Thursday, May 30, 2019

ADAKAH SASTERA MELAYU PUN SUDAH DIBERSIHKAN?



Tajuk kali ini adalah penutup entri yang lepas (26 Mei 2019).  Dibersihkan dari pada apa?  Tidak saja sastera Melayu perlu dibersihkan; lebih-lebih lagi kritikan sastera Melayu memerlukan pembersihan besar-besaran.  Kotor sangatkah sastera Melayu dan kritikan sastera? Jawapannya saya berikan dalam beberapa buah buku, terakhir ialah Anugerah Sastera Melayu Dalam Kesusasteraan Melayu Moden (2019).  Dalam entri yang lepas saya berikan rujukan untuk anda teliti sendiri.  Beberapa tulisan dalam bahasa Inggeris yang ditulis oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani  tidak dimasukkan, walaupun penting.

Mengapa sastera Melayu dan kritikan sastera Melayu perlukan pembersihan?  Apa jenis kekotoran yang memerlukan pembersihan itu?  Para sasterawan dan sarjana sastera masih lagi berpegang kukuh kepada teori sastera Barat, kerana mereka percaya sastera Melayu moden adalah warisan daripada sastera Barat, oleh itu terus bergayut kepada sastera Barat adalah satu kemestian yang mesti diteruskan jika sastera Melayu ingin dimajukan dan dikenali dunia.  Dengan berbuat demikian mereka berkata sastera Melayu akan menjadi anggota sastera dunia, suatu matlamat yang mesti dicapai sekiranya martabat sastera Melayu hendak dinaikkan ke taraf universal.  Hebat, tetapi kosong!

Ini mengingatkan kita kepada ucapan Angkatan 45, yang dengan sombong dan angkuh, tetapi bagi saya bodoh, menjeritkan bahawa “Sastera Indonesia Adalah Warisan Sastera Dunia.”  Penulis Melayu agak penakut dan ragu-ragu kerana mereka  tidak terdedah kepada sastera Barat ketika Asas 50 menjeritkan slogannya, yang totok dicuri dari gerakan Marxist dunia: “Sastera Untuk Masyarakat”.  Slogan ini, dan slogan yang satu lagi, “Seni Untuk Seni”, ditolak oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Bukhari Lubis, dalam syarahan perdana beliau di UPSI (2017). Rujuk hal. 21 untuk penjelasan lanjut.  Bagaimana pun, idea untuk merayau ke seluruh dunia menjadi impian sasterawan Melayu, terutama yang bergelar sasterawan negara. Jika anda mahu tahu bagaimana tingginya harapan mereka untuk menjelajah dunia dengan bantuan Kerajaan, baca dengan teliti buku terbitan ITBM  yang mengumpulkan kertas kerja satu persidangan besar tahun 2014 di Padang Golf di negeri Kedah.  Jika anda membaca beberapa cadangan para sasterawan ini untuk menonjolkan diri mereka dan karya mereka yang picisan, anda akan berasa pelik bagaimana sasterawan boleh mengemis pengiktirafan dengan cara yang begitu murah. Sila teliti buku itu sebelum anda menafikan kesimpulan saya. Saya memilih untuk mencabar, kerana ini lebih telus dan lebih adil kepada para sarjana dan sasterawan yang dicabar. Mereka perlu tahu dan faham mengapa dicabar untuk membuktikan mereka tidak picisan, tidak cetek meraba-raba.  Karya mereka dan tulisan mereka menjadi bukti sifat picisan ini; barangkali yang paling memeranjatkan ialah Panel Anugerah Sastera Negara memberikan laporan yang menjadi mercu tanda sifat picisan dalam penilaian sastera, yang anda boleh baca dalam buku saya terbaru, Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden (2019).

Jika anda faham maksud saya mengenai pembersihan ini, anda akan dapat membuat kesimpulan yang agak tepat bahawa yang perlu dibersihkan itu ialah ukuran yang digunakan untuk menilai para sasterawan negara. Seperti yang saya pernah ulang berkali-kali, Panel  Anugerah Sastera Negara memilih terlebih dulu siapa yang akan mereka gelar sasterawan negara, selepas itu baru dicari alasan untuk membenarkan pilihan mereka itu tepat. Saya telah memberi pandangan kritis tentang kesimpulan ini, yang kita boleh dapat lihat jika kita membaca dan menganalisis Laporan Panel Anugerah Sastera Negara.  Saya pernah mencadangkan kepada DBP supaya mengumpul laporan ini dan menerbitkannya dengan pengantar oleh seorang sarjana sastera. DBP hanya menerbitkan ucap utama penerima Anugerah. Kesan saya membaca ucap utama para sasterawan negara ini meyakinkan saya kita tidak perlukan sasterawan negara. Bukti paling kuat dan kukuh ialah isi ucap utama mereka yang … (anda boleh masukkan sendiri kata sifat yang anda fikir sesuai).  Perhatikan, sejauh mana karya mereka mencerminkan pujian mereka ke atas diri mereka sebagai sasterawan negara.

Terus bergayut kepada sastera Barat bukanlah satu kemajuan; malah tidak ada alasan sama sekali untuk para sasterawan dan sarjana berasa bangga berada dalam kandang sastera Barat sebagai  kumpulan yang bebas bercumbu mesra dengan nilai-nilai Barat yang menolak sama sekali nilai-nilai yang menjadi asas berkarya seperti yang dituntut dalam konsep ilmu yang benar.  Percumbuan dengan sastera Barat dan nilai-nilai teori sastera Barat adalah antara pembersihan yang perlu dilakukan untuk mengembalikan darjat manusia sebagai hamba dan khalifah Allah di dunia.  Inilah dua tugas besar manusia dalam Islam, yang tidak ada dan tidak dikenali dalam budaya Barat.  Sebaliknya Barat mengikut sepenuhnya ajaran Iblis dan Syaitan yang menganjurkan kebebasan penuh dalam berkarya, tanpa sebarang batasan nilai moral dan kepercayaan agama. Prinsip kebebasan inilah yang menjadi ikutan para sasterawan Malaysia, yang boleh anda lihat dengan jelas dalam karya mereka.  Tidak ada alasan sama sekali untuk mereka menolak kesimpulan ini, setelah mereka menolak bulat-bulat konsep ilmu yang benar.

Sejauh mana karya sastera Melayu mencerminkan dua tugas insan yang disebut di atas?  Saya telah menyatakan pandangan saya; oleh itu anda pulalah, sebagai sasterawan, untuk membuktikan bahawa anda menulis dalam konteks dua tugas besar manusia itu. Jika anda kecualikan diri anda sebagai sasterawan yang bebas, anda masih perlu memberikan pengakuan anda. Jika anda memilih untuk berdiam diri, bersikap lembu kenyang, maka keputusan anda itu menjadi bukti betapa palsunya kedudukan anda sebagai sasterawan negara dan sasterawan secara umumnya.  Sebagai satu cadangan ikhlas, anda tidak perlu melakukannya sendiri; cukup jika anda meminta para peminat anda memberikan pembelaan itu.  Ini telah dibuat oleh Mana Sikana, walaupun pembelaan beliau tidak ada kualiti akademik, hanya sekadar lontaran kata-kata pujian yang tidak dibuktikan dari pembacaan yang teliti dan kritis karya para sasterawan negara ini. Beliau telah menerbitkan tiga buah buku, tetapi buku-buku itu sama picisannya dengan karya para sasterawan negara sendiri.  Saya telah memberi ulasan saya dalam beberapa entri dalam blog ini.

Di sini pun kita perlukan pembersihan itu, dalam bidang akademik.

Bagaimana dengan pembersihan di DBP dan ITBM?  Jangan salah faham, yang saya maksudkan dengan pembersihan di DBP dan ITBM ialah perlunya kecekapan pengurusan dan kejujuran terhadap ilmu dijadikan panduan. Sekarang dua perkara ini tidak jelas, lebih terserlah untuk memihak kepada kelompok tertentu sambil mengambil sikap yang agak ganas terhadap individu atau kelompok yang tidak disukai. Ini jelas boleh dilihat, oleh itu tidak perlu penafian.  Yang masih menjadi tanda tanya, dan perlukan penjelasan, ialah bagaimana idea sasterawan negara ini muncul. Saya berpendapat, inilah kesempatan yang diambil oleh kumpulan Asas 50 yang bekerja di DBP untuk meletakkan diri mereka dan gerombolan mereka sebagai pelopor sastera Melayu moden.  Mereka menggunakan DBP untuk mendapat penghormatan tertinggi negara sebagai sasterawan negara.  Dalam konteks ini, adakah mereka jujur? Jika kita meneliti tokoh-tokoh yang diberi gelaran itu, kita dapati semuanya dari kelompok mereka. Jika mereka berkata, sebagai alasan yang amat lemah, bahawa tidak ada orang lain yang layak kecuali dari kelompok mereka; maka  jawapan itu membenarkan tuduhan selama ini bahawa mereka bekerja untuk kelompok mereka, bukan untuk sastera Melayu.

Kebenaran hanya dapat ditegakkan dengan hujah, dan setiap hujah mesti dibuktikan.  Prinsip ini dipakai dalam Mahkamah, tetapi tidak semua bukti itu benar. Ada bukti yang direka-reka, seperti  yang terjadi dalam kes Anwar Ibrahim yang difitnahkan dan fitnah itu dijadikan bukti di Mahkamah. Hukuman penjara dijatuhkan ke atas beliau berasaskan fitnah itu. Bagaimana ini boleh terjadi dalam perundangan?  Jawapannya mudah: yang berkuasa mesti menang, yang difitnah  mesti kalah.  Tetapi ini bukan sifat Islam. Ini sifat Iblis, malah inilah gerakan Iblis yang paling berkesan yang diterjemahkan dalam sistem demokrasi. Seperti yang telah diberitahu dalam entri yang lain, demokrasi adalah musuh Islam, bertentangan dengan Islam dan demokrasi sebenarnya tidak mempunyai nilai-nilai murni yang dapat diterapkan dalam kehidupan orang Islam. Demokrasi mengutamakan pertandingan dalam politik moden, dan untuk mendapat kemenangan ahli politik melakukan segala jenis kejahatan, paling utama ialah berbohong.  Inti demokrasi ialah mobilization of bias, yang dicurahkan dalam manifesto dan janji-janji palsu untuk menarik minat pengundi memilih parti tertentu. Dalam hal ini, Perdana Menteri  PH dengan jujur mengaku dia memang menjanjikan sesuatu yang tidak dapat dilaksanakannya kerana tiada keupayaan untuk itu; jadi beliau mengaku sudah berbohong untuk memenangi pilihan raya. Secara jujur dia mengaku berbohong kerana dia tidak sangka akan mendapat kemenangan besar. Paling celaka ialah apabila seseorang ahli politik menggunakan Islam untuk mendapat kemenangan dunia yang dicapai melalui sistem demokrasi yang mengutamakan pembohongan dan penipuan.  Islam menjadi rosak dan dihina serendah-rendahnya apabila seorang ahli politik membacakan ayat-ayat al-Quran untuk membenarkan propaganda politiknya.   Demokrasi dipaksakan ke atas umat Islam negara-negara Arab, yang kemudiannya menghancur-leburkan mereka.

Demokrasi dipaksakan ke atas umat Islam negara-negara Arab seperti yang berlaku di Libya, Iraq, Syria dan lain-lain. Dengan alasan untuk memperkenalkan demokrasi, Perancis mengebom Libya dan membunuh Ghadafi, sehingga sekarang Libya masih bergolak setelah sepuluh tahun dihancurkan Perancis. Syria hancur lebur, seperti yang kita lihat setiap hari dalam berita dunia. Iraq pun begitu. Demokrasi adalah musuh Islam dan musuh perdamaian.

Bagaimana pula keadaannya dalam bidang sastera?  Saya fikir saya telah memberikan jawapannya dengan panjang lebar dalam entri bertarikh 9/4/2013.

Bagusnya pula semua sasterawan dan sarjana sastera Malaysia menolak demokrasi, tetapi kerana sebab yang paling jahat, iaitu untuk menyisihkan Gagasan Persuratan Baru supaya tidak diberi tempat secara demokratik dalam kegiatan sastera.  Banyak sekali yang perlu dibersihkan dalam kegiatan sastera Malaysia, terutama sekali dalam kritikan sastera.  Saya biarkan kesimpulan ini tergantung di sini untuk memberi anda peluang yang cukup terbuka untuk  merenung sejenak apakah yang anda telah lakukan untuk mengkhianati perkembangan ilmu di Malaysia.

Selamatlah jiwa yang sempurna!


Mohd. Affandi Hassan,
 Petaling Jaya, 29 Mei 2019.






No comments:

Post a Comment