Wednesday, June 11, 2014

BALAI MAQAMAT: SINAR BARU PERSURATAN MELAYU



Dalam bidang kreatif di Malaysia, saya perkenalkan satu kategori baru yang saya namakan karya persuratan, yang berbeza jauh dengan karya sastera. Karya persuratan berasaskan ilmu yang benar (bukan sebarang ilmu); karya sastera pula berasaskan cerita dan emosi. Saya telah menjelaskan pembahagian ini dalam tulisan-tulisan saya, oleh itu sesiapa juga yang baru mendengar pembahagian ini boleh baca tulisan itu, jika mahu. Karya persuratan tidak terbatas kepada yang bersifat kreatif dalam bentuk cereka; termasuk juga karya akademik dan lain-lain karya yang dihasilkan oleh sesiapa saja, termasuk para ulama. Ini sudah saya jelaskan dalam buku saya Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid  (DBP 1992; cetakan kedua 2005). Pada faham saya, kita telah memberi status yang terlampau tinggi kepada karya sastera dan para sasterawan, padahal amat tidak wajar dan bertentangan dengan adab persuratan yang kita warisi. Kita beri gelaran “sasterawan negara” kepada penulis cerita, sajak, novel, drama padahal mereka bukanlah golongan yang terbaik yang pernah dilahirkan oleh tamadun dan kebudayaan kita. Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas telah menggelarkan mereka, para sasterawan ini, golongan yang “cetek meraba-raba” yang berada di piggiran dalam kebudayaan Melayu, tidak kenal budaya sendiri dengan mendalam dan cetek pula pengetahuannya dalam sastera Barat yang mereka tiru. Hingga sekarang belum ada sanggahan, padahal kesimpulan itu disebut beliau dalam syarahan pengukuhan beliau 1972, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayan Melayu. Penekanan kepada sastera dan sasterawan ini melahirkan budaya pandirisme yang kini diberi kedudukan sebagai budaya arus perdana. Satu perbuatan yang tidak beradab, yang diasaskan kepada budaya hawa nafsu (hedonisme), bukan budaya ilmu seperti yang kita warisi dalam persuratan kita. Saya masih yakin, dan terus berpegang dengan pendirian saya, bahawa kemunculan sasterawan negara adalah satu penyelewengan budaya yang amat besar dan yang paling bodoh yang kita lakukan ketika kita seharusnya sudah cerdik. Untuk mengubah kesilapan besar ini, saya pernah mencadangkan supaya diadakan Hadiah Persuratan Petronas untuk mendaulatkan bahasa Melayu dan para ilmuan kita dalam bidang-bidang tertentu yang menulis dalam bahasa Melayu yang indah. Saya menjelaskannya dalam sebuah kertas kerja yang dibentangkan di Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006. Kesilapan kita memberi perhatian yang begitu tinggi melampau kepada golongan pinggiran yang cetek mereba-raba dengan memberi mereka gelaran “sasterawan negara” sudah wajar dibetulkan dan bahasa Melayu didaulatkan melalui persuratan Melayu berteraskan ilmu.  Pakar-pakar kita sendiri yang menulis dalam bahasa Melayu sudah selayaknya diberi pengiktirafan melalui Hadiah Persuratan Peronas ini, di samping masih terus memberi hadiah kepada penulis kreatif yang betul-betul layak menerimanya, bukan terikat kepada Mutual Admiration Club yang berlaku dalam Anugerah Sastera Negara.  Bahawa para sasterawan negara itu bukan terdiri daripada antara tokoh terbaik dalam budaya kita, dibuktikan dengan jelas apabila mereka dan penyokong mereka tidak mahu mereka dinilai sehabis kritis supaya benar-benar terserlah kehebatan mereka sebagai penulis. Mereka terus menjadi pengemis pujian, sampai ada di antaranya yang memberitahu penulis kertas kerja tentang dirinya supaya menulis hanya yang baik-baik saja tentang dirinya. Sungguh tidak bermaruah si sarjana yang menulis kertas kerja itu dengan rela hati bersetuju dengan gesaan sang sasterawan negara. Gila, bukan?  Kedua-duanya tidak mempunyai maruah, oleh itu tidak wajar dihormati.

BALAI MAQAMAT memberi takrif baru dan perspektif baru tentang makna karya kreatif dalam penulisan yang bersifat cereka, seperti yang dianjurkan dan dijelaskan dalam Gagasan Persuratan Baru (inilah nama yang betul, bukan “gagasan Persuratan Baharu” yang dipinda oleh editor dalam buku yang diterbitkan ITBM itu!).  Wacana dan cerita dibezakan dan diberi kedudukan yang tidak sama dan tidak setaraf, dengan keutamaan diberikan kepada wacana. Tujuannya, atau matlamatnya, cukup mudah, iaitu untuk mengajak pembaca yang serius berfikir tentang isu-isu yang diungkapkan dalam karya. Buku ini bukan sebuah novel dalam pengertian biasa, tidak juga antologi cerita pendek; tetapi lebih tepat dipanggil sebuah karya persuratan yang mengutamakan pemikiran, bukan cerita seperti yang terdapat dalam novel dan cerita pendek biasa. Pemikiran itu berasaskan isu-isu yang dipilih, yang sekali imbas nampak seolah-olah terpisah, tetapi jika dibaca dengan kritis dalam semangat Gagasan Persuratan Baru, memang terdapat kesatuan dari segi pemikiran yang mengarah kepada kefahaman tertentu tentang masalah yang dihadapi masyarakat Melayu sekarang, atau masyarakat Malaysia secara umum. Buku ini dimulai dengan “Pandai Tulis”, satu kritikan tentang falsafah penulisan kreatif yang difahami oleh para sasterawan; diakhiri dengan “Cerita Sebenar Komando Mat Melayu” mengenai masalah tafsiran dan bagaimana ini dilakukan oleh pembaca dan para “ahli.” Benarkah terdapat tafsiran yang tepat, atau semuanya hanya andaian semata-mata? Untuk menentukannya kita perlukan teori, dan setiap teori akan memberi tafsiran yang berbeza. Mana satukah yang terbaik? Ini hanya dapat ditentukan berasaskan konsep ilmu yang benar, bukan sekadar maklumat yang sering kali kabur dan tidak tepat. Siapakah Komando Mat Melayu? Adakah beliau seorang sasterawan, seorang sarjana, seorang ahli politik, seorang teroris, atau hanya sejenis khayalan untuk melantun suatu konsep dalam budaya dan cara hidup suatu bangsa? Apabila pendekatan seperti ini digunakan, maka suatu karya kreatif akan hidup dalam perbincangan yang kritis. Ketika itulah pembaca, peneliti, pembicara, diberi hak untuk menentukan kedudukan karya itu menurut analisisnya dan penilaiannya.  Itulah yang akan ditentukan oleh sebuah teori. Ketika itu, jika anda mendapati pelbagai teori digunakan, anda terpaksa memilih yang terbaik yang membolehkan anda memahami dengan tepat dan objektif karya tersebut. Anda dituntut untuk meletakkan Gagasan Persuratan Baru dibatu ujian yang paling kritis, untuk melihat bagaimana PB boleh membantu anda menjadi pembaca yang cerdik.


Mohd. Affandi Hassan,
11 Jun 2014.

                                                                                                      

5 comments:

  1. BACAAN RINGAN, BACAAN BERAT..

    Saya ada terima komen mengatakan Balai Maqamat hanya sejenis bacaan ringan, macam cerita lawak P. Ramlee. Menghibur sangat pun tidak, memberi kesedaran apa lagi. Nol! OK, tak ada masalah. Cuma: apa maksud bacaan ringan? Mesti ada pula bacaan berat. Apa dia bacaan berat? Adakah semua karya sasterawan negara bacaan berat? Minta contoh dan sedikit penjelasan. Satu lagi: Adakah bacaan ringan sama maksudnya dengan tidak bermutu? Ini lagi perlukan penjelasan. Ada apa-apa pandangan lain? Jangan-jangan komen begini hanya sejenis gurauan iseng-isengan. Tapi saya anggap serius kerana komen iseng-iseng begini memperlihatkan sejenis bentuk reaksi yang ada kaitannya dengan kefahaman seseorang: mendalam atau cetek.

    ReplyDelete
  2. Tuan Mohd Affandi,

    Saya doakan semoga tuan berada dalam rahmat dan ihsan Allah Ta'ala sentiasa.

    Saya mula membaca buku-buku tuan semasa di kampus dalam awal tahun 90-an. Buku pertama tuan yang saya baca adalah Jejak Warisan. Apabila saya kongsikan dengan sahabat dan keluarga, semuanya terpesona dan ingin memiliki sendiri buku tersebut (bukan sekadar meminjam) dan masing-masing beli lebih dari satu kerana ingin berkongsi pula dengan orang lain.

    Kemudiannya, tanpa saya sedari, saya jadi amat memilih dengan bahan bacaan saya, saya sudah kurang membaca novel-novel melayu dan pernah saya rasa ingin membakar novel-novel picisan milik adik saya kerana bahasa dan kandungan yang sangat teruk dan membawa pengaruh yang negatif kepada golongan remaja.

    Buku-buku tuan yang pernah saya miliki rosak dimamah anai-anai termasuk buku islam and Secularisn yang pada ketika itu belum sempat saya hadami, buku-buku milik adik dan arwah saya pula habis dimamah api dalam kebakaran rumah arwah ayah. Saya terlupa seketika tentang kewujudan Jejak Warisan dan Aligupit.

    Tetapi, isi kandungan Jejak Warisan kekal dalam memori, terutamanya ketika saya menjaga ibu saya ketika dia terlantar. Ada satu hadis yang tuan sebutkan yang saya ingat 'gist' tetapi lupa kandungannya secara literal. Jadi, saya berusaha mencari buku-buku tuan semula melalui internet dan kedai-kedai buku. Akhirnya saya terpaksa meminjam melalui u-Pustaka.

    Apabila saya membaca kembali Pujangga Melayu, saya jadi terpanggil untuk mengkaji Persuratan Baru yang tuan sarankan. Arwah ayah saya pernah berpesan, tulislah, tetapi tulislah sesuatu yang memberi manfaat kepada orang ramai, jangan tulis karya kreatif yang boleh melarakan orang lain. Saya tidak yakin sangat dengan bakat saya, tetapi saya ingin menulis dan berdakwah melalui penulisan. Saya temui jawapan kepada pesan arwah ayah melalui Persuratan Baru. Dan, selepas baca PM semula baru saya sedar kenapa saya jadi tawar kepada novel-novel popular, kerana saya telah merasai nikmat bacaan yang berkualiti.

    Saya telah berusaha mencari untuk membeli buku-buku tuan, saya dapat beli Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid dan Gagasan Persuratan Baru (yang masih sedang saya baca). Melaui buku-buku tuan, tuan banyak menyarankan untuk membaca karya-karya penulis lain antaranya Yang Berbahagia Prof. Dr. Syed Naquib al-Attas. Kebetulannya, ada kelas yang dianjurkan oleh HAKIM iaitu WISE Summer School yang membincangkan idea dan kandungan pemikiran beliau pada akhir Jun nanti, saya telah diterima untuk mengikuti kelas tersebut. Terima kasih kerana memperkenalkan kepada saya ilmuan sebenar.

    Sebenarnya, saya ingin bertanya tuan tentang satu hadis yang saya nyatakan diawal tadi iaitu :

    "Pemeliharaan ibu kepada anaknya semata-mata anaknya hidup, sementara pemeliharaan anak terhadap ibunya hanyalah sehingga ibunya mati."

    Saya tidak pernah jumpa hadis ini di tempat lain melainkan dalam JW/PM, saya juga cuba cari dalam kitab-kitab hadis, tapi tidak juga jumpa, mungkin kerana kitab-kitab hadis tidak lengkap. Saya harap tuan dapat nyatakan tentang kesahihan hadis ini, matan dan nombor hadisnya kerana saya ingin kongsikan dengan orang-orang lain juga.

    Sekian, terima kasih.


    Yang benar,
    Wan Norjihan binti Wan Abdullah
    norjihan@yahoo.com
    Kuala Terengganu.

    ReplyDelete
  3. Salam Tuan

    Baru-baru ini saya hadiri satu seminar di DBP. Sempat saya berbicara dengan rakan-rakan penulis. Luah seorang rakan, dia kecewa kerana Dewan Sastera katanya dimonopoli oleh angkatan penulis yang lebih pentingkan 'kawan-kawan' walaupun dipelopori oleh 'generasi baru'. Dakwanya, puisinya tidak diberikan kritikan yang wajar oleh pengulas Shamsudin Othman iaitu dgn hanya 2 baris ulasan yang tidak bermakna. Tiada hujah pada ulasan pendek yang menurutnya sangat dangkal. Tetapi pengulas membuat ulasan panjang lebar tentang puisi2 'kawan-kawan seangkatannya' yang memuji melambung-lambunh. Maka saya berbisik pada rakan yang kecewa ini 'Itulah Mutual Admiration Club'. Walaupun kepimpinan sastera kini khususnya dalam Pena yang ditunjangi sasterawan angkatan 70-an, dan dikatakan berhasrat membawa perubahan kepada dunia sastera, hakikatnya mereka hanya meneruskan legasi mutual admiration club yang dipelopori angkatan 50. Sangat mendukacitakan dan betapa murahnya nilaian sastera kita.

    Sofia

    ReplyDelete
  4. Salam

    Seperti Sdr Norjihan, saya juga sangat terkesan dengan petikan tentang pemeliharaan ibu kepada anaknya itu. Yang satu umpama mendaki gunung, yang satu lagi umpamam menuruni bukit. Kata saya semasa membaca PM, ruginya saya kerana terlambat mengenal karya ini. Bagi saya, Pujangga Melayu ialah satu2nya karya tempatan masa kini yang dapat mencerminkan intelektualisme tamadun Melayu (Malaysia). DBP seharusnya ambil perhatian tentang ini. Jika betul2 mencintai budaya ilmu, novel inilah yang lebih tepat utk menggambarkan manifestasi cinta ilmu itu.

    Wallahua'lam

    ReplyDelete

  5. Terima kasih kepada anda semua kerana memberi maklumat yang amat berguna di samping penghargaan yang jujur.

    Salam intifadah kepada semua.

    Saya sedar betapa ramai penulis, sasterawan dan sarjana yang kebingungan kerana pertama kalinya mereka berdepan dengan cabaran intelektual yang agak berat, apabila Gagasan Persuratan Baru meletakkan satu standard yang memerlukan mereka meneliti dengan cermat sama ada standard itu boleh diterima atau tidak; dan jika diterima apakah kesannya nanti dalam perkembangan persuratan Melayu; sekiranya ditolak apakah kerugian yang akan ditanggung oleh generasi akan datang dan anak muda sekarang yang tidak dididik untuk menerima sesuatu secara kritis dan cerdik. Saya selalu bergurau, satu gurauan yang serius, sesiapa juga yang meneliti Gagasan Persuratan Baru dengan kritis, sehabis kritis, dia akan mendapat manfaat. Jika dia menolaknya pun dia melakukannya sebagai orang yang cerdik, berasaskan maklumat yang tepat. Cabaran ini masih terbuka. Hanya orang-orang yang degil dan angkuh saja yang tidak mahu menerima cabaran ini. Mereka tidak ada pilihan, kerana Gagasan Persuratan Baru akan tetap menjadi standard atau ukuran dalam menentukan kecerdikan mereka, dan bagaimana mereka melahirkan kecerdikan itu dalam tulisan dan karya mereka. Saya menulis sajak, cerita pendek, novel dan kritikan sastera. Anda boleh genre mana yang anda suka, dan letakkan karya itu dengan karya para gergasi sastera Melayu yang diberi gelaran sasterawan negara itu; Sejauh mana hebatnya mereka; sejauh mana kerdilnya karya saya. Dan... sehebat mana pula analisis anda untuk sampai kepada penilaian yang tepat, objektif dan jitu. Silakanlah. Gelanggang terbuka luas. Saya sendiri sedang menunggu bukan untuk menagkis (kerana ini tidak perlu, karya saya sendiri boleh mempertahankan diri mereka), tetapi untuk membaca tulisan anda yang berkualiti. Adakah permintaan ini terlalu besar? Jika anda meremehkan saja, maka anda hanya berlagak sebagai pembicara yang berasa bangga memperagakan "retorik teh tarik" saja!










    ReplyDelete