Kesimpulan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh bahawa sudah berpuluh tahun kita menggunakan teori dan pendekatan Barat dalam menilai karya-karya kita adalah satu kesalahan besar, yang dilakukan olehnya sendiri. Oleh sebab beliau tidak memberikan contoh yang boleh dijadikan panduan untuk menilai kebenaran pendapat beliau, maka kita tidak ada pilihan lain selain membuat kesimpulan kita sendiri bahawa pandangan beliau itu tidak tepat, bertentangan dengan kenyataan yang berlaku sekarang. Ini bererti, kita memang perlukan teori dan pendekatan Barat kerana hanya dengan berbuat demikian sahaja kita dapat menilai karya kreatif dan analisis akademik kita dengan objektif, tepat, dan sesuai dengan konsep kesusasteraan yang kita pegang selama ini (sudah melebihi 80 tahun, hampir satu abad). Bukti paling baru betapa benarnya kesimpulan ini ialah projek Akademi Sastera (sejenis Akademi Fantasia dalam kegiatan akademik Malaysia) yang diadakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Akademi Melayu, Universiti Malaya baru-baru ini. Dalam projek itu, pelajar sastera yang terdiri daripada anak-anak muda yang mengambil mata pelajaran sastera di universiti diasuh untuk menjadi pengnalisis dan pengkritik sastera. Untuk menjayakannya, hanya teori dan kaedah Barat saja dibenarkan. Dalam konteks ini, gagasan Persuratan Baru tidak saja diketepikan dengan agak angkuh, dianggap sebagai kaedah analisis yang tidak objektif dan bertentangan dengan ciri-ciri kesusasteraan Melayu yang diterima pada waktu ini. Adakah pendirian mereka, para ahli akademik kita yang menjadi “pengasuh” para pengkritik muda ini termasuk dalam kesalahan yang dimaksudkan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh? Saya kira tidak termasuk dalam kesalahan yang dimaksudkan beliau, malah dari segi logiknya gagasan Persuratan Baru mesti ditolak untuk menjaga keutuhan teori dan kaedah Barat yang menjadi pegangan ahli-ahli akademik dan para sarjana kita. Jika anda membaca buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka seperti (untuk memberi sedikit contoh) Rangkaian Pemikiran dalam Karya Sastera (2006), Pemikiran Sasterawan Negara S. Othman Kelantan (2004), Persuratan dan Peradaban Nasional (2006), Pemikiran Sasterawan Negara Usman Awang (2006), Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau (2005), semua laporan penilaian Panel Anugerah Sastera Negara selama tiga puluh tahun ini, dan lain-lain terbitan DBP dalam bidang ini, anda akan yakin bahawa apa yang disebut dan dimaksudkan sebagai “kesalahan” oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh itu sebenarnya aliran perdana yang dipertahankan oleh beliau sendiri. Sebagai bukti, Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang berkali-kali duduk sebagai anggota Panel Anugerah Sastera Negara (termasuk yang terbaru), tetap meneruskan amalan yang dikatakan beliau “kesalahan” berpuluh tahun itu. Ini sudah sewajarnya begitu, tidak boleh dielak. Tetapi kita boleh melunakkan “kesalahan” itu dengan memanggilnya “kesilapan” saja. Orang yang sedar telah berbuat salah, tetapi terus melakukannya, adalah orang munafik, menurut ajaran Islam. Dia seorang yang degil dan penakut, oleh itu dia berlagak angkuh, tidak mahu tunduk kepada kebenaran kerana dia tidak tahu apakah kebenaran itu. Tetapi jika dia hanya melakukan kesilapan, maka dia boleh meneruskannya, artinya dia tidak dianggap mengaibkan untuk meneruskan kesilapan yang disedarinya. Dalam politik Malaysia, perkara ini sudah dibudayakan, demikian juga dalam sastera. Inilah yang dinamakan aliran perdana itu. Oleh sebab gagasan Persuratan Baru (PB) tidak termasuk dalam aliran perdana, hanya berada di pinggiran dalam dunia akademik Malaysia, maka secara logiknya PB mesti dicampakkan, tidak boleh diterima dalam aliran perdana tadi. Pendirian ini betul, dan sudah semestinya begitu; kerana jika diterima dalam aliran perdana, maka lenyaplah identitinya sebagai gagasan yang mencabar kepalsuan aliran perdana tadi. Jika anda dengan penuh semangat menjeritkan, “kita mesti campak teori Barat, ganti teori kita sendiri”, kita mesti bebaskan diri kita daripada belenggu pemikiran Barat, maka anda akan disorak dan diejek oleh teman-teman anda, dianggap kurang siuman kerana “ada hati” hendak membuang sesuatu yang sudah menjadi darah daging sastera Melayu moden. Oleh itu anda harus tunduk saja kepada pengaruh Barat, berfikir cara Barat, menganalisis dan menilai karya sastera Melayu berpandukan kaedah Barat. Inilah yang dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Kita akan bincang perkara ini lebih mendalam nanti.
Mohd. Affandi Hassan, 19/6/2010.
No comments:
Post a Comment