Sanjungan dan pujian Panel 1991 terhadap kemampuan berfikir dan kemampuan akademik Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, Sasterawan Negara yang diberi gelaran Tokoh Akademik Malaysia, seolah-olah tidak ada dan tidak akan lahir lagi selepas beliau seorang tokoh akademik sehebat dan sebesar Muhammad Hj. Salleh. Semua ini boleh dibaca dalam Laporan 1991, di bawah tajuk “Teori Sastera” (hal. 31-42). Pembinaan mitos ini tentulah amat menyusahkan “yang empunyai diri” apabila mitos yang dibina itu dirobohkan satu persatu dalam karya akademik Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sendiri, yang tidak boleh berdiri gagah mempertahankan diri dalam pencak silat kritikan yang tidak mahu meremehkan ilmu dan kemampuan intelektual yang tinggi. Panel 1991 menegaskan betapa teliti dan halusnya kerja-kerja akademik Muhammad Hj. Salleh; tetapi Prof. Mokhtar Abu Hassan mempunyai pendapat yang berbeza. Walaupun beliau memuji usaha Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, tetapi beliau berasa kesal kerana profesor itu tidak teliti dalam kerja-kerja akademiknya. Prof. Mokhtar Abu Hassan memberikan senarai yang agak panjang di bawah tajuk “Keresahan”, dengan pendahuluan yang menarik: “Meneliti kembali raut wajah Muhammad Haji Salleh yang menjadi model kulit hadapan bukunya itu, terlihat keresahan dalam jiwanya. Keresahannya itu lantaran tergesa-gesa dan ketidaktelitiannya dalam menghasilkan buku berkenaan yang dapat diperlihatkan dalam beberapa eseinya ...”, diikuti dengan senarai yang disusuli dengan komentar yang menarik. (Huruf condong ditambah). Prof. Mokhtar juga menegur Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh kerana tidak teliti dalam ejaannya, suatu perkara yang mungkin tidak terjadi dalam esei-esei pelajar tahun empatnya yang dibanggakan beliau. Kesalahan ejaan ini sudah lumrah dalam kerja-kerja akademik profesor ini, dan ini amat merimaskan kita kerana perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam kerja akademik tokoh yang bertaraf tinggi sepertinya. Dalam kertas kerja beliau dan rakan-rakannya yang berjudul, “Kritikan Sastera Malaysia dan Beberapa Saranan”, terdapat banyak salah eja nama-nama pengarang terkenal di samping kesalahan lain-lain yang tidak dibetulkan dalam buku yang dicetak. Muhammad Hj. Salleh dengan bahasa yang sopan menempelak pengkritiknya: “Jikalau Mohd. Affandi seorang yang beretika beliau akan menunggu dahulu karya itu diterbitkan” (Berita Minggu, 1 Januari 1984). Ahli akademik kita yang gopoh dan tidak teliti tidak seharusnya meletakkan kesalahan dan keselekehan kerja akademik mereka ke atas kepala orang lain yang membacanya; malah kesopanan akademik begini, dengan perasaan hormat kepada pembaca untuk tidak menyodorkan kepada mereka kerja-kerja yang selekeh dan kaya dengan kesilapan yang dengan mudah dapat dibetulkan, seharusnya sudah dijadikan amalan ilmiah yang tidak perlu dipersoalkan lagi. Akan menjadi lebih biadab dan tidak sopan jika sekiranya yang tercetak di dalam buku sama saja dengan yang terdapat dalam kertas kerja yang selekeh tadi yang didakwa masih draf, oleh itu tidak boleh dibincang isinya. Mohd. Affandi Hassan tidak perlu menunggu hampir tiga tahun sebelum kertas kerja yang tidak dibetulkan itu diterbitkan untuk menulis kritikan beliau. Seorang ahli akademik yang mempunyai kesopanan akademik yang tinggi dan tidak angkuh, tentulah dengan senang hati membuat pembetulan dan pengemasan sewajarnya apabila kertas kerjanya diterbitkan. Kesopanan akademik ini perlu difahami dan dijadikan amalan dalam penulisan yang serius, tidak dihadkan kepada pelajar tahun empat sahaja seperti yang dibanggakan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh. Beliau sendiri harus mencuba menghasilkan tulisan yang jauh lebih baik daripada murid tahun empatnya. Oleh itu syarahan perdana beliau bertajuk, Puitika Sastera Melayu: Satu Pertimbangan (Bangi, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 1989; edisi ke-2 1992) perlu dikemaskini dengan memasukkan pembetulan di sana sini supaya pembaca tidak terus keliru. Sebagai contoh, beliau harus dapat membezakan istilah estetika dalam persuratan Melayu dan istilah teologi dalam Islam, yakni perbezaan antara “gharib” dan “ghaib” yang di dalam syarahan perdana beliau disamakannya. Selanjutnya untuk melihat beberapa persoalan lain yang penting, sila rujuk tulisan saya, Medan-medan Dalam Sistem Persuratan Melayu: Sanggahan Terhadap Syarahan Perdana Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh (Kota Baharu, 1994. Diterbitkan pertama kalinya dalam Dewan Sastera, Mac-Julai 1991).
Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh seolah-olah menghadapi masalah kognitif apabila beliau tidak dapat membezakan antara kriteria seorang pengkritik dengan kriteria dalam kritikan sastera. Kriteria dalam kritikan sastera merujuk kepada ukuran yang digunakan ketika menilai sesebuah karya, misalnya ukuran yang dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara yang menolak adanya matlamat dan tujuan dalam karya cereka seperti novel, tidak perlunya perutusan yang jelas, tidak perlu ditonjolkan aspek moral, tidak diizinkan hadirnya apa juga bentuk khutbah dalam karya kreatif, dan perlunya peniruan yang kreatif, dan pentingnya mengikut aliran tertentu sebagai panduan. Tulisan Muhammad Hj. Salleh yang diulas oleh Dr. Ramli Isin itu ditulisnya dalam tahun 1973 sebagai kertas kerja “Seminar Kritik Sastera”, Johor Bahru, 1973. Kertas itu sudah patut disemak semula, dibaiki dan dikemaskini sebelum diterbitkan semula dalam kumpulan tulisan beliau; tetapi seperti yang ditunjukkan oleh Prof. Mokhtar Abu Hassan, beliau agak gopoh dan tidak menampilkan ketelitian seorang sarjana untuk bersedia membaiki tulisannya itu. Ini bertentangan dengan kesimpulan dan pujian Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka yang memuji ketelitian Muhammad Hj. Salleh.
Dalam buku yang sama, Dr. Ramli Isin menegur Muhammad Hj. Salleh kerana terlalu memuji sahabat baiknya, Baha Zain. Dengan nada kesal, Ramli Isin meluahkan “kritikan halusnya” dengan berkata, “kritikan Muhammad Haji Salleh terhadap ketokohan Baha Zain dan karya puisinya itu, ada kalanya visi terhadap penyair tersebut terlalu sempurna dan, memberikan sanjungan tanpa melihat sebarang kecacatan.” Saya kira tidak salah untuk Muhammad Hj. Salleh melihat kesempurnaan tanpa kecacatan dalam karya Baha Zain, jika karya beliau memang sempurna. Lagi pula, tidak salah memuji kawan yang kita suka, asal saja kita tidak pula mengutuk musuh yang kita benci, seperti yang mungkin berlaku ke atas Mohd. Affandi Hassan yang dituduh “tidak beretika” dan “tidak tahu sastera dan kritikan sastera” tetapi masih menulis tentang “sastera”. Nabi SAW sendiri memuji sahabat baginda, untuk menyerlahkan kehebatan dan keistimewaan para sahabat baginda. Tentulah Muhammad Hj. Salleh telah melakukan sesuatu yang terpuji, jika beliau mengikut Sunah Nabi dengan memuji sahabatnya pula. Tidakkah Baha Zain itu istimewa bagi beliau? Kalau bukan begitu, tentulah sia-sia beliau mempersembahkan sajak “Pulang Si Tenggang” kepada Baha Zain, supaya kita semua tahu kedua-duanya adalah Si Tenggang moden yang “telah belajar menjadi kurang ajar” dalam cara masing-masing. Inilah dua orang tokoh yang menjadi Hang Tuah dan Hang Jebat moden dalam budaya Melayu. Siapa yang menjadi Hang Jebat tidak penting kerana kedua-duanya sudah “belajar menjadi kurang ajar”. Dr. Ramli Isin mungkin melihat perbuatan Muhammad Hj. Salleh itu tidak objektif, terlalu memihak, padahal beliau selalu berpesan supaya ahli akademik dan pengkritik tidak bertindak begitu. Baha Zain juga memberi pesanan yang sama dalam banyak tulisannya. Soal objektif atau tidak objektif ini menjadi cabaran besar kepada ahli akademik dan pengkritik sastera, kerana di situlah kemantapan ilmunya dan kejujurannya sebagai seorang ahli akademik diuji. Sesiapa juga yang tidak lulus ujian ini akan menjadi sampah akademik yang tidak dihormati, tetapi dibiarkan wujud untuk menjadi peringatan supaya tidak ada yang mencontohi tokoh yang demikian. Menyedari hal inilah Dr. Ramli Isin menurunkan semula beberapa petua yang diberikan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh bagaimana hendak menjadi pengkritik sastera yang baik dan berwibawa (hal. 28-30). Dr. Ramli Isin menurunkan beberapa petua yang baik untuk diturunkan di sini sebagai peringatan: “Kriteria pertama ialah tenang, adil, tidak prasangka, teliti, dan menyeluruh sewaktu memberikan kesan peribadinya terhadap sesebuah karya sastera yang dikritiknya. ... Seseorang pengkritik [tidak boleh cepat] berang, penuh prasangka terhadap bahan atau tokoh yang dikritik, dan tidak sanggup pula bersikap kritis dan saksama terhadap karya sastera yang menonjolkan idea atau teknik penceritaan yang kontroversial, ... Seseorang pengkritik jangan mudah bertolak ansur dan mudah ‘dirayu simpatinya dan dibeli’ oleh pihak tertentu. ... Seorang pengkritik yang tulen mestilah mempunyai pendirian yang tegas dan berpegang pada prinsip dan gagasan kritikan yang sebenar. [Tidak boleh] Melonggarkan konsep dan kriteria kritikan kepada kawan atau kroni, di samping memuji dan menyanjung secara keterlaluan, tetapi mengetatkannya terhadap karya musuhnya” (hal. 28-29; dan banyak lagi.) Walaupun petua ini ditujukan kepada pengkritik, tidak kepada ukuran yang dipakai untuk menilai sesuatu tulisan (kreatif mahupun kritikan atau esei), namun nasihat profesor ini tidak salah untuk diikuti; juga tidak menjadi sesuatu yang mengaibkan jika tidak diikuti. Lebih wajar dan lebih bermanfaat jika kerangka analisis yang disediakan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dipelajari dengan mendalam dan dijadikan panduan dalam kerja-kerja yang bersifat keilmuan. Tiga perkara yang dihuraikan dengan mendalam oleh beliau, yang menjadi punca kemelut umat Islam dan golongan akademik, iaitu: keliru dalam memahami konsep ilmu; hilangnya adab; dan munculnya para pemimpin palsu dalam segenap bidang kehidupan manusia. Ketiga-tiga aspek ini dicerminkan dengan baik oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam sajak-sajaknya dan juga dalam tulisan akademiknya. Dalam syarahan perdananya (Puitika Sastera Melayu: Satu Pertimbangan), beliau menegaskan seniman Melayu tidak pernah berdiri sendiri, terpisah dari seniman-seniman yang mendahuluinya atau yang sezaman dengannya; oleh itu, “jikalau dia ingin memberontak maka pemberontakan harus dilakukan di dalam sempadan tradisi, dengan perlahan, halus dan akhirnya masih menyumbang” (hal. 19). Jikalau pemerhatian beliau itu benar, maka beliau sendiri tidak boleh menerimanya, kerana beliau telah “melanggar” tradisi itu dengan menjadikan Si Tenggang anak derhaka itu sebagai model beliau yang diterima baik oleh Panel Anugerah Sastera Negara, dijadikan ukuran penting dalam pelantikan beliau sebagai sasterawan negara. Dalam tradisi Melayu, cerita Si Tenggang itu menjadi lambang anak derhaka, oleh itu sesiapa juga yang kenal tradisinya tidak berminat menjadi Si Tenggang dalam konteks apa sekalipun. Tidak ada kemegahannya, malah kutukan keras sepanjang masa.
Laporan 1991 memang kaya dengan pujian dan gaya yang bombastik, tetapi tandus dari segi makna kerana gagal menonjolkan ketokohan Muhammad Hj. Salleh sebagai seorang sasterawan dan ahli akademik yang jempolan. Pembinaan mitos yang dilakukan dengan gigih dan bersungguh-sungguh oleh Panel 1991 hanya berjaya mengelirukan pembaca yang tidak kritis. Di sinilah Laporan 1991 menonjolkan sikap anti-ilmu yang amat ketara, walaupun cuba diselindung dengan kata-kata manis memuja-memuji. Pembaca dan peneliti yang tidak terikat kepada syarat (apa pun juga syarat itu), akan mendapati kesimpulan lain sama sekali, berasaskan penilaian yang lebih masuk akal dan lebih adil kepada Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dan kepada tuntutan akademik. Contoh paling mudah, yang diberikan oleh seorang sarjana, Prof. Dr. Zawiah Yahya, yang bersimpati dengan Muhammad Hj. Salleh dan menjadi editor sebuah buku sanjungan terhadap beliau, yang menulis dalam tahun 2003, mengaku bahawa “teori” sastera Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh belum diuji dalam kajian ilmiah, sama ada di peringkat sarjana atau kedoktoran. Beliau melakarkan tiga peringkat pembinaan “teori”: peringkat pertama pemerian (description); peringkat kedua penjelasan (explanation); peringkat ketiga ramalan (prediction). Gagasan Persuratan Baru dalam hal ini mendapat perhatian yang agak baik, dengan munculnya tesis kedoktoran oleh Mohd. Zariat Abdul Rani dan beberapa tesis sarjana, oleh itu nampaknya ketiga-tiga peringkat pembinaan “teori” yang disebut oleh sarjana tadi sudah selamat (?) dilalui oleh gagasan Persuratan Baru, dengan hasil yang memuaskan. Malah Dr. Mohd. Zariat dalam analisisnya tentang novel Melati Kota Bharu yang ditulis oleh Abdul Kadir Adabi sebelum perang, menunjukkan bahawa novel itu boleh difahami dengan lebih mudah dan lebih mendalam jika dinilai daripada perspektif Persuratan Baru. Saya sendiri tidak cenderung untuk menerima Puitika Sastera Melayu: Satu Pertimbangan sebagai “teori” sastera. Pendapat Prof. Dr. Zawiah Yahya bahawa buku itu mengemukakan sebuah “teori” pada tahap kedua tidak boleh diterima, tidak tepat serta mengelirukan. Syarahan perdana itu hanya satu ringkasan daripada hasil “penyelidikan” yang diterbitkan dalam tahun 1988. Pada faham saya, sebuah “teori” kritikan atau “teori” sastera harus dapat digunakan untuk menilai secara kritis sesuatu karya, yang dengan menggunakannya kita dapat memahami dengan lebih mendalam karya tersebut. Jika sekadar untuk diberitahu bahawa karya tersebut mempunyai ciri-ciri yang disenaraikan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh di bahagian akhir bukunya (hal. 34-35), maka kita hanya mendapat satu senarai, tetapi senarai itu bisu, tidak dapat membantu kita menilai karya tersebut. Misalnya, ambil saja aspek didaktik yang masuk senarai. Jika ini diterima sebagai satu kriteria, maka seluruh penilaian Panel Anugerah Sastera Negara akan terbatal, tidak boleh dipakai, kerana dalam laporannya, inilah ukuran yang paling dibenci, yang bersamanya mengekor teknik khutbah yang ditolak bulat-bulat oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Mungkin Panel Anugerah Sastera Negara sendiri sedar akan hal ini, oleh itu mereka tidak berminat menggunakannya (yakni, Puitika Sastera Melayu) dalam analisis mereka ketika menilai para sasterawan negara selepas Muhammad Hj. Salleh, dengan itu menafikan sendiri kehebatan Muhammd Hj. Sallaeh sebagai seorang sarjana dan pemikir unggulan yang mereka puji-puji; tetapi secara sipi-sipi dan tidak tepat mereka mencuba menggunakan gagasan Persuratan Baru, walaupun hanya dengan menyebut namanya saja (yang salah, iaitu Persuratan Baru Melayu), bukan menjadikannya asas penilaian mereka. Adakah mereka bersikap anti-ilmu atau terlalu angkuh untuk tidak menerima “teori” Muhammad Hj. Salleh (yang mereka puji begitu tinggi dan bersungguh-sungguh) dan gagasan Persuratan Baru (walaupun sudah terbukti kemampuannya secara akademik), hanya mereka sendirilah yang boleh menjawabnya. Kejujuran akademik adalah salah satu perkara yang amat sukar didapati di Malaysia, seperti yang saya huraikan dalam kertas DAMAI tempoh hari. Lebih mudah mendapat sanjungan tanpa bukti, atau kutukan peribadi bersifat fitnah daripada penilaian kritis dan jujur yang boleh dipertahankan secara ilmiah. Dalam konteks ini, saya akan bahaskan dua panel lain yang membuat keputusan yang pelik dan tidak masuk akal.
Dalam hubungan ini, kita patut memberi perhatian kepada beberapa pandangan kritis dan jujur itu, untuk mendapat perspektif lain yang lebih masuk akal. Gesaan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh supaya sasterawan dan pengkritik menerima teori Barat untuk dipakai bagi memperkaya indera sastera mereka, nampaknya tidak boleh diterimanya jika terkena ke atas dirinya. Inilah pandangan Prof. Md. Salleh Yaafar mengenai perkara ini: “Di negara kita sendiri bukti bahawa pengarang tidak mati baharu saja sama-sama kita saksikan. Iaitu apabila Muhammad Haji Salleh mengatakan Mohd. Affandi Hassan memberi gambaran yang salah tentang tulisannya dan pendiriannya. Adalah menarik dicatat di sini bahawa Muhammad Haji Salleh pernah mengajak pemikir sastera di Malaysia belajar daripada Derrida.” Semuanya mesti mengikut kehendak beliau, dan tidak seorang pun boleh membuat tafsiran sendiri-sendiri kerana keupayaan itu hanya berada di tangannya sebagai seorang tokoh besar sastera.
No comments:
Post a Comment