Tujuan blog ini ialah untuk memperkenalkan gagasan Persuratan Baru (ingat: bukan Persuratan Melayu Baru seperti yang disebut oleh Panel Anugerah Sastera Negara 2003, satu kesalahan yang sungguh memalukan, kerana dilakukan oleh sekumpulan sarjana dan penilai sastera yang tidak patut melakukan kesilapan seperti ini!) kepada sarjana, sasterawan, pengkritik sastera dan lain-lain pembaca yang berminat dalam penilaian karya kreatif dan juga dalam penulisan kreatif. Ringkasnya, ditujukan kepada sarjana dan penulis kreatif dan para pembaca secara umum. Persuratan Baru (seterusnya PB) pada umumnya masih baru kepada golongan yang dimaksudkan, walaupun PB sudah mempunyai korpus yang agak mencukupi untuk difahami, terdiri daripada karya-karya saya sendiri, tulisan dan makalah Prof. Ungku Maimunah, Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani (beliau menulis tesis Ph.D. tentang PB, orang yang paling awal menggunakan kaedah ini), Dr. Adli Hj. Yaccob (UIA) dan lain-lain. Saya akan merujuk tulisan-tulisan ini dari semasa ke semasa untuk makluman para pembaca, yang saya harap akan merujuknya pula jika mereka berasa perlu berbuat demikian. Buat sementara waktu, pembaca tidak diberi laluan untuk menulis komen, pandangan, kritikan dan lain-lain. Hanya untuk sementara waktu, sehingga wujud kefahaman yang mencukupi untuk berbuat demikian (yakni memberi komen dll). Biarlah kita mulai perbincangan dengan kefahaman yang betul, supaya tidak membuang masa menulis tentang sesuatu yang tidak difahami atau yang tidak mempunyai maklumat yang mencukupi.
Mohd. Affandi Hassan
12/6/2010