Raja Lawak dan sasterawan negara ibarat dua sejoli,
masing-masing menghiburkan dalam cara masing-masing untuk kelompok yang
menggemari masing-masing kumpulan ini. Kedua-duanya duduk di bawah dagu raja,
satu sebagai badut di raja, satu lagi sebagai tukang cerita di raja. Sasterawan
negara adalah lambang feudalisme budaya, yang bergantung hidupnya di bawah
naungan istana, dan mendapat gelaran itu daripada istana. Ini penting kerana
melalui perlindungan feudal ini, sasterawan negara terjamin daripada membuat
apa-apa kesilapan atau menunjukkan apa-apa kelemahan. Mereka bukan maksum, tetapi mereka istimewa
kerana diberikan (dianugerah) gelaran itu yang mesti disebut setiap kali
namanya di sebut. Sesiapa yang tidak menyebut gelaran itu ketika menyebut nama
sasterawan negara, maka orang itu biadab dan mempunyai unsur-unsur derhaka
kepada raja. Seorang sasterawan negara,
sama ada yang berjiwa feudal mahu pun yang berjiwa “sufi”, akan berasa
tersinggung dan amat terhina jika gelaran itu tidak disebut ketika menyebut
namanya.
Pertanyaan bodoh: Tidakkah ini suatu beban? Maka jelaslah kita tidak
perlukan sasterawan negara. Tetapi sikap ini tidak realistik, kerana kehadiran
sasterawan negara menjadi tonggak perubahan nilai dalam masyarakat Melayu.
Nilai-nilai apakah yang berubah, yang mengiringi kehadiran sasterawan negara
dalam masyarakat Melayu? Paling utama,
dan paling penting, ialah merosotnya aspek ilmu dalam tamadun Melayu, kerana
karya para sasterawan negara tidak bertujuan untuk membina budaya ilmu,
sebaliknya bertujuan untuk menegakkan individualisme manusia yang bergelar
sasterawan negara. Inilah hujah yang diulang-ulang oleh Panel Anugerah Sastera
Negara ketika melaporkan keistimewaan setiap sasterawan negara. Sudah menjadi
kebiasaan laporan itu untuk menegaskan betapa istimewanya para sasterawan
negara ini kerana merekalah yang mencipta jalur atau apa-apa tanda dalam
masyarakat melalui setiap eksperimen, perubahan, pembangunan atau apa saja yang
dikaitkan dengan kejayaan individu sang sasterawan. Lihat bagaimana Laporan tentang A. Samad Said menekankan
aspek perubahan dan kemajuan dalam kesusasteraan Melayu moden kerana adanya usaha
secara serius dan sedar untuk membawa masuk nilai-nilai Barat dalam karya
mereka. A. Samad Said pernah mengaku dengan bangga bahawa dia menulis Salina untuk menceritakan kehidupan
seorang pelacur Melayu yang baik hati. Itulah perubahan, dan inilah makna
kemajuan. Inilah yang dimaksudkan dengan perubahan nilai. Anda boleh kesan sendiri apakah yang telah
disumbangkan oleh para sasterawan negara lain dalam perubahan nilai ini.
Anda
harus sudah berubah menjadi lebih cerdik untuk mengesan perubahan nilai yang
dibawa oleh para sasterawan negara ini.
Adakah setiap perubahan itu menuju ke arah pembinaan budaya ilmu dalam
tamadun kita? Bahawa ini tidak terjadi, malah sebaliknya, dapat kita lihat
betapa boringnya para pelajar satera
yang membaca karya para sasterawan negara ini, kerana karya mereka kekeringan
aspek ilmu dan kebijaksanaan yang diperlukan untuk mendidik para pelajar kita
menjadi lebih pintar, cerdik, dan tahu berfikir. Adakah karya para sasterawan
negara ini membuat para pelajar kita berfikir dan mendidik mereka menjadi
cerdik? Kalau kita teliti perbincangan tentang kelemahan pelajaran sastera dan
betapa boringnya hasil sastera yang
diajar di sekolah dan universiti, maka tiga perkara mungkin terjadi: karya itu
tidak bermutu; atau kaedah yang digunakan tidak untuk mencungkil kecerdikan;
atau para pelajar yang mengambil sastera itu memang terdiri daripada pelajar
yang kurang pintar (mungkin mereka tidaklah bodoh sangat). Pada hemat saya, itulah
tiga sebab mengapa pengajaran sastera tidak diminati. Sebaik saja anda cabar kecerdikan
para pelajar dengan mendidik mereka untuk berfikir dan sekali gus mencintai ilmu,
maka mereka akan jadi berminat dan mereka akan jadi vocal untuk menilai dengan objektif setiap karya yang dilemparkan kepada
mereka untuk dikaji atau dipelajari. Tahukah anda, ini masalah kaedah? Kaedah yang
dipakai sekarang membuntukan pelajar, tidak menggalakkan mereka berfikir, tidak
mencabar mereka membuat penilaian berasaskan konsep ilmu yang jelas. Selagi kaedah
ini tidak diubah, dan sikap anti-ilmu bermaharajalela dalam pengajaran sastera,
maka selama itulah sastera akan memboringkan
pelajar dan guru mereka. Apakah peranan para sasterawan negara dan para sarjana
yang menyokong mereka dalam menghidupkan budaya pandirisme ini?
Mohd. Affandi Hassan,
25/6/2014.
Raja Lawak dgn Sasterawan Negara 2 sejoli. Yakah? Tapi saya rasa RJ lagi ok kot sebab mereka memang bersusah payah nak dapat gelaran tu. Macam ni komen saya dlm pos Tn sebelum ni :
ReplyDeleteSaya kira perbandingan Tn berkenaan sasterawan negara dgn raja lawak ini tepat. Saya pun pernah tonton Raja Lawak di astro. Memang betul kata Tn, utk menang mereka kena lalui banyak ujian dan kritikan. Tak bergantung saja pada undi penonton. Kadangnya ada peserta yg dpt undi penonton yg tinggi, tapi persembahannya ke laut. Pengkritik pun hentam habis (saya suka chef wan jadi juri, kritiknya tepat walaupun tajam dan orang x suka cef wan pasai tu. Bukan bagi komen yg nak sukakan hati penyokong tapi jujur). Ini berbeza dgn anugerah2 yg ada dalam sayembara sastera. Apa yg mereka strugglekan?lagi satu, macam mana pula penilaian juri. Ada macam cef wan? Secara fakta, perbandingan Tn ni boleh terima akal saya. Terus tulislah Tn. Harap2 adalah yg boleh tampil utk bhujah di sini. Kalu tak setuju, kena bagitahu dgn jelas sebabnya. Bukan main diam2. Itu budak2 saja yang suka. Dituduh salah diam. Mengaku tak, menidak pun tak. Org kata, uk tidak, huk pun tak.
Wassalam