Saturday, June 15, 2019

MENERUSKAN PENYELEWENGAN DALAM SASTERA BUKAN PILIHAN YANG SIUMAN




Saya telah membuktikan tanpa ragu-ragu lagi bahawa kesilapan paling besar dalam perkembangan sastera Melayu berlaku apabila sekumpulan anggota Asas 50 yang bekerja di DBP mencadangkan supaya diwujudkan gelaran sasterawan negara. Maka selepas itu semua penerima gelaran itu terdiri daripada anggota Asas 50 yang bekerja di DBP atau yang berpindah ke Kuala Lumpur, mereka yang lain adalah para pengikut dan penyokong Asas 50.  Hakikat ini penting didedahkan supaya penulisan sejarah sastera Melayu dapat diletakkan dalam perspektif yang betul. Ada dua kesan buruk yang berlaku akibat projek ini. Pertama, peranan Asas 50 telah dimitoskan sebagai kononnya pelopor sastera Melayu moden.  Andaian ini tidak benar, salah dan bertentangan dengan kenyataan.  Kedua, yang lebih penting, masyarakat sastera diseret untuk menerima konsep sastera yang menolak peranan ilmu yang benar dalam penulisan kreatif.  Penerimaan peranan palsu Asas 50 dalam sastera Melayu moden adalah kemuncak pandirisme dalam sastera Melayu, yang diteruskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan ITBM. Inilah  contoh penyelewengan akademik yang diasaskan oleh para sarjana palsu yang menentang konsep ilmu yang benar dalam penulisan kreatif dan dalam kritikan sastera.

Kritikan keras ini tidak dapat dielakkan kerana kemusnahan maruah intelektual yang kita alami terlalu buruk untuk diteruskan, dengan misalnya meneruskan pemberian anugerah sastera negara kepada seorang sasterawan yang taraf karyanya adalah picisan tanpa pemikiran yang dibahaskan dengan kritis dan indah.  Inilah sifat umum karya para sasterawan negara ini yang boleh kita lihat dengan jelas di dalam karya mereka.  Penipuan intelektual begini tidak dianggap sejenis kejahatan yang patut dikutuk, sebaliknya diberi pujian dan sanjungan, dan setiap sasterawan negara yang dilantik atau dipilih dengan serta-merta berubah menjadi  Brahmin Sastera yang mesti dipuja. Memang mereka dipuja kerana sepanjang yang kita lihat dan baca tentang mereka, tidak terdapat satu tulisan pun yang menilai mereka dari perspektif yang betul, yakni berasaskan konsep ilmu. Sikap anti ilmu membawa padah yang besar dalam perkembangan intelektual, juga dalam perkembangan moral, apabila setiap orang sasterawan negara dengan serta-merta dijadikan Brahmin Sastera, yang tidak boleh dikritik lagi, hanya mesti dipuja. Punyalah gila sikap begini, tetapi inilah yang menjadi anutan para sarjana  sastera dan pengkritik sastera.

Meneruskan penyelewengan dalam sastera bukan pilihan yang siuman, tetapi itulah yang dijadikan arus perdana dalam perkembangan sastera Melayu, akibat kegilaan para penganut dan pengikut gelandangan Asas 50 yang menjadikan sorakan kaum Marxist “sastera untuk rakyat” sebagai laungan kosong kerana amat jelas yang dikatakan sastera untuk rakyat itu adalah karya picisan yang menentang ilmu yang benar.  Tidak seorang sarjana sastera boleh menunjukkan kesimpulan ini tidak benar, kerana hasil karya yang tercokol di depan mata kita seolah-olah sedang menjerit ketakutan, “Terimalah kami walaupun kami picisan; kami adalah hasil karya para sasterawan negara yang sudah dinobatkan sebagai Brahmin Sastera!”

Hanya satu cara saja untuk membela karya picisan para sasterawan negara, iaitu dengan melapah karya mereka sehabis kritis berdasarkan konsep ilmu yang benar, yang kaedahnya dihuraikan dengan jelas dalam Gagasan Persuratan Baru.  Sekiranya PB ditolak oleh para sarjana dan pengkritik sastera sekali pun, kedudukan para sasterawan negara sebagai penulis karya picisan tetap tidak berubah, dan tidak mungkin kedudukan mereka boleh dinaikkan dengan gelaran sasterawan negara itu kerana karya mereka tetap picisan.  Oleh itu, tidak ada pilihan kecuali  menilai karya para sasterawan negara ini daripada perspektif PB untuk menentukan di mana sebenarnya kedudukan para sasterawan negara dan bagaimana pula mutu karya mereka harus dinilai.  Ke mana pun para sasterawan negara ini diseret untuk diselamatkan, mereka tetap terpaksa menghadapi analisis yang tepat mengikut ukuran yang dikemukakan oleh PB.  Sarjana dan sasterawan anti-PB dengan seluruh kebencian yang terdaya oleh mereka melahirkannya kerana hanya satu sebab: Keberadaan mereka dalam gelanggang sastera dicabar seluruhnya sehingga mereka tidak boleh bernafas, kerana mereka tidak mempunyai hujah untuk menolak PB, oleh itu mereka berkumpul sesama mereka untuk memboikot apa juga perbincangan tentang PB dan mencuba sedaya upaya mereka untuk menyekat PB dari mendapat tempat di universiti supaya para mahasiswa yang mengambil mata pelajaran sastera  tidak  terdedah kepada PB sebagai satu kaedah yang paling ampuh dalam membaca, menilai, dan mengkritik karya sastera; dan kekuatan PB yang paling ditakuti ialah kemampuannya mencekup kepalsuan karya dan penilaiannya dengan mengemukakan hujah yang padat dan kemas tersusun urutan perbahasannya.  Dengan itu PB muncul sebagai satu kaedah ilmu yang mencabar seluruh teori sastera Barat. 

Oleh sebab para sasterawan dan pengkritik sastera bangga menjadi pengikut teori sastera Barat, maka tentulah mereka berasa amat terancam apabila PB mencabar kewibawaan mereka dalam bidang ilmu.  Walaupun mereka penganut Islam, mereka menolak konsep ilmu yang benar kerana bertentangan dengan teori sastera Barat yang mereka jadikan pegangan. Dari segi pemikiran, sikap ini membawa mereka hanyut dalam belantara kekeliruan mengenai fungsi kreatif dan kaedah yang betul untuk menilai hasil kreatif tadi.  Kekeliruan ini hanya boleh dihapuskan melalui kefahaman yang mendalam tentang konsep ilmu yang benar dan bagaimana konsep itu dijalin di dalam karya kreatif. Inilah yang diberikan oleh PB, yang ditolak oleh para sarjana dan sasterawan Malaysia.

Apakah akibatnya?  Jawapannya diberikan oleh Prof. Dr. Mohamed Saleeh Rahamad dalam sebuah tulisannya yang terkenal, tersiar 2005 begitu Dewan Sastera dan menang Hadiah Sastera Kebangsaan. Di situ dia memberitahu kita dengan yakin bahawa kita perlu menjadi  pengikut gerakan postmodernism, dan menerima nihilism sebagai satu cara berfikir yang sesuai dengan sifat sastera yang mengutamakan naratif dan kebebasan membawa apa juga yang difikirkan oleh para sasterawan. Kebebasan penuh perlu ada pada para sasterawan, jika mereka mahu menulis sesuatu yang dapat menandingi para sasterawan dunia.  Maka memujilah akan Prof. Dr. Mohamed Saleeh Rahamad akan novel Anwar Ridhwan yang berjudul Naratif Ogonshoto itu.  Katanya inilah novel terbesar sepanjang zaman, yang tidak mungkin dapat diatasi oleh mana-mana sasterawan sekali pun. Bila saya cabar pendapat yang mengarut ini, mereka mendiamkan diri, tidak mahu melayan cabaran saya kerana mereka sebenarnya tahu mereka tidak ada hujah untuk menolak kesimpulan saya. Mereka menjadi amat marah dan benci bila saya menegaskan, tidak sebuah pun karya para sasterawan negara yang dapat mengatasi karya-karya saya. Saya beri peluang kepada mereka untuk menafikannya, dan menolaknya secara akademik. Maka amatlah pelik apabila karya para sasterawan negara tidak dapat menandingi karya seorang bukan sasterawan negara. Di mana kehebatan mereka? Maka berdiam dirilah mereka, lumpuh semua anggota kerana dari segi akademik mereka sangat lekeh dan keliru. Bagaimana karya sasterawan negara boleh berada lebih rendah daripada karya seorang yang bukan sasterawan negara? Kalau katak puru boleh bercakap, dan anda tanyakan pertanyaan ini, maka katak puru itu akan tertawa besar sambil mengherdik anda, “Adakah kamu lebih bodoh daripada aku?”  Itulah keadaannya, yang kita tidak perasan langsung seekor katak puru pun tahu membezakan karya persuratan, karya sastera, dan karya picisan yang erotik. Bolehkah anda menafikan bahawa Shahnon Ahmad menulis dan bangga pula menulis karya porno dan erotik. Sila semak kata-kata beliau sendiri dalam Dewan Sastera tahun 1997. Panjang sungguh defence yang beliau berikan di situ. Dan beliau ini, kalau anda tidak tahu, adalah seorang sasterawan negara nombor … (Saya tak ingat, tolong betulkan!). Yang saya tahu Usman Awang orang ketiga… dan seterusnya. Yang saya tahu dan sangat yakin, semua ini adalah sandiwara yang amat jelek, yang akan membuat sesiapa yang memahaminya akan termuntah! So sorry for that!!

Walau apa pun yang terjadi, dan benar-benar terjadi, pelantikan sasterawan negara ini mesti diteruskan. Kita akan dapat sasterawan negara baru bulan Julai ini, jika benarlah janji Ketua Pengarah DBP.

Selamatlah jiwa yang sempurna!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 15 Jun 2019.

No comments:

Post a Comment