Wednesday, June 16, 2010

Perubahan Yang Merugikan ...

Adakah perubahan seperti ini menguntungkan bangsa Melayu dan tamadun Melayu? Hanya baru sekarang telah timbul sedikit kesedaran bahawa mungkin terdapat kesilapan dalam penilaian yang dibuat selama ini, yang tidak sepatutnya berlaku, sehingga seorang sarjana pernah berkata, “…sudah puluhan tahun kita menggunakan teori yang muncul di Barat untuk menilai diri kita yang bukan Barat, sebaliknya dibentuk oleh bahasa Melayu dengan wataknya yang khusus pula. Jadi kita sudah lama melakukan kesalahan dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri.” (Huruf condong ditambah). Pengakuan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh (dalam Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, DBP 2005, hal. 14) ini penting kerana ia membenarkan dengan jelas kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas tadi, walaupun mungkin yang mengucapkannya itu tidak sedar. Tetapi sarjana ini tidak bercakap dalam konteks ilmu dalam warisan persuratan Melayu, yang mungkin dikenalinya sama-samar, tidak mendalam untuk membolehkan beliau melihat persoalan dalam konteks ilmu dan sistem nilai yang disediakan dalam persuratan Melayu. Beliau sendiri tidak pasti apakah kesalahan itu, oleh itu tidak dibayangkannya di mana-mana pun dalam tulisannya atau ucapannya, dengan misalnya memberi contoh berapakah jumlah kesalahan itu dan apakah jenisnya dan mengapa kesalahan itu terjadi. Yang kita ingin tahu ialah apakah jenis kesalahan beliau sendiri. Tidak ada analisis, hanya ujaran yang sangat umum yang dari segi akademik perlu dikonkritkan dengan contoh dan hujah; tetapi pengakuan itu penting kerana pengakuan itu memperlihatkan telah ada kesedaran peri berlakunya kesilapan yang dimaksudkan. Pengakuan ini juga membenarkan kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang menegaskan (secara kiasan, walaupun tidak secara langsung) bahawa para sasterawan seperti pembicara ini terdiri daripada “mereka yang keliru yang tiada dapat membezakan yang benar dengan yang palsu”. Kenyataan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang begitu penting tidak disentuh, apatah lagi dibahaskan dengan mendalam, oleh Prof. Hashim Awang dan rakan-rakan dalam buku sejarah kritikan yang mereka tulis. Prof. Hashim Awang (dengan bantuan tiga orang pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka) menulis sejarah kritikan yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan judul, Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden: Esei Kritikan (2003), tidak pun menjeling laporan Panel Anugerah Sastera Negara, yang beliau sendiri anggotai, suatu keputusan yang amat dikesali kerana dokumen yang begitu penting diketepikan begitu saja, padahal banyak perkara yang boleh dibahaskan. Nampaknya Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri tidak menganggap dokumen yang diterbitkannya itu penting dalam bidang kritikan. Barangkali keputusan Prof. Hashim Awang dan pendirian Dewan Bahasa dan Pustaka ada asasnya, jika hujah-hujah yang dikemukakan dalam tulisan ini boleh diterima. Bagi saya keputusan itu tidak wajar dan tidak akademik, mengingat betapa besarnya kesan negatif laporan Panel Anugerah Sastera Negara itu terhadap perkembangan kritikan dan perkembangan ilmu di Malaysia.

Apakah kesilapan utama yang dilakukan dan masih diteruskan hingga kini? Prof. Ungku Maimunah telah membicarakan aspek ini dengan terperinci dan cukup ilmiah dalam Kuliah MASTERA beliau yang diterbitkan dengan judul Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP, 2009). Beliau menghuraikan dengan mendalam bagaimana sastera Melayu dinilai oleh para penilai, pengkritik dan sarjana Melayu sendiri yang bergantung kepada konsep realisme yang muncul di Eropah dalam Abad 19 sebagai pemberontakan kepada romantisisme. Realisme dalam konteks Abad 19 itu menjadi pegangan pengkritik dan sasterawan Melayu hingga sekarang. Analisis beliau menjadi lebih menarik jika dibaca bersama makalah beliau dalam buku ini, yang melakarkan perkembangan kritikan sastera di Barat, dengan memberi tumpuan kepada ukuran yang dipakai dan bagaimana ukuran itu diperdebatkan dengan ghairah sekali sehingga melahirkan pelbagai teori, masing-masing mendakwa itulah yang paling tepat membicarakan apa sebenarnya kesusasteraan dan apakah sifat-sifat asasi karya sastera. Tetapi nampaknya tidak ada sebuah teori pun yang pasti apakah sifat dan ciri khusus karya sastera, kerana semua pendapat yang dikemukakan dibantah oleh teori lain pula. Inilah satu-satunya sifat sastera yang dipersetujui, kerana konsep kreatif itu sendiri seperti yang difahami dan diamalkan dalam kesusasteraan moden tidak membenarkan adanya sebarang ikatan atau halangan dalam mencipta sesuatu karya. Itulah pandangan semua sasterawan, yang disokong oleh ahli-ahli akademik dan para pengkritik sastera. Inilah juga pendirian para sasterawan Melayu di Malaysia. Tetapi adakah pandangan ini tepat? Tidak adakah pandangan lain, yang boleh dianggap sebagai satu pilihan yang lebih baik? Di sinilah, bagi orang Islam, amaran al-Quran tentang penyair yang sesat di wadi-wadi (Quran, 26: 224-227), yang disebut oleh Ustaz Zulkarnain dalam makalahnya, boleh dijadikan panduan untuk dijadikan sempadan dan peringatan. Firman Allah SAW dalam Al-Quran (terjemahannya): “Dan penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat. Tidakkah engkau melihat bahawa mereka mengembara di setiap lembah, dan bahawa mereka mengatakan apa yang mereka sendiri tidak mengerjakannya? Kecuali orang-orang (penyair-penyair) yang beriman dan berbuat kebajikan dan banyak mengingat Allah dan mendapat kemenangan setelah terzalimi (kerana menjawab puisi-puisi orang-orang kafir). Dan orang-orang yang zalim kelak akan tahu ke tempat mana mereka akan kembali.” Yang disebut oleh al-Quran sebagai “penyair-penyair” itu termasuk di dalamnya para sasterawan sendiri, yang kuat mempertahankan pendirian mereka untuk “sesat di wadi-wadi” bagi mencapai kebebasan berkarya yang mereka agungkan.

Peringatan dan ajaran ini tidak diterima oleh kumpulan Asas 50 dan warisannya Panel Anugerah Sastera Negara yang meletakkan ukuran yang amat longgar dan samar-samar ketika menilai dan menentukan mutu karya sasterawan yang dilantik menjadi sasterawan negara. Saya telah membincangkan perkara ini dalam sebuah kertas panjang berjudul, “Kesusasteraan Melayu di Persimpangan Jalan: Anti-Intelektualisme, Hasad, Pandirisme” (dikemukakan sebagai kertas kerja dalam Siri Wacana Ilmiah DAMAI, 21 Disember 2004, anjuran ATMA, Universiti Kebangsaan Malaysia. Kertas ini dibahaskan dengan kritis oleh Dr. Rahmah Ahmad Othman dari Universiti Islam Antarabangsa, Kuala Lumpur; dan Datuk Hassan Ahmad, bekas Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka.) Juga dalam sebuah tulisan lain berjudul, “Hadiah dan Anugerah Sastera di Malaysia: Satu Penilaian Kritis” (dikemukakan dalam majlis Wacana Sastera, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, 25 Mei 2006: Seminar Impak Anugerah dan Hadiah Sastera Ke Atas Perkembangan Sastera Kebangsaan). Huraian dan analisis yang lebih mendalam diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam Kuliah MASTERA beliau yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (2009) dengan judul, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu. Rujuk juga syarahan perdana beliau, Kritikan Sastera Melayu: Antara Cerita Dengan Ilmu (Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2007).

Oleh sebab pendapat dan keputusan Panel Anugerah Sastera Negara penting dan nampaknya telah dikanunkan sebagai ciri penting dalam penilaian karya kreatif, maka pendapat mereka mengenai perkara ini wajar disebut kembali dalam tulisan ini supaya dapat dilihat sejauh mana dekatnya mereka dengan kutukan a-Quran, atau sedekat mana jauhnya mereka dari kutukan itu. Hal ini penting disebutkan kembali di sini kerana karya-karya yang dinilai tinggi oleh Panel Anugerah Sastera Negara telah diberi tempat yang sangat tinggi dalam “kesusasteraan” Melayu baru, yang kewajaran kedudukannya tidak boleh dipersoalkan lagi. Dalam cara tersendiri yang tidak jelas, yang samar-samar, yang mencerminkan kekeliruan para sasterawan dan penilainya, maka karya-karya yang disanjung itu “kelihatan” sangat bermutu kerana dikenakan kata-kata pujian yang pada hakikatnya tidak menggambarkan kualiti dan mutu sebenar karya yang dipuji jika dianalisis lebih mendalam dan lebih kritis. Perhatikan contoh-contoh pujian ini supaya kekeliruan dalam penilaian karya ini boleh dilihat dengan jelas. Kata Panel Anugerah Sastera Negara: “Salina membawa perubahan kerana tidak lagi membawa tema tertentu, apa lagi perutusan yang jitu. … Salina … merupakan pemapar kisah-kisah dan watak-watak yang terlihat dalam satu-satu suasana. Hendak dikatakan tidak ada tema atau tidak ada perutusan tidaklah benar-benar tepat, kerana selepas mengikuti kisah-kisah yang digambarkan, kita boleh juga mengatakan bahawa ada landasan atau ikatan yang merangkaikan kejadian dan bentuk-bentuk yang beraneka dalam Salina atau pun Sungai Mengalir Lesu. Misalnya, kita boleh mengatakan kesangsaraan yang digambarkan oleh kedua-dua buah novel ini adalah akibat peperangan dan dengan secara tidak langsung A. Samad Said ingin mengatakan kepada pembaca betapa tidak berperikemanusiaannya peperangan. Jadi ada falsafah atau perutusan, hanya A. Samad Said sebagai novelis tidak ingin terlalu menonjolkan tema dan perutusannya. Daripada segi inilah beliau membawa pembaharuan, kerana beliau lebih suka membawa aliran-aliran Barat seperti realisme atau naturalisme (dan realisme baru kemudiannya seperti dalam Langit Petang atau Daerah Zeni), dan mengisahkan segala peristiwa sebagai pemerhati yang terperinci, daripada sebagai moralist yang memberikan penilaian peribadinya terhadap watak-watak dan kisah-kisah mereka.” (Laporan 1985, hal. 13). Penilaian yang saling bertentangan ini lahir daripada kekeliruan panel terhadap makna “plot” dalam pembinaan cerita. Menurut panel, Daerah Zeni tidak mempunyai plot: “Urutan kisah secara tradisional tidak wujud. Novel ini bagaikan sekeping kertas besar yang dikoyak-koyak menjadi kepingan-kepingan kecil dan kemudian dibuang sewaktu angin kencang sedang bertiup. Kepingan-kepingan itu terbang bertaburan. Tetapi apabila diusahakan pengumpulan kembali cobekan-cobekan itu, barulah terasa kesatuan kisah kemanusiaannya. Dan kemanusiaan di sini sama sekali tidak ada peleraiannya.” (Hal. 18). Kutipan ini memberitahu kita, menurut Panel Anugerah Sastera Negara, maksud “plot” ialah urutan kisah secara tradisional; oleh itu “kepingan kecil yang terbang bertaburan” yang dikumpul dan dicantumkan kembali sehingga “terasa kesatuan kisahnya” bukan “plot”, walaupun diakui terdapat kesatuan kisah, yakni memang ada plotnya yang mungkin berbeza daripada yang biasa ditemui. Perkara ini dibangkitkan di sini kerana seluruh penilaian panel terhadap cereka berasaskan kekeliruan mereka tentang makna dan peranan plot dalam membina cereka; oleh itu timbullah kesimpulan seperti yang terdapat dalam kutipan panjang di atas (pada halaman 13 Laporan 1985). Adakah hal ini terjadi kerana A. Samad Said “terlalu pandai dan bijak” bermain dengan plot, sehingga membingungkan Panel Anugerah Sastera Negara? Sebenarnya inilah bukti kelemahan kedua-duanya: pengarang dan penilai. Pengarang tidak dapat menilai bahan yang ada di tangannya, dengan itu hanyut dalam apa yang disebut sebagai “gambaran terperinci” mengikut aliran realisme dan naturalisme yang ditirunya. Plot tidak digunakan sewajarnya untuk mengemukakan pemikiran dan analisis yang agak mendalam tentang “persoalan” atau “tema” atau “falsafah” dan sebagainya yang disebut oleh panel; kerana jelas sekali penggunaan ruang naratif dalam novel-novel A. Samad Said tidak terarah untuk membahaskan persoalan dengan mendalam, oleh sebab keutamaan diberikan kepada keinginan untuk bercerita semata-mata, bukan untuk membahaskan “persoalan” dan sebagainya itu dengan terperinci dengan menggunakan wacana yang membolehkan “persoalan” itu diberi makna, di samping ceritanya menarik. Jadi di sini tidak ada “pemikiran”, kerana terlalu ingin “memaparkan” begitu saja segala peristiwa dalam sejenis realisme atau naturalisme tiruan yang sebenarnya tidak difahami dengan mendalam, sekadar tiruan luaran yang biasa saja. Oleh itu semua perkara yang dipuji oleh panel, seperti tidak ada perutusan, tidak mempunyai tema tertentu, tidak didaktik, dan lain-lain sebagainya, adalah gambaran kekeliruan pengarang dan penilai sendiri tentang aspek plot ini. Huraian ini boleh difahami dengan lebih mudah jika dilihat dalam konteks gagasan Persuratan Baru yang membezakan aspek wacana dan cerita dengan memberi perhatian utama kepada aspek wacana. Memang benar A. Samad Said tidak menulis dalam konteks gagasan Persuratan Baru; tetapi Dr. Mohd Zariat Abdul Rani telah membuktikan dalam makalahnya bahawa Abdul Kadir Adabi (seorang pengarang yang diberi penghormatan dengan panggilan al-adib, dalam novel Melati Kota Bharu) boleh mencapai standard yang diingini oleh gagasan Persuratan Baru kerana beliau mempunyai daya kreatif yang tinggi dan pemikiran yang lebih jelas. Beliau adalah seorang pengarang yang berwibawa ilmunya, tidak seperti A. Samad Said. Tentang perkara ini, dalam “Seminar Pemikiran A. Samad Said” (DBP, 13-15 Mei 2008), hampir semua pembicara bersetuju A. Samad Said tidak mempunyai “pemikiran”, terutama sekali penegasan Prof. Rahman Shaari yang bulat-bulat menolak adanya “pemikiran” dalam karya-karya A. Samad Said. Hanya sanya mereka tidak mahu menggunakan gagasan Persuratan Baru untuk menghuraikan masalah ini, oleh itu mereka meraba-raba dalam membuat kesimpulan itu; tetapi mereka sedar tentang hakikat itu, dan itu sudah agak baik.

1 comment: