Thursday, June 27, 2019

BUDAYA MUNAFIK DAN PENGARUHNYA DALAM MALAYSIA BARU



Sifat-sifat munafik telah diketahui oleh semua orang Islam, dan mungkin juga dimaklumi oleh yang bukan Islam. Dalam politik, budaya munafik penting untuk mendapat undi dan dari situ kerusi yang membolehkan sesuatu kumpulan mendapat kuasa.  Dari perspektif ini, sikap munafik adalah rahsia kejayaan dalam politik yang memang disedari oleh semua ahli politik. Dalam hal ini, yang paling menarik ialah sistem demokrasi itu sendiri adalah kemuncak budaya munafik ini. Tetapi hal ini tidak menjadi masalah, kerana dalam politik demokrasi terdapat satu konsep penting yang menjadi amalan semua ahli politik, ia itu yang dipanggil mobilization of bias.  Untuk mudah, kita akronimkan menjadi MOB. Inilah senjata politik yang wajib digunakan oleh semua ahli politik sekiranya mereka ingin mendapat kemenangan dalam pilihan raya. Yang menarik di sini ialah, ahli politik yang mendakwa memperjuangkan Islam sekali pun wajib menggunakan MOB, dengan itu melaksanakan falsafah munafik  yang mereka halalkan dalam perjuangan mereka kerana dalam sistem demokrasi tanpa MOB tidak akan tercapai apa-apa kejayaan dalam aktiviti politik sesuatu kumpulan. Ini bermakna, pembohongan, satu sifat munafik, adalah senjata politik yang paling penting, yang memang diketahui dan dipraktikkan oleh semua ahli politik, termasuk yang memperjuangkan politik Islam.  

Bagaimana pula dalam kegiatan sastera?  Sekiranya kita terima pembohongan sebagai salah satu ciri penting dalam karya sastera, maka kegiatan sastera pun dikuasai sift-sifat munafik sama dengan yang dilakukan oleh ahli politik.  Sebelum kita membuat apa-apa kesimpulan yang mungkin memeranjatkan, kita lihat dulu contoh yang boleh membantu kita memahami keadaan sebenar dunia sastera ini. Menurut para sarjana sastera, pada waktu ini Malaysia sudah mempunyai sebuah novel terbesar sepanjang zaman, yang mengatasi novel-novel dunia sekali pun. Itulah novel Naratif Ogonshoto.  Prof. Dr. Mohamed Saleeh Rahamad dari Universiti Malaya telah menulis satu rencana yang istimewa membicarakan novel agung ini. Oleh sebab saya telah menyebut perkara ini banyak kali, saya tidak perlu ulangi lagi.  Tetapi ada satu perkara yang belum lagi dilakukan oleh sesiapa pun yang menggelarkan diri mereka sarjana sastera, ia itu membuat kajian perbandingan yang teliti dan objektif antara Naratif Ogonshoto dan Pujangga Melayu, untuk menentukan mana satu yang benar-benar berkualiti dari segi pemikiran, teknik, kandungan, dan macam-macam lagi yang boleh kita lihat jika diadakan kajian perbandingan itu. Mengapa tiada sesiapa pun dari antara sarjana kita yang hebat-hebat berminat? Jawapannya sangat mudah. Mereka tidak mahu mempromosikan Pujangga Melayu. Mereka tidak membacanya, kerana novel itu tebal dan banyak sekali persoalan teknik diperkenalkan dalam karya itu. Tidak ada seorang sarjana yang memuji Naratif Ogonshoto yang sanggup membaca novel  Pujangga Melayu yang tebal itu. Mereka tahu, jika mereka tidak bersedia dengan pengetahuan yang agak mendalam tentang sejarah penulisan novel dunia dan teknik yang digunakan oleh para penulis novel dunia, mereka tidak akan dapat memahami bagaimana Pujangga Melayu ditulis dan mengapa ditulis, untuk mencapai maksud yang bagaimana. Semua ini tidak terdapat dalam Naratif Ogonshoto, sebuah karya yang nipis dan amat mudah dibaca. Tidak ada cabaran intelektual yang berat-berat di dalam novel picisan itu; padahal cabaran demikian cukup banyak terdapat dalam Pujangga Melayu.

Cuba kita lihat kandungan laporan Panel Anugerah Sastera Negara.  Bagaimanakah laporan itu ditulis? Kita gunakan laporan terhadap Shahnon Ahmad sebagai kes kajian. Laporan ini sangat nipis, paling nipis di antara beberapa laporan lain. Paling panjang ialah laporan terhadap Usman Awang.  Timbul pertanyaan bodoh yang tidak dapat dielakkan mesti ditanya:  Adakah pilihan dibuat terlebih dahulu, selepas itu baru ditulis laporannya? Siapa yang boleh menjawab pertanyaan ini kalau tidak DBP. Bolehkah kita percayakan DBP akan bercakap benar? Terus terang, saya tidak percaya mereka akan berkata benar. Apakah alasan saya? Kita dapat buktinya baru saja beberapa hari ini, apabila para sasterawan negara diberi habuan kewangan bulanan setelah begitu lama menjadi sasterawan negara. Mengapa tidak diberikan awal-awal lagi? Apakah faktor yang mengubah keputusan mereka? Yang boleh menjawabnya hanya DBP. Berapa ratus tahun agaknya kita harus menunggu sehingga tampil seorang Ketua Pengarah yang berani dan jujur memberi jawapan yang kita perlukan. Jawapan itu akan menentukan beberapa perkara, yang saya akan huraikan satu persatu nanti jika DBP berani memberikan jawapan yang jujur. Bila kita bercakap tentang kejujuran, kita tidak dapat mengelak daripada kemungkinan untuk berbohong. Termasuk dalam kes berbohong ini ialah memberi alasan yang dicari-cari dan direka-reka untuk melepaskan diri, menampakkan mereka jujur. Mengapa tidak disebut lebih awal? Inilah persoalannya. Bila kita membicarakan aspek munafik dalam sastera Melayu, kita nampaknya tidak dapat melepaskan diri daripada membicarakan perkara ini. Tetapi saya ingin menegaskan, DBP tidak perlu memberi apa-apa penjelasan. Ada dua sebab mengapa mereka tidak perlu memberi penjelasan. Saya akan sebut satu persatu nanti bila dirasakan perlu. Kita biarkan saja dulu.

Laporan Panel Anugerah Sastera Negara ini menarik untuk dikaji, dan saya telah menyebut beberapa perkara mengenainya dalam beberapa entri yang lepas. Siapa yang terbaca kira bernasib baik; siapa yang tidak terbaca tidak usah mencarinya. Biar kita dengar sendiri penjelasan DBP sebagai sekretariat Anugerah itu.  Saya hanya ingin memberi sedikit peringatan. Walau apa pun penjelasan DBP, pemilihan para sasterawan negara tetap suatu keputusan yang menentang konsep ilmu yang benar, yang memang tidak ada di dalam karya para sasterawan sendiri. Pembaca yang cerdik dapat memberi tafsiran yang tepat makna kesimpulan ini. Jika anda membaca hujah saya dalam beberapa entri, anda akan bertemu dengan kesimpulan saya bahawa sasterawan negara tidak dapat diletakkan setaraf dengan para ulama dan cendekiawan Melayu yang betul-betul berjasa; maka dengan itu pelantikan para sasterawan negara meletakkan  para sasterawan lebih utama daripada mereka, yakni para ulama dan cendekiawan ini. DBP tidak iktiraf para ulama dan cendekiawan ini sebagai golongan yang berjasa besar kepada perkembangan ilmu dalam sejarah tamadun kita. Para sasterawan, yang datang kemudian, lebih berjasa daripada mereka dalam pandangan DBP. Kalau kita boleh menggunakan satu perkataan yang agak kasar, kita boleh berkata inilah satu kegilaan yang paling tidak siuman yang kita lakukan untuk memberi kedudukan istimewa kepada para sasterawan yang sebenarnya hanya berjaya menghasilkan karya picisan, jika dibandingkan dengan sumbangan dua kumpulan tadi.

Sekarang anda boleh memahami makna munafik dalam perkembangan budaya Melayu. Inilah pembohongan sejarah terbesar, bila Pak Pandir diberi kedudukan  lebih tinggi daripada para ulama dan cendekiawan.

Inilah keputusan yang paling biadab dalam sejarah tamadun Melayu, apabila golongan picisan diberi kedudukan lebih tinggi daripada para ulama dan cendekiawan. Bayangkan kumpulan sasterawan picisan yang menentang konsep ilmu yang benar yang diajarkan dalam al-Quran diberi kedudukan istimewa yang lebih tinggi daripada para ulama dan cendekiawan.  Siapakah yang memberi ilham ini kepada DBP?  Jawapannya diberikan dalam Surah Yasin,  ayat 60-61. Baca sendiri di sana. Pertanyaan yang sangat pedih yang perlu ditanyakan kepada para sasterawan negara: Adakah kamu, sebagai seorang Islam, mematuhi perintah dalam ayat 61 itu? Tidak. Tetapi kita semua harus menerima dengan baik jika para sasterawan negara ini menjawab bahawa semua karya mereka memenuhi kehendak ayat 61 itu.  Mengapa perkara ini penting? Ia penting kerana kita tidak dapat tidak harus membuktikan bahawa karya para sasterawan negara ini memberi manfaat kepada pembaca, dan tidak membawa pembaca menolak kebenaran yang ditegaskan di dalam ayat yang dirujuk itu. Maksudnya, para  sasterawan negara perlu membuktikan mereka menjadikan konsep ilmu yang benar itu sebagai asas penulisan mereka untuk dapat diterima sebagai penerima gelaran sasterawan negara itu. Jika tidak, maka mereka tidak layak dihormati sebagai sasterawan negara kerana mereka menolak konsep ilmu yang benar dalam karya mereka.  Semua kemusykilan ini mudah saja di atasi, jika para sarjana sastera tampil menjadi pembela mereka dengan memberi hujah-hujah yang mantap yang dengan meyakinkan akan membolehkan mereka diberi penghormatan yang lebih tinggi daripada para ulama dan cendekiawan Melayu.  Sekiranya anda berkata, sasterawan bukan ulama, maka bagaimana pula anda meletakkan para sasterawan lebih tinggi daripada para ulama dan cendekiawan dengan memberi mereka gelaran sasterawan negara? Kalau anda hanya bermegah dengan idle talk, maka anda tidak boleh meyakinkan sesiapa juga bahawa para sasterawan negara itu lebih tinggi kedudukannya daripada para ulama dan cendekiawan Melayu yang memang sudah terbukti berjasa dalam persuratan Melayu. Mereka tidak boleh disetarafkan dengan para sasterawan, yang berada di luar lingkungan tokoh yang wajar dihormati kerana ilmu dan sumbangannya untuk membina tamadun bangsa, yang tidak dapat diberikan oleh para sasterawan.  Jika anda tidak bersetuju, anda perlu mengemukakan hujah anda.

Jika anda ikuti perbincangan ini dengan kritis, anda mungkin dapat memahami maksud munafik dalam konteks pembohongan sebagai salah satu ciri munafik. Good luck!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 27 Jun 2019.

No comments:

Post a Comment