Monday, June 16, 2014

PANDIRISME, TERORISME, BARBARISME... Inikah Wajah Sastera Melayu?



Anda tentu terkejut jika diberitahu sekarang sudah hilang seruan untuk mengubah paradigma. Sekarang sudah muncul gerakan baru untuk mempertahankan paradigma lama bermati-matian untuk memastikan kehidupan sastera sekular dan “cetek meraba-meraba” boleh diteruskan dan sesiapa juga yang ingin melakukan perubahan perlu ditentang habis-habisan. Targetnya: Gagasan Persuratan Baru tidak boleh dibiarkan berkembang di Malaysia, kerana ini akan menimbulkan rasa tidak hormat kepada sasterawan negara dan keinginan yang berlebihan untuk mengkritik sasterawan negara dan para sasterawan secara umum. Mereka tidak boleh dikritik? Boleh, kata suara perlahan, antara dengar dengan tidak; tetapi kritiklah secara berhemah. Maksud kritik secara berhemah itu ialah kritik mereka sambil memuji mereka; dan lebihkan pujian daripada kritikan. Kata suara perlahan itu, mereka juga manusia biasa, pernah buat silap dalam kerjaya mereka sebagai sasterawan. Mengapa kita mesti ungkit kesalahan mereka? Biarkan saja di situ, beri penjelasan supaya yang salah itu tidak lagi dianggap salah. Contohnya, kata mereka, karya-karya picisan dan lucah yang ditulis oleh para sasterawan negara, seperti Kuala Lumpur Kita Punya oleh Abdullah Hussein; TIVI oleh Shahnon Ahmad; Salina oleh A. Samad Said ... dan lain-lain (tak boleh semut semua!).  Dr. Muhammad Saleeh Rahamad telah membela karya Abdullah Hussein itu dalam kertas kerja tentang novel lucah dan picisan itu; Shahnon Ahmad dan A. Samad Said mempunyai pembela masing-masing, hampir seluruh sarjana sastera dan para sasterawan tampil mempertahankan mereka dengan gigih. Kata mereka, “Orang-orang yang mengkritik  Shahnon Ahmad dan A. Samad Said adalah manusia biadab kerana menghina dua orang tokoh sasterawan negara yang direstui sendiri oleh Yang di Pertuan Agong yang mengeruniakan watikah negara sabagai sasterawan negara. Pengkritik sasterawan ngegara adalah pengkritik Yang diPertuan Agong dan raja-raja Melayu... Oleh itu, jangan kritik mereka.

Bagi saya pandangan begitu adalah sejenis ekstremisme budaya yang tidak wajar dibawa ke Malaysia yang sejak dari sebelum Islam lagi kebudayaannya amat terbuka. Mengkritik sasterawan negara bukan biadab, tetapi mesti dilakukan jika kita betul-betul faham konsep adab dan ingin melihat kebudayaan kita, termasuk sasteranya juga, benar-benar mencerminkan adab itu.  Adab yang difahami dalam Islam adalah pancaran pelaksanaan konsep ilmu yang benar dalam masyarakat. Adakah para sasterawan negara ini mencerminkan hakikat ilmu seperti yang diajarkan dalam Islam? Dengan amat terpaksa, mereka mengaku memang tidak mencerminkan hakikat ilmu itu kerana para sasterawan kita bukan ulama. Tidakkah ini satu hujah yang amat bodoh? Kalau mereka ulama, tentulah mereka tidak akan menulis karya sastera yang hanyut dalam khayalan fantasi yang mengarut itu. Anda salah, bantah mereka. Tidakkah HAMKA juga seorang ulama? Dia menulis novel cinta, novel kritikan masyarakat. Anda betul, kita beri peluang kepada mereka. Tetapi HAMKA terkenal sebagai seorang ulama dan ahli tafsir Quran, bukan sebagai seorang sasterawan. Berani anda berikan gelaran sasterawan negara kepada penulis seperti HAMKA jika terdapat di Malaysia? Kalau sudah takut kepada Gagasan Persuratan Baru, bagaimana anda boleh berani meletakkan ulama menjadi sasterawan negara? Jangan kuatir, tidak akan ada ulama rela menjadi sasterawan, apalagi digelar sasterawan negara. Kedudukan itu terlalu rendah, dan terlalu janggal, buat mereka yang seluruh hidupnya menyebarkan ilmu, bukan fantasi seperti sang sasterawan. Inilah ajaran budaya kita, tidak meletakkan sasterawan itu lebih tinggi daripada ulama seperti yang kita lakukan sekarang.  Para sarjana akan membantah keras jika para sasterawan negara ini diktirik; tetapi mereka mendiamkan diri jika yang dikritik, malah dibunuh (anda lupa Memali 1985?) sekali pun jika itu berlaku kepada para ulama. Jika anda mahu bukti bagaimana nilai kita sudah berubah, dan berubah menjadi songsang, maka inilah buktinya. Anda kenal Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas? Bayangkan bagaimana para sasterawan dan sarjana sastera masih mengutuk beliau kerana menulis tentang ilmu, tentang konsep adab, dan konsep keadilan dalam Islam. Hingga sekarang para sasterawan dan sarjana ini menutup seluruh kesedaran ilmu mereka (jika masih ada) untuk menolak kehadiran Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang anda anggap menyebarkan keangkuhan, bukan ilmu. Anda mahu saya sebut nama mereka? Tidak perlu. Cubalah bercakap dengan mereka, para sasterawan dan sarjana ini, anda akan kenal siapa mereka.

Sekiranya anda faham penjelasan ini, anda akan mengerti apabila saya berkata bahawasanya orang yang menuduh para pengkritik sasterawan negara itu biadab, tidak bersopan dan sebagainya ... sesungguhnya merekalah yang tidak beradab, biadab dan sebagainya kerana denggan seluruh keangkuhan dan kejahilan yang ada pada mereka, mereka menolak bulat-bulat asas peradaban Melayu yang berteraskan ilmu, adab dan keadilan itu. Selepas mereka mengenal dan terlibat dalam sastera, maka jadilah mereka tidak beradab dalam konteks tradisi peradaban Melayu itu. Jika anda renung persoalan ini dengan objektif, dengan kesedaran ilmu yang mendalam, anda akan tahu betapa jauhnya kesusasteraan telah membawa kita semua menyeleweng daripada peradaban kita sendiri. Sekarang kita lihat buktinya seperti yang dibicarakan oleh para sasterawan, para sarjana dan sebagainya, yang berselindung di sebalik kedudukan rasmi sebagai anggota Panel Anugerah Sastera Negara yang menulis laporan tentang tokoh sastera yang dipilih untuk dijadikan sasterawan negara. Saya akan menulis dalam tiga siri untuk membincangkan aspek kebiadaban dalam kesusasteraan dan bagaimana ini dijadikan nilai tertinggi dalam kedudayaan Melayu. Tajuknya: kemunculan sasterawan negara adalah satu penyelewengan budaya yang amat besar dan yang paling bodoh yang kita lakukan ketika kita seharusnya sudah cerdik.  

Mohd. Affandi Hassan,
16 Jun 2014.

No comments:

Post a Comment