Obsesi saya
tentang penyatuan umat Islam seluruh Nusantara, yang juga dikenal sebagai
Kepulauan Melayu, saya tidak mahu tinggal sebagai impian. Impian ini mesti diterjemahkan dalam sebuah
novel yang mungkin hampir setebal Pujangga
Melayu. Novel baru ini, yang akan
dibuat catatannya sekarang, adalah satu manifesto politik yang saya harap dapat
dijelmakan masa depan, yang tiada siapa tahu bila. Inilah janji saya ketika memperkenalkan
ungkapan “persuratan adalah perjuangan” dalam entri lepas.
Orang Melayu
telah memulai satu tamadun yang cukup awal, lebih awal daripada tamadun Cina
atau India yang berpuluh ribu tahun terkemudian. Tamadun Melayu itu mendapat ilham daripada Nabi Ibrahim ‘a.s. Orang Melayu, mengikut ustaz yang membacakan
sebuah hadis, adalah manusia yang dirindui
Nabi SAW. Bila para sahabat baginda
bertanya, tidakkah Rasulullah SAW merindui mereka; dijawab baginda,
kerinduannya itu berbeza. Orang Melayu tidak pernah bertemu dengan baginda,
tetapi mereka mencintai baginda. Suatu penghormatan besar yang tidak wajar
diabaikan. Sebuah novel besar perlu ditulis untuk menyampaikan idea itu. Itulah
hasrat saya bila menulis novel besar
ini, untuk menyampaikan cita-cita besar
seorang Rasul yang menjadi Rahmat Seluruh Alam, termasuk rumput yang anda pijak,
atau semut yang anda jentik, atau lembu dan kambing yang anda ambil susunya …
Dan seterusnya. Seluruh alam termasuk
ikan di laut berselawat kepada Baginda …
Setiap kali anda berselawat dan berzikir, seluruh ikan di laut akan
menyambutnya, seluruh alam akan menyambutnya. Sungguh hebat menjadi seorang Muslim, semua kebaikan yang dibuatnya
disambut seluruh alam. Tetapi semua ini disimpulkan dalam dua ayat: Kebajikan
walau sebesar zarah akan dihitung; Kejahatan walau sebesar zarah akan
dihitung. Cukuplah itu untuk menjadi
peringatan kepada kita bersama dengan jaminan Allah SWT bahawa sebesar mana pun
dosa hamba Nya jika benar taubatnya akan
diampun, kecuali dosa syirik. Cukup jelas prinsip ini, dan begitu senang
dikerjakan. Apa lagi yang kita mahu? Ikut sajalah, kata guru saya.
“Persuratan
adalah perjuangan”, juga ungkapan yang tidak sukar difahami, tetapi barangkali
agak berat hendak dilaksanakan jika hati tidak mahu. Segala-galanya terpulang
kepada hati anda sendiri. Itu pun mudah, kerana anda tahu apa yang anda mahu.
Tiada yang sukar bagi yang mengerti.
Bagi orang
Islam yang solat, yang diwajibkan membaca
Surah al-Fatihah, permohonan supaya ditunjukkan Jalan Yang Lurus
diulang-ulang, demikian juga permohonan supaya tidak termasuk di kalangan orang
yang zalim dan derhaka. Kalau begitu, sasterawan Islam tidak ada peluang untuk menentang
kebenaran, apatah lagi menderhaka kepada Tuhan. Adakah prinsip ini disedari dan
diketahui oleh para sasterawan dan sarjana sastera? Saya kira mereka tahu,
tetapi keinginan kepada kemegahan dunia membuat mereka mengkhianati kebenaran
dengan menolak konsep ilmu yang benar, walaupun mereka tahu itulah pilihan yang
terbaik untuk dijadikan prinsip kreatif dan kritikan sastera. Keputusan ini
nampaknya akan kekal, tambahan pula kini para sasterawan dan sarjana sastera
berada di bawah pengaruh teori Barat sepenuhnya. Bagaimana dengan persaksian yang mereka
lakukan ketika membaca al-Fatihah di dalam solat mereka? Kita pun mahu tahu
bagaimana ini dilakukan mereka. Adakah
solat sama saja kedudukannya dengan menulis karya kreatif yang dipanggil karya
sastera itu? Jawapan yang diberikan,
solat dan sastera tiada kaitan apa-apa; kedua-duanya mempunyai kedudukan dan
kebebasan tersendiri. Berapa ramai yang percayakan kesimpulan ini? Jika kita
melihat bagaimana kerasnya penentangan mereka terhadap PB, senang-senang kita
boleh buat kesimpulan bahawa para sasterawan dan sarjana sastera memisahkan
ibadat dengan penulisan yang tidak dikira satu ibadat. Kalau begitu, tepat benar mereka menolak
konsep ilmu dan sekali gus menolak PB. Memang mereka mempunyai hujah, walaupun sangat
pelik.
Inilah
konteks yang memerlukan ditulis sebuah novel yang secara khusus bertujuan untuk
berjuang membina sebuah Negara Nusantara Islam, yang memang telah pun wujud
sebelum kedatangan penjajahan Barat. Sekarang kita mendakwa kita sudah
merdeka, tetapi mengapa masih mengikut Barat dalam penulisan kreatif dan
penilaiannya?. Pemilihan sasterawan
negara adalah kemuncak perhambaan dan
penentangan kepada konsep ilmu.
Pemilihan sasterawan negara baru Julai 2019 nanti
adalah penerusan kepada perhambaan kepada sastera Barat dan penentangan kepada
konsep ilmu yang benar. Apakah yang
menyebabkan kita terus menjadi hamba
penjajahan intelektual dengan memberi penghormatan kepada golongan yang
menentang ilmu yang benar.
Itulah
sekadar lakaran isi-isi penting yang akan dibahaskan di dalam novel baru ini.
Tanpa izin dan pertolongan Allah Ta’ala, tidak akan gugur sehelai daun; apatah lagi
untuk menulis sebuah novel besar ini.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 5 Mei 2019/besok puasa.
No comments:
Post a Comment