Jika anda
jemu membaca gesaan saya supaya para penulis kembali kepada konsep ilmu yang
diajarkan al-Quran, untuk membina tamadun ilmu di negara kita, maka kejemuan
itu adalah sesuatu yang positif, membuktikan anda masih mahu membaca blog ini.
Sekiranya anda sudah benar-benar bosan, lantas meninggalkan terus perbincangan
tentang peranan ilmu dalam pembinaan tamadun, maka keputusan anda itu mempunyai
risiko yang besar, sekiranya anda berada dalam kumpulan yang mendatangi masjid
setiap Jumaat. Apakah risiko itu anda sendiri lebih tahu, dan bukan urusan saya
untuk memperingatkan anda tentangnya kerana saya percaya anda tahu maksudnya.
Tugas saya hanya membicarakan dan terus membicarakan peranan ilmu dalam
penulisan dan penilaian karya sastera. Kerja ini mudah, walaupun amat sukar
untuk meyakinkan para sasterawan dan sarjana sastera bahawa sebenarnya membuang
masa sekiranya mereka menolak konsep ilmu yang benar itu dalam penulisan. Saya tidak ada bangkangan sekiranya anda mahu
meneruskan pemujaan terhadap teori Barat setelah didedahkan kepada alternatif
yang lebih baik dan lebih akademik melalui Gagasan Persuratan Baru; saya cuma
ingin memperingatkan bahawa anda sebenarnya membuang masa sekiranya masih mahu
menjadi pengikut teori Barat setelah alternatif yang lebih baik sudah pun ada. Saya
tiada apa-apa bantahan sekiranya anda mahu terus membantah PB hanya kerana saya
menolak sasterawan negara yang saya anggap sebagai penyelewengan yang jelas
dalam kritikan sastera yang menjadi pegangan para ahli Panel Anugerah Sastera
Negara. Sila baca kembali entri
bertarikh 9 April 2013 mengenai persoalan penting ini. Tulisan ini amat penting dibaca kembali oleh
sesiapa juga yang berfikiran waras untuk menyelesaikan satu masalah yang rumit
dalam kritikan sastera Melayu. Kerumitan
itu berpunca daripada penolakan terhadap konsep ilmu yang benar yang diajarkan
oleh al-Quran, dengan al-Quran itu sendiri sebagai sumber ilmu. (Nota: Sila rujuk YouTube tentang pengaruh
al-Quran dalam perkembangan sains moden, dibicarakan oleh Sabreen Syeed, antaranya terbaru 29/3/2019,
“How Islamic inventions changed the world.”)
Masalah ini
boleh diselesaikan, sekiranya dianggap penting, degan membicarakan dengan
mendalam konsep ilmu yang benar seperti yang dibicarakan oleh Gagasan
Persuratan Baru; dan bagaimana pula konsep ilmu itu difahami dalam teori
sastera Barat. Saya harap DBP sudi mengadakan satu seminar khusus untuk
membicarakan perkara ini, kerana persoalan ini tidak boleh lagi dibiarkan
keliru tanpa satu perbincangan serius dalam satu seminar kebangsaan mengenai
kritikan sastera. Saya difahamkan sudah
ada sekumpulan penulis muda, termasuk sarjana sastera, yang mempunyai hujah
yang menarik dan benar-benar mencabar yang mereka ajukan untuk menolak PB, yang
mereka panggil “fatamorgana akademik” yang mengelirukan. Kita perlu dengar
pendapat mereka kerana ini penting untuk perkembangan kritikan sastera. Dengan
menolak PB, golongan sarjana daripada kalangan anak muda ini akan mengembalikan
kedudukan para sasterawan negara di tempat yang sepatutnya mereka berada,
walaupun telah ditolak oleh PB sebagai hanya penyelewengan akademik yang
menentang konsep ilmu yang benar yang bersumberkan al-Quran. DBP dan ITBM boleh
membantu dalam merungkai permasalahan ini.
Adalah wajar
untuk memahami mengapa novel War and
Peace itu diterima sebagai sebuah novel terbesar dalam sastera dunia.
Apakah ukuran yang mereka gunakan untuk membolehkan novel itu muncul sebagai
salah satu novel terbesar dunia? Kita perlu tahu ukuran yang mereka gunakan,
untuk dapat digunakan dalam menilai novel-novel kita sendiri. Kita pun ingin
novel para sasterawan negara itu mempunyai nilai sastera dan lain-lain nilai
yang digunakan dalam kritikan Barat, dalam teori sastera mereka. Persoalan ini tidak selesai selagi tidak
ditentukan apakah ukuran yang dipakai dalam teori sastera Barat, dan sejauh
mana ukuran itu dapat dicapai oleh para penulis novel Malaysia yang terdiri
dari kalangan para sasterawan negara. Dalam
konteks inilah saya mengatakan novel Pujangga
Melayu jauh mendahului mana-mana novel dunia, termasuk War and Peace, kerana Pujangga Melayu ditulis berasaskan
konsep ilmu yang jelas dan isinya juga
mencerminkan hasil pemikiran yang mendalam dalam kehidupan manusia yang
percayakan Tuhan. Supaya perkara ini lebih mudah difahami, saya menganjurkan
kepada para sarjana sastera supaya menampilkan mana-mana novel yang ditulis
oleh para sasterawan negara yang setaraf dengan War and Peace, dan
mempunyai kekuatan kreatif dan kemampuan intelektual yang jauh meninggalkan Pujangga Melayu. Tidak seorang pun di
antara para sarjana sastera berani tampil menjawab cabaran ini, kerana mereka
tahu tidak sebuah pun novel yang dihasilkan oleh para sasterawan negara itu
dapat menandingi War and Peace, apatah lagi menandingi Pujangga Melayu. Kalau begitu, di mana
kekuatan karya para sasterawan negara ini untuk melayakkan mereka digelar
sasterawan negara. Jika cabaran ini tidak ditangani, maka secara logiknya
ternyata karya para sasterawan negara itu tidak bermutu, hanya karya picisan
saja. Bagaimana para penulis karya picisan boleh diangkat menjadi sasterawan
negara? Tentulah ada sesuatu yang tidak siuman di kalangan para penilai yang
kita kenal sebagai Panel Anugerah Sastera Negara itu. Perkara ini telah
dibincangkan dengan mendalam dalam buku saya Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden (Kuala
Lumpur: Wadi al-Irfan, 2019). Seminar
kritikan sastera yang akan diadakan pada 20 Jun 2019 nanti, anjuran DBP, perlu
membincangkan perkara ini kerana kita tidak mahu penipuan intelektual dalam
kritikan sastera ini berpanjangan. Para sarjana sastera yang terdiri daripada
orang muda yang menolak PB tentulah boleh memberikan hujah mereka yang
mempertahankan para sasterawan negara. Para sarjana dari golongan anak muda ini
tidak boleh bersembunyi di balik sehelai daun lalang, mesti tampil dengan gagah
berani mempertahankan kepalsuan yang dijadikan ukuran dalam memilih para
sasterawan negara itu. Inilah antara tugas
besar dalam dakwah intelektual yang dimaksudkan itu, untuk menyerlahkan
kebenaran bukan untuk menyembunyikan penipuan intelektual seperti yang berlaku
sekarang, yang telah dibincangkan dengan panjang lebar dalam blog ini dan dalam
buku yang dirujuk itu. Tidak wajar menjadikan penipuan intelektual sebagai asas
perkembangan sastera Melayu moden.
Seperti yang
diisytiharkan oleh Ketua Pengarah DBP, pemilihan sasterawan negara baru akan
diumumkan pada bulan Julai nanti. Apakah ukuran yang digunakan dalam pemilihan
itu? Jika masih digunakan ukuran lama yang melahirkan para sasterawan negara
yang menulis karya picisan, maka sasterawan negara yang baru ini pun pastilah
terdiri daripada penulis picisan seperti para sasterawan terdahulu. Apakah
alasan akademik untuk meneruskan pemilihan sasterawan negara yang juga menulis
karya picisan? Definisi picisan itu telah dibincangkan dengan jelas dalam blog
ini dan dalam buku Anugerah Sastera
Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden, oleh itu tidak sukar untuk
menolaknya sebagai definisi yang picisan. Supaya perkara ini difahami dan
disedari oleh para peserta seminar kritikan itu, terutama sekali di kalangan
para penulis kertas kerja dan pembahasnya, maka buku Anugerah Sastera Negara dalam
Kesusasteraan Melayu Moden itu perlu diedarkan kepada para peserta seminar
dan penulis kertas kerja serta pembahasnya.
Jangan biarkan para sasterawan negara ini kekal sebagai sasterawan
picisan tanpa sebarang pembelaan yang mantap daripada para sarjana sastera
sendiri yang akan dituduh sebagai sarjana picisan saja jika mereka terus
menyokong para sasterawan negara yang picisan ini. Pendeknya, buku Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden itu perlu ditolak dengan tegas dalam seminar itu,
dengan memberikan hujah yang padat, bukan yang picisan!
Ini pun satu
tugas penting dalam dakwah intelektual yang dimaksudkan.
Oleh sebab
konsep dakwah intelektual ini baru saja diperkenalkan, walaupun sudah lama
dipraktikkan, maka perbincangan tentang konsep ini diperlukan supaya kita dapat
menentukan ukuran yang jelas yang bila digunakan maka kita melibatkan diri
dalam dakwah intelektual ini. Khusus
dalam kritikan sastera Melayu, konsep dakwah intelektual ini perlu digunakan
untuk mengelak berleluasanya penipuan intelektual dalam membicarakan karya
sastera. Saya telah memberikan beberapa contoh mengenai penipuan dan
pembohongan intelektual dalam kritikan sastera ini, yang anda boleh dapat di
dalam blog ini dan di dalam buku yang dirujuk di atas.
Selamatlah
jiwa yang sempurna!
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 13 Mei 2019 (tarikh keramat untuk
diingati!)
No comments:
Post a Comment