Sunday, June 13, 2010

Penilaian Berdasarkan Gagasan Persuratan Baru

Persuratan Baru (atau Genuine Literature dalam bahasa Inggeris, dengan ‘genuine’ itu merujuk kepada konsep ilmu yang benar) adalah satu kerangka analisis yang dengan mudah dapat diuji kesahihannya dan ketepatannya dalam menilai sesebuah karya kreatif, terutama sekali novel (walaupun boleh juga, dan memang dimaksudkan, digunakan untuk menilai janru selain novel). Dua unsur utama yang dipertentangkan ialah aspek wacana dan cerita dalam menilai sesebuah novel. Di bawah wacana termasuk logik, penghujahan, pembuktian, analisis, pembahasan kritis, huraian, pengolahan mendalam, dan lain-lain yang berkaitan dengan aspek argument dalam penulisan, termasuk penulisan kreatif. Sebuah novel adalah sejenis argument yang bercorak estetik kerana dibina melalui cerita yang memakai watak, dialog, ketegangan dan lain-lain unsur yang dikaitkan dengan pembinaan sebuah cerita yang menarik dan bermakna. Penggunaan yang berkesan kedua-dua unsur utama ini akan mencorakkan jenis karya yang akan terhasil nanti, sama ada hanya sebuah karya sastera, atau sebuah karya persuratan. Perbezaan ini penting kerana kedua-duanya tidak sama dari segi mutu, makna dan kebijaksanaan yang menjiwainya. Dengan “memproblematikkan” wacana dan cerita, sesebuah karya boleh diperiksa dan dianalisis dari paksi naratif yang digunakan dan dari ruang naratif dalam pembinaan karya itu, sama ada didominasi oleh wacana atau cerita. Huraian dan analisis menggunakan gagasan Persuratan Baru telah dilakukan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir ketika membicarakan novel Lorong Midaq oleh Nagib Mahfouz (dari Mesir), Salam Maria oleh Fatimah Busu dan lain-lain; manakala Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani pula telah menggunakan Persuratan Baru dalam analisis teks novel-novel Melayu pilihan untuk tesis Ph.D. beliau. Untuk memberi sedikit imbasan tentang penggunaan gagasan Persuratan Baru dalam analisis teks, di sini dipetik sekadarnya beberapa kesimpulan beliau dalam beberapa buah tulisannya. Pembaca yang berminat bolehlah meneliti tulisan-tulisan berkenaan yang boleh didapati dengan mudah.

Tentang novel Salina, Dr. Zariat berpendapat: “Adalah jelas daripada analisis ini bahawa tanpa perubahan terhadap paksi naratifnya, Salina akan tetap dilihat di sisi Islam sebagai sebuah novel yang ‘membela kejahatan’, dan justeru, pujian atau pengiktirafan terhadapnya akan tetap dianggap sebagai satu percanggahan dengan falsafah dan konsep kesusasteraan menurut Islam” (Jurnal Pangsura, Januari-Jun, 2006; hal. 223). Dalam pengertian yang diberikan oleh Dr. Zariat, “paksi naratif merujuk kepada pendirian novel terhadap perkara-perkara yang dipaparkan dalam cerita, yang sekali gus menyerlahkan pandangan, tanggapan serta kecenderungan novel terhadap perkara tersebut” (hal. 208). Dengan kata lain, kisah pelacuran dan perbuatan maksiat zina diperindah begitu rupa dalam novel ini untuk memenuhi maksud Samad Said: “Tidak mudah untuk menurunkan seluruh liku kisah cinta seorang pelacur berhati baik di tengah-tengah desakan akibat perang” (dikutip oleh Zariat, hal. 208).

Seterusnya kita lihat pula pandangan Dr. Zariat tentang TIVI: “Analisis terhadap novel TIVI menjelaskan bahawa matlamat untuk memberikan pengajaran melalui penonjolan azab Allah SWT telah digagalkan oleh pemilihan paksi naratifnya yang bertunjangkan pada soal ‘kejahatan seks’. Paksi naratif yang jelas bertentangan dengan uswah hasanah (contoh yang baik) ini, kemudiannya dilihat turut mempengaruhi soal penggemblengan ruang naratif novel, terutama apabila babak azab Allah SWT itu diletakkan pada bahagian penghujung novel. Ini menjadikan ruang naratif TIVI didominasi dengan isian-isian yang memaparkan kejahatan-kejahatan seks watak-wataknya, yang sekali gus menyebabkan nilai-nilai jahat begitu menonjol dalam cerita” (rujuk kertas kerja, “Antara Didaktisisme dan Cerita: Satu Analisis Perbandingan Antara Novel TIVI oleh Shahnon Ahmad dan Di Bawah Lindungan Ka’bah oleh HAMKA,” pada Simposium Kebudayaan Indonesia-Malaysia (SKIM) Ke IX; Bandung, 10-12 Mac, 2005.)

Ketika berbicara tentang Panrita oleh SN Arena Wati, Dr. Zariat membuat kesimpulan seperti berikut: “Analisis terhadap struktur naratif Panrita dengan jelas mengenal pasti dua pertimbangan yang diberikan perhatian oleh novel, iaitu memastikan cerita yang disajikan itu logik serta diterima pembaca; dan menyemarakkan lagi cerita dengan bumbu seks dan erotik. Apa yang ketara, kedua-dua pertimbangan ini jelas hanya menyumbang kepada penyampaian cerita, dan bukannya kepentingan idea/ilmu. Ini dengan sendirinya menjelaskan tentang keutamaan yang diberikan oleh novel terhadap ‘cerita’, berbanding ‘ilmu’. ... [K]eutamaan yang diberikan oleh Arena Wati ini dengan sendirinya tidak dapat meletakkan Panrita pada standard yang paling maksimum, iaitu fungsi novel sebagai wadah yang legitimate dalam menyampaikan idea/ilmu. Ini dengan sendirinya mencabar kedudukan dan keupayaan Panrita sebagai novel yang dapat memperkukuhkan (reinforced) pengiktirafan yang diterima oleh Arena Wati.” (Rujuk tulisannya, “Penggemblengan Paksi Naratif dan Ruang Naratif dalam Panrita karya Arena Wati: Satu Analisis Teks Berdasarkan Persuratan Baru”, Wacana Karya Abad 20, anjuran DBP, Langkawi, 19-21 Disember 2005). Novel yang dibicarakan itu ditulis selepas Arena Wati menerima gelaran sasterawan negara, dan dipilih sebagai salah sebuah novel paling bermutu yang dihasilkan dalam Abad 20.

Kesimpulan yang dibuat oleh Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani ini penting kerana huraian beliau yang berdasarkan gagasan Persuratan Baru itu boleh dicabar oleh sesiapa pun yang tidak bersetuju dengan kesimpulan itu. Yang penting di sini ialah kesimpulan beliau diasaskan kepada konsep ilmu yang benar yang menjadi dasar gagasan Persuratan Baru. Pada umumnya, para sasterawan dan sarjana sastera tidak menerima konsep ilmu yang benar itu, oleh itu bagi mereka konsep itu tidak relevan dalam penilaian sastera. Pandangan serupa ini disandarkan kepada konsep sastera yang difahamkan di Barat, yang memang memisahkan nilai-nilai agama dalam kehidupan moden yang dianggap tidak relevan; tetapi kesimpulan ini bercanggah dengan budaya Melayu yang menjadikan agama Islam sebagai asasnya. Maka itulah masalah ini penting dibahaskan dengan mendalam untuk mendapat kepastian bahawa penilaian sastera yang dibuat oleh ahli panel penilai selama ini tepat atau tidak dengan ciri utama budaya Melayu itu. Sebarang penyelewengan dari prinsip itu perlu didedahkan, dan diperbetulkan, jika perlu dengan kritikan yang paling keras sekali pun.

Tetapi yang lebih penting daripada perkara-perkara di atas ialah mengenai alat analisis yang dipakai oleh Prof. Ungku Maimunah dan Dr. Mohd. Zariat ketika menilai karya kreatif seperti novel. Mereka tidak lagi bercakap secara umum, yang sudah ketinggalan zaman dan tidak berkesan lagi, seperti penekanan terhadap tema, perutusan, perwatakan, bahasa dan gaya, plot, dialog, dan alat-alat lama yang sudah haus dari segi ketajaman analisisnya, tidak berupaya menggigit persoalan baru dan cara berfikir baru yang sudah jauh meninggalkan cara lama itu. Mereka menggunakan alat analisis yang tidak saja baru, tetapi tajam dan kuat untuk menggigit segala kepalsuan penilaian yang dibuat dalam cara lama itu. Mereka menggunakan konsep taklif, konsep wacana, konsep cerita yang dikontraskan dengan wacana, tentang paksi naratif, tentang ruang naratif, tentang isian cerita, tentang hakikat insan, hakikat ilmu dan amal, hakikat dan fungsi sastera, yang semuanya diasaskan kepada konsep ilmu yang benar. Dengan menggunakan alat-alat analisis yang baru, segar, tajam dan kuat untuk menggigit kepalsuan penilaian yang dilakukan selama ini, maka mereka dapat menghuraikan dengan tepat, jitu dan objektif aspek tema dan perutusan yang diberi penekanan oleh panel anugerah sastera negara misalnya, tetapi tidak memberi makna apa-apa selain hanya ujaran umum yang dihuraikan secara umum pula. Misalnya, dengan menggunakan alat analisis yang tajam tadi, dapatlah ditentukan apakah peranan tema dan perutusan dalam Salina yang ditegaskan oleh panel penilai sebagai tidak bertema dan tidak mempunyai perutusan jitu itu. Seperti yang disimpulkan oleh Dr. Zariat dalam analisisnya terhadap novel Salina, dengan menggunakan alat-alat analisis yang tajam dan tepat, beliau dapat melihat dengan jelas bahawa Salina adalah sebuah novel yang “membela kejahatan”. Itulah temanya, dan ini sesuai pula dengan pengakuan SN A. Samad Said sendiri bahawa kisah pelacur yang ‘laris’ itulah yang ingin diabadikannya dalam novelnya. Kesimpulan ini, yang sesuai pula dengan pengakuan SN Samad Said sendiri, menyerlahkan keselekehan penilaian panel anugerah sastera negara. Demikian pula tentang TIVI, karya sastera Islam mithali dakwaan SN Shahnon Ahmad sendiri, ternyata hanya dakwaan tanpa bukti apabila melalui analisisnya yang lebih mendalam dan jitu, Dr. Zariat sampai kepada kesimpulan bahawa novel itu kaya dengan “nilai-nilai jahat yang begitu menonjol dalam cerita”, dengan itu menolak kebenaran dakwaan SN Shahnon Ahmad bahawa novel itu sebuah karya sastera Islam yang mithali. Apakah yang mithali jika yang dipaparkan itu ialah kejahatan seks?

Catatan: Untuk penjelasan lanjut, sila rujuk Mohd. Affandi Hassan, Ungku Maimunah Mohd. Tahir, Mohd. Zariat Abdul Rani, Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan (ATMA, UKM, Bangi 2008). Ungku Maimunah Mohd. Tahir, Kritikan Sastera Melayu: Antara Cerita Dengan Ilmu (Syarahan Perdana). (Bangi: UKM, 2007). Ungku Maimunah Mohd. Tahir, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009). Tulisan ini diambil daripada buku, Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan, hal. 105-109.

1 comment:

  1. Mohd Shahrizal NasirJuly 18, 2010 at 12:14 AM

    Assalamualaikum Tn. Hj.

    Terima kasih di atas sumbangan Tn. Hj. dalam pembikinan blog ini. Moga semua mendapat ilmu yang bermanfaat. Saya juga akan turut serta menjadi pembaca blog ini.

    Mohd Shahrizal Nasir

    ReplyDelete