Apabila konsep kesusasteraan dibawa masuk ke dalam dunia penulisan moden di kalangan orang Melayu, maka konsep persuratan diketepikan dan dipandang rendah, diberi makna yang sempit. Menurut takrif para sasterawan, persuratan tidak kena mengena dengan penulisan kreatif, oleh itu persuratan hanya dikerjakan oleh orang-orang yang tidak kreatif, yang rendah tarafnya kerana mereka tidak boleh berkhayal untuk mencipta novel, cerita pendek, sajak dan sebagainya. Bahasa persuratan tidak indah, tidak mencuit perasaan seni pembaca, kata mereka. Bahasa persuratan adalah bahasa yang kaku, bahasa yang tidak menyentuh perasaan pembaca. Tidak ada keindahan estetik, kerana yang diutamakan hanya memberikan fakta. Dengan itu fakta juga diletakkan di tempat rendah, sebagai sesuatu yang tidak berupaya menyentuh perasaan seni pembaca. Dengan itu kebenaran tidak dipentingkan, kerana yang utama ialah menyerlahkan khayalan dalam cerita-cerita rekaan yang boleh ditafsirkan sesuka hati pembaca. Semakin kaya tafsiran itu, semakin tinggi nilainya sebagai karya kreatif. Dengan itu khayalan diletakkan di tempat yang tinggi, sebagai ukuran utama dalam menentukan keindahan hasil sastera, yang tidak ada pada hasil persuratan. Dengan takrif seumpama ini, maka sastera menjadi ukuran kecerdikan penulis: semakin sukar difahami, semakin banyak tafsiran yang boleh diberi, semakin istimewa penulisnya. Tetapi di sinilah juga timbul kontradiksi, seperti yang diperlihatkan dalam analisis yang dibuat oleh Dr. Mohd. Zariat dalam tesisnya, juga dalam analisis yang dipaparkan di sini. Yang terserlah adalah sebaliknya. Bukan kecerdikan atau kemampuan ilmiah yang tinggi yang ditonjolkan, tetapi hanya kecetekan dan kekeliruan yang begitu maharajalela sehingga apa yang dikatakan “sastera itu indah” menjadi sebaliknya. Style tidak memberi makna mendalam dalam konteks kebijaksanaan berasaskan ilmu yang benar. Style yang dikatakan menjadi ukuran keindahan sesebuah karya sastera ternyata hanya menjadi hiasan luaran yang cetek maknanya, dan sering kali kasar pula cara persembahannya. Apakah yang terjadi kepada konsep keindahan itu? Tidak lain hanya satu mitos yang dipopularkan oleh para sasterawan untuk meletakkan mereka di atas dalam hierarki para penulis, untuk membolehkan mereka mendapat faedah dan kedudukan terbaik. Di sinilah terjadi kekeliruan besar yang tidak diberi perhatian sehingga munculnya gagasan Persuratan Baru, yang mula meneliti mitos ini dan memberinya konteks ilmiah yang boleh dicabar kesahihannya oleh sesiapa juga yang tidak bersetuju dengan gagasan itu.
Dengan gagasan Persuratan Baru ini, dihidupkan kembali konsep dan praktik persuratan seperti yang difahami dan dipraktikkan dalam tradisi Islam dan kebudayaan Melayu selepas Islam, yang telah melahirkan beribu ulama, pendeta, ahli fikir, penulis, ahli syair, penulis hikayat, ahli sejarah dan sebagainya. Kekayaan ilmu dan kebijaksanaan bangsa Melayu berada dalam tradisi persuratan itu, bukan dalam kesusasteraan yang dibanggakan sekarang. Tradisi persuratan Islam dan Melayu diasaskan keseluruhannya kepada konsep ilmu yang betul, bukan hanya menumpukan perhatian kepada aspek hiburan seperti yang digambarkan dalam hasil-hasil kesusasteraan. Apabila persuratan itu ditolak, dengan memberi kedudukan tinggi kepada kesusasteraan, maka hilanglah kekayaan ilmu dan kebijaksanaan bangsa Melayu, diganti dengan kekerdilan isi dan kekeliruan nilai yang dibawa oleh para sasterawan ke dalam hasil-hasil karya mereka. Gagasan Persuratan Baru berusaha mengembalikan ilmu dan kebijaksanaan dalam tradisi penulisan Melayu moden dengan mengasaskan setiap penulisan kreatif kepada konsep ilmu yang betul, menjadikan taklif sebagai panduan berkarya, dan menyerlahkan kebijaksanaan tadi melalui siratan makna (stylization of ideas) seperti yang dicontohkan dalam kisah Nabi Yusuf ‘a.s. yang disebut oleh al-Quran sebagai “kisah yang paling sempurna, paling baik” (12:3) tidak saja kerana diwahyukan kepada manusia, tetapi juga kerana siratan maknanya yang mendalam yang mengandungi kebijaksanaan tentang hakikat insan, hakikat amal, dan hakikat ceritera untuk dicontohi manusia.
Tiga sifat sastera yang disepakati oleh para sasterawan ialah keutamaan kepada perasaan atau emosi, yang dicapai melalui naratif yang dilebih-lebihkan (khayalan kreatif), dan tumpuan kepada aspek kejahatan dalam kehidupan manusia. Dalam tradisi Barat, janru (istilah Jepun untuk genre yang sesuai dipakai dalam bahasa Melayu) tertinggi dalam sastera mereka ialah tragedi, paling rendah komedi. Dalam tragedi, manusia jatuh atau musnah kerana kesilapannya melakukan sesuatu “kejahatan” yang bertentangan dengan kekuasaan raja-raja, atau kerajaan. Keseronokan didapatkan daripada menonton drama tragedi atau membaca karya yang bersifat tragedi itu: manusia yang jatuh itu memberikan keseronokan kepada penonton atau pembaca. Inilah puncak emosi, yang kata Aristotle boleh dileraikan dengan kesudahan buruk kepada manusia yang jahat (yang mesti tokoh penting, atau orang besar, baru timbul kesan tragedinya). Tragedi menjadi tema utama dalam karya-karya sastera Melayu moden dan dalam penilaian sastera, kerana itu sebuah novel picisan seperti Salina diangkat menjadi karya ulung kerana kesan tragedi para wataknya, terutama watak utamanya. Dalam Ranjau Sepanjang Jalan pun begitu; seterusnya dalam drama Matinya Seorang Pahlawan oleh Usman Awang. Dalam ketiga-tiga karya agung tiga orang sasterawan negara ini, aspek emosi itu dijadikan ukuran untuk menentukan nilai karya, kerana itu “penderitaan” manusia lebih diutamakan daripada kejahatan (dalam Salina dan Matinya Seorang Pahlawan) dan kebodohan (dalam Ranjau Sepanjang Jalan) mereka. Pemilihan watak dan pengolahan yang digunakan menyekat wujudnya aspek kebijaksanaan dalam karya sastera Melayu. Inilah sifat sastera Melayu yang dipraktikkan di Malaysia.
Berbeza dengan persuratan, yang diasaskan kepada ilmu, yang dikembangkan melalui wacana (bukan cerita melulu, walaupun cerita tidak diabaikan sama sekali), kerana yang dituju ialah kebaikan dari segi ajarannya, atau kebijaksanaan. Seperti yang diceritakan oleh al-Quran tentang Nabi Yusuf ‘a.s., walaupun baginda dibuang ke dalam telaga, dijual dengan harga yang sangat murah, digoda oleh perempuan cantik, dipenjarakan, kemudian dijadikan penguasa (Al-Aziz) di Mesir, dipertemukan dengan ayahanda baginda dan adik beradiknya, dijadikan saudaranya yang melakukan kejahatan terhadapnya menceritakan sendiri kejahatan mereka dan memohon maaf, dan dimaafkan, kita lihat betapa manusia diajar menjadi bijaksana, kerana yang ditujukan cerita ini ialah akal sihat, bukan emosi manusia. Mengapa kisah ini tidak boleh dijadikan panduan untuk menulis karya kreatif? Dalam novel Pujangga Melayu, ketiga-tiga aspek itu dijadikan asas untuk menulis sebuah naratif tentang pendidikan seorang pengarang, dan bagaimana pengarang itu meletakkan dirinya dalam masyarakat. Bahawa beliau adalah seorang profesor, seorang mahaguru dalam bidangnya, mencerminkan peranannya yang sebenar sebagai seorang manusia yang bijaksana dalam menempuh kehidupannya sebagai manusia biasa, bukan manusia istimewa seperti yang selalu digambarkan dalam karya-karya sastera. (Sebagai contoh, Salina adalah seorang tokoh istimewa dalam novel Salina; demikian juga Lahuma dalam Ranjau Sepanjang Jalan.) Tidak ada yang luar biasa dalam tokoh utama Pujangga Melayu; yang agak luar biasa mungkin caranya menangani persoalan hidupnya secara bijaksana, sesuatu yang dapat dicapainya kerana kehidupannya diasaskan kepada pemahaman yang betul tentang konsep ilmu. Tidak ada konflik secara fizikal, tetapi amat kaya dengan konflik dalam aspek nilai yang mungkin tidak ketara, tetapi menjadi persoalan besar yang dihuraikan melalui wacana, sama ada dalam bentuk khutbah, dialog, atau perbahasan. Gagasan Persuratan Baru menjadikan wacana dalam bentuk-bentuk tersebut untuk melahirkan konflik nilai dalam masyarakat, yang tidak disedari kepalsuannya, kerana ditutup oleh kecetekan ilmu dan kejahilan manusia. Barangkali konflik yang paling hebat yang dialami oleh watak utama novel ini ialah permintaan ayahnya sendiri untuk mengembalikan kedudukan salah seorang anaknya yang mati dibunuh. Yang dititikberatkan oleh novel bukanlah perbuatan membalas dendam, tetapi dengan mendidik isteri si mati untuk menjadi seorang yang dikembalikan kepada kehidupan beradab mengikut lunas-lunas Islam. Akhirnya yang diutamakan ialah keluarga, bukan individu. Inilah beberapa prinsip kreatif yang dipakai untuk menulis karya persuratan, yang berbeza dengan karya sastera.
Satu konsep yang diperkenalkan kembali, jadi bukan konsep baru, ialah konsep siratan makna atau stylization of ideas. Dari segi strukturnya, sebuah karya persuratan dibina berasaskan konsep ilmu yang betul, yang di dalamnya dibincangkan tentang hakikat insan (supaya perwatakan diasaskan kepada konsep insan yang betul), hakikat amal (untuk memastikan perilaku manusia tidak yang bersifat hawa nafsu rendah seperti yang dilukiskan dalam karya-karya sastera), dan hakikat seni penulisan (kerana karya itu bersifat didaktik, bukan propaganda, yang menuju kepada kebijaksanaan). Tetapi dari segi kreatifnya seorang pengarang bebas menggunakan apa juga kekayaan bahasa yang dikuasainya, pengalaman ilmiah yang dipunyainya, kehalusan cita rasa yang didapatinya melalui pembacaan yang mendalam pelbagai khazanah persuratan dunia setiap zaman dan setiap tamadun manusia yang pernah wujud. Kerana itu siratan makna tidak dapat dirumuskan dengan tepat seperti pembicaraan tentang konsep ilmu. Siratan makna menjadi ujian kepada kemampuan ilmiah dan bakat yang dipunyai oleh pengarang. Di situlah dia akan menyerlahkan keupayaan kreatifnya, dengan memberi tafsiran yang mendalam kepada apa juga masalah masyarakat yang dipilihnya. Tetapi semuanya tidak akan terlepas daripada ikatan taklif. Menurut ajaran Shah Wali Allah, rahsia taklif (sirrul-taklif) itu merujuk kepada kesempurnaan manusia yang semula jadi, untuk mencapai tiga perkara atau matlamat kehidupannya: keadilan, ilmu pengetahuan, dan ikhtiar dan usaha (dihuraikan oleh Sheikh Abdullah Nuh dalam kitabnya, Semangat Perajurit-perajurit Islam, tt., mungkin 1940?). Melalui konsep siratan makna, yang didasarkan kepada konsep ilmu yang betul dan konsep taklif, seorang pengarang akan berupaya menulis karya persuratan yang mencerminkan tiga aspek makna taklif tadi. Tidak mungkin sesiapa pun memberitahu sang pengarang cara-caranya, atau teknik yang akan dipakainya, kerana semua itu menjadi cabaran ilmiah dan cabaran kreatif yang harus dilaluinya. Tetapi dengan berpandukan prinsip-prinsip umum yang diberikan, karya persuratan yang aneka ragam, yang kaya dengan kebijaksanaan pengarang, yang diadun dengan menggunakan siratan makna yang diperolehinya sendiri melalui latihan dan pengalaman penulisan, akan dapat dicipta dari sekarang sehingga dunia kiamat, berbeza satu sama lain, tetap menarik dan boleh diterima oleh semua manusia seluruh dunia. Tidak ada orang yang menolak kecerdikan dan kebijaksanaan yang ingin dicapai melalui karya persuratan itu.
Para sasterawan dan sarjana Melayu sebenarnya sudah sedar bahawa tidak ada sebuah teori pun dari Barat yang universal, yang boleh digunakan untuk menghuraikan semua masalah sastera dan penilaiannya. Setiap teori hanya difokuskan kepada aspek tertentu, tidak menyeluruh, oleh itu tidak berupaya memahami masalah yang dihadapi oleh manusia. Ambil saja mana-mana teori yang anda tahu, nescaya anda akan sedar betapa terbatasnya teori itu. Yang lebih penting, dan lebih bermakna kepada sesiapa juga yang mendalam ilmunya, ialah kelemahan teori itu tidak dapat menjawab soalan: Apakah matlamat sebenar teori itu? Soalan demikian hanya dapat dijawab berasaskan epistemologi tertentu, dan tidak sebuah pun teori ilmu di dunia yang boleh memberi kepastian selain epistemologi Islam yang berasaskan konsep ilmu yang benar. Semua epistemologi yang dicipta manusia hanya membicarakan kehidupan dunia mereka yang terbatas, oleh itu bersifat parochial, tidak mungkin memahami erti kehidupan yang bermula dari tiada, kemudian ada, akhirnya tiada kembali. Ke mana perginya pada ketiadaan kedua itu? Apa pun juga teori yang anda gunakan, jika tidak berasaskan konsep ilmu yang benar, tidak akan dapat menjawab soalan mudah itu. Perhatikan maknanya dengan mengambil satu contoh yang diberikan oleh panel anugerah sastera negara ketika memuji keistimewaan novel Salina. Novel itu tidak mempunyai tema tertentu dan tidak pula mempunyai perutusan yang jitu. Di situlah terletak mutunya yang tinggi. Kita uji andaian dan kesimpulan ini dengan analogi yang mudah: Jika anda mempunyai kapal layar, penggunaan terbaik kapal itu ialah untuk hanyut di lautan, tanpa tujuan. Cara yang paling baik menggunakan kereta ialah merayau-rayau ke mana saja anda mahu, tiada tujuan jitu. Jika anda tulis surat, yang penting ialah bahasanya yang berbunga-bunga, bukan isi surat itu kerana surat yang baik wajib tidak ada tujuan apa-apa selain hanya untuk menulis surat, tak perlu dikirim kepada sesiapa pun. Dan seterusnya ... Tentu saja cara berhujah Laporan 1985 itu tidak masuk akal. Inilah corak umum yang digunakan oleh para penilai (termasuk laporan Panel Anugerah Sastera Negara) ketika memilih karya yang mereka anggap baik dan bermutu.[Analisis terperinci telah dibuat oleh Prof. Ungku Maimunah dalam syarahan perdana beliau dan dalam Dinamika Pemikiran Sastera Melayu; juga dalam makalah saya berjudul "Mengembalikan Peranan Ilmu Yang Benar Dalam Persuratan Melayu", yang akan terbit dalam buku yang diselenggarakan oleh Prof. Ungku Maimunah berjudul Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis (akan terbit Julai 2010].
Kita lihat pula bagaimana panel hadiah sastera 1992/93 menilai sebuah karya kritikan. Panel Hadiah Sastera 1992/93 menolak buku Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid berdasarkan pandangan luar seperti yang terjadi kepada Balqis. Panel yang terdiri daripada Aziz Deraman (pengerusi) dengan anggotanya Dr. Mohd. Yusof Hassan, Dr. Solehah Ishak, Dr. Shafie Abu Bakar, Dr. Othman Puteh, Dr. Sahlan Mohd. Saman, Prof. Rahman Shaari, Kamaruzzaman Abdul Kadir, Dr. Mohd. Khalid Taib, Dr. Abdul Rahman Napiah (aka Mana Sikana) dan Prof. Madya Hj. Abdullah Tahir, menolak buku itu dengan hujah berikut: “... [P]anel menemukan kecenderungan pengarang untuk mempersalahkan golongan tertentu dengan menggunakan ruang-ruang tersirat dengan cara yang kurang diplomatik. Pada bahagian awal lagi, iaitu di halaman 3 buku ini, pengarang telah mengatakan tiada usaha daripada orang lain untuk membezakan antara unsur-unsur Islam dalam karya sastera dengan sastera Islam sebagai satu disiplin dalam penulisan karya kreatif. ... Perbandingan yang dianggap tidak diplomatik ialah bahawa usaha yang terdahulu menyamai seorang laki-laki yang memakai pakaian Barat yang lengkap dan kemas, tetapi menaruh ketayap dan serban besar di kepalanya. Panel berpendapat, kata-kata demikian tidaklah menjadi masalah dalam penulisan esei biasa demi mencapai gaya dan membina identiti, tetapi tidak sesuai diaplikasikan dalam sebuah buku kritikan yang serius dan memuatkan ilmu.” (Dewan Sastera, Disember 1994, hal. 88).
Hujah ini menjadi sangat menarik apabila dibandingkan dengan hujah berikutnya, ketika panel memilih buku yang layak diberi hadiah. “Buku Teori dan Kritikan Sastera Melayu Tradisional karya Noriah Taslim berjaya menarik perhatian panel dengan adanya ciri-ciri seperti berikut: buku ini memuatkan sebelas esei yang kaya dengan idea, konsep, teori dan pendekatan; pengarang menilai semula kajian-kajian dan model yang terdahulu seperti yang dibuat oleh Propp, Bausani, Ingram, Bremond, dan lain-lain, dan menyesuaikan serta menerapkannya kepada Sastera Melayu Tradisional. ... Buku Teori dan Kritikan Sastera Melayu Tradisional ialah satu-satunya buku dalam tahun yang dinilai memperlihatkan kesungguhan menerapkan teori-teori Barat secara kritis dalam kesusasteraan Melayu Tradisional. ... [P]engarang menyebutkan bahawa pengaruh Barat mewujudkan paradigma baru, sehingga pemikiran partisipatoris pecah. Tradisi kritikan sastera Melayu tradisional bermula di sini.” (Dewan Sastera, Disember 1994, hal. 88. Penegasan dalam huruf tebal ditambah). Panel mengaku buku Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid itu baik isinya, tetapi tidak diplomatik, berasaskan tujuh ayat pertama dalam Pendahuluan buku itu. Oleh itu buku itu ditolak, tanpa membahaskan isinya "yang baik" tadi. Kumpulan bijak pandir ini telah membuat sejarah dengan menjadikan diplomasi sebagai satu ukuran penting dalam menilai karya kritikan. Inilah contoh terbaik aspek pandirisme yang saya maksudkan.
Bahawa anggota panel itu telah membuat penilaian yang cetek, tersasar jauh, dipengaruhi emosi yang dikuasai sikap anti-intelektual yang aneh, terbukti apabila buku kecil Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid diterima oleh Institute for the Study of Muslim Civilizations sebagai salah sebuah karya penting dalam kategori “Key Works Initiative” (Kumpulan Karya Utama) dalam projek bibliografi yang sedang diusahakan oleh Agha Khan University di London. Buku ini memenuhi kriteria karya yang “limited to works regarded by scholarly consensus as seminal or authoritative or revisionist or classic (or a combination of these). These will have helped to shape our understanding of the Muslim heritage and contemporary experiences, by expanding horizons, challenging received ideas, connecting previously unconneted phenomena, founding new methodologies or creating comparative perspectives.”
Bagaimana seharusnya karya-karya persuratan Melayu dinilai oleh masyarakat Melayu sudah mereka bayangkan dalam pantun-pantun mereka. Perhatikan maksud sebuah pantun Melayu yang berbunyi begini:
Banyak orang menyemat atap
Mari disemat kampung ulu;
Tuan umpama suratan kitab
Pagi petang baca tak jemu.
[Daripada Pantun Melayu, ed. R. J. Wilkinson & R. O. Winstedt, 1923: 186]
Mungkin inilah ukuran yang dipakai dalam persuratan Melayu asalnya, sebelum dinodai oleh nilai-nilai sastera: bahawa karya yang baik itu mempunyai nilai-nilai ilmu seperti isi suratan kitab, yang tidak jemu-jemu dibaca setiap masa. Yang indah dalam pantun ini ialah kaitan yang begitu halus antara percakapan yang berisi dengan “suratan kitab” yang mengandung ilmu. Kaitan itu semakin terasa keindahannya apabila peristiwa itu berlaku di kampung ulu, di kalangan manusia yang tidak terpelajar dan tidak mempunyai kepakaran dalam bidang sastera (atau bidang apa-apa), tetapi yang kaya dengan pengalaman. Semakin terasa kekuatan pantun ini apabila kita mengerti bahawa begitu banyak sekali omongan dan ocehan dikeluarkan oleh para pemegang ijazah tinggi, manakala orang kampung yang rendah saja pendidikannya, tidak tenggelam dalam idle talk, walaupun mereka ketika itu sedang mencucuk atap, sedang bersembang sesama sendiri sambil bekerja. Tersirat di sini ialah perasaan cintakan ilmu, hormatkan ilmu yang disimbolkan dalam istilah “kitab” dan “suratan”, yang tidak menjemukan walaupun berulang-ulang didengar atau dibaca. Di sini digambarkan betapa tinggi darjat manusia yang berisi percakapannya, yang berilmu, yang bercakap seperti “suratan kitab”, yang memberi nasihat, khutbah, dan bercerita untuk memberi teladan. Sikap cintakan ilmu dan hormatkan orang berilmu digambarkan lagi dalam pantun budak-budak yang masyhur:
Timang tinggi-tinggi
Sampai cucur atap;
Belum tumbuh gigi
Pandai baca kitab.
Di sini pun kitab dijadikan simbol ilmu dan simbol agama, simbol percakapan yang berisi dan dihargai tinggi, menjadi kemegahan masyarakat, dan anak-anak sejak kecil diajar adab berkitab itu. Tetapi bandingkan budaya idle talk yang menjadi kemegahan masyarakat akademik sekarang, dalam pantun yang telah disesuaikan daripada pantun budak-budak tadi:
Timang tinggi-tinggi
Jatuh atas tangga;
Sudah habis gigi
Belum faham Heidegger.
Saya telah membahaskan estetika pantun Melayu dengan ringkas dalam Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid, 1992: 73-74 (juga dalam Kesusasteraan Melayu: Mitos dan Realiti (Esei/Kritikan Hadiah Sastera Malaysia 1988/89, DBP 1994). Di sini saya ingin menegaskan lagi bahawa pembicaraan kita tentang pantun yang dipakai pada waktu ini tidak tepat menghuraikan struktur pantun Melayu, menghilangkan banyak rahsia keindahan pantun, terutama kepintaran pemantun Melayu yang pintar-pintar dan bijaksana. Saya mengemukakan istilah “gambaran alam” untuk menggantikan istilah yang dipakai sekarang “pembayang maksud” atau “sampiran”. Kedua-dua istilah yang dipakai secara rasmi dalam buku-buku sastera tidak tepat menggambarkan kepintaran akal pemantun dan keindahan hasilnya, dan bertentangan dengan makna tersirat dalam istilah itu yang menolak adanya hubungan kait-mengait antara “pembayang maksud” dengan “maksud sebenar”. Bagi dua baris kedua, saya cadangkan istilah “falsafah, matlamat, kesimpulan”, yang sudah cukup sempurna jika digunakan istilah “matlamat” saja untuk merangkumi maksud “falsafah dan kesimpulan” tadi. Dengan menggunakan istilah “gambaran alam” dan “matlamat”, kita tidak lagi mempersoalkan ada tidaknya hubungan antara dua baris pertama dengan dua baris kedua, kerana dari segi struktur dan makna, kedua-duanya memang berkait rapat dalam pantun yang baik dan indah. Dengan menggunakan istilah “gambaran alam” dan “matlamat”, maka pantun-pantun baru akan dapat dicipta dalam semangat dan struktur pantun lama seperti yang dicipta oleh orang Melayu dahulu; di samping itu keindahan dan kekuatan gambaran alam dalam pantun dapat dikekalkan, dan pengalaman empirikal tentang alam dapat dicantum dengan pengalaman ilmiah dalam “matlamat”, seperti jelas dalam pantun “suratan kitab”, pantun “buah langsat”, pantun “pisang emas”, pantun “Pulau Pandan”, dan lain-lain, yang sepatutnya menjadi ukuran ketika menilai pantun. Dalam pantun-pantun yang disebutkan itu, jelas sekali terdapat kaitan logik antara “gambaran alam” dengan “matlamat”, apabila dihuraikan dengan cermat berasaskan kefahaman mendalam tentang budaya Melayu dan seni pantun. Konsep “gambaran alam” ini memang menjadi ciri pemikiran manusia sejagat, seperti misalnya yang terdapat dalam haiku di Jepun. Tetapi hujah saya yang paling kuat ialah daripada sumber al-Quran sendiri. Cukup untuk disebut di sini bahawa ketika Nabi Daud ‘a.s. bertasbih, maka bukit dan gunung, burung dan haiwan, awan dan langit, pokok dan binatang, semua turut bertasbih. Gambarkan ini dalam akal jernih kita betapa indahnya simfoni alam dalam sahutan tasbih yang bergaung di gunung, melantun ke langit, singgah di lembah, dan sampai ke telinga manusia beriman yang tawaduk, lalu meresap ke dalam kalbunya. Pantun Melayu, pada fikiran saya, mengambil manfaat daripada ajaran al-Quran ini. Kenyataan ini masih benar walaupun mungkin pantun sudah wujud sebelum Islam bertapak di Kepulauan Melayu.
No comments:
Post a Comment