsiran, dan kebodohan para pengikutnya menerima tafsiran yang bertentangan dengan tradisi dan oleh itu salah. Apa lagi yang anda mahu, ikut sama menjadi bodoh? Inilah delima yang dihadapi oleh penderita “cultural schizophrenia”. Dalam tulisan terbarunya, Prof. Mohd. Mokhtar Hassan, membuktikan betapa naifnya beliau apabila beliau berkata, antara lain:

“Hal yang sama jika diteliti pada cerita si Tanggang. Lazimnya para peneliti,
para pengkaji sastera mahupun para pelajar ditekankan supaya jangan menderhaka
kepada kedua ibu bapa. Jika derhaka, maka anak-anak akan mendapat balasannya
sepertimana yang berlaku kepada Si Tanggang. Di sebalik unsur moral dan
pengajaran yang ditekankan, kisah Si Tanggang juga memperlihatkan nilai positif.
Akibat kemiskinan, Si Tinggang bercita-cita hendak jadi kaya dan terkenal. Di sini
memperlihatkan bahawa Si Tanggang ada matlamat, iaitu ingin menjadi kaya dan
terkenal. Untuk mencapai cita-citanya, ia berkerja dengan Nakhoda kapal apabila
sebuah kapal besar berlabuh di muara sungai yang berhampiran dengan rumahnya.
Si Tanggang berkerja keras untuk mencapai cita-citanya hingga menyebabkan
Nakhoda amat suka dengannya kerana dia rajin berkerja. Si Tanggang pun diambil
sebagai anak angkat. Apabila Nakhoda menjadi uzur, maka Si Tanggang dilantik
menjadi nakhoda baru. Dia dipanggil Nakhoda Tanggang. Si Tanggang cekap dan
pandai berniaga hinggakan namanya terkenal. Si Tanggang dijemput oleh Sultan ke
istana. Tidak lama kemudian, Si Tanggang pun berkahwin dengan puteri Sultan. Si
Tanggang berjaya meniti dari satu tangga ke satu tangga untuk berjaya menjadi
saudagar kaya apabila adanya perancangan.” (Kertas kerja, Seminar 6 Sasterawan Negara, UPM 24 April 2014, bertajuk, “Kesusasteraan Melayu mutakhir:  antara realiti dan harapan”). 

Tafsiran ini menjadi amat naif dan keliru, jika dipakai dalam pelajaran kesusasteraan, apabila profesor ini tidak sedar bahawa nilai tradisi menolak kekayaan material yang menjadi kebanggaannya, dengan mengutamakan nilai taatkan ibu bapa di atas nilai-nilai lain. Tenggang menjadi anak derhaka kerana kekayaan dan kedudukannya, bila dia tidak lagi kenal ibunya dan lupa daratan kerana kekayaan dan kedudukannya. Moral dongeng ini jelas. Adakah nilai ini akan diganti dengan nilai kebendaan Tenggang yang kaya itu. Di situlah terletaknya kekeliruan, yang ingin dielakkan oleh nilai tradisi Melayu. Adakah profesor ini pun menghadapi masalah “cultural schizophrenia”? Menjadikan Tenggang sebagai contoh jutawan Melayu yang berjaya adalah satu perbuatan biadap, dalam budaya Melayu. Ini mesti jelas, untuk mengelak dari terjerumus ke dalam kumpulan yang “cetek meraba-raba”,  yang tidak kenal dengan mendalam kebudayaan bangsanya. Amatlah malang jika inilah nilai-nilai yang ingin diajarkan di sekolah dalam pelajaran sastera, biarlah mereka (pelajar) buta sastera daripada menjadi manusia tidak berbudi bahasa, keliru tentang nilai-nilai dalam kebudayaan mereka sendiri.

Semua pujian Panel dalam laporan mereka menjadi sia-sia dan tidak bermakna sekiranyanya kita meneliti perkembangan intelektual Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh. Satu kekeliruan dan kecelaruan besar telah terjadi apabila terdapat para sarjana berpendapat “Puitika Sastera Melayu: Satu Pertimbangan”, syarahan perdana Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, sebagai teori sastera. Begitu cetekkah para sarjana ini memahami konsep teori dalam kerja-kerja akademik? Muhammad Haji Salleh menjadi buntu selepas memberikan syarahan perdana beliau. Beliau tidak dapat mengembangkan syarahan perdana itu untuk menjadi sebuah teori yang benar-benar teori, mencipta suatu sistem analisis dan penilaian untuk menjadi panduan bagaimana membaca sesebuah karya kreatif (karya sastera). Ini tidak dapat diberikan oleh “teori” (yang bukan teori) “Puitika Sastera Melayu” itu. Jika benarlah ini sebuah “teori”,  bagaimana boleh digunakan untuk membaca sebuah sajak seperti “Pulang Si Tenggang”?  Yang pertama terjadi, jika “teori” itu boleh dipakai, ialah sajak itu akan tertolak kerana bertentangan dengan unsur-unsur sastera yang diberikan dalam “teori” itu, yakni tentang sifat didaktiknya, keindahan yang berpaksikan budi dan ketaatan seperti yang ditekankan dalam kebudayaan Melayu, dan lain-lain lagi (anda boleh tambah sendiri). Apakah yang didaktifk dalam sajak itu? Pengajaran apa yang menjadi tema utama sajak itu? Jika anda menggunakan “teori” beliau sendiri, anda akan dapati sajak itu adalah sebuah sajak yang menentang tradisi, keliru dan bercelaru. Sebuah sajak yang sangat individualistik, yang begitu angkuh mengaku “aku sudah belajar/ jadi kurang”. Adakah ini didaktisisme yang beliau maksudkan dalam “teori” beliau?  Sudah jelas sajak ini gagal memenuhi ciri utama “teori” sastera beliau sendiri. So what? [Sanggahan saya terhadap Puitika Sastera Melayu: Satu Pertimbangan, telah saya terbitkan dalam buku berjudul, Medan-medan dalam Sistem Persuratan Melayu: Sanggahan Terhadap Syarahan Perdana Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh (1994).]


Contoh lain, tentang salahnya menggunakan teori sastera Barat untuk menilai karya sastera Melayu. Inilah pendapat Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh mengenai perkara ini:  “... sudah puluhan tahun kita menggunakan teori yang muncul di Barat untuk menilai diri kita yang bukan Barat, sebaliknya dibentuk oleh bahasa Melayu dengan wataknya yang khusus pula. Jadi kita sudah lama melakukan kesalahan dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri”. (Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, DBP 2005, hal. 14). Apakah asas akademik sarjana ini bila beliau berkata begini?  Sepatutnya beliau jujur untuk mengaku bahawa beliau sudah bertahun-tahun menjadi anggota Panel Anugerah Sastera Negara, yang menggunakan seluruhnya teori sastera Barat. Jika teori sastera Barat itu tidak digunakan, atau digunakan sekali sekala, beliau harus lebih berani untuk mengakuinya, atau menegaskannya. Di antara sekian banyak laporan Panel Anugerah Sastera Negara, mana satukah yang tidak menggunakan teori sastera Barat? Semua kemusykilan ini memang disedari oleh profesor ini, tetapi beliau tidak mahu mengaku kerana pengakuan itu akan meletakkan dirinya sebagai salah seorang anggota Panel yang “melakukan kesalahan dalam menilai karya sastera”. Sekiranya beliau tidak mahu mengaku, maka wajarlah beliau mengaku kesilapannya bahawa teori sastera itu memang penting, menjadi nadi dalam kritikan sastera Melayu dan dalam pengajaran sastera di universiti; malah tanpa teori sastera Barat, semua sarjana sastera akan bisu, tidak boleh berbicara tentang sastera. Kalau begitu, dan itulah kenyataannya (baca saja kertas kerja mengenai “pemikiran” para sasterawan negara), maka apakah gunanya teori sastera Barat dikritik atau dinafikan peranannya? Akhirnya Muhammad Haji Salleh menjadi buntu, tidak dapat menghuraikan dengan mendalam dan objektif pandangannya itu. Inilah nasihat saya yang saya tulis satu masa dulu, disiarkan dalam Mastika, Oktober 1991: “Kita harus tahu seberapa banyak yang terdaya kita mengetahuinya; tetapi kita tidak harus sesat seberapa jauh yang kita mahu” (hal. 24). Itulah pendirian akademik yang paling siuman.


Dua contoh ini, tentang puitika sastera Melayu (syarahan perdana) yang mati beragan, tidak dapat dikembangkan; dan sikap yang tidak bijak menolak teori sastera Barat (itu kata dia, tapi dia buat lain), membuktikan betapa terbatasnya kemampuan intelektual profesor yang mendapat sanjungan tinggi Panel Anugerah Sastera Negara ini, dan pengakuan beliau sebagai seorang linguistic and cultural schizophrenic  menunjukkan sejauh mana kefahaman dan komitmen beliau terhadap nilai-nilai tradisi yang terus keliru apabila beliau bermati-matian mempertahankan Si Tenggang yang jelas menjadi kutukan sepanjang masa dalam budaya Melayu, betapa pun cuba diberi tafsiran baru oleh beliau. Tafsiran itu tidak boleh dipertahankan, seperti yang saya jelaskan di atas. Pendeknya, sesiapa juga yang betul-betul faham kebudayaan Melayu tidak dapat menerima tafsiran kembali Muhammad Haji Salleh yang begitu naif. 


Selepas membuat pengakuan itu, hingga kini beliau mendiamkan diri, tidak dapat membicarakan dengan rasional mengapa perbuatan itu salah, satu bukti akan keterbatasan intelektual beliau apabila menghadapi masalah intelektual dan akademik. Sebenarnya, jika pendapat beliau benar, maka tertolaklah semua penilaian Panel Anugerah Sastera Negara, yang beliau sendiri menjadi anggota. Jadi, pemilihan beliau sendiri sebagai sasterawan negara adalah tidak sah, kerana ukuran yang dipakai oleh Panel adalah ukuran Barat, yang begitu jelas tertampang di dalam laporan mereka. Mahu lari ke mana lagi? Jelas sekali teori sastera Barat itu menjadi nadi sastera Melayu moden, tidak dapat ditolak. Oleh itu, segala riuh rendah dan kebisingan untuk kononnya mencari paradigma baru, adalah omong kosong, satu kepalsuan akademik yang tidak dapat dimaafkan.  Sebaliknya, jika unsur-unsur yang ditekankan oleh Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dalam “Puitika Sastera Melayu”, sayarahan perdana beliau, digunakan untuk menilai sajak “Pulang Si Tenggang”, akan berakhir dengan sajak itu bertentangan dengan kebudayaan Melayu dan estetika Melayu. Betapa kelirunya para sarjana yang ingin mempertahankan sajak ini, sehingga tertulislah sebuah rencana yang membicarakan sajak ini sebagai sajak berunsur Islam. Lihat buku pujian terhadap Muhammad Haji Salleh, Critical Perspectives on Muhammad Haji Salleh. Bandingkan ini dengan contoh-contoh yang saya kemukakan dalam makalah ini seperti di atas.


Walupun pandangan Muhammad Haji Salleh tentang peranan teori sastera Barat itu penting, beliau tidak berupaya memberi penjelasan seterusnya. Mungkin dari segi intelektual semua teori Barat itu tidak cukup mencabar untuk dikritik;  tetapi saya kira lebih tepat jika kita berkata penjelasan demikian tidak perlu, kerana akan mengenai karya beliau sendiri dan kedudukan semua sasterawan negara yang pemilihannya seratus peratus berasaskan teori sastera Barat. Kalau menggunakan teori sastera Barat itu satu kesalahan, maka tentulah pemilihan para sasterawan negara berasaskan teori Barat itu suatu kesalahan juga.  Kalau begitu, mengapa beliau menyebut perkara ini? Mungkin itulah kesan cultural  schizophrenic yang beliau alami, yang telah meletakkan kedudukan akademik beliau menimbulkan persoalan.  Semua ini membuktikan betapa melesetnya retorik peragaan Panel yang begitu ghairah memuji keunggulan Prof. Muhammad Haji Salleh sebagai seorang intelektual, padahal beliau sendiri tidak dapat membuktikannya. Siapakah yang telah membuktikan kebenaran ketepatan retorik peragaan Panel dalam laporannya? Saya fikir ini telah dilakukan oleh Mana Sikana dalam kertas kerja beliau untuk “Seminar Pemikiran Muhammad Haji Salleh, 9-10 November 2010,” DBP. Beliau memuji Muhammad Haji Salleh dalam 12 bab pendek-pendek yang bombastik dengan pujian. Bab 12, penutup, menyimpulkan, semua tulisan Muhammad Haji Salleh bersifat intelektual; tetapi tidak cukup kuat, oleh itu  “penulisan sastera Muhammad Haji Salleh tidak menjelma menjadi suatu aliran penulisan.” Maksudnya, tulisan Muhammad Haji Salleh tidak dikembangkan dan beliau tiada pengikut yang bermurah hati menjadikan “pemikiran” beliau suatu aliran penulisan. Satu kesimpulan yang baik, membenarkan kesimpulan saya sendiri terhadap tokoh yang paling banyak menerima pujian di antara sasterawan negara.


Berbeza dengan Kemala, yang diberi pujian paling tinggi, oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam Laporan 2012.  Kata Panel, Kemala adalah satu-satunya pensajak sufi Malaysia yang telah “menghadiahkan kepada perbendaharaan kesusasteraan Melayu puisi yang indah, mempunyai gaya khas yang tersendiri, dan sarat dengan renungan jiwa yang mendalam. ... Sebagai penyair yang berjiwa besar, Kemala juga berani menggunakan alusi daripada budaya lain seperti rujukan kepada Mark Antony dan Cleopatra. ... Justeru, alusi daripada berbilang budaya ini menjadikan karya penyair ini universal.” (hal. 20).  Kemala, dan Panel, tentu mempunyai tujuan masing-masing menggunakan alusi Mark Antony dan Cleopatra ini dalam sajak-sajak sufi beliau. Dalam sastera Eropah, dua tokoh ini adalah simbol kekuatan hawa nafsu manusia yang rakuskan kuasa dan kedudukan. Adakah sufisme Kemala bersumber kekuatan hawa nafsu? Panel tidak menjelaskannya, tetapi pemilihan contoh Mark Antony dan Cleopatra itu nampaknya lebih tepat untuk mengejek Kemala, bukan bertujuan memujinya. Barangkali lebih munasabah jika kita membuat kesimpulan bahawa Panel sebenarnya amat naif ketika memberi pujian yang tidak sepatutnya itu. Apa pun tujuannya, kedua-duanya, Panel dan Kemala, sebenarnya membuka tembelang mereka dengan menggunakan contoh Mark Antony dan Cleopatra itu. Semua mungkin di kalangan ahli sufi seperti Kemala!  Bagi saya Panel amat tergesa-gesa melabelkan Kemala sebagai pensajak sufi, tanpa bukti sedikit pun. Sebaliknya, Panel menggunakan pandangan Braginsky untuk membuktikan pensajak ini seorang pensajak sufi; tetapi contoh yang diambil oleh Braginsky tidak sedikit pun mempunyai unsur sufi didalamnya (sajak “Laut”, Dewan Bahasa, Julai 1972).  Sajak ini adalah sajak retorik yang mencari sensasi dalam perbandingan yang berlebihan: akulah laut/ gadis cantik tidur di peraduannya/ sisik-sisik riak di tubuhku/ lukisan detik dan tarian angin/ bersatu di gemersik ingin/ saujana ketenangan ini. Inikah sajak sufi? Bagi saya tidak. Kalau anda mahu berkata inilah sajak sufi, boleh saja. Lukisan apakah ini? Erotik? Di mana unsur kerohaniannya?  Sajak ini diambil dari kumpulan sajak berjudul, Syurga ke Sembilan. Anda tahu apa maksud cloud nine? Tidak pasti sama ada lucu atau serius, tetapi yang pasti Panel menggunakan teori sastera Barat untuk menentukan kesufian sajak-sajak Kemala, sama seperti ketika menentukan kefahaman tentang tradisi Melayu Muhammad Haji Salleh. Kesimpulan ini memerlukan penjelasan lanjut, yang hanya akan diberikan apabila nanti ada sanggahan daripada murid-murid Muhammad Haji Salleh yang ramai itu (kira-kira 5000 orang!).

Kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas tentang sifat para sasterawan ini berada di pinggiran budaya Melayu dan Barat, sebagai golongan yang “cetek meraba-raba” tidak memerlukan sanggahan daripada para sarjana mahu pun para sasterawan. Karya mereka dan penilaian Panel Anugerah Sastera Negara menjadi bukti yang amat jelas akan ketepatan kesimpulan itu. Layakkah mereka ini diangkat menjadi sasterawan negara?


Mungkinkah akan lahir kartel sastera di Malaysia? Kartel sastera tidak sama dengan kartel dadah. Kartel sastera adalah kiasan gayang untuk aktiviti kongkalikung dalam sastera.  Sekarang belum lagi timbul permusuhan sengit antara Panel Anugerah Sastera Negara dengan para pengkritik mereka. Meskipun belum lagi wujud kartel sastera seperti kartel dadah di Mexico, namun sudah wujud beberapa percubaan untuk menjadikan Mutual Admiration Club satu kelab rasmi mewakili hanya sekumpulan sasterawan dan sarjana yang boleh dikatakan menganut satu aliran, iaitu aliran kritikan Barat menjadi satu-satunya aliran rasmi di Malaysia. Dalam laporannya, Panel Anugerah Sastera Negara masih lagi memberi perhatian istimewa kepada aliran Barat ini, sebagai satu-satunya aliran rasmi yang boleh diterima dan dipertahankan kedudukannya.  Keadaan ini tidak dirasakan oleh mereka sebagai janggal, kerana pada waktu yang sama mereka juga menyebut peranan warisan budaya Melayu sebagai rujukan para sasterawan, tetapi tidak oleh Panel dalam menentukan penilaian mereka. Oleh itu, yang disebut sebagai warisan budaya tradisi itu berada di pinggiran; manakala teori sastera Barat diketengahkan, dan kini diberi taraf perdana yang menentukan kualiti karya sastera.  Dalam pemilihan karya yang akan diberi Hadiah Sastera Perdana (nama selalu berubah!), buku seperti Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia diberi hadiah,  kerana buku itu totok mempropagandakan feminisme di Malaysia, walaupun dari segi moral bertentangan dengan nilai-nilai tradisi Melayu dan nilai sastera sendiri, apabila penulisnya meletakkan cerita lucah dan picisan setaraf dengan novel-novel biasa. Pengarang tidak dapat membezakan kebaikan dengan keburukan kerana feminisme tidak berminat dalam persoalan itu, kerana yang menjadi matlamat feminisme ialah kebebasan penuh wanita. Pengaruh buruk ini tidak mendapat teguran, sebaliknya digalakkan dan diberi taraf yang tinggi.

Tepat sekali tempelak al-Quran (47: 14) yang menempelak orang-orang yang terpengaruh oleh syaitan mendapat ajaran daripada syaitan untuk melihat kejahatan dan keburukan sebagai kebaikan.  Apabila amaran al-Quran ini diremehkan oleh pihak berkenaan, maka bibit-bibit kartel sastera mula kelihatan dalam kegiatan sastera Malaysia.  Siapakah korban paling besar/ramai kartel sastera ini?  Adakah Mutual Admiration Club sejenis kartel?

[Catatan: Bahagian II dan III lepas puasa. Insha Allah.]

Mohd. Affandi Hassan
Petaling Jaya, 23 Jun 2014

No comments:

Post a Comment