Sunday, June 13, 2010

Menghidupkan Perbahasan Ilmiah Dalam Kritikan

Gagasan Persuratan Baru yang dikemukakan di sini memerlukan perbahasan yang lebih mendalam untuk mendedahkan tujuan dan matlamatnya supaya dapat difahami oleh para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera. Tradisi perbahasan ilmiah di negara kita agak lembap, apatah lagi dalam era perdagangan ilmu, perbahasan ilmiah menjadi suatu kegiatan yang pelik, terasing, dan tidak menarik minat para sarjana tempatan kerana tidak menguntungkan. Di negara-negara Barat yang sudah lama mempunyai tradisi perdebatan tentang ilmu, meskipun ilmu dan kemahiran sudah lama juga diperdagangkan, telah wujud sekumpulan ilmuan mereka yang menjadikan penyebaran ilmu kegiatan seumur hidup dengan tidak mementingkan sangat pulangan kewangan. Oleh itu kita dapat melihat banyaknya jurnal-jurnal ilmiah diterbitkan, yang bukan bertujuan mencari keuntungan, tetapi lebih kepada menyebarkan disiplin keilmuan tertentu. Perbahasan ilmiah di Barat menjadi tradisi yang dipelihara dengan baik, disokong oleh orang-orang kaya mereka melalui bantuan dan yayasan keilmuan. Kita belum ada tradisi seumpama itu, dan orang-orang kaya kita terlalu tamak dan kedekut. Para sarjana dan pengkritik sastera dan ahli-ahli akademik pun terpengaruh dengan kehidupan kebendaan memperdagangkan ilmu dan kemahiran itu, oleh itu para sarjana kita tidak mahu “membuang” masa mereka membahaskan apa juga persoalan yang dilontarkan dalam dunia ilmu atau dunia akademik. Selain tidak mempunyai pulangan kewangan yang lumayan, perbahasan seumpama itu menuntut korban masa, pemikiran, dan mungkin juga kewangan. Jika sekali sekala mereka terjun ke dalam perbahasan kecil-kecilan, maka tujuannya hanyalah untuk “mempertahankan” pandangan peribadi, bukan untuk menyuarakan hasil pemikiran yang teratur. Dengan sikap seumpama itu, banyak persoalan yang boleh dan patut dibahaskan dengan mendalam tinggal terbiar, tidak disentuh dan tidak dihiraukan sama sekali. Demikianlah kita lihat lebih empat dekad pemikiran Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas terbengkalai, tidak disentuh dan tidak dibahaskan. Gambaran ini tidak berapa menggalakkan, tetapi itulah yang terjadi.
Dalam tradisi ilmiah Islam telah wujud kaedah perbahasan ilmiah ini. Para ulama yang peringkat ilmunya sangat tinggi dan mendalam mempunyai keupayaan untuk melakukan ijtihad terhadap sesuatu masalah, yakni memberikan pemikiran mereka yang terperinci yang bersifat fatwa untuk diikuti dan dijadikan landasan pemikiran seterusnya. Hasil rumusan pemikiran yang bersungguh-sungguh itu dikemukakan kepada masyarakat ulama, untuk dibahaskan dan dipersetujui ramai sehingga lahirnya ijmak. Dalam tradisi ini, seseorang yang silap dalam ijtihadnya diberi satu pahala, manakala yang betul mendapat dua pahala. Pahala ijtihad yang silap bukan kerana salahnya, tetapi kerana usahanya yang bersungguh-sungguh mencari penyelesaian terhadap sesuatu masalah hukum yang rumit. Kaedah yang ditunjukkan dalam tradisi ilmu dalam Islam ini sudah lama dikenali, termasuk di kalangan para ahli ilmu di Tanah Melayu. Dalam tamadun Islam, apabila suatu pendirian keilmuan tidak disukai atau dipandang salah, maka pandangan itu akan dibahaskan dengan gigih, sehingga terbentuk pandangan yang akhirnya diterima umum. Sebaliknya, jika sesuatu pandangan diterima, maka akan tampil para penyokong untuk menyebarkan pemikiran atau pendirian itu seluas-luasnya. Terdapat dua pendirian yang jelas tentang budaya ilmu dalam Islam. Jika sebuah kitab yang diterbitkan, atau satu fatwa yang dikeluarkan disokong, maka kitab tadi diberi sharh (penjelasan terperinci); tetapi jika tidak dipersetujui, maka kitab atau fatwa tadi dikenakan radd (dibahaskan dengan terperinci, dikritik dengan mendalam). Dengan itu ilmu berkembang, dan terdapat dedikasi yang jujur di kalangan para ulama untuk melakukan dua perkara itu. Tradisi ini boleh kita tiru dan pakai, kerana inilah juga yang terjadi di Barat sendiri. Pendeknya, pada hakikatnya inilah kedudukan budaya ilmu dalam tamadun manusia; dan tradisi keilmuan seumpama ini perlu digiatkan di kalangan ahli ilmu di Malaysia.

No comments:

Post a Comment