Wednesday, May 22, 2019

“KITA AKAN MENANG, AYAH”: KATA FATIMAH!




Itulah ayat terakhir Pujangga Melayu.

Pembaca yang cerdik dan berfikiran positif  tidak akan bosan dan muak membaca perihal Pujangga Melayu, sesuai dengan kedudukannya sebagai novel terbesar Malaysia, mengatasi semua karya para sasterawan negara. Anda hanya membuang masa anda  dengan membaca karya para sasterawan yang picisan dari segi teknik dan picisan pula dari segi isi. Saya akan tetap membicarakan makna novel besar ini dalam perkembangan pemikiran di Malaysia, satu-satunya novel yang boleh mencabar novel besar Tolstoy, War and Peace.  Mengapa saya masih mengulangi  lontaran cabaran ini kepada para sarjana dan sasterawan Malaysia?  Sebab yang paling mudah ialah kerana mereka telah gagal memberikan sumbangan yang bersifat pemikiran dalam perkembangan seni mengarang di negara ini. Ujian kegagalan mereka hanya dapat diketahui dengan jelas apabila mereka dicabar untuk mengemukakan sebuah karya sebesar karya Tolstoy, War and Peace.  Kerana mereka gagal memberikan kita jawapan konkrit membuktikan  mereka tidak layak digelar sasterawan negara, maka kewujudan mereka sebagai sasterawan negara adalah satu pengkhianatan budaya yang amat serius, yang memalukan kita semua kerana kita dengan sengaja menonjolkan para karyawan picisan yang menulis karya picisan untuk dijadikan contoh, padahal mereka palsu.  Dari segi pemikiran mereka adalah golongan picisan yang tidak layak diberi penghormatan sebagai sasterawan negara.  Kenyataan serupa ini saya ulang berkali-kali untuk mengingatkan anda kedudukan sebenar karya picisan para sasterawan negara ini.

Apakah makna dan maksud kemenangan yang diucapkan oleh Fatimah itu? Jawapannya terkandung dalam ayat terakhir novel yang berbunyi, “Demikianlah sebuah negara Islam perlu ditegakkan kerana Fatimah telah berkata:

“Kita akan menang, ayah!”

Itulah suara Tok Ayah.”

Kalau anda membaca novel ini, anda akan tahu Fatimah itu seorang gadis remaja yang cerdik. Mengapa saya memilih seorang remaja wanita untuk menyampaikan amanah novel ini?  Saya mahu para cendekiawan sastera memberikan jawapannya, kerana jawapan anda akan mencerminkan kecerdikan dan kematangan anda sebagai seorang pemikir sastera, seorang sarjana sastera. Lebih baik lagi jika yang memberikan jawapan itu seorang sasterawan negara, untuk membuktikan bahawa dia seorang yang lebih cerdik daripada seorang gadis remaja yang bernama Fatimah! 

“Persuratan adalah perjuangan”  akan kekal dan terus bergema di kalangan anak muda jika mereka tidak dikhianati oleh para sarjana sastera dan guru-guru sastera yang mengajar mereka di sekolah dan di universiti. Ungkapan “persuratan adalah perjuangan” Itulah suara Tok Ayah, yang akan terus bergema dalam persuratan Melayu hingga ke hari kiamat sehingga terbinanya kemenangan yang diucapkan oleh Fatimah.

Itulah makna dan maksud ungkapan “persuratan adalah perjuangan”.  Sebagai sebuah manifesto politik yang menuju ke arah pembentukan Negara Islam Malaysia dan seterusnya Negara Islam Nusantara,  Pujangga Melayu perlu dibaca dengan kritis dan dibincangkan dengan kritis juga.  Perbincangan ini menjadi menarik dan amat perlu dibahaskan dengan terbuka apabila Melayu dicabar untuk menerima pembahagian Persekutuan Tanah Melayu kepada dua entiti, satu untuk kaum pendatang Cina, satu lagi untuk Melayu yang sejak 40,000 tahun memiliki Semenanjung Tanah Melayu ini, menjadi sebahagian daripada Nusantara,  kini dicabar untuk menafikan sejarah itu dengan menerima kedatangan orang asing sebagai hak yang telah diberikan oleh British ketika mereka membawa masuk orang Cina dan India ke Tanah Melayu.  Kemudian timbullah soal perkauman, sebagai legasi penjajah British yang memberi hak istimewa kepada pendatang haram yang diberi hak jus soli itu pada tarikh “kemerdekaan” Semenanjung Tanah Melayu yang diberikan kepada tali barut British sendiri.  Kemenangan Inggeris selepas Tanah Melayu Merdeka adalah perjuangan politik  yang memberi hak istimewa kepada pendatang yang dibawa masuk oleh mereka. Orang Melayu tidak diberi hak istimewa itu, oleh itu sesiapa juga yang mengatakan Melayu mempunyai hak istimewa adalah buta politik, golongan pengkhianat yang menipu bangsa Melayu.  Inilah punca timbulnya masalah perkauman dalam politik Malaysia. Yang dikatakan “masalah perkauman” itu tidak pernah menjadi masalah dalam politik orang Melayu, tetapi diperjuangkan dengan gigih oleh para pendatang untuk memastikan hak istimewa yang diberikan kepada mereka oleh British terus kekal dan menjadi masalah perkauman dalam politik Malaysia. Semua ini dibuktikan oleh suara jeritan Cina yang berarak di Kuala Lumpur yang menjeritkan, “Melayu balik kampung” yang mencetuskan peristiwa 13 Mei 1969. Suara siapakah yang menjeritkan “Melayu balik kampung!” itu?  Jawapan kepada soalan ini akan memberikan anda jawapan mengapa terbentuknya apa yang dinamakan kerajaan Pakatan Harapan itu, dan slogan Malaysia Baru, adalah suara Barisan Nasional yang sudah direkon oleh Dr.           Mahathir Mohamed.  Siapa pemilik Malaysia Baru? Kalau anda Melayu yang cerdik dan tegas, dan faham permainan politik tinggalan British ini, anda akan faham mengapa dalam tahun 1981 timbul gesaan supaya Tanah Melayu dibelah dua. Usaha untuk membina sebuah negara baru tetap akan menjadi matlamat golongan pendatang yang dibawa British ini.  Nama negara telah ada, kini menjadi sebuah universiti di Singapura!

Itulah sejarah dan hakikat politik yang telah dipaksakan ke atas bangsa Melayu, berupa kemenangan British mengekalkan masalah perkauman yang mereka bawa dan maktubkan dengan jayanya dalam Perjanjian Kemerdekaan Tanah Melayu 1957 itu.  Untuk siapa yang dinamakan “kemerdekaan” itu?  Penjelasannya telah dibuat oleh Prof. Madya Dr. Mat Rofa Ismail dan lain-lain sarjana yang sedar akan penipuan politik ini. Anda boleh dapat maklumat itu melalui YouTube.

Apakah sebenarnya makna politik perkauman?  Dalam politik Melayu, tidak ada konsep perkauman; yang ada ialah konsep puak.  Betulkah orang Melayu suka berpuak-puak?  Tidak pasti sama ada orang Melayu tahu atau tidak bahawa konsep puak-puak ini diangkat menjadi satu sistem hidup yang paling unggul dalam politik moden, iaitu demokrasi.  Sistem demokrasi adalah sistem yang menggalakkan perkembangan puak-puak yang dirasmikan dalam pilihan raya semua peringkat. Sistem demokrasi menggalakkan pembohongan dan dengan itu menggalakkan korupsi. Sesiapa juga yang berkata dia akan menghapuskan korupsi melalui sistem demokrasi adalah pembohong besar. Sama ada dia sedar mengenai pembohongan ini atau tidak, tidak menjejaskan kedudukan dan praktik demokrasi yang hanya boleh hidup dengan korupsi. Demokrasi menggalakkan korupsi setiap peringkat kehidupan manusia, satu sistem yang paling kotor yang menjadikan penipuan sebagai tonggak utama kepemimpinan.  Jika anda seorang pemerhati politik yang tajam, dan tahu serba sedikit tentang demokrasi, anda boleh perhatikan dengan mudah siapakah di antara para pemimpin politik yang tidak korup. Semuanya korup.  Ini tidak dapat dielakkan kerana demokrasi tidak mempunyai pertahanan dalaman yang bersifat kerohanian, satu aspek kehidupan manusia yang tidak dapat dipisahkan. Yang terjadi ialah sering kali keperluan sifat-sifat kerohanian itu diketepikan kerana para pemimpin ini ada yang sedar bahawa pembohongan adalah kutukan terbesar dalam kehidupan seorang pemimpin, yang tidak akan dapat muncul bersama dalam peribadi seorang pemimpin politik.  Jika anda memberi perhatian kepada aspek kerohanian, anda akan bersikap jujur; dan ini tidak sesuai untuk menjadi bawaan seorang pemimpin politik. Sekali lagi, sambil menonton TV atau membaca akhbar, cuba anda perhatikan gelagat para pemimpin politik Malaysia,  yang tidak mungkin tidak berbohong untuk mencapai matlamatnya sebagai seorang pemimpin politik. Tidak ada pengecualian, walaupun ahli politik itu mengaku dia seorang ustaz, ulama, seorang tokoh pemimpin Islam.  Malah kumpulan inilah yang paling berani berbohong kerana mereka pandai membaca ayat-ayat al-Quran dan cekap pula menggunakan hadis  untuk menipu masyarakat dan pengikut mereka.  Anda akan menderetkan ayat-ayat al-Quran untuk memuji parti anda, dan pada waktu yang sama mengutuk parti lawan anda walaupun mereka juga mempunyai pengikut beragama Islam atau seratus peratus beragama Islam. Islam hanya untuk mereka, menjadi milik mereka untuk dijual kepada para pengundi bahawa merekalah pemimpin politik yang jujur dan tidak pernah berbohong.  Rakyat mungkin sudah tahu bahawa tanpa pembohongan sebagai tonggak penting dalam kepemimpinan, seseorang tidak akan berjaya menjadi ahli politik terkenal dan boleh menang pilihan raya. Yang menariknya, rakyat memberi sanjungan tinggi kepada para pembohong ini sebagai tokoh politik yang boleh dipercayai.

Lebih menarik lagi ialah peranan kuasa dalam menentukan siapa pembohong siapa tidak  dan bagaimana kuasa politik digunakan untuk menghukum pihak yang kalah dalam pilihan raya, seperti yang sedang berlaku sekarang di Malaysia.  Kedua-dua pihak, yang mengutuk dan yang dikutuk, hanyut dalam pertandingan hebat kata mengata yang berterusan tanpa sebarang matlamat yang jelas dan boleh dipercayai kejujurannya.  Inilah sifat demokrasi, dengan penekanan kepada hak mutlak yang menang untuk mengutuk yang kalah, walaupun yang kalah itu dari kumpulan yang sama satu ketika dulu.

Sekali imbas perbincangan ini seolah-olah meleret-leret tak tentu hala, tak tentu arah. Tetapi jika anda perhatikan betul-betul, ada dua perkara yang saya tekankan dalam entri ini. Pertama, menegaskan lagi konsep “persuratan adalah perjuangan” yang diringkaskan dalam ayat terakhir, “Itulah suara Tok Ayah” dalam Pujangga Melayu merujuk kepada tradisi persuratan Melayu sebagai alat perjuangan dalam membina sebuah negara Islam yang bermula di Tanah Melayu, yang akhirnya akan menjadi Negara Islam Nusantara. Jika kita perlu seribu tahun untuk mencapainya, kita akan terus berjuang selama seribu tahun. Usaha pertama ialah memberi kesedaran itu bahawa itulah matlamat kita; seterusnya kita akan menghunjam kesedaran itu sehingga menjadi satu perjuangan dalam membina peradaban berasaskan konsep ilmu yang benar itu.  Penekanan kedua ialah hasil penulisan kreatif dalam Persuratan Baru ialah untuk mencerdikkan bangsa Melayu supaya mereka bersedia untuk memegang tanggungjawab kepemimpinan itu dalam membangunkan Negara  Islam Nusantara.  Tiada tempat untuk tertawa mengejek, kerana ini telah dilakukan oleh kafir Quraish pada permulaan kerasulan Nabi Besar Muhammad SAW.  Kemusnahan tetap berada di pihak golongan kafir segala jenis; kemenangan tetap tercapai juga oleh para pejuang Islam. Itulah ketentuan yang dijanjikan!

Selamatlah jiwa yang sempurna!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 21 Mei 2019.


1 comment:

  1. Keyakinan yang teguh lagi jitu.
    Bangsa Melayu menjadi mangsa politik,legasi peninggalan penjajahan British.
    Siapakah pemimpin teladan sebenar yang bakal mengemudi negara bangsa Melayu ini ke puncak jaya itu.Satu janji yang terbesar?.

    ReplyDelete