Tidak.
Itulah penegasan saya, yang diasaskan kepada beberapa faktor yang sudah lepas
dan yang sedang dicanang pada waktu ini.
Tidak logik sama sekali untuk melihat perubahan jika Perdana Menteri
sekarang adalah yang rekon daripada manusia yang sama yang telah menjadi
PM selama 22 tahun. Ini orang sekarang
sedang berusaha mengembalikan pengajaran bahasa Inggeris dalam subjek sains dan
matematik. Untuk pengetahuan kepada yang masih bodoh, tidak tahu sejarah
intelektual, yang membina dunia baru di Eropah ialah para ulama dan sarjana
Islam, yang membina matematik baru misalnya dengan memperkenalkan ilmu aj-jabar
(algebra). Siapa memperkenalkan ilmu baru ini? Dialah yang memberi nilai kepada
angka sifar yang dulunya tidak bernilai. Siapa orangnya? Dialah tokoh terbesar
dalam beberapa ilmu yang sepatutnya diketahui oleh semua menteri kabinet
sekarang, terutama sekali Perdana Menteri sendiri. Saya sangat yakin, tidak seorang
pun di antara ahli kabinet, tidak juga PM, tahu siapa sebenarnya al-Khawarizmi,
yang memberi anda ilmu al-jabar dan kemudiannya memungkinkan ahli sains baru
kononnya mendarat di bulan. Gila dan bodohlah jika sesiapa sekali pun ingin
mendaulatkan bahasa Inggeris ketika bahasa Melayu sedang terancam untuk
dihapuskan sebagai bahasa seluruh rakyat. Kalau anda dengar ucapan di Parlimen,
anda rasa hendak ke Dewan Rakyat membawa telur kemelar untuk dilontar kepada ahli-ahli yang berhormat yang
tergagap-gagap berbahasa Melayu, seolah-olah mereka tidak hormat langsung
kepada Perlembagaan Malaysia yang menjadikan bahasa Melayu itu bahasa Negara.
Bahasa Melayu tidak saja bangsat di Dewan Rakyat, tetapi lebih bangsat lagi
dalam percakapan rakyat Malaysia yang menolak bulat-bulat penggunaan bahasa
Melayu yang standard. Ada anda dengar Cina atau India bila sesama mereka
bercakap bahasa Melayu yang baik? Tidak. Tidak mungkin berlaku di Malaysia,
tetapi berlaku di Indonesia bila keturunan Cina fasih berbahasa Indonesia.
Sekiranya Perlembagaan Malaysia itu the
supreme law, kita tidak boleh benarkan pengkhianatan ini. Tetapi tiada
siapa pun persoalkan perkara ini. Anda akan dituduh perkauman jika
mempersoalkan penggunaan bahasa Melayu standard di kalangan Cina dan India.
Amat hairan mengapa Melayu memperbodohkan diri mereka menerima multi-lingualisme
di Malaysia, yang kini sudah dirasmikan dalam perlembagaan yang memberi
kebebasan penuh untuk membuka sekolah Cina dan Tamil, yang sekarang perlu
diberi bantuan sama rata dengan sekolah kebangsaan. Sekali lagi, jika anda persoalkan perkara ini,
anda adalah perkauman. Anda mesti ingat,
bagi Cina dan India, anda yang kononnya Melayu itu adalah juga pendatang.
Mereka tidak tahu orang Melayu telah ada tamadun besar 40,000 tahun sebelum
Cina dan India mempunyai tamadun. Melayu
mendiami Nusantara, yang juga di panggil Kepulauan Melayu. Kasi tahu sama Cina
dan India sejarah ini, dan beri mereka faham bahawa keturunan asal mereka jauh
lewat tamadunnya daripada orang Melayu yang antara yang terawal membina
tamadun. Sejarah ini wajib diperkenalkan kepada semua murid setiap sekolah yang
ada, tidak kira sekolah Cina, Tamil atau sekolah Kebangsaan. Masalahnya,
Menteri Pendidikan sendiri tidak tahu sejarah ini!!! Menjadi kewajipan rakyat Malaysia untuk
“mendidik” dan “mengajar” Menteri Pendidikan kita yang tidak kenal sejarah itu. Menteri Pendidikan dan PM sendiri mesti kasi
tahu sama masyarakat Malaysia sejarah sebenar bangsa Melayu; dan buku sejarah
itu mesti ditulis sekarang untuk kegunaan semua sekolah dan untuk bacaan ahli
politik dan masyarakat Malaysia dan dunia.
Bagi bangsa
Melayu, menguasai bahasa Arab adalah wajib supaya mereka kenal al-Quran, oleh
itu bahasa Arab mesti diwajibkan dalam pendidikan negara. Kalau ada yang berkata bahasa Arab tiada tempat dalam
sistem pendidikan Malaysia, maka mereka berkata al-Quran tidak boleh diajar
dalam bahasa Arab! Tidakkah ini gila dan menghina agama. Tujuan kita mengajar
bahasa Arab supaya rakyat Islam tahu kandungan al-Quran, dan inilah gerakan
yang akan mencerdikkan mereka, menjadikan mereka boleh berfikir dengan bebas
membicarakan semua jenis ilmu dan mengenal tokoh-tokoh ilmu dalam Islam. Inilah cara terbaik untuk menghapuskan
korupsi semua jenis. Cara yang dilakukan sekarang kononnya hendak menghapuskan
korupsi tidak akan berjaya, kerana kamu tidak melihat masalah ini dalam konteks
perbuatan fasad yang diberi tekanan
dalam al-Quran. Korupsi tidak hanya ambil wang, tetapi korupsi yang paling
utama ialah korupsi ilmu. Bila terjadi
korupsi dalam fahaman tentang ilmu, maka terjadilah kebiadaban dalam
masyarakat. Inilah yang berlaku sekarang, terutama sekali dalam sastera Melayu
moden.
Hakikat ini
memang disedari, tetapi diteruskan kerana kebiadaban sudah dijadikan budaya
dalam penulisan kreatif dan kritikan sastera.
Seperti yang saya selalu ulang berkali-kali dalam blog ini dan di
lain-lain tempat, para sasterawan negara tidak dapat dipertahankan dalam
konteks apa sekali pun, kecuali dalam konteks kebiadaban kebudayaan Melayu
setelah budaya Melayu menerima pengaruh Barat sebagai asas perkembangan sastera
Melayu, dengan menolak konsep persuratan yang sedia kala menjadi asas penulisan
dalam budaya Melayu. Tidak ada sesiapa
pun menafikan kebenaran hakikat ini, tetapi mereka tidak boleh berbuat apa-apa
untuk menghadapi cabaran intelektual ini kerana kemampuan intelektual mereka
amat terbatas dan pada waktu yang sama mereka tahu tidak terdapat sebuah pun
karya para sasterawan negara yang dapat menandingi Pujangga Melayu. Ke mana mereka hendak meletak muka mereka setelah
mereka sedar akan hakikat ini? Mereka boleh meniru burung kasuari membenamkan
muncung dan leher ke dalam pasir untuk memastikan dari arah mana musuhnya akan
datang; tetapi tentulah tidak wajar
menganggap PB sebagai musuh yang mesti dielakkan; sebaliknya pilihan yang lebih
siuman dan bertamadun ialah menghadapi cabaran PB sebagai satu tuntutan
intelektual yang mesti dihadapi oleh
sesiapa juga yang meletakkan dirinya dalam gelanggang intelektual yang tidak
bijak untuk melarikan diri dari tanggungjawab intelektual menghadapi sebarang
cabaran yang datang. Lagi pula, PB dan Pujangga Melayu bukanlah cabaran, hanya
satu perkembangan baru yang memerlukan perhatian biasa saja, bukan permusuhan.
Permintaan
untuk memilih sebuah karya besar yang dihasilkan oleh para sasterawan negara
yang boleh menandingi War and Peace tidak boleh dielakkan kerana klaim sudah
dibuat oleh para sarjana bahawa Malaysia sudah pun mempunyai sebuah novel
terbesar sepanjang zaman yang diisytiharkan oleh para pengkritik sastera
sebagai sebuah karya sastera dunia yang hebat. Kita hanya minta kepastian
adakah novel itu setaraf atau lebih bermutu daripada War and Peace, dan ukuran yang digunakan untuk membuat pilihan
itu berasaskan ukuran Barat atau ada
ukuran lain? Kalau anda dapati hujah
saya agak berpusing-pusing, maka hal itu dilakukan untuk memudahkan anda
memahami jalan fikiran saya yang mahu tidak mahu anda harus akui jauh berbeza
daripada yang anda biasa guna. Saya hanya mengajak anda memahami apa yang
sedang berlaku dalam sastera Melayu sekarang, selepas PB muncul di tengah arena
memberi alternatif terbaik untuk penulisan kreatif dan kritikan sastera
Malaysia. Yang anda perlu buat hanya memberi pengakuan yang jujur; atau memberi
tentangan secara langsung, bukan sembunyi-sembunyi kepala sebagai burung yang
cerdik itu. Bila hal yang sama dilakukan
oleh manusia, tentulah tidak cerdik lagi!
Anda hanya boleh dianggap cerdik jika menerima hakikat bahawa Pujangga Melayu mengatasi War and Peace jika dinilai daripada
perspektif ilmu. Mudah saja memahaminya, tidak perlu ditakuti untuk menerimanya
dan dengan jujur pula memberi pengakuan itulah hakikatnya. Itu saja caranya
untuk membuktikan Naratif Ogonshoto
itu sebuah karya dunia yang hebat dan di Malaysia itulah karya yang terbaik
sepanjang zaman, yang tidak boleh diatasi lagi, seperti yang ditegaskan oleh
Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan Panel Anugerah Sastera Negara. Saya menolak penilaian yang tidak munasabah
itu, lalu memberi alternatifnya Pujangga
Melayu sebagai novel terbaik setakat ini yang pernah dihasilkan di
Malaysia, satu-satunya novel yang boleh menandingi War and Peace. Tugas anda
sekarang hanya menolak penilaian itu, kerana jika didiamkan terlalu ketara mutu
kesarjanaan pengkritik sastera dan sasterawan negara terlalu rendah untuk
dihormati sebagai kumpulan yang layak berada di tempat mereka!
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 11 Mei 2019.
No comments:
Post a Comment