Thursday, May 9, 2019

APAKAH MAKSUD PERSURATAN ADALAH PERJUANGAN?



Pertanyaan ini penting jika sekiranya anda mahu faham mengapa saya mencabar Leo Tolstoy dan novel besarnya War and Peace  tidak mencapai standard yang saya capai dalam Pujangga Melayu?  Bukalah maksud saya hendak memperkecilkan kedudukan Tolstoy dalam dunia sastera, jika dibandingkan dengan saya yang tidak dikenal oleh ramai sasterawan dan sarjana sastera Malaysia sekali pun. Mereka tidak membaca karya saya, kecuali beberapa orang yang bacaannya tidak semuanya mendalam. Tetapi saya yakin saya juga mempunyai pembaca, kalau tidak tentulah Pujangga Melayu tidak diulang cetak kali ketiga sekarang (2019).  Tetapi apakah makna kedudukan tinggi dan terkenal yang diberikan kepada Tolstoy jika ukurannya bertentangan dengan ukuran yang saya berikan kepada Pujangga Melayu, yang saya yakini adalah ukuran yang paling tepat dan mudah saja dipertahankan dalam apa jenis perdebatan yang sehebat mana sekali pun. 

Adakah itu satu kesalahan jika yang saya klaim itu adalah benar dan sehingga ini para sarjana yang siuman dan berdarjat tinggi belum lagi berani membantah dan menafikan dakwaan saya. Saya mencabar mereka bukan kerana angkuh dan berasa mulia serta besar diri, tetapi supaya mereka bersedia untuk berdebat dengan ilmiah dan dengan membawa pembuktian yang lengkap tentang sesuatu pendirian yang diambil. Semua orang mahu tahu apakah sebenarnya teras kekuatan karya para sasterawan negara. Siapa di antara para sasterawan yang menulis sebuah atau beberapa buah novel yang boleh mengatasi Pujangga Melayu. Anda mesti berani menampilkan novel itu untuk kita debatkan dengan kritis dan adil. Tunjukkan juga sebuah sajak yang dapat menandingi sajak “al-Andalus”, sekiranya anda benar-benar mengaku sajak-sajak para sasterawan negara adalah yang terbaik.  Bagaimana sajak-sajak mereka yang terbaik jika tiada sebuah pun di antaranya yang dikatakan terbaik itu boleh menandingi “al-Andalus”? Demikian juga dalam bidang ilmiah. Mana bukunya yang dapat menandingi Gagasan Persuratan Baru? Bawalah buku itu untuk dilihat oleh para pemikir sastera  (jika ada) supaya mereka diberi peluang untuk membuat kajian perbandingan dengan Gagasan Persuratan Baru. Tidak ada, oleh itu atas alasan apa mereka mendakwa mereka adalah kumpulan yang terbaik di dalam sastera Melayu jika karya mereka tidak dapat menandingi Gagasan Persuratan Baru yang mereka tentang itu? Kita telah diperingatkan oleh peribahasa Melayu, supaya tidak cakap berdegar-degar, tahi lekat di gelegar. Inilah dia manusia yang dimaksudkan dalam peribahasa itu.  Supaya anda boleh faham maksud peribahasa ini, contoh terbaik cakap berdegar-degar dalam kritikan sastera boleh kita lihat dalam esei Prof. Dr. Mohamad  Saleeh Rahamad yang membicarakan novel Anwar Ridhwan, yang dipilih sebagai esei terbaik 2005 untuk diberi Hadiah Sastera. Jika kesimpulan ini tidak tepat, anda wajib membetulkannya supaya kesilapan tidak dijadikan tradisi dalam kritikan sastera. Kebenaran mesti dipertahankan; penipuan dan penyelewengan akademik perlu diperbetulkan. Itulah tanggungjawab akademik yang tidak boleh diabaikan.  Sudah hampir seratus tahun kita membina tradisi sastera moden berasaskan penyelewengan akademik, yang telah saya bicarakan begitu kerap dalam blog ini, dan telah pun diterbitkan sebagai sebuah buku, Anugerah Sastera Negara Dalam  Kesusasteraan Melayu Moden (Wadi al-Irfan, 2019).  Menjadi kewajipan anda untuk mengkritik buku ini jika kandungannya tergelincir dari kebenaran akademik, dengan mengkritik ukuran yang dicadangkan dalam buku itu.  Tanggungjawab ini penting dibicarakan dengan kritis kerana ini ada kaitannya dengan klaim yang saya buat tentang Pujangga Melayu lebih bermutu daripada War and Peace. Anda boleh menolak cabaran ini dengan membuktikan ukuran yang saya gunakan tidak tepat dan keliru. Jika itulah pandangan anda, anda perlu membetulkan kekeliruan itu, atau membincangkan dengan kritis mengapa dan bagaimana kekeliruan itu boleh timbul dalam kritikan sastera Malaysia. Menurut pengalaman dan penelitian saya, puncanya anda sendiri, seperti terbukti dalam perbincangan picisan tentang Naratif Ogonshoto itu. Dalam skala yang lebih besar, kita boleh lihat ini dalam syarahan perdana Prof. Muhammad Haji Salleh dan Prof. Rahman Shaari, yang dibicarakan dalam buku itu.

Gelaran “sasterawan negara” adalah sesuatu yang amat songsang dalam kebudayaan Melayu dan dalam perkembangan sastera Melayu.  Masalah ini menjadi lebih serius apabila para sasterawan negara ini tidak dapat dipertahankan kedudukannya yang baru itu kerana semua karya para sasterawan negara ini adalah karya picisan. Tidak sebuah pun karya mana-mana sasterawan negara yang boleh diberi kedudukan setaraf dengan Pujangga Melayu, sebuah karya kreatif yang benar-benar mempunyai kualiti sebuah karya kreatif yang menjadikan ilmu yang benar sebagai asasnya. Tunjukkan mana satu karya para sasterawan negara ini yang boleh menandingi Pujangga Melayu. Tidak ada. Kedudukan ini boleh “diselamatkan” sekiranya diterima bahawa kini sastera Melayu mempunyai tiga kategori karya: (1) karya persuratan; (2) karya sastera; (3) karya picisan, erotik dan lucah. Anda tidak boleh menolak tiga kategori ini kerana ketiga-tiganya telah wujud dalam penulisan kreatif setelah gagasan PB diperkenalkan. Tetapi jika anda masih berkeras tidak mahu menerima kemunculan karya persuratan, anda boleh menolak kemunculan karya persuratan itu dengan menolak konsep karya persuratan sebagai tidak pernah wujud dalam sastera Malaysia dan tidak akan wujud dalam sastera dunia.  Ini memerlukan penjelasan dan huraian yang sangat mendalam kerana penafian terhadap karya persuratan itu tidak boleh ditolak begitu saja dengan alasan tidak ada karya persuratan dalam sastera dunia. Bila saya menulis ini, saya tersenyum dan hampir tertawa jika saya tidak mengawal diri. Semua ini membuktikan betapa wajah sastera moden Malaysia itu (sastera Melayu) adalah ibarat beruk yang ditambat dengan tali ukuran Barat. Sampai bila sastera Melayu mahu berlagak sebagai beruk yang ditambat dengan tali sastera Barat? Itu satu hal, lebih mendesak lagi ialah satu sanggahan yang benar-benar akademik diperlukan untuk menolak kemunculan karya persuratan dan menafikannya sebagai karya kreatif yang berasaskan ilmu yang benar. Kita tunggu bagaimana para sarjana dan sasterawan akan memberi penjelasan yang diperlukan itu. Mereka tidak ada pilihan, kerana jika mereka persetankan saja perkara ini, mereka hanya menerima secara terpaksa kemunculan karya persuratan berasaskan konsep ilmu yang benar itu, yang tidak pernah menjadi asas karya sastera. Dengan itu mereka bertindak bijak sekiranya mereka menerima dengan lapang dada kemunculan karya persuratan seperti Pujangga Melayu, dan menerima kenyataan baru bahawa karya sastera lebih rendah tarafnya daripada karya persuratan. Salah satu unsur yang memalukan tentang karya sastera ini ialah keterikatannya kepada sastera Barat, seolah-olah seperti beruk yang diikat lehernya dan disuruh panjat kelapa! Sasterawan negara disuruh panjat kelapa yang diberi nama Anugerah Sastera Negara, yang diulas dengan kritis dalam buku Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden (2019).

Persoalan ini mesti dibincangkan dengan mendalam dalam Seminar Kritikan Sastera DBP 20 Jun 2019 nanti. DBP tidak boleh membiarkan saja persoalan ini diketepikan, kerana kini sudah ada karya persuratan yang amat berbeza daripada karya sastera. Walaupun DBP dan para pengikutnya tidak menerima kemunculan karya persuratan, mereka mesti menerima hakikat bahawa kini arah penulisan kreatif sudah mula memberi perhatian serius kepada karya persuratan. Hal ini tidak dapat dielakkan, maka dengan itu tetaplah para sasterawan itu tidak boleh dianggap sebagai para penulis yang benar-benar bebas daripada menjadi beruk yang diikat dengan tali sastera Barat.  Saya ulang, kemunculan karya persuratan ini mesti dibincangkan dengan mendalam dalam Seminar Kritikan 20 Jun 2019 yang dianjurkan oleh DBP itu. Peluang ini mesti digunakan sepenuhnya untuk menafikan secara akademik kemunculan Gagasan Persuratan Baru dan melihat dengan kritis kedudukan Pujangga Melayu dalam seni mengarang Malaysia. 

Bila anda berbicara tentang persoalan ini, anda tidak dapat tidak terpaksa juga meneliti sejauh mana Pujangga Melayu mengatasi War and Peace. Kami mahu tahu pandangan kritis anda, di samping itu anda bertanggungjawab memberikan  pengakuan anda mana yang anda pilih sama ada untuk menolak hakikat Pujangga Melayu lebih bermutu daripada War and Peace berasaskan konsep ilmu; atau anda mempunyai penghujahan yang lebih baik untuk membuktikan War and Peace itu walaupun karya seorang manusia bernama Leo Tolstoy, tetapi  mempunyai ketangkasan berfikir yang luar biasa yang tidak mungkin dipunyai oleh seorang pengarang Melayu walaupun pengarang Melayu itu mempunyai falsafah penulisan kreatif yang jelas, yang terbukti dalam Pujangga Melayu.  Inilah saja satu-satunya cara untuk melepaskan tali beruk yang terikat di leher para sasterawan dan sarjana sastera Malaysia.  Perbandingan ini tidaklah kasar jika anda faham konteksnya; kerana beruk pernah dijadikan subsidi dalam masyarakat Malaysia, dan lama sebelum itu pun beruk digunakan oleh orang Melayu untuk memanjat pokok kelapa. Menjadi beruk dalam kebudayaan Melayu adalah satu penghormatan, seperti yang saya gambarkan dalam sebuah cerita pendek terkenal yang anda tentu tahu jika anda membacanya. Tidak mengapa jika anda tidak membacanya kerana beruk tidak boleh membaca, walaupun amat tangkas menggunakan “tangan” untuk memulas buah kelapa dan tahu pula mana yang tua mana yang muda berkat latihan tuannya. Beruk adalah binatang istimewa dalam kehidupan orang Melayu, yang masih lagi menggunakan beruk untuk memanjat kelapa. Wallahu a’lam.

Saya telah menunjukkan dengan jelas bahawa penggunaan ironi, sindiran dan perbandingan dalam kritikan sastera memang suatu kebiasaan yang dipraktikkan dalam sastera Barat sekali pun, jika anda membaca buku-buku mereka. Tidak wajar jika saya memberitahunya satu persatu, kerana kedudukan anda sebagai seorang sarjana sastera yang menjadi hamba sastera Barat dan teori sastera Barat tentulah anda lebih tahu dengan mendalam perkara-perkara yang saya sebutkan ini. Saya boleh terima jika anda menafikan sekeras-kerasnya bahawa anda tidak pernah menggunakan teori sastera Barat dalam kritikan sastera, tetapi menggunakan istilah sendiri dan teori sendiri yang hanya terdapat dalam kritikan sastera Malaysia. Saya boleh terima pengakuan anda jika anda memberikan buktinya. Cukup mudah, lambakkan bukti anda tidak terikat kepada teori sastera Barat. Saya pun akan menerimanya dengan selamba dan boleh faham mengapa anda  tidak menerima Pujangga Melayu lebih baik dan lebih bermutu daripada War and Peace.

Saya sering menyebut perkara ini kerana saya ingin melihat ketangkasan berfikir anda dan ketangkasan memahami aspek pemikiran orang lain yang jauh berbeza daripada “pemikiran” anda sendiri. Sekarang kita tidak lagi berada dalam era ditarik tali seperti seekor  beruk dengan tuannya. Dengan munculnya Gagasan Persuratan Baru, semuanya berubah. Itulah hakikat yang anda cuba nafikan.  Akibat perubahan ini, maka seorang penulis Melayu yang anda persendakan dan remehkan karyanya, kini merentap ketangkasan berfikir dan berhujah anda untuk dilihat oleh masyarakat dengan memberikan satu contoh untuk dibahaskan: Pujangga Melayu lebih baik daripada War and Peace.  Kalau anda tidak mahu mengambil bahagian, saya sangat faham kedudukan anda yang diikat dengan tali teori Barat yang saya tegaskan tidak perlu digunakan lagi setelah alternatif yang diberikan oleh PB jauh lebih akademik dan lebih baik, walaupun anda terpaksa menolak kehadiran para sasterawan negara dengan menerima PB.  Jika anda mahu terus membuat pilihan berasaskan emosi dan imaginasi, anda akan terus diikat leher dengan tali teori Barat itu, walaupun ada di antara kumpulan anda yang menegaskan teori Barat tidak wajar digunakan untuk menilai karya Melayu yang ditulis dalam bahasa Melayu dan mempunyai kekayaan nilai-nilai Melayu. Apa alasan anda untuk menolak pengakuan anda sendiri?

Sekarang segala-galanya sudah berubah apabila diperkenalkan Gagasan Persuratan Baru, yang sudah pun dikanunkan dalam buku dan tulisan ilmiah. Mahu ke mana lagi para sarjana dan sasterawan mahu lari menyembunyikan diri jika yang mereka buat ialah kelakuan burung kasuari yang membenamkan kepala di dalam pasir. Kelakuan burung itu mempunyai tujuan yang khas, untuk mengetahui dari arah mana musuhnya berada, bukan sekadar main-main benamkan kepala dalam pasir. Cerdik, bukan?

Sekarang sudah jelas anda tidak ada pilihan atau cuba mengelak daripada menghadapi kenyataan baru dengan munculnya PB.  Dengan memberikan bukti lahirnya Pujangga Melayu dan lain-lain karya persuratan, Seminar Kritikan Sastera anjuran DBP pada 20 Jun 2019 (kalau jadi diadakan)  tidak boleh lagi memilih untuk menolak kehadiran PB. Mahu tidak mahu anda perlu membicarakannya dengan ilmiah kerana inilah gagasan yang akan membawa sastera Melayu ke tingkat yang lebih tinggi dan lebih mencabar kemampuan kreatif para penulis Malaysia.  Berapa lama lagi anda mahu menjadi pemanjat kelapa orang lain, setelah anda mempunyai kelapa anda sendiri. (Aku harap mereka faham maksud kesimpulan ini!).

Selamatlah jiwa yang sempurna!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya,  9 Mei 2019.




No comments:

Post a Comment