Friday, June 7, 2019

INILAH PERJUANGAN ITU, MEMBINA SEBUAH NEGARA ISLAM NUSANTARA…



Menjadikan sebuah novel sebagai satu manifesto politik bukanlah sesuatu yang aneh, atau melampau, atau tidak munasabah. 

Benih perjuangan itu sudah ditanam oleh para ulama, yang menjadi pewaris para nabi.  Bukan sesuatu yang baru, tetapi telah wujud semenjak Nabi Adam AS diturunkan ke bumi untuk menjadi khalifah dan hamba Allah.  Itulah tugas semua manusia beriman yang dimaktubkan dalam Surah al-Fatihah.  Jalan untuk mencapainya diucapkan berulang kali dalam setiap salat, satu janji yang mesti ditunaikan oleh semua manusia beriman.  Inilah asas Gagasan Persuratan Baru yang khusus dirumuskan sebagai panduan dalam penulisan kreatif, supaya jalan yang lurus itu tidak diselewengkan dengan sengaja untuk mencapai maksud yang bertentangan dengan amanah yang diterima sejak azali oleh setiap manusia.  Sekiranya terdapat sesiapa juga yang menolak matlamat ini, maka dia telah mengkhianati amanahnya sendiri.

Adakah hakikat ini disedari oleh para sasterawan negara dan para sarjana sastera?  Sekiranya mereka sedar, mengapa tulisan mereka tidak membayangkan kesedaran itu?  Dua soalan ini memerlukan jawapan yang tuntas, tanpa dolak-dalik. Kalau tidak mahu ambil peduli, maka itulah bukti mereka ini tidak sedar; atau, sekiranya mereka sedar, mereka ingkar.  Kita perlu tentukan di mana tempat mereka. Satu percubaan telah dilakukan dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi ke-2.  Buku itu dan sebuah lagi yang terbaru (terbit 2019) tentang Anugerah Sastera Negara memberikan penjelasan yang jelas mengenai persoalan ini.

Saya tidak dapat memberitahu anda berapa ratus kali saya telah membangkitkan persoalan ini, kerana saya sendiri pun tidak pasit jumlahnya. Yang pasti, sudah banyak kali dibangkitkan, jadi tiada alasan sama sekali untuk mengaku tidak tahu atau tidak sedar.  Bukanlah satu tindakan yang bijak untuk berada dalam kebodohan dan keingkaran, setelah diberitahu berkali-kali.  Tidak wajar mereka mengaku bodoh dan ingkar hanya untuk melindungi karya mereka yang picisan, walaupun ditulis oleh seorang sasterawan negara. Jika perkara ini diteruskan, maka seluruh kegiatan intelektual dan kegiatan kreatif Melayu berada dalam telaga najis yang bernama keingkaran kepada konsep taklif yang dibincangkan dengan mendalam oleh Shah Wali Allah dan telah pun diulang berkali-kali dalam entri blog Gagasan Persuratan Baru ini.

Saya harap ada beberapa orang peserta Seminar Kritikan Sastera anjuran DBP 20 Jun ini memperkatakan sumbangan PB atau kekacauan yang berlaku dalam sastera Melayu dengan munculnya PB. Yang pasti, selama lebih 80 tahun sastera Melayu berada dalam belantara ingkar ilmu, mendaulatkan karya picisan dengan melantik para penulis picisan sebagai sasterawan negara. Saya ulang lagi, tidak sebuah pun karya para sasterawan negara dapat menandingi Pujangga Melayu dan sajak “al-Andalus”.  Tidakkah ini amat memalukan? Bagaimana anda boleh terima kedudukan istimewa karya para sasterawan negara jika tiada terdapat sebuah pun di antara karya itu yang dapat mengatasi Pujangga Melayu?  Tidak wajar karya para sasterawan negara yang berada dalam kelompok kedua  sebagai karya picisan, diletakkan di atas padahal Pujangga Melayu tidak tercabar oleh mana-mana karya para sasterawan negara ini.  Hakikat ini perlu dibincang dalam Seminar Kritikan Sastera 20 Jun 2019 itu nanti.  Cara paling mudah untuk membincangkan sumbangan para sasterawan ini ialah dengan mengkritik buku terbaru saya, Anugerah Sastera Negara Dalam Sastera Melayu Moden (2019). Buku ini perlu diedar kepada para peserta seminar itu.  Biar mereka mengkritik buku itu sambil mempertahankan kedudukan para sasterawan negara sebagai sasterawan picisan yang menulis karya picisan tetapi layak diangkat sebagai karya bermutu walaupun pada hakikatnya tiada sebuah pun karya itu dapat menandingi Pujangga Melayu, dengan itu karya para sasterawan negara itu tetaplah karya picisan. Makna “picisan” dalam konteks ini telah saya bincangkan dalam blog ini, jangan pula mencari fasal dengan bertanya apakah maksud “picisan” itu.

Menyedari para sarjana Melayu agak malas dan para penulis juga golongan yang malas membaca dan cetek tetapi ingin bercakap besar dalam seminar, maka amat wajar jika mereka faham terlebih dulu pandangan kritis saya sebelum mereka memberikan pendapat mereka.  Walaupun kerja ini agak sukar, malah telah gagal dilaksanakan dengan jujur oleh tokoh terbesar kritikan sastera Melayu (pengakuan beliau sendiri) seperti Mana Sikana, dan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang menangisi penilaian sastera Melayu dibuat berasaskan teori Barat, namun tidak bererti anda harus meneruskan sikap picisan mereka setelah anda diberi peluang untuk menjadi cerdik melalui PB.  Inilah masanya, dalam seminar itu, anda menunjukkan mutu pemikiran anda tentang sastera yang lebih baik daripada yang diberikan oleh PB. Kalau anda tidak mampu melakukannya, batalkan saja seminar burung kakaktua itu.

Apa juga usaha yang dikerjakan untuk meneruskan pandirisme (mediocrity) dalam sastera Melayu adalah kerja sia-sia dan mesti ditolak sekeras-kerasnya.  Yang perlu kita buat sekarang ialah mengangkat kedudukan ilmu yang benar sebagai asas penulisan kreatif dan kritikan sastera, supaya nilai-nilai palsu yang ditonjolkan sekarang dihapuskan dan diganti dengan nilai-nilai murni berasaskan konsep ilmu yang benar. Jika dalam melakukan pembersihan ini kita harus menolak karya para sasterawan negara yang picisan, maka kita tidak perlu ragu-ragu untuk menolaknya. Untuk berlaku adil kepada mereka yang picisan ini, analisis berdasarkan konsep ilmu yang benar perlu dilakukan supaya segala kesangsian yang ada sekarang dapat dihilangkan dan kedudukan karya para sasterawan negara diberi tempat yang wajar sebagai karya picisan, yang masih penting dalam perkembangan intelektual Malaysia kerana karya-karya picisan ini boleh dijadikan landasan untuk maju ke depan dengan lebih gigih berasaskan konsep ilmu yang benar. Kita juga mahu tahu mana satukah di antara karya para sasterawan negara ini yang setaraf dan setanding, atau lebih baik daripada War and Peace karya Tolstoy.  Saya mengemukakan Pujangga Melayu sebagai sebuah karya yang jauh lebih bermutu daripada War and Peace kerana sebab-sebab yang telah saya jelaskan di dalam beberapa entri dalam blog ini. Anda dipersilakan untuk menolak pandangan saya dengan mengkritik Pujangga Melayu sehabis kritis yang anda mahu; tetapi jangan lupa untuk membawa karya para sasterawan negara dalam perbincangan itu supaya kita semua dapat melihat kedudukan sebenar karya para sasterawan negara jika dibandingkan dengan Pujangga Melayu dan War and Peace. Satu permintaan yang amat sederhana dan adil.

Melalui analisis berbentuk perbandingan ini kita boleh mengelak Seminar 20 Jun 2019 itu daripada menjadi seminar burung kakaktua saja, yang telah diadakan beratus kali.  Sebagai peringatan, saya salin terjemahan sebuah rubaiyyat oleh Omar Khayyam:

Waktu muda-muda aku sering mendatangi
Majlis ulama dan sufi, mendengar bahas berapi
Tentang itu dan ini; tetapi alangkah aneh
Aku keluar dari pintu yang sama kumasuki.

Selamatlah jiwa yang sempurna!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 7 Jun 2019.




No comments:

Post a Comment