Jawapan
saya, ada dua orang, kedua-duanya sudah meninggal. Kedua-duanya bukan dari
UMNO. Anda tahu maksud saya? Tahukah anda implikasnya dalam politik
Malaysia? Sekarang Era Banteras Korupsi…
Kedengarannya bagus. Tapi adakah benar begitu? Dalam penelitian saya sebagai
seorang sarjana politik, khusus dalam bidang Political Behavior (sarjana saya
daripada Essex University, Colchester), yang saya benar-benar yakin hanya dua
orang itulah saja yang kita boleh kata tidak korup dalam makna korup yang biasa
dipakai di Malaysia. Ini yang menarik:
Melayu menghadapi masalah kemiskinan; politik Malaysia pula menghadapi masalah
kemiskinan pemimpin yang tidak korup.
Antara dua jenis kemiskinan ini, mana satu yang membawa kecelakaan
kepada Malaysia, kepada rakyat, kepada pembangunan negara? Yang miskin di kampung memberi undi kepada
yang kaya di bandar untuk mereka mendapat kuasa dan menambah lagi kekayaan
mereka. Timbul sejenis pertanyaan yang agak pelik: Adakah ahli politik yang
korup itu bangsat dari segi moral? Sebenarnya yang bangsat orang kampung,
Melayu kampung, yang miskin sudah melebihi 60 tahun sejak merdeka. Merekalah
yang dijanjikan kemakmuran oleh para pemimpin mereka yang semuanya menjadi
makmur hasil sokongan mereka, sementara yang bangsat di kampung dan sekarang
dalam Penjara FELDA. Saya diberitahu oleh kawan-kawan yang bekerja di FELDA,
kawasan itu sebenarnya sejenis penjara sosial dan ekonomi. Yang paling
memeranjatkan saya ialah bila beliau berkata, dengan bersungguh-sungguh, 60%
keuntungan FELDA hasil usaha peneroka yang kini menjadi hamba ekonomi Malaysia
(sorry, ini bukan kata-kata saya,
saya hanya pinjam saja istilah ini) diambil oleh golongan bangsawan sesuatu
negeri tertentu; 30% upahan para Pegawai FELDA; hanya 10% masuk poket peneroka.
Pada mulanya
saya tidak percaya, tetapi apabila terjadi Kes Ciku 3 yang masyhur itu, rupanya
benar. Lepas peneroka Ciku 3 menang 12 juta dolar, maka terjadilah rempuhan
daripada peneroka membawa kes masing-masing ke Mahkamah. Maka terjadilah
penerokaan para peneroka membawa kes mereka pula ke Mahkamah. Kerana semua 12
kes yang dibawa ke mahkamah itu menang, sekarang tidak lagi dibenarkan masuk
mahkamah. Ini tidak pelik dalam demokrasi, kerana salah satu aspek demokrasi
ialah menjaga kepentingan pihak berkuasa supaya tidak terjadi huru- hara yang
akan memusnahkan faedah yang lebih besar. Saya sokong penuh pengharaman
ini kerana jika semua peneroka FELDA
menang kes, seluruh Malaysia akan bangkerap. Saya harap ada peneroka penyelidikan
dari ISIS sudi apalah kiranya membuat penyelidikan yang paling bagus dan telus
tentang korupsi di FELDA ini. Sangat penting
penyelidikan ini dilakukan sekarang pada waktu kerajaan PH terbuka kepada
korupsi dan sangat angkuh memperjuangkan penghapusan korupsi dalam semua
bidang, kecuali dalam bidang politik.
Saya adalah
antara beberapa orang yang tidak percaya korupsi dapat dihapuskan, dengan satu
pengecualian, iaitu dihapuskan korupsi politik terlebih dulu melalui
kepemimpinan seperti yang dicontohkan oleh para khalifah, dengan penampilan
utama kepada Khalifah Umar Abdul Aziz kerana beliau diberi kuasa itu jauh
terkemudian daripada empat khalifah awal dan hanya 2 tahun setengah, sangat
pendek usianya. Bolehkah Malaysia
munculkan seorang pemimpin seperti Khalifah Umar Abdul Aziz? Mustahil. Mengapa
mustahil? Demokrasi tidak membenarkan terjadinya penghapusan korupsi. Demokrasi
hidup dengan mewahnya dengan adanya korupsi. Ini satu fakta yang tidak pernah
diberitahu oleh para pemimpin kerana mereka perlukan sistem demokrasi yang
korup itu. Mungkin anda tidak percaya
bahawa demokrasi adalah sistem Syaitan untuk membelenggu manusia supaya
menyembah Syaitan tanpa mengetahui itulah yang mereka lakukan dalam sistem
demokrasi. Cara piling mudah untuk
memahami aspek ini ialah dengan melihat secara kritis bagaimana demokrasi
menghancurkan seluruh negara Islam di Timur Tengah. Sebuah buku perlu ditulis
oleh para sarjana mengenai persoalan ini untuk membuka mata masyarakat bahawa
demokrasi dicipta manusia untuk memuja Syaitan melalui peti undi dan
pentadbiran yang anti-agama. Inilah hakikat politik yang rakyat tidak tahu,
tetapi diketahui dan dipergunakan dengan mewah oleh para pemimpin politik. Dalam konteks inilah apa yang disebut “penghapusan
korupsi” itu dijaja dan dicanang kepada rakyat.
Rakyat yang bodoh dan diperbodohkan oleh para pemimpin mereka bertepuk
tangan, mereka pun dapat imbuhan terutama sekali bila diadakan pilihan raya.
Tidak
seorang pun mahu memberi jawapan yang tegas bila ditanya bagaimana korupsi
dapat dihapuskan dalam pilihan raya.
Contoh paling tidak siuman yang sering dilemparkan kepada pengundi
ialah: Tuan-tuan tidak tengok kemajuan yang telah kami buat untuk
tuan-tuan? Maka bersoraklah rakyat,
sambil memberi pujian. OK lah, memang
ada kemajuan ditayangkan. Adakah setiap yang disebut kemajuan itu diuruskan
tanpa sedikit pun terlibat dengan korupsi? Pertanyaan ini hanya dapat dijawab oleh para pegawai ISIS
kerana merekalah yang ditugaskan untuk memberi maklumat kepada rakyat tentang
kemajuan yang telah dibuat oleh kerajaan. Pegawai ISIS mungkin tahu banyak
perkara tentang operasi korupsi dalam Malaysia; tetapi bodohlah mereka jika
mereka menulis tentangnya. Yang saya tahu, satu-satunya negara yang tidak
membenarkan korupsi ialah Papua New Guinea.
Ketika menghadiri satu kongres tentang nilai-nilai murni dalam
pentadbiran dan masalah korupsi yang
diadakan di Washington D.C. 1994, saya bertemu dengan seorang peserta yang istimewa
dari negara ini, Ketua Ombudsman. Dia memberitahu, seseorang tidak akan
dilantik menjadi PM atau mana-mana jawatan penting negara tanpa kebenaran dan
perakuan dari pejabatnya. Bila saya buat
laporan tentang perkara ini, seperti saya jangka, tiada seorang pun pihak
berwajib berminat. Kata mereka, “Kita telah buat lebih dari itu!” Anda bersetuju dengan pengakuan itu, yang
bagi saya hanya sejenis penafian yang berunsur korupsi moral yang jelas.
Bagaimana jadinya jika PM yang ada sekarang ditapis dahulu oleh Pejabat
Ombudsman ini? Kita sudah pun diberitahu
pejabat seumpama itu akan ditubuhkan tidak berapa lama lagi. Tentu saja
tugasnya tidak sama yang ada di Papua New Guinea! Tidak ada ahli politik Malaysia yang mahu dan
bersedia ditapis oleh pejabat seumpama itu. Siapa yang melakukannya (tugas itu)
kita semua tahu dan rakyat menerima saja kerana mereka sangat percaya kepada
ahli politik mereka yang walaupun korup, sangat murah hati menabur wang di sana
sini untuk memastikan dia terus dipilih. Saya diberitahu oleh pakar korupsi,
perkara ini hanya berlaku di Malaysia, kerana rakyat sendiri yang mahukan
begitu. Adakah maksudnya rakyat Malaysia sudah dibaluti penyakit korupsi ini
begitu kuat? Mungkin, kerana kita masih
melihat yang korup itu tetap terpilih.
Sekurang-kurangnya ini yang diberitahu kepada kita oleh Kerajaan PH yang
tidak korup! Bagi saya, pengakuan ini pun sejenis korupsi juga.
Yang kita
panggil demokrasi itu hanya boleh subur dengan suburnya korupsi. Tidak ada
demokrasi dalam sistem politik moden tanpa korupsi. Semua ahli politik Malaysia
tahu hakikat ini, tetapi mereka berpura-pura memperjuangkan penghapusan
korupsi, kerana mereka tahu jika korupsi dapat dihapuskan, maka demokrasi juga
akan ditolak sebagai sistem politik moden yang pelaksanaannya penuh dengan
penipuan dalam segala jenis yang anda boleh bayangkan, jika anda seorang yang
kreatif dalam memahami konsep dan pelaksanaan demokrasi seluruh dunia, terutama
sekali di Amerika Syarikat. Ada sebuah buku yang paling istimewa dari segi
kekacauan isinya, berjudul Islam dan
Demokrasi, ditulis oleh seorang tokoh agama terkenal di Malaysia, terbit
tahun 2007 (PTS Publications.) Kesilapan
besar buku ini ialah apabila penulisnya memberi makna syura sebagai
mesyuarat. Dalam al-Quran, syura tidak
dimaksudkan sebagai mesyuarat dalam konteks moden, tetapi dilihat dalam konteks
konsultansi sebelum sesuatu keputusan diambil mengenai perkara penting yang
anggotanya terdiri daripada orang-orang yang berilmu, bukan sebarang orang. Oleh
itu, konsep syura mesti dikekalkan sebutannya dan tidak boleh diterjemahkan,
apatah lagi disamakan dengan demokrasi, seperti yang akan dijelaskan nanti.Bolehkah
kita terjemahkan syura, jika mahu terjemahkan juga, sebagai perundingan? Adakah
konsep mesyuarat tidak sama dengan perundingan? Dua konsep ini tidak sama, maka
dengan itu bagi saya syura lebih tepat jika diterjemahkan sebagai perundingan, jika anda mahu terjemahkan untuk mudah
difahami. Terdapat unsur kesepakatan di situ untuk memutuskan sesuatu perkara
untuk kepentingan umum. Ini pendapat peribadi saya, tidak semestinya anda
bersetuju. Mungkin anda mempunyai pendapat yang lebih baik, yang kita perlu
dengar.
Untuk
makluman, Amerika Syarikat mempunyai
tidak kurang dari lima jenis demokrasi,
yang agak berbeza satu sama lain. Hanya dalam satu perkara saja teori
ini mempunyai persamaan, yang mereka namakan mobilization of bias. Ini diperlihatkan dalam manifesto pilihan
raya yang dikemukakan oleh parti yang bertanding dalam pilihan raya. Manifesto
ini diasaskan kepada pembohongan yang dibenarkan, seperti yang diakui dengan
jujur oleh Dr. Mahathir Mohamed tentang manifesto parti beliau. Dia mengaku dia telah berbohong dalam
beberapa janji yang tidak dapat ditunaikan kerana ketika janji itu dibuat dia
tidak pasti boleh menang atau tidak. Tujuan janji-janji itu hanya untuk
mempengaruhi pengundi, bukan untuk menyatakan sesuatu yang benar. Orang Barat yang percayakan peranan Lucifer
dalam kehidupan manusia, percaya bahawa peranan Lucifer dalam pelaksanaan
demokrasi ini sangat besar; malah kita sudah diberitahu bahawa Statue of
Liberty yang dipuja di Amerika Syarikat adalah lambang Lucifer, hadiah dari
Perancis. Revolusi Lucifer ini berlaku
terlebih dahulu di Perancis, baru selepas itu dibawa ke Amerika. Sejauh mana
peranan Lucifer dalam politik Malaysia belum pernah dibicarakan; oleh itu saya
harap akan muncul seseorang yang berilmu membicarakannya untuk menjadi
peringatan kepada kita semua. Peranan
Syaitan (yakni Lucifer) dalam kehidupan manusia ditegaskan dengan jelas dalam
Surah Yasin. Lihat di sana jika anda berminat.
Jika benar
Statue of Liberty itu lambang Lucifer, dan kita menerima sistem demokrasi dari
Amerika Syarikat, bagaimana kita yang berbangga dengan sistem demokrasi itu
boleh melepaskan diri dari pengaruh Iblis?
Harap-harap akan muncul seseorang pakar dalam persoalan ini muncul
dengan gagah berani menulis tentang persoalan ini untuk menjadi peringatan kita
semua. Sejauh mana sistem politik yang kita warisi dari Barat bebas dari
pengaruh Lucifer? Timbul persoalan yang amat menggerunkan umat Islam tentang
peranan Lucifer ini dalam politik Islam, yang di Malaysia penuh dengan kata
mengata yang amat kesat terhadap musuh politik mereka. Adakah ini pun pengaruh
Lucifer? Kita perlukan penjelasan supaya demokrasi kita, jika kita masih mahu
menggunakan sistem demokrasi, tidak di bawah pengaruh Lucifer seperti yang
berlaku di Amerika Syarikat. Sekali lagi
ditegaskan, tidak ada demokrasi dalam Islam, seperti yang kita praktikkan
sekarang. Kita telah diberi konsep syura yang lebih menyeluruh dan terhindar
daripada pengaruh Iblis jika dilaksanakan dengan tegas. Bagaimana ini boleh dilaksanakan dalam sebuah
negara yang ramai rakyat bukan Islam yang pasti akan menentang keras sebarang
usaha untuk memperkenalkan sistem pentadbiran Islam di Malaysia. Orang Islam
sendiri pun menolak sistem Islam itu kerana mereka berasa tidak bebas berbuat
apa-apa tindakan yang mereka fikir baik, padahal buruk kesannya dari segi nilai-nilai
agama. Contoh terbaik di sini ialah dalam sistem pendidikan yang sekular
sepenuhnya seperti yang dilaksanakan di Malaysia. Sebarang penegasan untuk
memperkenalkan bahasa Arab sebagai bahasa kedua supaya orang Islam boleh
mengenal Quran dengan lebih baik, akan ditentang oleh orang Islam sendiri yang
melihat Islam sebagai agama yang mundur dan tidak sesuai lagi diterapkan dalam
sistem politik, pendidikan, dan lain-lain. Sistem Barat, terutama yang
ditinggalkan British itulah yang terbaik untuk semua rakyat, yang bebas dari
pada pengaruh sebarang agama. Inilah yang dipanggil demokrasi dalam konteks
politik. Ternyata sistem ini menguntungkan bukan Islam, dan amat merugikan
orang Islam yang sudah maju beribu tahun ketika Barat masih lagi berada dalam masyarakat liar tanpa sebarang
undang-undang. Tentu saja semua ini
menjadi masalah, oleh itu perlu diselesaikan. Caranya ialah melalui sistem
pentadbiran Islam, yang memberi keadilan kepada semua. Inilah matlamat yang
ingin dicapai oleh Pujangga Melayu,
yang telah saya bincangkan sebelum ini.
Selamatlah
jiwa yang sempurna!
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 10/6/2019
No comments:
Post a Comment