Bagi orang-orang yang tidak sedar apa yang sebenarnya berlaku dalam kesusasteraan Melayu moden, tajuk ini mungkin mengejutkan mereka. Perlukah Panel Anugerah Sastera Negara (seterusnya PASN) dikritik begitu keras? Sebenarnya kita sudah terlewat, oleh itu kita telah membiarkan PASN bermaharajalela mengelirukan sasterawan dan sarjana sastera, termasuk pengkritik sastera, untuk menerima (kita perlu gunakan istilah Prof. Harry G. Frankfurt dalam bukunya On Bullshit) bullshit dalam analisis dan penilaian karya kreatif selama lebih dari 30 (tiga puluh) tahun. Jika huraian dan pembuktian yang dihujahkan dalam tulisan saya tidak meyakinkan pembaca, terutama sarjana dan pengkritik sastera dan para sasterawan, maka mereka perlu membaca dengan kritis analisis Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam bukunya Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP, 2009), yang telah berjaya memberikan gambaran yang sangat jelas tentang dinamika pemikiran yang berputar dalam kepala sarjana, pengkritik, sasterawan dan para penilai sastera yang sangat ramai itu. Satu pertanyaan besar yang mengecewakan kita jawapannya ialah pertanyaan yang berbunyi: Mengapakah karya sastera Melayu tidak terarah kepada pemikiran, tetapi terheret jauh ke arah hiburan dan luahan emosi yang akhirnya menjadikan kejahatan manusia sebagai tema agung dalam karya kreatif? Pada perkiraan saya, inilah pengaruh ajaran Hindu-Buddha dan ajaran Barat moden yang kita terima dan jadikan panduan, secara sedar atau tidak sedar. Inilah inti konsep tragedi yang menjadi pegangan para sasterawan; dan konsep ini, tanpa kita sedari, telah dijadikan tema agung (tema utama) dalam karya kita. Para sarjana, pengkritik dan penilai sastera telah menerima konsep tragedi ini sebagai ukuran utama dalam menilai karya sastera. Oleh itu, PASN menerima dengan baik Ranjau Sepanjang Jalan, Salina dan lain-lain karya yang mengangkat tragedi sebagai tema agung sastera Melayu moden. Novel-novel atau karya-karya begini menceritakan penderitaan manusia akibat kebodohan mereka, sikap mereka yang negatif terhadap kehidupan, kedegilan mereka yang tidak siuman. Inilah pandirisme yang diangkat oleh para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera sebagai apa yang mereka namakan aliran perdana yang menggambarkan realiti kehidupan manusia, oleh itu mereka amat menyanjung apa yang mereka namakan realisme dalam sastera. Jika anda biasa membaca filsafat, sejarah pemikiran manusia, dan sejarah ajaran agama, anda akan bertemu dengan kesimpulan yang mudah: inilah sebenarnya ajaran Hindu-Buddha dan ajaran Kristian. Tidakkah aneh apabila para sasterawan, sarjana, pengkritik dan penilai sastera menerima ajaran yang dibungkus dengan nama realisme itu sebagai asas berkarya, asas analisis, dan asas penilaian? Saya menunggu sesiapa saja yang mahu mencabar kesimpulan ini membawa bukti dan hujah mereka. Persoalan ini penting kerana inilah punca kelemahan karya Melayu yang tidak mengutamakan pemikiran dan analisis, tetapi menjadikan emosi dan kebodohan manusia yuang dirundung malang sebagai nilai tertinggi dalam penulisan kreatif dan penilaian sastera. Inilah mitos yang ditonjolkan oleh PASN, yang akhirnya menjadikan mereka anti-ilmu kerana terlalu asyik berulit dalam pengaruh ajaran Hindu-Buddha dan ajaran sastera Barat yang mendewakan tragedi itu. Walaupun ada di antara mereka yang bercakap tentang “sastera Islam”, tetapi masih dalam konteks tragedi Hindu-Buddha dan ajaran sastera Barat yang secara tidak sedar mereka lanjutkan sebagai warisan yang sah.
Apabila saya bercakap tentang pembinaan mitos oleh PASN, maka saya maksudkan usaha mereka meneruskan mitos Hindu-Buddha dan Kristian ini dengan memberi nama realisme, yang kemudiannya menjadi realisme magis. Mereka berhujah bahawa karya-karya sasterawan negara adalah karya yang menggambarkan realisme dalam kehidupan manusia, iaitu manusia yang miskin, tertindas, dizalimi, ditipu dan sebagainya. Tetapi itu hanya sebahagian kecil daripada “realisme”, oleh itu bukan realiti sebenarnya. Itu hanya realiti semu, tetapi manusia lekas tertipu dengan realiti semu ini, seperti yang ditunjukkan oleh Al-Quran dalam kisah Balqis dengan Nabi Sulaiman ‘a.s. Realiti semu ini menjadi mainan ahli sihir Firaun. Tetapi apabila hakikat realiti ditunjukkan oleh Nabi Musa ‘a.s. dengan melemparkan tongkatnya setelah diwahyukan oleh Allah Ta’ala, maka ahli sihir yang handalan itu segera melihat hakikat realiti itu dan terus tunduk menyerah, lalu menerima ajaran wahyu yang dibawa oleh Nabi Musa ‘a.s. Dalam konteks kita di Malaysia, para sasterawan, sarjana dan sebagainya itu belum lagi sampai ke taraf profesional yang tinggi yang dipunyai oleh ahli sihir Firaun, oleh itu mereka terus lena dalam realiti semu, tidak mahu menerima hakikat realiti ajaran tauhid dan konsep taklif yang menjadi asas untuk mengenal ilmu yang benar. Sekiranya PASN sebagai golongan profesional sudah sampai ke peringkat profesionalisme yang tinggi yang dimiliki oleh ahli sihir Firaun, maka mereka tidak dapat tidak akan menerima hakikat realiti dan menolak realiti semu dalam konsep realisme yang mereka pegang. Dalam konteks inilah mereka memperagakan sikap anti-ilmu mereka. Sesiapa juga yang ingin menyanggah kesimpulan ini harus terlebih dahulu memahami konteksnya dan hujah yang dikemukakan.
Mohd. Affandi Hassan, 22/6/2010.
No comments:
Post a Comment