Kemunculan Pujangga Melayu sebagai sebuah novel
ilmu mengubah sama sekali ukuran dalam
menentukan sebuah karya itu bermutu atau tidak, dan apakah ukurannya. Perkara ini telah dijelaskan dengan terperinci
dalam buku Gagasan Persuratan Baru,
edisi ke-2. Sila rujuk di sana jika anda
berminat; tetapi jika anda awal-awal lagi menolak PB, anda tidak dihalang untuk
terus berada dalam lingkaran picisan yang menjadi asas penilaian karya para
sasterawan negara. Dalam lingkaran ini,
anda akan berpusing-pusing seperti keldai di kincir air, dengan mata tertutup
berjalan beribu batu di tempat yang sama, dalam lingkaran kincir air yang
bernama karya sastera. Kerana sudah
biasa dalam keadaan ini, para sasterawan dan sarjana sastera berasa seronok
berpusing beribu batu di tempat yang sama, dengan mata tertutup. Perbandingan
ini sangat tepat dengan “kemajuan” yang kita saksikan dalam penulisan kreatif
dan dalam penilaiannya yang dilakukan oleh para sarjana. Buku terbaru Anugerah Sastera Negara Dalam Kesusasteraan Melayu Moden (2019)
menjelaskan dengan terperinci perihal keldai di kincir air sastera Melayu
moden.
Apakah yang
menghalang kita membuat perbandingan antara Pujangga
Melayu dengan novel besar Tolstoy, War and Peace? Halangan itu amat jelas, tidak sebuah pun
novel yang dihasilkan oleh para sasterawan negara boleh disetarafkan, atau
diberi kedudukan lebih tinggi daripada War
and Peace. Kemunculan Pujangga Melayu mengubah semua sekatan
yang dibuat-buat ini dengan meletakkan Pujangga Melayu jauh lebih bermutu dan
lebih maju dari segi teknik dan pemikirannya
daripada yang dicapai oleh War and
Peace. Ini menimbulkan masalah yang sangat besar dalam kesusasteraan
Melayu, kerana setiap sarjana sastera tidak ada pilihan untuk melarikan diri
daripada membicarakan kedudukan Pujangga
Melayu dalam konteks sastera dunia, khususnya dengan War and Peace. Jika anda
seorang sarjana yang bertanggungjawab, anda perlu membuat pilihan, sama ada
menerima atau tidak penarafan ini. Anda tidak boleh mengelak daripada perlunya
mengetahui sastera dunia dan bagaimana ukuran dalam karya sastera dunia
ditentukan; dan pada waktu yang sama anda perlu memberikan pendapat kritis anda
bagaimana pula karya sastera Malaysia dinilai oleh para sarjana sastera. Dengan itu, anda tidak boleh lagi berpegang
kepada teori sastera keldai di kincir air dengan mata tertutup berjalan beribu
batu di tempat yang sama. Anda perlu membuka mata dan melihat perubahan yang
berlaku di sekitar anda dengan tenang, walaupun dengan hati yang berdebar-debar
kerana sekarang anda harus menghadapi cabaran yang amat berat dan besar dalam
cara anda menilai karya sastera dan menentukan dengan pasti dan tepat
ukurannya. Mahu tidak mahu, anda perlu menilai Pujangga Melayu berasaskan ukuran yang anda sendiri tetapkan.
Sebenarnya ini suatu perkara yang mudah saja, jika anda mempunyai kecerdasan
berfikir dalam kritikan sastera. Anda boleh menolak mana-mana saja ukuran yang
anda tidak bersetuju, datang daripada sesiapa sekali pun, sambil itu anda
memberi penjelasan mengapa ukuran yang anda gunakan itu adalah yang terbaik dan
perlu diikuti oleh semua penggiat kritikan sastera Malaysia. Jika anda berlaku
jujur kepada ilmu dan cekap dalam menggunakan disiplin akademik dalam bidang sastera,
anda mempunyai pilihan yang mudah dengan mempelajari dan menggunakan ukuran
yang dianjurkan oleh PB. Tentulah lebih baik jika anda mempunyai kaedah anda
sendiri; dan kita semua mahu tahu dan belajar daripada anda. Ketika itu kita semua mempunyai pilihan, dan
setiap pilihan yang kita ambil akan menyerlahkan keampuhan intelektual dan
keampuhan akademik yang ada pada kita. Saya kira ini suatu permintaan yang
adil, satu harapan yang tidak wajar diketepikan begitu saja, apatah lagi jika
dikhianati.
Sebenarnya
sastera Melayu sudah lama dikhianati oleh para sarjana dan sasterawan, sama ada
mereka sedar atau tidak. Lebih tepat jika kita membuat kesimpulan mereka tidak
sedar mereka melakukan kesalahan besar dalam bidang kreatif dan kritikan
sastera. Tonggak kesilapan besar itu ialah mereka menolak dengan bangga
pengalaman intelektual bangsa Melayu yang berusia lebih dari 600 tahun, yang
menerima Islam dan membina tradisi persuratan berasaskan konsep ilmu yang
diberikan oleh al-Quran. Semua ini diketahui, kerana pernah diajar dalam
pengajaran sastera di universiti Malaysia. Tetapi para penulis yang
menggelarkan diri mereka sasterawan melemparkan begitu saja sedikit pengetahuan
mengenai persuratan, dengan satu kesilapan besar yang amat biadab, iaitu dengan
membuat kesimpulan bahawa sastera Melayu moden tidak akan muncul sekiranya
tidak bermodelkan sastera Barat dan menjadikan kebebasan berkarya sebagai
falsafah penulisan sama seperti yang dilakukan dalam sastera Barat. Apakah
akibat dari kepercayaan ini? Sudah banyak ditulis tentangnya, tetapi
diketepikan oleh para sasterawan dan sarjana sastera kerana mereka menerima
konsep kebebasan berkarya itu bulat-bulat dari Barat, dengan mencampakkan
al-Quran di sudut kejahilan mereka sendiri. Maka berlakulah tiga fasa perkembangan
seperti yang telah saya jelaskan dalam blog ini. Tiga fasa ini perlu
dibincangkan dengan mendalam dalam seminar
“Kritikan Sastera Wacana Teori” pada
20 Jun 2019 yang dianjurkan oleh DBP. Sarjana dan pengkritik sastera, dan tentu
saja para sasterawan, perlu mengetahui tiga fasa perkembangan ini supaya mereka
dapat memahami mengapa sastera Melayu berada dalam keadaan sekarang, keadaan
yang cetek meraba-raba. Mereka perlu bincang dengan mendalam aspek ilmu ini,
dan kemudiannya membuat keputusan dan kesimpulan tegas arah yang mereka tuju.
Mereka tidak boleh lagi hanyut dalam teori Barat jika mereka memahami makna dan
maksud teori Barat itu dalam sastera, seperti yang dijelaskan oleh Pascale
Casanova dalam bukunya, The World Republic
of Letters (Harvard University Press, 2004; terjemahan dari buku Perancis
yang terbit pada 1999). Pengarang
menjelaskan pengaruh itu datang dari dua tempat.
Persoalan ini penting
dibincangkan dan diputuskan kerana pemilihan para sasterawan negara berasaskan
kesilapan besar berasaskan konsep imaginasi dan sensasi, bukan berasaskan
konsep ilmu yang benar.
Apakah
faktor yang membuat para sarjana dan sasterawan negara menolak konsep ilmu yang
benar itu. Mereka mesti memberi penjelasan dari mulut mereka sendiri. Kita mahu
dengar penjelasan mereka. Penjelasan itu
semakin penting sekarang setelah muncul kaedah alternatif yang lebih ilmiah,
lebih akademik, dan lebih cocok dengan kehidupan manusia beragama. Di mana
silapnya kaedah alternatif itu? Anda
perlu menjelaskannya, dan sekiranya anda mempunyai alternatif lain yang lebih
baik, kita juga mahu tahu apakah alternatif itu. Permintaan ini biasa saja
dalam perkembangan ilmu, bukan sesuatu yang asing bagi sesiapa saja yang
menggelarkan dirinya sarjana atau sasterawan.
Penjelasan
yang dimaksudkan itu sangat penting diberikan oleh para sarjana sastera dan
sasterawan kerana kekacauan yang kita
hadapi sekarang semuanya berpunca dan berasal dari kekeliruan mereka dalam
memahami konsep ilmu dan peranan ilmu dalam penulisan kreatif dan penilaian
hasil kreatif itu. Kesilapan besar ini
dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Caranya, mereka tetapkan dahulu
siapakah yang akan menerima hadiah sastera, selepas itu mereka mereka-reka
alasan untuk disesuaikan dengan karya sasterawan yang dipilih. Anda boleh melihat ini dalam semua laporan
yang mereka hasilkan, sekiranya anda mempunyai pengetahuan untuk melihat cara
mereka membina para sasterawan negara
bukan berasaskan karya mereka, tetapi berasaskan kegiatan mereka. Contoh
terbaik yang lebih senang difahami ialah dalam kes Sheikh Anwar Ridhwan.
Gelaran “sheikh” ini diberikan oleh mereka yang mahu meletakkan para sasterawan
negara sebagai seseorang yang telah berusaha dan berjaya menonjolkan
unsur-unsur Islam dalam karya mereka. Perbuatan ini cukup berbahaya dan tidak
dapat diterima. Bagaimana jika yang dipilih itu seorang penulis bukan Islam,
malah yang mungkin anti-Islam? Tentulah ada ukuran lain yang digunakan,
sekiranya kita mahu menjadikan seseorang yang anti-Islam atau paling kurang
yang tidak beragama Islam sebagai sasterawan negara. Kini sudah muncul penulis
bukan Islam yang layak diberi kedudukan sebagai sasterawan negara. Siapa mereka
cukup dikenali oleh para sasterawan sendiri.
Anda tentu akan berkata, jika diterima PB sebagai ukuran yang dominan,
maka tidak ada harapanlah para penulis bukan Islam diberi kedudukan sebagai
seorang sasterawan negara. Apakah ukuran
yang kita gunakan? Sebenarnya ini bukan masalah, kerana sekarang pun penulis
Islam yang tidak menggambarkan nilai-nilai Islam atau yang lebih cenderung
kepada nilai-nilai (nota: pascamodernisme
menolak nilai keseluruhannya) pascamodernisme! Anda boleh agak siapakah orangnya yang
mendapat pujian tinggi daripada seorang sarjana yang amat kagum dengan
nilai-nilai pascamodernisme sasterawan ini.
Kedudukan sasterawan ini samalah dengan kedudukan sasterawan bukan Islam
tadi. Kalau begitu, tidak sesuai digunakan PB sebagai kayu ukur, nanti tiada
seorang pun sasterawan negara yang layak terpilih. Tentulah hal ini akan membangkitkan
kemarahan seluruh sasterawan Malaysia. Kalau begitu amat wajar ukuran PB tidak
digunakan, untuk menyelamatkan para sasterawan Malaysia yang tidak layak jika
diukur daripada perspektif PB. Lebih bijaksana dan lebih baik diterima saja
para sasterawan mediocre daripada
tiada langsung sasterawan negara!
Kita kembali
kepada kedudukan Pujangga Melayu
dibandingkan dengan War and Peace. Bagaimana dua buah karya yang berbeza latar
belakangnya boleh dinilai? Bukan sukar
pun, kerana sebagai orang beradab sopan, kita harus menerima ukuran orang lain
yang dikenakan kepada karya mereka; tetapi apabila kita yang berbeza nilai ini
membaca sesuatu karya, pasti terdapat usur-unsur kebaikan di dalamnya, kerana
kebaikan itu milik semua manusia; tetapi kebenaran milik hanya orang yang
percayakan Tuhan, dan tidak syirik. Ingat saja Surah At-Tin, yang menegaskan
manusia adalah sebaik-baik kejadian, jasad dan jiwanya; tetapi akan dilempar ke
neraka kecuali yang beriman dan tidak syirik dan membuat kebaikan untuk semua
manusia. Ada satu ungkapan yang terkenal, “kebijaksanaan itu barang orang Islam
yang hilang; ambillah di mana dia berjumpa”:
Kebaikan adalah milik seluruh manusia, kerana itulah kita boleh membaca
buku yang ditulis oleh penulis yang tidak seagama dengan kita. Masih ada
kebijaksanaan di situ, seperti yang saya contohkan daripada tulisan Tolstoy
tentang Imam Shamil. Tetapi kesedaran begini mesti ada, dan anda tahu
memilihnya. Bila saya mengkritik para sasterawan negara, saya melihat banyak
sekali perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilahirkan oleh penulis Islam.
Bila saya mengemukakan PB sebagai alternatif, maksudnya supaya terdapat
penapisan berasaskan konsep ilmu yang benar tadi. Jadi PB tidak perlu dimusuhi,
paling tidak pun, jika anda tidak suka, fikirkan kebaikannya dari segi
memperingatkan manusia penulis ini ada amanah besar dari segi intelektual yang
mereka harus sedar. Pujangga Melayu
ditulis dalam konteks itu, oleh itulah saya menonjolkan Pujangga Melayu supaya anda membacanya dengan amat kritis supaya
anda sendiri tidak terpesong, dan sanggup belajar dari kesilapan orang lain
yang boleh jadi terdiri daripada orang yang berpengaruh sekali pun.
Kalau anda
membaca Pujangga Melayu dengan
kritis, saya yakin anda akan mendapat faedah, mungkin boleh dijadikan inspirasi
dalam kehidupan anda. Lebih serius lagi, jika anda rajin, dan sambil membaca Pujangga Melayu membuat nota, mencari
sumber, mengesan maklumat yang cuba diberikan… dan anda buat catatan, saya
yakin anda akan mendapat sebuah buku paling tidak setebal 300 halaman. Ini
belum dibuat lagi, saya pasti jika ada sesiapa daripada pembaca yang berbuat
demikian, dia akan membantu pembaca Pujangga
Melayu untuk lebih memahami novel itu.
Carilah berapa banyak kesalahan yang anda boleh temui; cari juga kebaikan
berapa banyak pula yang anda temui. Itu adalah satu cara membaca novel ini.
Cara yang lebih berat, mungkin juga akan meletihkan sesiapa yang kurang cergas
berfikir, ialah mengambil beberapa hipotesis yang terdapat dalam novel itu, dan cuba huraikan. Jika ada
dua tiga orang yang berbuat begini, saya yakin kefahaman anda akan lebih
mendalam. Itulah yang amat saya harapkan. Itu sebab saya selalu memperingatkan
supaya anda membaca novel ini sehabis kritis, untuk mendapat manfaatnya.
Supaya
harapan ini tercapai, amat penting dipelajari cara membaca dengan betul, yang
telah saya bangkitkan sejak lama, dan hingga sekarang tidak diterima oleh
pembaca karya sastera kerana memenatkan mereka tanpa sebab. Perkara ini perlu diperhaluskan lagi supaya
pembaca yang paling pandir sekali pun akan mendapat faedah. Kalau begitu moto
novel ini yang berbunyi, “Karya ayah untuk orang-orang berfikir, bukan yang
pandir,” tidak boleh diterima.
Supaya
harapan ini tercapai, amat penting dipelajari cara membaca dengan betul, yang
telah saya bangkitkan sejak lama, dan hingga sekarang tidak diterima oleh
pembaca karya sastera kerana memenatkan mereka tanpa sebab. Perkara ini perlu diperhaluskan lagi supaya
pembaca yang paling pandir sekali pun akan mendapat faedah. Kalau begitu moto
novel ini yang berbunyi, “Karya-karya
ayah untuk orang yang berfikir, bukan untuk si pandir,” tidak boleh
diterima. Tetapi saya fikir sebagai satu
peringatan supaya setiap pembaca belajar membaca dengan betul, peringatan itu
masih boleh diterima. Tetapi bagaimana
membaca dengan betul? Saya telah menulis mengenai perkara ini sejak 1983 dalam
majalah Widya yang kini sudah tidak
diterbitkan lagi. Sesiapa yang berminat
bolehlah rujuk majalah itu. Atau baca saja buku oleh Mortimer J. Adler dan
Charles van Doren, How to Read a Book:
the Classic Guide to Intelligent Reading.
Diterbitkan pertama kali 1940, diperbaharui 1967, edisi baru 1972. (Published by Simon
& Schuster, Inc.)
Saya
cadangkan satu subject “Bagaimana
Membaca dengan Betul” diperkenalkan di universiti. Sekurang-kurangnya kita boleh membantu Panel
Anugerah Sastera Negara bagaimana membaca dengan betul!
Pembaca
Malaysia kurang memberi perhatian kepada aspek membaca dengan betul ini. Jika
hal ini diberi perhatian, saya yakin Pujangga
Melayu boleh dinikmati secara intelektual dan sekali sekala secara emotional, pada tempat-tempat yang agak
istimewa, misalnya ketika Awang dan Salasiah berduaan sambil membaca haiku.
Itulah
beberapa saranan bagaimana membaca Pujangga
Melayu. Tetapi ada satu perkara yang
saya terpaksa sebut juga walaupun tidak menarik minat pembaca. Dua halaman akhir Pujangga Melayu merumuskan seluruh tujuan, matlamat, dan falsafah novel
itu. Sejauh mana anda sedar tentang perkara ini bukan urusan saya, kerana saya
tahu yang menjadi cita-cita dan harapan bangsa
Melayu ialah ucapan Fatimah yang cerdik itu: “Kita akan menang, Ayah!” Anda
perlu membaca ayat ini bersama dedikasi
pada permulaan novel: “Karya-karya ayah untuk orang yang berfikir, bukan untuk
si pandir,” Prof. Awang memperingatkan anaknya, Fatimah. Siapakah tokoh yang
bernama Fatimah itu? Pujangga Melayu bermula dengan satu
cita-cita; diakhiri dengan satu harapan. Itulah perjuangan yang akan dilalui dan diperjuangkan oleh Fatimah. Itulah amanah persuratan yang saya tinggalkan
untuk bangsa Melayu. Semoga tidak dikecewakan.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 1 Mei 2019.
Terima kasih Tn.Haji
ReplyDeleteSaya kira satu ibarat yang tepat untuk menggambarkan status golongan yang berjuang dalam arena penulisan selama ini.
Mereka dihormati dan berada dalam kedudukan istimewa di mata masyarakat.