Cukuplah
setakat ini perbincangan saya tentang Pujangga
Melayu. Pembicaraan saya tentang
novel Melayu yang berani mencabar kedudukan novel Russia karya Tolstoy, War and Peace. Tidaklah Melayu malu sangat kerana para
sasterawan mereka menulis karya picisan, dengan idea yang juga picisan, dan
tekniknya yang picisan. Pujangga Melayu memberikan mereka maruah
intelektual yang gagal diberikan oleh para sasterawan negara. Gelaran sasterawan
negara itu tidak langsung mempunyai erti kerana karya para sasterawan negara
ini tidak sebuah pun dapat mengatasi Pujangga
Melayu. Demikianlah penipuan
intelektual dan penipuan penilaian berlaku dalam kesusasteraan Melayu. Para
sarjana dan sasterawan negara dan yang lain-lain berasa sangat megah kerana
dapat menipu masyarakat dengan menonjolkan tokoh palsu yang picisan karyanya
dan mereka sendiri pun picisan pula pengetahuannya. Kita wajib tolak gerombolan
picisan dalam sastera Melayu supaya masyarakat tidak terus tertipu untuk
menerima karya picisan yang palsu dari segi ilmu. Tuntutan ini sangat besar,
tetapi mesti dilaksanakan jika kita ingin menyelamatkan anak muda dan generasi
akan datang daripada pengaruh palsu yang
anti-ilmu ini.
Entri saya
seterusnya akan memberi penekanan kepada soal kepemimpinan dalam politik
Melayu; soal pendidikan yang berteraskan konsep ilmu yang benar; soal kritikan
sastera yang perlu mencabar kepalsuan teori sastera Barat; soal bagaimana PB
boleh dijadikan asas penulisan kreatif dan penilaiannya dalam persuratan
Melayu, termasuk sastera. Satu perbincangan khusus tentang tiga kategori karya (karya persuratan, karya sastera, dan
karya picisan/erotik dan lucah) perlu
dimulai secara jujur, untuk menilai sama ada pembahagian itu boleh
membantu kita memulai perkembangan baru dalam kegiatan kreatif dan dalam
penilaiannya. Kita juga harus membincangkan dengan kritis sama ada pembahagian
yang ada sekarang, dengan memberi perhatian yang berlebihan kepada sastera,
sebenarnya menyekat perkembangan pemikiran baru dan kaedah baru dalam penulisan
kreatif dan penilaiannya. Kita terlalu bergantung pada teori sastera Barat,
sehingga kita menjadi hamba kepada pemikiran Barat yang kita tidak fahami
dengan mendalam dan dapat melihat dengan jelas kekurangan teori Barat itu yang
sebenarnya bertentangan dengan konsep ilmu yang diajarkan kepada kita oleh
al-Quran dan ajaran Nabi SAW. Apa
untungnya kita meneruskan keterikatan itu kepada Barat; dan apa ruginya kita
jika kita memahami konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh al-Quran dan
ajaran Nabi SAW? Semua persoalan ini
memerlukan kita melihat dengan kritis kedudukan persoalan yang kita hadapi
sambil menentukan arah yang terbaik untuk kita tuju. Dalam konteks inilah
pentingnya kritikan yang paling kritis diarahkan kepada Pujangga Melayu dan karya para sasterawan negara untuk mendapat
kepastian mana satu pilihan terbaik dan yang paling tepat. Tetapi para sarjana sastera dan sasterawan
negara sendiri bermati-matian mempertahankan kedudukan istimewa sasterawan
negara yang above criticism, tidak
boleh dikritik dan tidak boleh disentuh. Inilah Brahmin Sastera, orang suci
sastera Melayu yang bersih dari segala kesalahan dan kekurangan. Status ini hanya diberikan oleh orang
Inggeris kepada William Shakespeare seorang saja; oleh itu semua sasterawan
negara adalah setaraf dengan William Shakespeare tetapi tidak setaraf dengan
Tolstoy, kerana karya Tolstoy War and
Peace tidak boleh ditandingi oleh mana-mana karya para sasterawan negara
yang diangkat menjadi Brahmin Sastera ini.
Tolstoy adalah seorang pengkritik Shakespeare yang paling violent. Saya tidak pasti berapa orang
sarjana sastera Malaysia pernah membaca kritikan Tolstoy terhadap Shakespeare
ini. Saya hanya ingin membuat catatan kecil, memang patut jika para sasterawan
negara ini tidak sukakan Tolstoy kerana tiada sebuah pun karya mereka setaraf
dengan War and Peace; tetapi karya
itu kata mereka setaraf dengan karya Shakespeare! Tentu anda masih ingat cerita
pendek “Sasterawan Negara William Shakespeare”.
Kalau anda membaca Shakespeare dalam konteks konsep ilmu yang difahami
dalam Islam, tidak sebuah pun karya beliau boleh diterima sebagai karya bermutu
yang setanding dengan karya Tolstoy. Kalau begitu, patutlah para sasterawan
negara dan penyokong mereka para sarjana sastera menerima dengan baik sekiranya
Shakespeare diberi gelaran Sasterawan Negara!
Bagaimana
pula kedudukan karya saya sendiri? Saya menunggu keputusan yang akan dibuat,
atau sudah pun dibuat oleh para sarjana sastera penyokong sasterawan negara
ini. Para sasterawan negara ini boleh bernafas lega kerana mereka setaraf
dengan William Shakespeare. Adakah ini membuktikan para sasterawan negara ini
sasterawan yang hebat? Yang boleh
menjawabnya hanya Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, kerana beliau pakar
sastera Melayu dan seorang pakar yang disegani mengenai Shakespeare. Para pelajar universiti Tahun I bolehlah
memohon pensyarah sastera mereka supaya membuat soalan peperiksaan tentang
perkara ini. Oleh sebab Prof. Emeritus Dr. Muhammad Hj. Salleh pernah
memberitahu saya dan para pembaca tentang ranking saya yang amat rendah, maka
bolehlah kita buat kesimpulan bahawa para sasterawan negara ini setanding dan
setaraf dengan Shakespeare. Bayangkan kehebatan sastera Melayu yang mempunyai
13 orang sasterawan negara yang tak lama lagi akan mendapat sasterawan negara
baru pula, bulan Julai 2019 nanti, dan kesemua mereka adalah setaraf (mungkin
ada yang lebih tinggi tarafnya) dengan Shakespeare. Dalam konteks ini, bagaimana kedudukan Hikayat Buyung Lurus? Lebih bermutu atau
rendah tarafnya jika dibandingkan dengan karya Shakespeare? Saya dan mungkin
orang lain juga hendak tahu kedudukan Hikayat
Buyung Lurus ini. Tetapi jangan khuatir, tiada siapa pun yang berani
bercakap tentang perkara ini. Mereka
tidak mahu kelihatan bodoh dan mengarut jika mereka tidak menguasai dengan agak
jelas, walaupun tidak mendalam, makna dan matlamat konsep ilmu yang benar yang dibayangkan dalam novel itu, yang
sebenarnya telah dibahaskan dengan mendalam dalam Pujangga Melayu yang terbit lebih awal. Hikayat Buyung Lurus memberi penekanan kepada aspek korupsi seperti
yang difahami dalam Islam yang menggunakan konsep fasad. Konsep fasad ini
lebih menyeluruh, tidak hanya terbatas
kepada pertukaran wang semata-mata seperti makna yang diberikan kepada korupsi.
Dengan itu, dan ini perlu diberi penekanan, penggunaan istilah korupsi dalam
konteks itu pun adalah perbuatan fasad, yang dengan sengaja menyembunyikan
makna fasad yang menyeluruh itu, termasuk korupsi dalam kefahaman tentang ilmu,
juga dalam kefahaman tentang makna kreatif menurut pandangan Islam.
Kita kembali
kepada ungkapan “persuratan adalah perjuangan” untuk memahami mengapa konsep ilmu yang benar itu sangat
penting dalam membina tamadun intelektual yang sebenar di Malaysia. Aspek ini
tidak pernah dibincang oleh mana-mana sarjana sastera mahu pun para sasterawan
negara sendiri. Sebabnya sangat mudah. Jika aspek ini mereka jadikan inti perbincangan
mereka, maka mereka akan dapati semua para sasterawan negara adalah picisan dan
semua karya mereka pun jenis picisan. Oleh itu, menurut mereka, lebih selamat
jika perkara yang menjadi inti ungkapan “persuratan adalah perjuangan” itu
tidak disentuh, malah dilarang daripada dibincang. Mereka tahu, mereka tidak
boleh berkata “sastera adalah perjuangan” kerana idea ini tidak pernah muncul
dalam tradisi penulisan yang mereka ikuti, yang dilemparkan oleh Asas 50 dalam slogan
kosong mereka “sastera untuk masyarakat” itu.
Apa yang hendak mereka beri kepada masyarakat, terutama sekali dalam
perkembangan intelektual? Kosong. Tidak ada apa-apa yang akan membolehkan kita
membina sebuah masyarakat yang cintakan ilmu dan memperjuangkan kebenaran ilmu
seperti yang diajarkan al-Quran. Mereka tidak mempunyai apa-apa visi yang boleh
dijadikan landasan untuk membina sebuah negara beradab, kerana karya mereka
sendiri tidak mementingkan konsep adab dalam pembinaan tamadun yang kita ingin
bina untuk bangsa kita. Kalau begitu, apakah yang mereka bolah lakukan melalui
karya mereka? Sama ada disedari atau
tidak oleh mereka, sebenarnya mereka sedang membina kebiadaban baru berasaskan
hawa nafsu, menerima budaya hawa nafsu yang dikembangkan di Barat untuk
dijadikan contoh. Ini semua boleh kita lihat dalam karya mereka, seperti yang
saya telah huraikan dalam buku saya, Anugerah
Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden, yang wajib dibaca oleh
semua penulis Malaysia jika mereka tergolong dalam kumpulan penulis yang jujur
terhadap ilmu.
Perbincangan
tentang peranan ilmu dalam penulisan kreatif masih baru lagi di Malaysia,
bermula dengan tulisan saya di majalah Dewan
Sastera 1989, yang kemudiannya diedit oleh Puan Rogayah Abdul Hamid untuk
diterbitkan oleh DBP tahun 1992. Cetakan ke-2 diusahakan oleh KP Dewan Bahasa
dan Pustaka sendiri. Beliau ialah Prof. Firdaus Abdullah. Anda boleh agak judul
buku itu, oleh itu tidak perlu dicatat di sini.
Selepas itu terbit buku-buku yang secara khusus membicarakan Gagasan
Persuratan Baru, diterbitkan oleh UKM di bawah kelolaan Prof. Ungku Maimunah
Mohd Tahir dan Prof. Madya Dr. Mohd Zariat Abdul Rani. Daripada usaha merekalah PB diperkenalkan di
peringkat antara bangsa berupa kertas kerja yang dibentang dalam persidangan
sastera dan kritikan dan kemudiannya diterbitkan di dalam jurnal.
Sejauh mana
PB dikenali di Malaysia sendiri saya tidak pasti; tetapi itu tidak penting. Lebih penting ialah
mengapa konsep ilmu yang benar itu penting?
Saya berikan satu contoh yang paling bodoh dan mudah, yang begitu mudah
sehingga orang yang paling bodoh sekali pun boleh faham. Kalau anda menahan
sebuah teksi, dan anda dibenarkan masuk, maka bertanyalah pemandu teksi itu,
“Encik hendak ke mana?” Lalu anda pun
memberi alamat anda, pemandu memandu teksinya dengan berhati-hati, dan setelah
beberapa lama anda pun sampai di rumah anda. Apa yang anda buat? Biasanya
terlebih dulu anda bertanya berapa tambangnya, sebelum keluar dari teksi itu.
Anda bayar, dan keluar lalu masuk ke dalam rumah anda. Setakat ini, anda faham
maksud saya membawa contoh yang bodoh dan mudah ini? Tidak mengapa sekiranya anda tidak faham, itu
tandanya anda tidak siuman. Tetapi kalau anda tidak siuman, mengapa pula anda
menahan sebuah teksi untuk pulang ke
rumah anda? Sebenarnya orang gila pun
tahu di mana rumahnya, jika dia ada rumah. Jika dia tidak punya rumah, dia
tidak perlukan teksi; cukup dengan merayau-rayau mencari tempat yang sesuai
untuk tempat berhenti dan mungkin untuk tidur. Walaupun dia gila, dia tahu dia
tidak akan tidur di tengah jalan yang sibuk dengan kereta lalu lalang. Dia pun
mahu selamat dalam kegilaannya. Lalu dia berhenti di kolong jambatan yang di
atasnya bising dengan kereta lalu dengan laju. Dia pun tidur. Kalau dia tidak
mati ketika sedang tidur, dia akan bangun dan meneruskan kehidupannya sebagai
orang gila. Katalah anda bertemu dengan orang gila itu, dan sebagai seorang
sasterawan anda pun bertanya, “Mengapa kamu gila? Bahagiakah kamu sebagai orang
gila?” Orang gila itu merenung anda
dengan matanya terkelip-kelip, tersenyum, dan setelah beberapa ketika, lalu bertanya,
“Adakah pertanyaan tuan siuman? Mungkin anda juga gila, malah lebih gila
daripada saya… Boleh beri saya seringgit untuk beli minuman?” Dia pun
menghulurkan tangannya, dan anda pun berlalu dari situ. Tetapi anda seorang
sasterawan, ketika itu anda berfikir keras, dan bertanya dengan jujur kepada
diri anda, “Tidakkah pertanyaan orang gila tadi satu pertanyaan yang siuman?
Adakah aku terlalu menggilai sastera sehingga tidak tahu makna kebenaran?”
Sebuah
lakaran satu cerita yang kemungkinannya untuk dijadikan sebuah novel yang
bermakna tidak terbatas, boleh saja dibentuk secara kreatif untuk dijadikan
sebuah novel besar yang memberi makna yang juga besar kepada seorang pembaca
yang cerdik dan jujur kepada ilmu, yang tahu peranan ilmu dalam kehidupan
manusia yang siuman. Itulah Pujangga Melayu,
satu-satunya karya Melayu yang tuntas mencabar karya Tolstoy, War and Peace. Seorang pengarang yang tidak sanggup
melontarkan cabaran seperti itu, maka dia bukanlah pengarang yang berbobot
(pertama kali saya guna perkataan ini), tetapi hanya seorang penulis yang
hanyut dalam imaginasi karut naik sebuah teksi, tetapi tidak tahu ke mana
hendak pergi. Sampai habis minyak pun dia masih tidak tahu di mana hendak
berhenti. Adakah tidak pemandu teksi
yang tidak tahu tempat yang hendak ditujunya? Ada, oleh itu dia minta
penumpangnya memberitahu. Bagaimana jika penumpang itu tidak tahu ke mana dia
hendak pergi? Dialah sasterawan negara yang dilambung-lambung itu!
Kalau ada
seorang sasterawan yang seperti dalam sketsa itu, heret dia ke Sungai Kelang
dan campakkan saja ke dalam Sungai Kelang yang kini sudah dibersihkan. Adakah
sastera Melayu pun sudah dibersihkan?
Selamatlah
jiwa yang sempurna!
Rujukan:
Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan
Tauhid.
Gagasan Persuratan Baru, edisi ke-2.
Hikayat Buyung Lurus.
Hikayat Salim Adil.
Balai Maqamat.
Pujangga Melayu.
Pandirisme Dalam Komunikasi Dunia.
Anugerah Sastera Negara dalam
Kesusasteraan Melayu Moden.
Ungku
Maimunah Mohd. Tahir, Ilmu Teras
Persuratan Melayu.
Ungku
Maimunah Mohd. Tahir, Islam dan Pengaruh
Barat dalam Kritikan.
Ungku
Maimunah Mohd. Tahir, Kritikan Sastera Melayu: Antara Cerita dengan
Ilmu.
Ungku
Maimunah Mohd. Tahir, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu.
Muhammad
Bukhari Lubis, Kesusasteraan Islami Bandingan: Menyingkap Tabir Mengungkap Fikir.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya,
26/5/2019.
Gagasan Persuratan Baru,
ReplyDeleteMenyingkap tabir kegelapan
Merungkai kemelut yang membelenggu jiwa dan minda
Salam sejahtera bahagia selamanya.