Baru-baru
ini timbul satu soalan yang menggerunkan, sekiranya benar. Benarkah para sasterawan Malaysia (tentunya
Melayu!) sudah membina satu budaya
kreatif berasaskan penipuan intelektual?
Ungkapan “budaya kreatif” tidak sukar untuk difahami; tetapi bagaimana
dengan ungkapan “penipuan intelektual”?
Menurut sumber yang saya terima, semua keraguan ini sudah wujud dan
sedang berkembang akibat asakan berterusan yang dilakukan oleh Gagasan Persuratan
Baru yang mencabar segala kepalsuan konsep dan amalan dalam penulisan dan
penilaiannya. Jika ini dapat diterima,
dan memang betul terjadi, nampaknya kita boleh membuat kesimpulan yang tepat
bahawa kehadiran Gagasan Persuratan Baru akan diperangi habis-habisan oleh para
sasterawan dan sarjana sastera dengan bantuan dan dorongan dua institusi bahasa
dan sastera yang besar, DBP dan ITBM.
Pada waktu ini nampaknya dua organisasi besar ini memang menyebelahi kumpulan
yang memusuhi PB dan tidak menerima konsep ilmu yang benar dalam kegiatan
kreatif dan kritikan sastera. Sukar
hendak menerima bahawa DBP dan ITBM, sebagai organisasi bahasa dan sastera,
menyebelahi satu kumpulan dengan menentang satu kumpulan lain yang ditakuti
oleh para sasterawan dan sarjana sastera.
Dalam konteks ini, dan dengan kesedaran inilah, saya menimbulkan masalah
yang saya sebut dalam entri yang lepas: persuratan adalah perjuangan. Nampaknya
kita tidak ada pilihan, jika kita benar-benar yakin kepada konsep ilmu yang
benar, melainkan untuk memerangi
kumpulan yang berusaha menegakkan “penipuan intelektual” dalam penulisan
kreatif dan penilaiannya.
Saya
difahamkan, tidak akan ada perbincangan serius tentang Gagasan Persuratan Baru dalam seminar kritikan dan teori sastera di
DBP pada 20 Jun nanti. Adakah ini pilihan
Ketua Pengarah dua buah organisasi
penting ini? Jika betul, saya
ingin menegaskan, usaha mereka akan gagal dan kesannya sangat buruk kepada
mereka dan organisasi mereka sendiri.
Ini bukan amaran, hanya sekadar peringatan ikhlas. Kita harus
mengelakkan sebarang tindakan yang berunsur penipuan dan pengkhianatan kepada
Prinsip Kebudayaan Kebangsaan yang telah diputuskan dalam seminar 1971 itu. Adakah prinsip ini tidak terpakai lagi? Tiada
siapa pun yang boleh memberi jawapan yang pasti, kerana kerajaan PH tidak
mempunyai Kementerian Kebudayaan.
Ada
desas-desus yang mengatakan
tanggungjawab ini diambil oleh Menteri Pendidikan sekarang. Tetapi saya
amat positif beliau tidak tahu menahu tentang Prinsip Kebudayaan Kebangsaan
yang dirumuskan dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971 itu. Beliau lebih terkenal sebagai Menteri Kasut
Hitam, bukan sebagai Menteri yang
mempunyai visi yang jelas dalam perkembangan ilmu berteraskan konsep
tauhid. Semua kemajuan moden yang kita
dapat sekarang berpunca daripada ulama dan ilmuan Islam yang menjadi pelopor
semua jenis ilmu, yang kemudiannya memungkinkan terbinanya tamadun Eropah. Kepada sesiapa juga yang berminat tentang
aspek ini, sila jenguk YouTube dan pilih program yang dikendalikan oleh misalnya
Sabreen Syeed dan lain-lain. Masalah
yang kita hadapi sekarang ialah sejarah tamadun Islam dan pengaruhnya dalam
semua jenis ilmu tidak diketahui oleh para sarjana, sasterawan, dan mungkin
juga Ketua Pengarah DBP dan ITBM. Jika dua orang tokoh ini tahu dan jujur dalam
tindakan mereka, maka mereka akan memberi sokongan kuat kepada PB, kerana PB
adalah lanjutan kemajuan ilmiah dalam Islam yang dipelopori oleh ahli ilmuan
Islam. Apa juga yang boleh membuat kita semua jadi cerdik dan kritis,
teruskanlah, jangan dikhianati seperti yang dilakukan oleh para sasterawan dan
sarjana sastera sekarang. Kita mahu
lihat hal ini berubah dalam seminar 20 Jun 2019 itu. Tidak ada alasan langsung
untuk mengkhianati perkembangan ilmu berasaskan konsep ilmu yang benar. Tidak
ada alasan sama sekali untuk menolak pengaruh tauhid dalam perkembangan ilmu.
Cintailah PB, supaya engkau jadi cerdik dan pintar.
“Selamatlah
jiwa yang sempurna.”
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 4 Mei 2019.
No comments:
Post a Comment