Setelah
melihat siaran langsung seminar tersebut, amat jelas DBP yang menjadi penganjurnya sudah
bangkrap idea dengan terus recycle beberapa orang sarjana picisan yang sudah
beratus kali mengulang pendapat dangkal yang sama yang kita sudah bosan dan jemu
mendengarnya. Tidak disangka begitu
miskinnya Malaysia dengan sarjana yang benar-benar berwibawa dan mampu
membicarakan tajuk yang diberikan kepada mereka secara beradab dan teliti pula menghuraikan
tajuk itu dengan jelas dan berwibawa. Seorang sasterawan negara, bernama Prof.
Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh (nama beliau pernah kita dengar), sekali lagi
ditugaskan untuk memberi ucap utama. Dengan tergagap-gagap dan dengan sikap
yang agak nyanyuk dia berbicara tentang kritikan sastera dalam sastera lisan.
Terlalu besar kekusutan beliau tentang makna konsep kritikan dalam sastera,
suatu penampilan yang tidak wajar dipamerkan oleh sarjana besar ini. Setelah
mendengar ucapan beliau yang terputus-putus dan tergagap-gagap, saya menjadi
bertambah yakin sarjana ini tidak tahu makna ilmu dalam perbincangan yang
seserius itu. Apakah yang ingin beliau sampaikan dalam suatu “majlis ilmu” yang
memberi fokus kepada teori kritikan sastera?
Yang paling akademik dalam ucapan beliau ialah apabila dengan gagah
berani beliau mengisytiharkan kedudukan
teori kritikan sastera Melayu berada pada tahap nyawa ikan! Ini amat tidak
siuman dan tidak bertanggung jawab sama sekali. Dia tidak tahu perkembangan
terbaru yang sudah bermula sejak 30 tahun dulu apabila buku-buku saya tentang
teori kritikan diterbitkan. Kalau beliau mempunyai kejujuran intelektual, dia
tentu akan berterima kasih apabila Gagasan Persuratan Baru yang diperkenalkan
tidak saja kepada sarjana Malaysia, tetapi juga kepada sarjana dunia yang boleh
membaca bahasa Melayu seperti sarjana yang
berada di SOAS. Apabila kamu tidak faham
makna istilah ucap utama, yang memberi fokus kepada perkembangan terkini dalam
bidang yang kamu pilih, maka kamu hanya meluahkan kebebalan kamu kepada khalayak yang juga sama tarafnya
dengan kamu. Itulah yang terjadi dalam seminar sastera yang diadakan selama
ini. Kalau kamu sebagai pembicara mengkritik tiadanya pemikiran baru, maka
apakah pemikiran baru yang kamu sendiri boleh berikan? Inilah contoh pandirisme yang paling sempurna dalam
kritikan sastera Melayu, yang dilambangkan pula oleh seorang tokoh terbesar
dalam kritikan sastera Melayu.
Tidak ada
sebab sama sekali untuk berbangga dengan kecetekan pendapat anda ketika kemajuan intelektual dalam pemikiran
baru sudah maju jauh ke depan dengan munculnya Gagasan Persuratan Baru. Sila
lihat kemajuan itu dalam sebahagian daripada tulisan mengenainya yang
disenaraikan dalam entri bertarikh 26 Mei 2019.
Senarai itu menolak secara total pandangan cetek tokoh agung kritikan
sastera ini, yang begitu bernafsu menafikan kemajuan itu hanyalah kerana sikap
picisannya yang ingin menonjolkan sumbangan beliau sendiri yang masih berlegar
dalam idle talk.
Apakah
maksud idle talk? Dalam bahasa Melayu bolehlah kita terjemahkan
sebagai mengarut, membebel, meracau,
dan yang lain-lain lagi yang sejenis dengannya. Konsep ini diperkenalkan oleh
Martin Heidegger dalam bukunya Being and
Time, mengenai kegagalan memberikan atau menyampaikan perutusan yang jelas
kerana terdapat maksud tersembunyi untuk tidak bercakap benar kerana jika
bercakap benar dia terpaksa menerima kebenaran orang lain yang ingin
dinafikannya. Itulah maksud tokoh besar sastera Melayu ini ketika dia
merendahkan usaha orang lain yang dia tidak tahu atau dia tahu tetapi dia tidak
suka kerana orang itu ternyata lebih cerdik dan lebih menonjol kemampuan intelektualnya.
Untuk berlaku adil kepada tokoh besar
yang kecil jiwanya ini, saya salin maksud idle
talk seperti yang dijelaskan oleh Stephen Mulhall dalam bukunya Heidegger and Being and Time, hal.
106. (Nota: Saya tidak pasti sama ada
ini tokoh besar sastera Melayu ada tahu atau tidak itu Heidegger yang dianggap
ahli falsafah Barat terbesar Abad 20, ada dia tahu itu tokoh dan ada baca itu
buku yang sangat terkenal itu.) Sila
teliti makna idle talk yang
dihuraikan oleh Mulhall:
“Idle talk
is the form of intelligibility manifest in everyday linguistic communication – average
intelligibility. All communication necessarily involves both an object (that
which the conversation is about) and a claim about it. In idle talk, our concern
for the claim eclipses our concern for its object. Rather than trying to
achieve genuine access to the object as it is in itself, we concentrate upon what is claimed about it,
taking it for granted that what is said is so, simply because it is said, and
passing it on – disseminating the claim, allowing it to inflect our
conversation about the object, and so on. We thereby lose touch with the
ostensible object of the communication; our talk become groundless. And the
ease with which we then seem to ourselves to understand whatever is talked
about entails that we think of ourselves as understanding of everything just when we are failing to do so. By
suggesting complete understanding, idle talk closes off its objects rather than
disclosing them, and it also closes off the possibility of future investigations of them.”
(hal. 106)
Saya tidak
jamin orang lain yang lemah bahasa Inggerisnya boleh faham kutipan ini; tetapi
saya yakin Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh boleh faham dengan
mudah. Cuma, adakah dia mahu mengaku
bahawa dia sebenarnya sedang berkecimpung dalam idle talk, bukan dalam pemerian yang bersifat akademik. Inilah juga yang dilakukan oleh ahli panel
yang membincangkan masalah kritikan dalam sastera Melayu, yang empat orang itu.
Saya terima mereka sebagai membebelkan hanya idle talk, bukan memberikan sesuatu yang benar-benar bersifat akademik
dan jelas mutu ilmiahnya. Salah seorang dari mereka mengaku dia tidak sempat
menulis kertasnya. Itulah bukti idle talk
yang paling jelas. Kalau sudah tidak dapat menulis dengan sempurna, mengapa
pula sanggup berada di atas pentas untuk mengaku kelemahan kamu? Tidak tahulah
kita mengapa orang akademik ini ada juga yang tidak hormati majlis yang
dijemput memberi pandangannya, tiba-tiba datang belum sempat kilas kain?
Inilah
keadaan yang kita hadapi sekarang. Kalau saya sangat keras mengkritik mereka,
maka itu memang wajar. Kita tidak mahu masyarakat dikelirukan dengan sengaja
oleh mereka yang kualiti ilmunya amat diragui.
Yang kita pasti, mereka menolak konsep ilmu yang benar, walaupun ada di
antara ahli panel memberitahu dia ambil sumber dari al-Quran dan Sunah! Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh tidak
pernah mengaku dia menerima konsep ilmu yang benar itu. Dari segi itu, dia
bercakap benar; walaupun dia menolak kebenaran.
Saya harap mereka faham maksud saya.
Selamatlah
jiwa yang sempurna!
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 21 Jun 2019.
No comments:
Post a Comment