Tuesday, June 25, 2019

TAHNIAH KEPADA DAP KERANA BERMURAH HATI MENGGUNAKAN WANG RAKYAT UNTUK PARA SASTRERAWAN NEGARA



Terkejut juga saya bila DAP, melalui Kementerian Kewangan yang menterinya seorang tokoh utama DAP, dengan murah hati dan berjiwa murni untuk membela kemajuan dalam sastera dan bahasa Melayu, memberi imbuhan bulanan kepada para sasterawan negara. Lebih bermakna lagi, Menteri memeluk salah seorang SN untuk berlaga pipi. Sungguh cantik (tidak bererti indah!) drama spontan ini untuk menjadi tontonan masyarakat. Paling bermakna, bakal PM (belum pasti lagi!) turut memberi penghormatannya kepada para sasterawan negara pada istiadat penting itu di DBP. Yang menjadi minat saya bukan peristiwa itu, tetapi mengenai tulisan saya tentang pengaruh Yahudi dalam bidang seni, termasuk sastera. Amat mengejutkan kebenaran bacaan saya begitu cepat dibuktikan oleh peristiwa ini, dengan itu sudah sahlah pengaruh Yahudi itu memang kuat di Malaysia.

Adakah status sasterawan negara sebagai penulis picisan terangkat dengan pemberian DAP ini?  Status mereka mungkin akan terangkat sekiranya semua mereka menolak sandiwara politik yang murahan ini dengan menolak pemberian rasuah moral itu kepada mereka. Dengan pemberian ini, dan penerimaan mereka, maka kedudukan mereka sebagai sasterawan picisan menjadi kenyataan yang akan mereka bawa dalam sejarah sastera Melayu, yang saya pasti akan dikutuk oleh generasi akan datang. Malah generasi muda masa kini pun saya yakin akan ada yang mengutuk sandiwara ini sebagai suatu plot yang amat murahan, yang tidak wajar dipentaskan sama sekali. Saya rujuk kepada poster yang saya terima April 2014 daripada anak-anak muda di universiti. Saya paparkan sekali lagi poster penting itu.

Inilah sejarah yang tidak dapat tidak perlu dicatat dengan jelas ketika kita menulis sejarah sastera Melayu nanti.  Menteri DAP ini pernah dituduh rasuah ketika menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, tetapi ditarik balik. Beliau bernasib baik kata orang; tetapi saya kira ini bukan nasib baik, ini kutukan politik yang akan menjadi noda politik tokoh ini seumur hidup, akan terus diungkit masyarakat mengapa beliau begitu istimewa.  Adakah kerana beliau tokoh DAP?  Suatu ketika dulu beliau menggunakan bahasa Cina dalam ucapan rasmi, atau memberi nota kepada wartawan dengan terjemahan bahasa Inggeris. Apakah tujuan beliau? Saya setuju jika beliau berkata bahasa Melayu tidak difahami oleh ahli politik Malaysia; oleh itu apabila PH mendapat kuasa, bahasa Cina dan Tamil dengan begitu cepat dijadikan bahasa rasmi di BERNAMA, dan dijadikan bahasa utama di TV dalam menyiarkan warta berita.   Tindakan ini bertentangan dengan kedudukan BERNAMA sebagai sumber berita negara, yang hanya diberikan dalam bahasa Melayu dan Inggeris.  DAP menjadikannya satu organisasi multi-lingual.  Dewan Bahasa dan Pustaka tidak membantah, suatu tindakan yang berani. Hasilnya Menteri DAP ini memuji DBP ketika mengumumkan habuan bulanan itu.  Beliau puji DBP sebagai satu institusi yang cintakan bahasa Melayu dan sastera Melayu. Adakah DBP juga mencintai persuratan Melayu? 

Kalau kamu orang Melayu kamu tidak boleh panggil diri kamu bangsa Melayu kerana itu adalah ungkapan perkauman; tetapi kamu boleh panggil diri kamu bangsa DAP jika kamu ahli DAP. Itu adalah penghormatan kepada perjuangan DAP untuk mewujudkan Malaysian Malaysia, yang kini dipanggil Malaysia Baru.  Melayu yang tidak perkauman menerima perubahan ini dengan hati terbuka, supaya mereka tidak lagi dituduh perkauman jika menyebut nama Melayu. Sekarang orang Melayu membenci bangsanya sendiri untuk menyenangkan hati kaum pendatang yang dibawa British untuk melenyapkan ketuanan Melayu.  Ini suatu perhitungan yang sangat bijak. Jika anda tahu bagaimana orang Melayu memelihara kerbau di tempat meragut yang bebas lepas, sang kerbau tahu suara tuannya bila dipanggil untuk ditangkap dan disembelih. Itulah kedudukan Melayu sekarang, jika anda mahu gunakan metafora ini untuk memudahkan kefahaman anda dalam politik Malaysia Baru ini. Di mana duduknya pengaruh Yahudi dalam contoh-contoh ini? Yang boleh menjawabnya hanya para sasterawan negara. Tanya mereka.

Selamatlah jiwa yang sempurna!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 24 Jun 2019.

No comments:

Post a Comment