Tuesday, June 10, 2014

REVOLUSI PANDIRISME DALAM SASTERA DAN KRITIKAN SASTERA



Kekacauan dan kekeliruan yang sedang membanjiri sastera Melayu sekarang memerlukan satu revolusi pemikiran yang tegas untuk menolak sebarang gerakan yang merugikan bangsa Melayu dan mencacatkan pembinaan tamadun bangsa. Sebaik saja Anugerah Sastera Negara bermula dalam tahun 1981, maka terbentuklah secara rasmi Mutual Admiration Club yang akhirnya melahirkan sekumpulan sasterawan negara dalam satu aliran yang akhirnya membina Mutual Admiration Club mereka sendiri, sebuah club yang elitis. Serentak dengan itu, terjadilah dua perkara: penilaian yang berlebihan (over rated) terhadap sasterawan negara yang amat sederhana kemampuan intelek dan bakatnya, yang diperlihatkan mereka dalam karya mereka yang mediocre tetapi diberi pujian tinggi untuk membuktikan para sasterawan negara ini mempunyai kemampuan intelek dan keupayaan kreatif yang luar biasa. Anda boleh baca semua ini dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Tetapi anda harus membacanya dengan kritis dan objektif, kerana laporan itu sendiri mencerminkan ciri-ciri mediocre para penilai yang menjadi anggota Panel Anugerah Sastera Negara ini. Aspek in telah saya bincangkan dalam banyak tulisan saya; antara lain sila rujuk Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan; dan tulisan dalam blog ini sejak tahun 2010 yang kini sedang diusahakan untuk diedit dan diterbitkan. Kedua, dengan munculnya Mutual Admiration Club ini yang disokong kuat oleh Panel Anugerah Sastera Negara sendiri, maka bermulalah gerakan pandirisme dalam sastera Melayu moden dalam usaha memperkukuh kedudukan para sasterawan negara itu. Beberapa siri seminar tentang “pemikiran sasterawan negara” dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk kononnya menyerlahkan “pemikiran” para sasterwan negara ini. Sayangnya, apa yang terjadi bukanlah penyerlahan “pemikiran” para sasterawan negara, sebaliknya bermulalah sejenis perlumbaan di kalangan penulis kertas kerja untuk memperlihatkan “kebolehan” akademik  mereka menilai pemikiran para sasterawan negara itu. Hasilnya tidak begitu menggalakkan, walaupun dalam setiap seminar kita diberi tidak kurang dari 20 buah  kertas kerja yang ditulis dari pelbagai pendekatan Barat, yang pada asasnya tidak membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara, sebaliknya memperagakan penulis kertas kerja sendiri bahawa dia adalah pakar dalam bidang yang dipilihnya. “Pemikiran” para sasterawan negara tenggelam dalam kegelojohan ahli akademik memperagakan begitu banyak teori Barat yang tidak sedikit pun berjaya menyerlahkan “pemikiran” para sasterawan itu yang diakui sendiri oleh peserta seminar amat miskin atau tidak ada. Menarik juga apabila Prof. Rahman Shaari ditanya, oleh saya sendiri,  apakah “pemikiran” A. Samad Said; dengan bersahaja dia menjawab “tidak ada”. Mungkin beliau tersilap memberi pendapat ketika ditanya. Jika ini benar, kita menanti penbetulan yang akan beliau buat. Kita mahu tahu apakah yang dimaksudkan dengan “pemikiran” dan bagaimana dijelmakan dalam karya kreatif para sasterawan negara ini. Sehingga sekarang, yang terjadi ialah seseorang sarjana tertentu menentukan teori yang dia mahu tonjolkan, lalu mencari beberapa bukti (yang seringkali sangat lemah dan sengaja diada-adakan) untuk membuktikan “pemikiran” itu muncul dalam teori yang dipakainya itu. Dia gagal melakukan kedua-duanya: menyerlahkan kehebatan “pemikiran” sang sasterawan, dan betapa bagusnya teori yang dia gunakan itu kerana benar-benar menyerlahkan kehebatan pemikiran sang sasterawan. Sebenarnya dia pun gagal membuktikan teori yang dipakainya itu berjaya menyerlahkan “pemikiran” sang sasterawan, sama ada kerana memang tidak ada pemikiran, atau penggunanya sendiri tidak pasti apakah dia benar-benar menguasai teori yang dipilihnya dan didapati tidak sesuai. Walau apa pun yang terjadi, memang terdapat haru biru yang hanya menyerlahkan satu perkara, ia itu betapa miskinnya “pemikiran” sang sasterawan negara.

Apakah maksud “pemikiran” ketika kita membicarakan sumbangan para sasterawan negara ini?  Definisi yang tepat belum lagi dikemukakan oleh mana-mana ahli  akademik yang menulis tentang “pemikiran” sasterawan negara. Secara umumnya “pemikiran” membawa maksud  tema-tema yang sering dijadikan persoalan dalam karya sasterawan negara. Jika perspektif ini diterima, maka kita dapati hampir semua sasterawan negara mengemukakan tema yang sama. Kenyataan ini telah dibuktikan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka, bermula dari “pemikiran” Keris Mas hingga kepada sasterawnan negara terbaru. Anda boleh baca mana-mana laporan yang telah diterbitkan, temanya adalah sama, iaitu mengenai peristiwa yang sering terdapat di dalam masyarakat, sama ada yang tempatan mahu pun yang di luar negeri andainya ada sasterawan negara mempunyai pengalaman di luar negeri.  Yang tidak nampak di sini ialah sebarang pemikiran yang jelas mengenai sesuatu masalah dalam negara atau masalah manusia sejagat. Contoh: jika Iqbal menjadikan cinta Ilahi sebagai asas pemikirannya dalam syair-syairnya, untuk membina peribadi yang kuat yang berupaya “merenggut langit angkasa,” maka tidak seorang pun di antara sasterawan negara itu boleh dikaitkan dengan satu falsafah yang menjadi asas penulisan mereka. Kesemua mereka adalah produk semasa, berbicara tentang burung gagak, tentang seks bebas di luar negeri, tentang memberi tafsiran “baru” kepada dongeng Melayu dengan mengubah maknanya untuk disesuaikan dengan emosi penulis yang menghadapi krisis budaya, pendeknya tulisan mereka mengarah kepada tajuk-tajuk yang biasa mereka alami. Tajuk-tajuk yang topikal.  Dari segi itu mereka tidak berbeza. Kesimpulan ini boleh dibebatkan, jika anda mahu; tetapi itulah yang diberi tekanan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka. Kerana yang ditulis itu begitu biasa, mundane, berupa pengalaman mentah yang tidak dikonsepsikan dalam acuan pemikiran tertentu seperti yang ditunjukkan dalam contoh tentang Iqbal tadi, maka tidak ada di antara sasterawan negara yang luar biasa karya mereka, kesemuanya bersifat topikal yang tidak pun dianalisis. Contoh: ada yang menulis tentang masalah moral, seperti dalam novel lucah Shahnon Ahmad, TIVI,  tetapi yang disebut “masalah moral” tidak diteroka dengan mendalam, sebaliknya disandarkan kepada TV yang menggalakkan maksiat. Kerana itu novel itu menjadi amat naif, cetek, dan mediocre.  Temanya bagus, tentang keruntuhan moral dalam masyarakat Melayu moden. Jika masalah ini disusur galur dengan mendalam, kita akan bertemu dengan masalah perdagangan hiburan, keruntuhnan moral para pemimpin yang menggalakkan perdagangan hiburan itu dengan memberi sokongan seperti turut sama di dalam program yang bersifat demikiran untuk menyampaikan hadiah, memberi galakan dalam ucapan perasmian, berjanji akan memberi bantuan dalam bidang hiburan dan sebagainya. Sekarang timbul persoalan besar: Mengapa masyarakat turut serta dalam perdangangan hiburan itu? Mereka membeli tiket yang mahal, membuang masa berjam-jam untuk mengikuti program hiburan yang tidak sedikit pun bermanfaat kepada mereka. Apakah yang mendorong mereka? Seorang pengarang besar dan pemikir ulung seperti Shahnon Ahmad tentu dapat memberikan kita sebuah karya yang padat dengan analisis mengenai persoalan-persoalan tadi. Mengapa Shahnon Ahmad tidak bebuat begitu? Senang saja: Dia sendiri pun terbawa-bawa dalam arus hiburan tadi, dan tidak berasa segan untuk ikut serta dengan menulis karya picisan yang lucah. Bayangkan seorang sasterawan negara yang dikatakan menjadi “pelopor” sastera Islam di Malaysia, menulis novel lucah yang mentah, mediocre, naif, cetek dan anti-sosial dan anti-agama (Islam). Anehnya, karya yang begitu mediocre, mendapat pujian tinggi daripada ahli akademik kita, sampai ada yang mengatakan inilah sebuah karya “sufistik”. Ini bukan over rated lagi; tetapi pujian begini sudah mencapai taraf “sakit otak”! Adakah mereka ini dua kali lima?

Sekarang kita sampai di persimpangan yang memaksa kita membuat pilihan: Menerima kehadiran para sasterawan negara ini sebagaik pilihan terbaik dalam kesusasteraan Melayu. Atau: kita perlu terlebih dahulu meletakkan mereka dibatu ujian yang paling kritis untuk melihat sumbangan “pemikiran” mereka yang tidak dapat diragui lagi.  Kita telah mencuba menilai mereka dengan menggunakan pelbagai teori sastera Barat, tetapi semua teori itu telah gagal menyerlahkan ketinggian “pemikiran” mereka, sebaliknya lebih mengusutkan lagi. Dalam seminar terbaru tentang enam orang sasterawan negara baru-baru ini, kita masih lagi berada di tahap “retorik peragaan” yang sudah kita lalui dalam seminar-seminar yang lepas. Kita belum lagi membicarakan sumbangan “pemikiran” para sasterawan negara ini dengan kritis, oleh itu yang muncul daripada perbincangan yang telah diadakan itu, hanya satu perkara yang memang jelas, tidak dapat disangsikan lagi, iaitu perihal munculnya Mutual Admiration Club yang telah dikritik keras oleh Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh sejak tahun 1973 lagi (lihat tulisan beliau dalam Kritik Sastera di Malaysia (Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, 1973; terutama sekali halaman 66.)  Pemilihan Baha Zain sebagai sasterawan negara terbaru adalah hasil dari Mutual Admiration Club ini.

Pandangan kritis Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dalam tahun 1973 itu perlu direnung kembali, untuk menilai sejauh mana kita telah maju dalam projek Mutual Admiration Club ini. Inilah pandangan beliau:

“Sebagai seorang pengadil, seorang kritikus itu bukanlah manusia yang mudah bertolak ansur di dalam hal nilai-nilai sastera – yang mungkin dilonggarkan untuk kawan-kawannya dan diperketatkan untuk musuhnya. Tulisan begini sebenarnya bukanlah kritikan tapi propaganda: dan ini leluasa sekali pada hari ini. Ada kumpulan-kumpulan penulis yang saling memuji antara satu sama lain sebagai ahli-ahli suatu mutual admiration club.  Di dalam kumpulan-kumpulan begini penulis-penulis yang terlalu sederhana kebolehannya dan daya kreatifnya atau pun fikirannya dipuji tinggi-tinggi dan dibandingkan dengan pujangga yang besar di Barat.  Ataupun dicarinya saja sifat-sifat yang baik dan dibesar-besarkannya, dan dibutakannya mata penilainya kepada keburukannya.  Kepentingan kritikan adalah kepentingan sastera dan bukan untuk kritikus itu sendiri atau teman-temannya. Kita dan generasi akan datanglah akan rugi jikalau kepentingan perseorangan atau kumpulan-kumpulan kecil ditempatkan di atas kepentingan sastera dan kebudayaan. Dan ini tidak lebih dari rasuah yang dilakukan oleh pegawai-pegawai yang rakus dan mencuri wang rakyat. Kita tau apa yang akan jadi kepada negeri yang ditulari oleh rasuah, dan kita pun tahu apa yang terjadi kepada sastera yang korupsi, kerana kita sendiri sedang mengalami akibat-akibatnya.  Pengarang-pengarang begini bukan saja tidak tenang dan adil di dalam tulisannya, tetapi sudah melanggar tata-tertib dan nilai-nilai sastera. Seorang kritikus itu harus mempunyai harga diri yang dia tidak jualkan untuk sesiapa saja atau tujuan apa-apa pun.”

Pandangan ini tepat sekali, dan masih berterusan hingga sekarang, malah telah melangkah lebih maju dengan wujudnya Panel Anugerah Sastera Negara yang menjadi penaung Mutual Admiration Club ini. Barangkali kebanggaan kita yang terbesar ialah para anggota Mutual Admiration Club itu para sasterawan negara sendiri.  Inilah revolusi pandirisme yang kini menjadi arus perdana dalam kesusasteraan Melayu.

Mohd. Affandi Hassan,
10/6/2014

3 comments:

  1. "Jika masalah ini disusur galur dengan mendalam, kita akan bertemu dengan masalah perdagangan hiburan, keruntuhnan moral para pemimpin yang menggalakkan perdagangan hiburan itu dengan memberi sokongan seperti turut sama di dalam program yang bersifat demikiran untuk menyampaikan hadiah, memberi galakan dalam ucapan perasmian, berjanji akan memberi bantuan dalam bidang hiburan dan sebagainya"

    Sy ingat dlm novel Aligupit baca lama dulu, Sdr kemukakan soal ini. Menarik kalau dpt banding Tivi dan Aligupit yg Nampak bawa tema sama (keruntuhan moral dek hiburan yg dikomersialkan pemimpin) tetapi berbeza dr segi analisisnya.. sy teringat macam mana Sdr kiaskan dengan peristwa kehadiran tiang lampu di kg2. Oh, teringat. TK

    Osman
    USJ

    ReplyDelete
  2. Terima kasih Saudara Osman. ALIGUPIT adalah hadiah istimewa saya untuk bengsa Melayu, tetapi sayangnya mereka tidak faham. Bahagian akhir novel itu, ketika saya gambarkan bangunan indah itu dihiasi dengan bunyi musik yang merdu, yang berasal daripada air longkang. Itulah antara lain contoh stylization of ideas yang selalu saya sebut-sebut. Saudara nampaknya macam pengalaman seorang profesor dari UKM. Kami bertemu disatu majlis perkahwinan. Katanya, dia masih ingat cerita pendek tentang Mak Yam, yang membawa surat anaknya untuk dibaca oleh sesiapa saja. Cerita pendek itu ditulis 1972, menang Hadiah Sastera; tapi dia masih ingat ketika kami bertemu 2003! Seorang lagi, kali ini seorang pegawai tinggi tentera yang sudah bersara, tertawa bila bertemu saya. "Aku masih ingat cerita pendek saudara, Utopia Dukuna, bila pembaca sajak menjerit digigit semut..." Dia terus tertawa. Terima kasih kepada anda semua, antara pembaca saya yang cerdik. Saya ingin dengar daripada para sasterawan pengalaman begini, untuk dikongsi bersama. Janganlah kedekut untuk berkongsi anekdot begini.

    ReplyDelete
  3. Nota tambahan: Utopia Dukuna disiarkan sekitar 1972 di Mingguan Malaysia. Saya bertemu kawan saya pegawai askar itu sekitar tahun 2000.

    ReplyDelete