Friday, May 3, 2019

PERSURATAN ADALAH PERJUANGAN: SATU NOTA KECIL YANG PENTING



Sudah banyak kali saya  mengulang  penegasan saya bahawa saya menjadi penulis ialah kerana saya mahu mencerdikkan bangsa Melayu, mengembalikan mereka  kepada kegemilangan peradaban yang pernah mereka bangunkan satu ketika dulu. Saya menulis novel Pujangga Melayu untuk dijadikan peringatan, kalau tidak pun panduan kepada bangsa Melayu untuk mencapai kejayaan dunia dan akhirat, dengan keutamaan kepada akhirat. Orang Islam yang ragu-ragu kepada keadilan akhirat bukanlah orang Islam, kerana itu dua dunia yang berbeza ini dipisahkan dengan diberi keutamaan kepada kemegahan dunia para sasterawan negara. Bagi para sasterawan, kemegahan dunia yang paling besar ialah dipilih menjadi sasterawan negara. Timbul persoalan, mengapa saya menjadi penentang projek sasterawan negara ini begitu tegas menolak kehadiran sasterawan negara dalam kebudayaan Melayu?  Tidak ada kejujuran dalam melaksanakan projek ini; malah tercetusnya idea tentang sasterawan negara ini bermula daripada keinginan untuk  memberi kedudukan istimewa kepada para sasterawan Asas 50.  Anda tidak perlu tanya saya mana buktinya. Anda hanya lihat siapa penerima pertama  gelaran sasterawan negara ini.  Siapa pula yang menerimanya selepas itu. Tentu saja dimulai oleh Keris Mas, yang juga orang yang mencadangkannya kepada Perdana Menteri ketika itu, juga dari Pahang.  Selepas Keris Masa, siapa? Sepatutnya Uthman Awang, tetapi direbut oleh orang lain. Siapa beliau? Mengapa beliau yang kedua? Keanehan paling pelik ialah laporan karya untuk sasterawan negara ini hanya 18 halaman. Apa sudah jadi dengan Panel Anugerah Sastera Negara yang begitu pemalas, atau lebih tepat tidak cukup bahan untuk ditulis. Mengapa ringkas sangat laporan untuk sasterawan ini, padahal dia kemudiannya digelar oleh peminatnya sebagai Raja Novelis Malaysia.  Kalau RTM mahu, saya bersedia menulis skrip drama para sasterawan negara ini. Tapi saya perlu kasi tahu, skrip itu akan sama dengan skrip Pendekar Bujang Lapok.  Mesti ada humor, kerana pelantikan para sasterawan negara ini adalah lawak jenaka yang paling hebat dalam kegiatan intelektual Malaysia.  Kalau saya tidak beritahu pun semua orang tahu. Baca dengan kritis buku saya yang serius, Anugerah Sastera Negara Dalam Kesusasteraan Melayu Moden (Wadi al-Irfan, 2019).

Permainan silap mata dalam pemilihan sasterawan negara ini sudah dikanunkan,  oleh itu bukan sesuatu yang aneh lagi. Yang aneh barangkali mengapa tidak diberikan setiap tahun, supaya semua sasterawan yang berada dalam kelompok Mutual Admiration Club mendapat habuan masing-masing.  Kalau perlu bisa saja diberikan kepada dua orang sasterawan sekali gus, supaya tidak lama sangat menunggu giliran. Saya kira ini adil, supaya semua dapat merasa. Tetapi di sini terdapat sedikit masalah, yang boleh kita selesaikan dengan mudah dan berkesan.  Kita beri peluang kepada semua sasterawan yang masih hidup untuk memilih dua atau tiga orang calon, yang akan dikemukakan kepada Panel Anugerah Sastera Negara. Dengan cara ini, para sasterawan negara diberi peluang untuk memilih rakan-rakan baru dalam kumpulan mereka.  Cara ini sesuai dengan tajuk entri kali ini, dengan mengubah persuratan menjadi sastera, maka jadilah: Sastera adalah peniruan, bukan perjuangan…

Tetapi maksud saya dalam entri ini berbeza, kerana yang saya maksudkan dengan perjuangan itu ialah mewujudkan satu sistem baru dalam penulisan kreatif dan kritikan sastera, yang diasaskan kepada konsep ilmu yang benar, dan mempunyai prinsip yang jelas dalam Persuratan Baru seperti yang dihuraikan dalam buku Gagasan Persuratan Baru, edisi ke-2.  Dalam bidang sastera sistem ini, jika ada sekali pun, berpandukan teori sastera Barat seluruhnya, oleh itu kegiatan ini bukan satu perjuangan, sebaliknya hanya satu peniruan semata-mata.  Oleh itu tidak ada perkara baru, kerana semuanya sudah dirasmikan sebagai sistem dalam sastera Barat, yang tidak mungkin dirombak oleh para sarjana dan sasterawan Malaysia.  Lagi pula mereka tidak mempunyai kemampuan intelektual  dan akademik untuk melakukannya; sebaliknya kefahaman mereka sendiri pun sangat cetek bila mereka berbicara tergagap-gagap tentang teori sastera Barat.  Sebagai peniru pun mereka golongan second class saja, bukan peniru yang kreatif dan original.  Tidak seorang pun para sarjana sastera Malaysia mempunyai  kemampuan akademik sebagai peniru untuk membicarakan teori sastera Barat dengan meyakinkan. Sekiranya ada, silalah beri contohnya untuk kita nilai usaha itu. Hingga kini saya belum lagi menemui satu percubaan yang asli dalam peniruan ini, kecuali hasil penyelidikan Dr. Norhayati Ab. Rahman yang berjaya melahirkan satu teori baru yang dipanggil the aesthetics of adultery, termuat dalam tesis Ph.D. beliau yang telah diterbitkan. Buku tentang the aesthetics of adultery ini telah mendapat beberapa hadiah utama dalam bidang akademik, membuktikan usaha beliau memperkenalkan the aesthetics of adultery itu mendapat sambutan yang baik dan telah membuat para juri yang memilih hadiah utama itu amat kagum dengan usaha beliau itu.

Bolehkan kita berkata the aesthetics of adultery ini satu perjuangan yang murni dalam bidang akademik di Malaysia?  Berasaskan hadiah dan pujian yang diterima oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman kita boleh dengan selamat berkata kalangan akademik yang bergelar sarjana sastera menerima dengan senang hati teori baru yang bernama the aesthetics of adultery itu. Dengan munculnya teori baru ini, tidak ada lagi karya lucah dan picisan seperti yang kita kenal dulunya, kerana karya begini telah diserap sebagai sumbangan akademik yang penting dalam teori the aesthetics of adultery ini.  Dr. Norhayati Ab. Rahman telah memberi  beberapa contohnya dalam tesis beliau yang diterbitkan itu.

Ungkapan “persuratan adalah perjuangan” itu bukan satu slogan seperti misalnya  slogan Asas 50 “sastera untuk rakyat”.  Dalam keadaan sekarang, ungkapan “persuratan adalah perjuangan” itu ditolak oleh para sarjana sastera dan para sasterawan  kerana menurut mereka ungkapan itu tidak wujud setelah mereka menolak Gagasan Persuratan Baru.  Oleh itu, untuk siapakah seruan “persuratan adalah perjuangan” itu?  Seruan ini ditujukan kepada dua buah organisasi sastera yang penting di Malaysia, DBP dan ITBM, untuk dijadikan  program mereka sesuai dengan kewujudan mereka sebagai organisasi sastera dan persuratan.  Dalam konteks DBP yang akan mengadakan satu seminar kebangsaan dalam kritikan sastera Jun 2019, ungkapan “persuratan adalah perjuangan” itu sesuai dijadikan satu tajuk penting sebagai tajuk perbincangan bersama tajuk-tajuk lain yang akan dibincang dengan serius dalam seminar itu.  Menggiatkan perkembangan persuratan adalah sebahagian daripada program DBP yang tidak boleh diketepikan.  Ini adalah program untuk mencerdikkan bangsa Melayu di samping menggalakkan penerbitan yang bercorak persuratan, yang diuruskan bersama dalam menggiatkan penerbitan bersifat sastera. 

Walaupun para sasterawan negara akan menentang cadangan ini, mereka tentulah tidak akan lupa jasa DBP yang telah memilih mereka untuk dilantik sebagai sasterawan negara, dengan itu hak mereka untuk membantah program kerja DBP tidak timbul, dan jika sekalipun mereka timbulkan, mereka hanya memburukkan lagi imej mereka yang sedia buruk di kalangan ahli akademik yang tidak mahu kumpulan ini  mengawal corak kegiatan DBP yang ditubuhkan untuk menggalakkan  penerbitan bermutu termasuk dalam bidang persuratan.  Apakah hak sasterawan negara untuk menolak konsep persuratan?  Mereka boleh menolak Gagasan Persuratan Baru, tetapi ini tidak bermakna mereka berhak untuk menolak konsep persuratan yang masih terpakai dalam kegiatan sastera.  Lagi pula campur tangan secara terus dalam rangka kerja DBP boleh dianggap biadab, dan amat dikesali. Tidak wajar sama sekali para sasterawan negara  berkelakuan seperti itu.

Dengan penjelasan ini, ungkapan “persuratan adalah perjuangan” wajar dijadikan sebagai sebahagian daripada program kerja DBP, sesuai dengan penubuhan DBP untuk menjaga bidang persuratan Melayu dan sasteranya. Tidak ada sebab untuk menolak satu program yang matlamatnya untuk mencerdikkan bangsa Melayu.  Usaha untuk mencerdikkan bangsa Melayu ini tidak kelihatan, malah tidak wujud dalam karya para sasterawan negara. Contoh-contohnya telah saya senaraikan dalam buku saya Anugerah Sastera Negara Dalam Kesusasteraan Melayu Moden (2019).

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 3 Mei 2019.

No comments:

Post a Comment